NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, November 5, 2011

persis bidadari syurga bab 13


BAB 13

Angin senja yang berhembus menderu-deru membelai wajah Nur yang sedang duduk dibangku panjang di bawah pokok tembusu. Memang Nur suka datang ke padang tersebut,menghabiskan masa petangnya dengan melihat kanak-kanak bermain di taman permainan, melihat orang bermain layang-layang dan berjogging.

Semilir angin berhembus nyaman, membawa semerbak wangian bunga tembusu yang sedang berbunga lebat,menyucuk hidung, segar dan nyaman. Ada segugus rindu yang hadir dalam hati bila tercium bauan bunga tembusu,mengimbas kenangan pada masa nan lalu. Rindu pada kampung halaman,pada mak ayah dan adik-adik, serta rindu pada kenangan lama , bercinta dengan Zarif dibawah pokok tembusu di tepi pantai.

Bila saja angin berhembus bunga-bunga tembusu yang berwarna kuning jatuh berguguran di atas kepala bersama wangian cinta yang kian hangat dan mekar .Manakala Zarif akan mengutip bunga-bunga tembusu yang memenuhi tudungnya. Pasti dia akan tersipu-sipu malu bila diperlakukan demikian.

“Nur, bagaimana dengan pelajaran sekarang?”

“Baik , setakat ini tak adalah pula yang Nur tak faham dan tertinggal pelajarannya.”

“Baguslah kalau macam tu,sebab pelajaran tu penting sangat.”

“Nur tahu, dengan pelajaranlah Nur dapat merubah masa depan keluarga Nur. Nur berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Sampai Nur berjaya.” Zarif tersenyum senang, senyuman anak muda itulah yang Nur tidak pernah lupa, yang membuatkan Nur belajar siang dan malam. Nur ingin berjaya seperti Zarif yang mendapat 11 A dalam SPM nya yang lepas dan sekarang Zarif sedang menunggu tawaran JPA untuk buat medic di luar negara.

“Nur, janji dengan Zarif yang Nur akan belajar bersungguh-sungguh dalam PMR nanti, bila dapat keputusan cemerlang Nur bolehlah minta mana-mana sekolah berasrama penuh. Sebab sekolah berasrama lebih baik dan sistematik waktu dan cara belajarnya.”

“Betul tu, kalau kat rumah Nur selalu habiskan masa dengan menolong ayah dan mak menjemur ikan masin. Banyak waktu belajar Nur terbuang disitu, tapi Nur tak kisah,asalkan Nur dapat membantu keluarga, Nur bahagia.” Nur membuang senyumnya ke laut, tak berani dia menatap wajah Zarif, takut hati kian terpaut. Zarif adalah abang angkatnya. Kenapa Zarif ingin mengambil dia sebagai adik angkat pun dia tidak tahu. Pada Nur dia tak layak untuk menjadi adik angkat kepada sesiapa pun, dia sedar siapa dirinya, anak seorang nelayan,yang kehadirannya umpama melukut ditepi gantang. Tapi Zarif tak pernah menganggapnya demikian, malah Zarif selalu membantunya terutama dalam pelajaran.

“Janji ya Nur, Nur akan belajar bersungguh-sungguh, walaupun nanti Zarif dah tak ada kat sini.”

“Baik Tuan Doktor! Nur akan ingat selalu pesanan Tuan Doktor .”

“Oh…dah pandai memperli kita ya,” Zarif cuba memicit hidung Nur, tapi Nur sempat mengelak, tak elok sekiranya ada yang memandang.

“Bila Zarif nak berangkat ke Russia?”

“Lambat lagi, tapi sebelum itu Zarif kena masuk kelas persediaan untuk ke sana buat beberapa bulan. So, tak dapatlah Nur jumpa Zarif lagi. Tapi Nur jangan risau Zarif akan hantar SMS selalu, untuk hilangkan rindu Nur.”

“Eh…siapa yang rindu? Kita ni budak sekolah lagi tau, mana boleh rindu-rindu, nanti periksa tak pas,” Nur mengejek sambil ketawa. Zarif hanya menyengih.

“Satu lagi pesanan Zarif ,jangan main cinta dengan sesiapa tau.”

