BAB 6
“PAK SU, apa mimpi kita datang makan kat sini?” Amir
melihat di sekeliling ruang restoran yang agak mewah. Ramai pengunjungnya yang
sedang menghadapi dan menikmati hidangan.
“Kenapa, kena tunggu mimpi dulu ke baru boleh datang
makan?” Mengatalah tu… Amir ketawa.
“Taklah pula macam tu, selalunya pak su tu Encik Krabs si tangkai jering dalam SpongeBob SquarePants, tiba-tiba saja
hari ini nak belanja. Ada apa-apa ke pak su?”
“Hai tak sedar diri betullah kamu ni, selama ni siapa
yang dok belanja kamu?” Kuat Amir ketawa
melihat pak sunya naik angin bila dikata dengan gelaran Encik Krabs.
“Alah kat warung tepi jalan tu biasalah. Maksud saya
makan kat tempat mahal macam ni. Dah buang tabiat ke pak su?”
“Mulut kamu ni laser
betul ya. Karang tak pasal-pasal pak su cancel baru tau. Balik dengan perut kosong, kau nak?”
“Eh, tak naklah… okey Amir minta maaf, tapi pak su kena cakap,
kita makan kat sini ni, sempena apa?”
“Tak ada apalah, cuma nak raikan harijadi pak su yang 35
tahun saja.” Amir menatap wajah pak
sunya yang kacak itu.
“Kasihan pak su. Sepatutnya hari istimewa macam ni
diraikan bersama dengan orang-orang
tersayang, tapi nak buat macam mana. Anak tak ada, isteri tak ada, girlfriend pun tak ada. Ish…ish….
kasihan sungguh.”
“Oii… sedap kau mengata pak su, habis kau ada ke?”
“Saya tak kisah, saya muda lagi. Buat apa nak
tergesa-gesa. Sekarang ni masa untuk membina kerjaya.”
“Kerjaya apa! Kerjaya apa yang kau nak bina kalau setakat
kerja sebagai mekanik. Cuba cerita! Pak su nasihatkan kau pergilah cari kerja
lain yang lebih sesuai dengan kau, lagipun kau ada Diploma Pengurusan Pejabat.
Bolehlah kau kerja kat pejabat, amacam!” Amir hanya menyengih sambil
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Inilah cara pemikiran masyarakat kita, selalu memandang
apa yang ada di hadapan, yang menjanjikan bahagia yang tak berkepastian, tapi
tak pernah menilai apa yang ada di sebalik apa yang ada di depan mata.”
“Eh, tak payah nak berfalsafah, pening kepala pak su.”
“Falsafah apanya! Pak su ingat bagus sangat sijil diploma
tu? Setakat buat bungkus goreng pisang bolehlah. Kalau pak su nak tahu,
beribu-ribu lagi graduan yang keluar universiti masih dok menganggur, inikan
pula setakat diploma. Kalau setakat nak cari makan tak payah susah-susah masuk
universiti. Tengok pak su sudahlah… tak masuk universiti pun duit berkepok
juga.
“Yalah sebab pak su usaha gigih dan kerja kuat.”
“Ha… saya ni nak jadi macam pak sulah. Kerja tak glamor, tapi
duitnya yang glamor.”
“Kau nak kekal jadi mekanik?” bulat mata Halim bertanya pada anak buah yang
seorang ni, rasa tak masuk akal saja. Budak ni memang haru-biru betul.
“Yalah, kenapa tak boleh pula. Kalau pak su boleh, saya
pun boleh.”
“Aduh pening kepala aku. Apa pak su nak cakap dengan mak
kau?” Amir ketawa geli hati melihat pak sunya yang menepuk kepala.
“Hello… nak makan ke, nak bersembang?” Amir bertanya.
“Kamu ni kalau pasal makan selalunya tak menyempat.
Jomlah!” Mereka berdua beredar melihat juadah yang sememang tersedia di tempatnya.
