BAB 11
Nur Asiah telah bernekad, dia harus pergi dari rumah ini. Rumah puaka yang tidak pernah menjanjikan kebahagian untuknya. Rumah yang cantik seumpama sangkar emas.Rumah yang memenjarakan dirinya dengan berbagai penderitaan. Cukuplah selama ini dia menjadi hamba sahaya kepada suami dan madunya, sesabar manusia pun ada juga batasnya. Dia bukan Malaikat untuk terus bersabar dengan segala kekejaman yang dilakukan oleh suaminya. Tuhanku...! Ampunkanlah aku kerana meninggalkan rumah tanpa keizinan suami. Janganlah aku dianggap isteri yang nusuz kerana melarikan diri dari suami. Sesungguhnya aku sedang menyelamatkan diri agar nyawaku tidak terancam.
Dalam kepekatan malam Nur Asiah menjinjing beg pakaiannya, dia hanya mengambil apa yang perlu dan penting saja, dia perlu segera beredar, takut-takut suaminya terjaga dari tidur. Barang-barang pemberian yang pernah dihadiahkan oleh suaminya satupun dia tidak ambil, dia tidak memerlukan itu semua, yang dia mahu ialah ketenangan dan kebahagiaan. Sebentar kemudian teksi berhenti dihadapan rumah dan Nur Asiah bergegas masuk, tanpa menoleh lagi dia meninggalkan rumah itu bersama kepekatan malam yang kian sunyi.
Sebaik saja teksi berhenti di hadapan rumah Suriani, Nur Asiah keluar dari perut teksi dan dia dapati Suriani sedang tercegat menunggunya di muka pintu walaupun malam sudah dini hari. Dia bersyukur Suriani mahu menerimanya untuk menumpang di rumah itu buat sementara waktu.
“Masuklah Nur, kau buatlah macam rumah sendiri. Aku gembira sangat ,akhirnya kau dengar juga cakap dan nasihat aku.”
“Tapi Su, tidakkah nanti aku akan menyusahkan kau?”
“Apa ke susahnya,lagipun selama ini aku hanya duduk sorang aje,hah...! Sekarang aku taklah boring sangat sebab ada kau.”
“Su, aku rasa terharu sangat ,sebab kau sudi terima aku, sedangkan suami aku sendiri tak suka dan benci dengan aku.” Air mata Nur mula menitis di pipi, kelam jiwanya disaat ini mengenangkan nasibnya yang tak pernah kurang dikunjung malang.
“Sudahlah Nur, kat sini kau selamat,laki kau tak dapat cari kau lagi. Bermula saat ini tak ada siapa lagi yang akan mendera kau. Aku akan sentiasa berada disisi kau. Sudahlah , esok aku akan bawa kau jumpa doktor, kita ambil lapuran doktor lepas tu kita pergi balai polis buat report.”
“Eh, tak nak ,aku bukan nak suruh suami aku masuk penjara,” Nur Asiah menggelengkan kepala. Rupanya masih ada secuit kasih untuk suaminya walaupun tanpa cinta.
“La…! Sapa pula nak suruh laki kau masuk penjara, kita buat ni sekadar ikut prosedur biasa, takut nanti ada kes yang berbangkit, bolehlah kita guna report tu sebagai bahan bukti. Kau ni muka dah hancur lebur pun masih nak bela laki kau yang tak berguna tu.”
“Walau seburuk manapun, dia tetap laki aku.”
“Eieeee…geramnya kau ni, terlalu naif,” Suriani menunjukkan rasa geramnya. Manakala Nur menggerakkan bibir untuk senyum pahit walaupun masih terasa peritnya. Malam itu Nur merasakan tidurnya cukup puas dan nyenyak sekali, buat pertama kali nya dia tidak terbangun pada waktu malam, kalau sebelum ini tidurnya sering terganggu,sebab sering berfikir-fikir apakah perkara buruk yang bakal dilakukan oleh suami dan madunya keesokkan hari.Hidupnya penuh dengan ketakutan . Tuhanku..! Terima kasih diatas rahmatmu.