“Ya Allah, siapalah yang nakkan Nur ni, Zarif jangan risaulah tak ada sesiapa pun yang nakkan Nur ni, gadis yang berlemuih dengan ikan masin. Lagi pun Nur nak buru cita-cita Nur dulu, lepas tu baru boleh fikir pasal cinta.”

“Bagus, belajarlah sehingga cita-cita Nur tercapai. Zarif sentiasa menyokong apa yang Nur lakukan. Hah…buku-buku rujukan dah cukup ke? Kalau tak cukup bagi tahu pada Zarif, boleh Zarif belikan.”

“Dah lebih dari cukup sebenarnya. Banyak sangat buku yang Zarif bagi, sampai tak terbaca . Walau apa pun Nur nak ucapkan berbanyak-banyak terima kasih pada Zarif kerana telah memberi buku-buku ini pada Nur. Tak terbalas rasanya jasa Zarif.”

“Sudahlah Nur, jangan fikirkan benda-benda seperti itu. Zarif lakukan kerana ALLAH.Tak terlintas pun nak minta balasan.”

“Terima kasih Zarif, untung Zarif di lahirkan dalam keluarga kaya, taklah hidup susah macam Nur ni.”

“Eh…Nur tak baik cakap macam itu, setiap orang ada kelebihannya sendiri .Apa yang penting sekarang Nur belajar bersungguh-sungguh sampai berjaya dan perlu Nur tahu Zarif sayangkan Nur.” Nur menjeling malu bila si jejaka meluahkan kata sayang padanya dan jejaka itu pula bukan calang-calang orang . Jejaka rebutan para pelajar perempuan sekolah mereka.

Daun-daun tembusu pun berguguran bersama wangian bunga tembusu yang semerbak. Sehelai daun kering jatuh ke atas buku yang sedang dibacanya dan lamunan yang panjang pun terputus. Ah...! Hidup ini memang tak seindah impian, tak seperti yang diharapkan. Nur menghela keluhan beratnya ke padang permainan,ramai kanak-kanak yang sedang bermain dan berkejar-kejaran . Alangkah seronoknya mereka, hidup tanpa masalah.Alangkah bertuahnya mereka, riang-ria bersama ibu bapa. Nur menggosok-gosok perutnya yang baru berusia 10 minggu,bermakna masih ada 30 minggu lagi yang dia perlu tunggu. Apakah nasib anaknya nanti dia tidak tahu, hatinya menjadi resah tiba-tiba mengenangkan masa depan mereka yang masih berbalam-balam.

Jenuh Nur merenung kehadapan ,dia mengalihkan pula pandangannya ke kanan, tiba-tiba dia terlihat lelaki tersebut, lelaki yang sering dia lihat bersendirian di padang permainan kanak-kanak, lelaki yang sering membawa gambar budak perempuan bersamanya. Lelaki itu sering bercakap sendirian, kadang-kadang menangis dan ada ketikanya mencium-cium gambar yang dibawanya. Pakaian lelaki tersebut tak kumal, malah bersih, cuma wajahnya sudah dipenuhi dengan jambang liar dan rambut yang panjang. Mungkin lelaki itu masih siuman, tapi agak tertekan dan mengalami penderitaan yang agak hebat. Ah…! Begitulah hidup ini. Kalau kita merasakan hidup kita susah dan sengsara, pasti masih ada orang yang lebih teruk dari kita.Jadi terimalah hidup ini seadanya.

Ralit Nur merenung ke arah lelaki malang itu. Lelaki tersebut mengusap-ngusap gambar yang berbingkai itu. Kemudian dia menciumnya dengan setulus hati. Runtun hati Nur melihatnya, agaknya itu kah kasih seorang bapa yang kehilangan anaknya, kasih dan sayang tak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit. Kasih yang abadi bawa ke mati. Tiba-tiba tanpa disangka lelaki tersebut menoleh ke arah Nur, pandangan mereka bersatu, kemudian Nur menoleh ke arah lain, segan mempamerkan matanya yang berkaca tanda simpati. Mungkin lelaki itu merasa hairan melihat matanya berkaca .Hanya orang yang pernah mengalami penderitaan saja dapat memahami penderitaan orang lain, walaupun tanpa bicara.

No comments:

Post a Comment