“Macam mana nak makan?”
“Hai takkan pakai kaki kut?”
“Hiss… pak su ni, orang tahulah, maksudnya macam mana
cara nak makan, kena hidang ke atau order
ke?”
“Hai takkan kau tak nampak kat depan tu sebesar talam ada
poster mengatakan restoran menyediakan
hidangan buffet.”
“Tak perasan pun.”
“Itu tandanya kamu tu lapar sangat.” Amir marah bila
disindir lalu dia menghempuk bahu pak sunya.
“Eh, tunggu! Tunggu! Jangan ambil makanan dulu!” Tiba-tiba Amir melarang Halim mengambil
makanan.
“Kenapa?”
“Kenapa kat restoran ni ramai sangat orang Cina dan orang
Korea? Halal ke tak restoran ni?” Amir mula bertanya cuak bila melihat
pekerja-pekerja bangsa asing lebih ramai dari bangsa Melayu.
“Mestilah halal, kamu tengok tu ramai orang Islam yang
makan.”
“Memanglah mereka tu Islam, tapi belum tentu mereka
prihatin dan sensitif terhadap apa yang mereka telan. Nanti sekejap saya nak
pergi depan, nak tengok ada logo halal ke tidak.” Sepantas kilat Amir berlari
keluar dan selaju angin dia datang kembali mengadap Halim yang sedang menanti.
“Pak su, jomlah makan tempat lain. Restoran ni tak ada
pun tanda halal.”
“Takkan tak halal, tu ramai orang yang bertudung sedang
makan.” Amir senyum sinis sebaik saja mereka beredar dari situ.
“Itu satu penyakit masyarakat kita, makan main ikut
sental saja, rasa nak makan telan saja, tak kira yang halal atau yang haram.
Makanan yang haram ni bukan semestinya kita dihidang dengan daging khinzir or babi baru nak kira haram, tapi
perkara-perkara yang syubahah dalam makanan itu pun mesti diambil kira juga.”
“Tapi kita bukanya nak makan benda yang berdaging. Kita
nak makan seafood saja, itu pun tak
boleh?”
“Tak boleh pak su, walaupun kita tak makan benda yang
berdaging, tapi bahan-bahan perapan, sos, periuk belanga dan sebagainya masih
tidak halal. Rasulullah ada bersabda; Setiap daging yang tumbuh dari benda yang
haram, maka nerakalah tempat yang paling utama baginya.”
“Kau ni cerewet macam mak kau juga. Itu tak boleh ini tak
boleh,” marah Halim, tapi Amir ketawa.
“Ha…ha… tak baik mengutuk kakak sendiri,” usik Amir, dan
Halim ketawa.
“Kalau dah perangai kau sebiji macam mak kau, kira
nasiblah bila kena kutuk.”
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Dalam bab
boleh tak boleh ni bukan manusia yang menetapkan, tapi ianya ketetapan agama
dan kita wajib mengikutinya, bak kata ulama, Ittibaq… ikut! Jangan banyak soal.”
“Pandai pula kau cakap agama sekarang. Pak su rasa macam
sedang bercakap dengan seorang Ilmuan Islam.” Amir ketawa mengekek dengan
sindiran pak sunya, ialah cakap agama, tapi dia sendiri dok macam tu juga, tak
ada perubahan pun.
“Itulah pak su, selalu menilai saya melalui luaran. Cuba
pak su nilai saya dari aspek dalaman, pasti pak su akan nampak betapa baiknya
saya dan betapa indahnya peribadi saya, hi…hi…hi…”
“Hmmm… yalah tu, berubah tak juga.”
“Perlahan-lahanlah, sebab kalau berubah mesti kerana
ALLAH.”
“Kita ni nak makan kat mana? Jalan punyalah jauh.” Halim
bertanya.