Aiman terjaga dari tidur, rasanya dia kesiangan. Memang semalam dia pulang agak lewat, setelah makan malam dengan Adura mereka bertemu pula dengan kawan, sedar tak sedar dah pukul satu pagi. Mana tak mengantuk dan kesiangan, tapi kenapa pula si Nur ni tak kejut, selalunya dia yang akan ditugaskan untuk mengejutkan mereka dari tidur. His…si Nur ni nak kena lagilah tu, tak tahu serik, selalu saja nak buat aku naik darah. Ini kalau dah bangun lewat, mestilah pergi kerja pun lewat.
Aiman menyelak selimut yang membaluti tubuhnya, dia mula turun dari katil. Suasana pagi yang cukup aman dan damai, tidak kedengaran berbagai bunyi dari arah dapur seperti selalu. Bunyi yang tidak asing dia dengar pada waktu pagi, bunyi kerentung kerentang Nur memasak . Tapi pagi ini terlalu lain rasanya tanpa bunyi bising di dapur. Kenapa si Nur ni tak bangun lagi ke? Dia bergegas ke bilik sebelah untuk mengejutkan Nur. Kalau Nur lewat masuk dapur, jawabnya taklah sempat dia bersarapan pagi, sedangkan dia memang suka bersarapan di rumah. Tapi apa pula yang si Nur tu nak masak? Sedangkan semalam Nur memberitahunya tidak ada benda yang boleh dimasak. Ah…memang salah aku.
Aiman berjalan menuju ke bilik Nur dan menolak daun pintu untuk memastikan Nur ada dibiliknya. Kalau tak ada benda yang nak dimasak sekali pun Nur masih boleh membancuh air milo untuknya dan dia ingin memberitahu Nur petang nanti dia akan singgah di supermarket untuk membeli barang-barang keperluan dapur.
Sebaik saja pintu bilik Nur ternganga, Aiman mendapati bilik itu kosong. Nur tiada disitu, yang ada hanya bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Dia masuk ke dalam dan mengetuk pintu bilik air, tiada pun tanda-tanda yang Nur berada di dalam bilik air. Hatinya mula berteka-teki ,kemana pula si Nur ni, jangan-jangan dia pengsan, sebab semasa dia dan Adura meninggalkan Nur malam tadi, Nur jatuh tersungkur. Entah-entah Nur mati, eh...! Minta jauh, ini dah jadi kes pembunuhan. Ya ALLAH…mana pula minah ni?
Aiman berlari turun ke tingkat bawah terus menuju ke dapur, sepi dan kosong. Tiada Nur disitu. Aiman mencari dibilik air bawah, Nur juga tiada. Hatinya mula marah bercampur cemas. Di kepalanya mula bercambah berbagai soalan kemana minah kampung ni pergi? Siaplah nanti kalau jumpa, memang kena nanti ,tak cukup lagi ke dengan pelempang malam tadi ? Nak main sorok-sorok pula. Ingat aku tak ada kerja lain ke, nak cari dia kesana kemari.Aje yang bahlol.
Aiman naik semula ke tingkat atas , dia perlu sembahyang subuh walau pun subuhnya sudah subuh gajah. Entah mengapa tiba-tiba dia merasakan sesuatu miliknya telah hilang dari genggaman, rasa hilang sepi dan kosong. Sebaik saja Aiman usai solat subuh dia mengejutkan Adura yang masih enak berbungkus dengan selimut. Adura masih menggeliat malas.
“Sayang! Bangun…kita dah lambat ni , cepat bangun!” Dengan separuh mendengus Adura bangun lalu terus menuju ke bilik air.
Aiman ke bilik Nur Asiah untuk mengambil pakaiannya yang selalunya sudah tersedia diatas katil. Bila dia membuka lampu bilik tak ada pun pakaiannya tersedia seperti biasa. Dia melilau-lilau mencari, entah apa yang dia cari. Tiba-tiba dia terpandang sehelai kertas yang terletak di atas meja solek “ Nur pergi, jangan cari Nur. Halalkan makan minum Nur selama ini. Semoga abang berbahagia selalu.” Terduduk Aiman bersama kertas ditangannya. Entah mengapa hatinya bagai diragut keras, dia sendiri tidak dapat menceritakan bagaimana perasaannya dikala ini. Marah ke? Bengang ke? Sedih ke? Kehilangan ke? Dia tidak dapat menyatakannya. Ternyata dia terasa kosong dan hatinya dibawa pergi bersama. Kenapa macam ni? Selalunya dia sentiasa merasa menyampah bila melihat Nur. Walaupun wajah Nur cantik dan punya pekerti yang baik tapi hatinya seakan tertutup untuk memiliki hati Nur.
Kadang-kadang dia merasa geram melihat sikap Nur yang selamba dan buat bodoh bila dimarahi atau dipukul, seolah-olah Nur tak ada perasaan dan merasa sakit. Aiman merasakan Nur selalu mencabar kesabarannya dalam diam. Walaupun Nur tak pernah menjawab dan melawan tapi sikap Nur yang diam membatu seperti patung itulah yang lebih membuatkan Aiman sakit hati.
Aiman masih terpaku diatas katil, dia terasa ingin menangisi kehilangan Nur, tapi untuk apa? Bukankah selama ini dia memang tidak peduli tentang apa yang Nur rasa. Aiman melihat bantal-bantal yang tersusun kemas di atas katil. Disini lah dia sering meninggalkan Nur sendirian bertemankan bantal-bantal sepi dan sejuk. Dia lebih suka berada dibilik Adura. Adura yang hangat, Adura yang penuh keghairahan , Adura yang sering mendesak dan Adura yang ingin memiliki dirinya secara mutlak dan tidak suka berkongsi.
Aiman sedar dia sering tidak berlaku adil pada Nur, dia bermalam dibilik Nur sekiranya dia memang menginginkan Nur, itupun setelah Adura nyenyak tidur. Memang dia tidak adil. Selama ini pun dia sering membiarkan Adura membuli Nur, Nur yang lemah lembut dan tidak pandai melawan. Nur seperti hamba di dalam rumahnya sendiri.
Aiman membuka almari pakaian. Alangkah terkejutnya dia, Nur memang telah pergi, semua pakaian Nur telah tiada, yang tinggal hanya pakaian yang dia hadiahkan untuk Nur. Dia terasa sedih ditinggalkan, bagaikan anak telah ditinggalkan oleh si ibu. Hilang kosong dan hampa. Dia mengambil baju dan seluar yang tergantung, cukup susah rasanya untuk memadankan pakaian yang hendak dipakai, selama ini Nur yang buat semuanya. Nur yang tentukan apa yang dia akan pakai , dari tie hinggalah ke stoking. Kadang-kadang stoking dia pun Nur yang pakaikan. Adura tidak pernah ambil tahu itu semua sebab pakaian dia pun ,Nur yang basuh dan gosokkan. Kemanakah kau pergi Nur?
“Eh…Siah! Gosokkan baju aku, cepat sikit, kami dah lambat ni!” Tiba-tiba Adura menjerit dari depan pintu bilik Nur. Matanya melilau-lilau mencari kelibat Nur. Aiman dengan muka separuh mendu menghulurkan kertas nota perpisahan dari Nur untuk tatapan Adura.
“Ha...ha…ha…ha…kalah juga akhirnya orang kampung bodoh, hah…baru puas hati aku, tak sedar diri. Ha...ha…” sukanya hati Adura dengan ketiadaan Nur. Aiman melihat wajah isterinya, jauh berbeza dari wajah Nur yang putih bersih penuh keikhlasan.
“Hah…abang ni kenapa pula? Macam ayam berak kapur saja, sedih sangat ke bini pertama abang lari?” Tanpa menunggu reaksi suaminya Adura melenggang meninggalkan bilik Nur.
“Abang!!! Tolong gosok baju saya!” Adura menjerit dari bilik sebelah. Aiman buat tak dengar saja. Hatinya mula merasa keliru dan celaru.
“Abang…cepatlah, saya tak tahu gosok baju!” Adura yang manja memang tidak tahu menggosok baju.
“Gosoklah sendiri, awakkan perempuan.”
“Saya mana pernah gosok baju, selama ini pun saya tak pernah gosok baju,semuanya diuruskan oleh mami dan bibik.”
“Mulai sekarang belajarlah,kerana kita sekarang hanya ada awak dan saya .Awak juga akan mengambil alih segala tugas yang Nur buat selama ini,faham?” Suaranya bernada tegas, rasanya inilah kali pertama dia tidak melayan kerenah Adura.
Adura dengan wajah masam mencuka berjalan sambil menghentak kaki menuju ke biliknya. Ternyata mereka benar-benar lewat hari ini.
BAB 12
Menunggu giliran untuk dipanggil oleh doktor ,membuatkan Nur merasa seram sejuk, rasa macam nak demam pun ada, apa tah lagi dengan bau ubat-ubatan. Suriani masih setia disisi, menemaninya dari pagi tadi. Sanggup Suriani mengambil cuti semata-mata untuk menemaninya berjumpa doktor . Nur Asiah terpaksa akur dengan cadangan Suriani, buat pemeriksaan doktor dan kemudian buat report polis. Kalau ikut fikirannya tak payahlah buat repot-repot polis ni , bukan kes besar pun. Tapi kata Suriani hanya sebagai langkah berjaga-jaga, sebab kalau nak minta fasakh nanti adalah buktinya.
Tiba-tiba namanya dipanggil, Nur Asiah dan Suriani segera masuk dan duduk ditempat yang disediakan. Sejuk kaki dan tangannya ,dada mula berdebar, entah apalah yang akan disoal oleh doktor. Nur Asiah disuruh berbaring diatas katil pesakit. Mula-mula doktor memeriksa tekanan darahnya, kemudian denyutan jantungnya, terpaksa dia menyelak tudung, nasib baik doktor tu perempuan tak adalah rasa malu. Doktor Fatimah memeriksa seluruh muka, tangan ,kaki , perut dan dada. Apabila doktor menekan ditempat yang terkena pukulan tumpul Aiman rasanya cukup sakit dan ngeri. Nur Asiah membiarkan saja. Biarlah doktor lebih tahu apa yang dia buat.
“Kesan lebam ni sakit lagi tak?” Dr Fatimah bertanya sambil merenung wajahnya.
“Tak, itu dah lama, tapi tanda lebamnya susah nak hilang.”
“Bagus juga dia tak hilang ,boleh juga dibuat sebagai bahan bukti, kan doktor?” selamba saja Suriani menyampuk. Sebaik saja Dr Fatimah selesai memeriksa Nur semua sekali termasuk tangan dan kaki , Nur disuruh duduk dikerusi semula. Dr Fatimah mula menulis laporan pada kertas yang berada di hadapannya. Nur memerhati dengan rasa penuh resah.
“Okay Nur Asiah, untuk pengetahuan awak saya telah menulis semua laporan kesihatan mengenai diri awak dan melalui kesan-kesan yang ada pada awak tu terbuktilah awak telah didera oleh suami awak. Dengan sokongan laporan doktor ini awak berhak membuat dakwaan terhadap suami awak . Dan satu lagi Nur Asiah , awak tahu tak, awak sekarang ini sedang mengandung dua bulan?”
“Hah, saya mengandung?” Alangkah terkejutnya Nur Asiah,matanya bulat merenung Dr Fatimah antara percaya dengan tidak . Suriani disebelah menggenggam tangannya tanda terlalu gembira.
“Ya, mengikut ujian urine tadi awak didapati positif mengandung, tahniah!!! Anak yang pertama kan?”
“Ya, doktor . Alhamdulillah!!! Dapat juga merasai menjadi seorang ibu,” wajah Nur Asiah menjadi berseri-seri bila mendengar berita gembira tersebut. Penantiannya selama 6 tahun itu berhasil juga. Dia bukanlah seorang yang mandul seperti dakwaan keluarga suaminya. Terima kasih ya Allah!
“So, dari sekarang awak kena jaga kesihatan, jaga kandungan, jangan lagi buat kerja yang berat-berat , banyakkan berehat dan jaga pemakanan supaya janin tersebut dapat membesar dengan sempurna.” Dr Fatimah menasihati Nur sambil memegang tangan Nur seolah-olah memberi kekuatan padanya.
“Syukurlah kau telah keluar dari rumah neraka tu, kalau tak tentu kau lebih menderita lagi, mana nak urus diri, nak urus suami yang bengkeng dan madu yang jahat macam ahli sihir tu.” Suriani meluahkan rasa tanpa mempedulikan dimana dia berada. Dr Fatimah kelihatan tercengang.
“Kenapa? Apa yang sebenarnya berlaku?” Dr Fatimah bertanya penuh minat. Nur Asiah merenung wajah sahabatnya supaya tidak membuka pekungnya ,tidak mencerca keaiban suami dan madunya.
“Ah, tak ada apa-apa doktor,” Nur Asiah cuba berselindung. Tangan kanannya merayap ke arah Suriani untuk mengutilnya. Dia malu sekiranya kisah peribadinya diketahui orang ,apatah lagi dengan orang yang dia tak kenal.
“Sebenarnya doktor , Nur ni dah lama hidup tersiksa, dia tak ubah seperti hamba di dalam rumahnya sendiri. Suami dan madunya sering membuli Nur. Dah puas saya pujuk supaya dia tinggalkan suaminya ,tapi dia degil. Doktor tengok sendiri kesan-kesan dibadannya, tersayat hati saya melihatnya.”
“Yalah Nur, kenapa awak biarkan mereka mendera awak? Sekarang bukan zaman hamba abdi tau, dah zaman moden pun, awak boleh minta bantuan dari mana-mana pihak pun. Lagi pun kalau awak lari dari suami awak ,untuk menyelamatkan diri awak ,itu tak dikira nusuz.”
“Entahlah doktor,mungkin saya terlalu mementingkan perasaan orang lain sehingga mengorbankan perasaan sendiri. Saya selalu berfikir apa kata ayah dan mak jika mereka tahu saya bertindak melarikan diri dari suami, pasti mereka merasa malu dengan orang kampung. Lagi satu saya tak ada tempat yang hendak dituju. Saya tak nak balik kampung dan menyusahkan orang tua saya,” akhirnya Nur Asiah membuka rahsia hati. Entah mengapa ringan saja mulutnya untuk bercerita ,terasa seperti sedang mengadu pada seorang kakak. Dr Fatimah menggosok-gosok belakangnya , mungkin tanda simpati.
“Macam nilah,awak keluar dari rumah tu sekarang saya boleh tolong carikan tempat untuk awak berlindung buat sementara.”
“Sebenarnya saya sudah nekad, saya dah lari dari rumah tu malam tadi. Sekarang saya tinggal dengan Su.”
“Hah, itu kira sudah bagus,awak telah melakukan tindakan yang bijak. Jangan susah hati, saya akan menolong awak.”
“Terima kasihlah doktor kerana bagi sokongan pada kawan saya ni ,bukan senang dia nak dengar cakap orang, apa lagi meluahkan perasaannya pada orang,” bersungguh-sungguh Suriani menghargainya.
“Sama-sama, dah jadi tanggungjawab saya untuk menolong. Nur masih beruntung kerana masih ada kawan yang mengambil berat tentang masalah Nur, jangan pula Nur risau dan takut, Nur bukan berseorangan.” Nur Asiah mengangguk dan senyum. Terasa sebuah harapan sedang menyinarinya. Tuhanku…! Bantulah aku, permudahkanlah segala urusanku! Berikanlah aku kekuatan, selama ini aku tidak ada kekuatan untuk melakukannya,la hauwala wala quwwata illa billah.Tapi hari ini aku perlu lakukannya demi diri dan anak yang berada dalam kandunganku. Anak ini perlu dijaga dengan sebaik-baiknya agar dia dapat dilahirkan dengan sempurna. Suamiku tidak perlu tahu tentang kehadiran janin kecil yang berada di dalam rahimku kini.
“Nur, lepas ni awak pergi buat lapuran polis ya? Sebagai langkah berjaga-jaga sahaja. Kalau awak nak Biro Bantuan Guaman membantu awak, boleh saya usahakan.”
“Oh, terima kasihlah doktor, setakat ini saya belum memerlukan lagi, saya bukan nak masukkan suami saya ke dalam penjara, saya cuma mahu lari daripadanya sahaja. Kezaliman yang dia lakukan itu biarlah ALLAH saja yang membalasnya,” Nur mengeruhkan wajah. Masya Allah… budak ni terlalu lurus dan berhati mulia. Dr Fatimah meneliti wajah Nur Asiah, wajah yang cantik tapi penuh dengan balam-balam penderitaan,di wajah itu tergambar seribu kesengsaraan. Alangkah kasihannya Nur Asiah!
“Apa rancangan Nur buat masa sekarang?” Dr Fatimah bertanya.
“Entahlah, Nur ingat Nur nak cari kerja dalam masa terdekat ni, tempat kerja yang lama tu dah tak selamat lagi ,sebab suami Nur tahu tempat kerja tu. Dulu Nur ingat nak selamatkan diri sendiri saja, taklah rumit sangat,tapi sekarang kami berdua, mungkin keadaannya tak sebaik yang diharapkan.” Redup wajah Nur menyembunyikan sedih dan resah. Belas hati Dr Fatimah melihatnya.
“Nur, awak kena yakin dengan bantuan ALLAH. Setiap apa yang terjadi telah diatur oleh ALLAH. Awak jangan takut dengan ujian ini. Saya dan kawan awak ni sentiasa berada disamping awak.” Nur mengangkat muka, merenung wajah Dr Fatimah yang baik hati, tiba-tiba Nur rasakan tubir matanya telah penuh dan manik-manik jernih itu pun turun satu persatu membasahi pipi. Dia menjadi hiba dan pilu tiba-tiba, betapa orang yang tak pernah dia kenali dan tidak ada kaitan langsung dengannya boleh melahirkan simpati, sedangkan suaminya yang sudah enam tahun bersama, tidak ada sedikitpun rasa kasihnya pada Nur. Tuhan ku! Sesungguhnya Kau Maha Kaya ,dan air matapun semakin laju menuruni pipi.
“Sudahlah Nur… awak perlu kuat, awak perlu sihat untuk pembesaran bayi yang dikandung. Awak lihat ALLAH itu maha kaya dan pengasih, dia berikan awak bayi disaat awak betul-betul memerlukan pengubat jiwa,supaya awak rasa hidup ini perlu diteruskan untuk anak awak yang bakal lahir. Supaya awak bangun dan berjuang untuk orang yang awak sayangi dan bukan lagi masanya awak menjadi mangsa kekejaman orang lain.”
“Betul cakap doktor tu, kau perlu kuat demi anak yang bakal lahir, kau jangan risau, aku akan sentiasa ada untuk membantu kau.”
“Terima kasih, Su. Kaulah sahabat aku dunia dan akhirat,” Nur mula menyapu sisa-sia air matanya.
“Terima kasih doktor , kalau tak ada apa-apa lagi kami beredar dulu, untuk ke balai polis yang berhampiran,” ucap Suriani sebaik saja memegang tangan Nur untuk mengajaknya beredar.
“Okay, baguslah tu , kalau awak ada apa-apa masalah jangan segan-segan hubungi saya.”
“Baik doktor, saya ingat pesan doktor.Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!”
No comments:
Post a Comment