“Alah, tak ada maknanya jauh, kita ni masih lagi dalam
One Utama Shopping Complex. Depan tu ada Restoran Teh Tarik Place. Kita makan
mee goreng mamak, lagi sedap dan dah tentu halal. Hari ini kira Amir belanja
pak sulah sebab meraikan harijadi bos yang bujang terlajak-lajak ni.” Marah
Halim bila diperli dan dia cuba untuk menyekeh kepala Amir tapi Amir sempat
mengelak.
Sampai saja di hadapan Restoran Teh Tarik Place, Amir
dapati ramai pengunjung sedang menikmati juadah, maklumlah lunch time .
Masing-masing dah lapar. Amir dan Halim masuk ke dalam restoran tersebut,
tiba-tiba mereka disapa dengan ramah. Mak!!! Amir menjerit kuat, tapi nasib
baik hanya dalam hati. Bukan main terkejut lagi dia bila tiba-tiba saja Ariel
berada di depan mata.
“Assalamualaikum Encik Halim dan Amir. Tak sangka kita
jumpa kat sini.” Mak aii… ramahnya mamat
ni. Amir hanya senyum dan mengangguk. Penyakit bisunya segera timbul, nasib
baiklah dia ingat yang dia ni bisu. Kalaulah dia terlepas cakap, tak ke naya
dibuatnya.
“Encik Ariel buat apa kat sini?” Halim juga bertanya ramah.
Lebar senyuman Halim, entah apa maksudnya.
“Oh, saya datang shopping
sikit. Dah tu rasa lapar pula singgahlah kat sini untuk makan.”
“Kami pun nak lunch
juga.” Halim membuka laluan, tapi lengannya disiku oleh Amir tanda minta
beredar dari situ, namun Halim buat bodoh saja. Yalah… mentang-mentang aku dah
bisu.
“Elok sangatlah tu, saya pun tak ada teman. Okey untuk
hari ini saya belanja.” Oh suka sangatlah Encik Krabs tu dengar perkataan belanja. Eh… kita pun boleh belanja pak
su kita. Marah sangat Amir dengan
pak sunya, tapi dalam hati saja dan dia
terpaksa berlagak cool.
Amir benar-benar tidak selesa dengan keadaan seperti ini.
Makanan yang sedap di hadapannya terasa tawar aje, tak mampu untuk dia menyuap
ke mulut. Seleranya menjadi mati tiba-tiba, sedangkan tadi perutnya bukan main berkeroncong
minta diisi.
“Kenapa tak makan? Tak sedap ke? Selalunya kau yang suka
mee goreng mamak.” Halim bertanya Amir yang sedang menguis mee dalam
pinggannya. Amir hanya mengangkat bahu.
“Apa yang kau cari dalam mee goreng tu? Ada batu permata
ke?”
Halim menyindir sambil ketawa
dan Ariel juga ketawa. Sakit hati Amir namun dia hanya mampu menoleh ke arah
pak sunya saja kerana kehebatan
menjawabnya sudah hilang.
“Cuba kau tanggalkan topi dan cermin mata hitam kau tu,
tak adalah kau nampak mee tu warna hitam legam sampai kau tak berani nak
makan.” Halim menarik topi Amir, tapi Amir sempat memukul tangan paksunya.
Halim dan Ariel ketawa dengan gelagat spontan Amir. Merah muka Amir, malu
bercampur marah, lalu dipanjangkan kakinya dan dihayunkan ke depan. Nah
rasakan… Amir menyepak kaki Halim.
“Aduh!” Ariel mengadu. Bulat mata Amir. Mak… tersalah
sepak. Ketawa Halim bertambah kuat bila muka Amir sudah berwarna kelabu. Tahu
malu!
“Lebih baik kau makan daripada duk menyepak orang. Kau tu
kaki bangku, mana reti nak menyepak. Sepak bola pun tak bergerak, inikan pula
nak sepak orang.” Ketawa Halim dan Ariel belum habis menyebabkan wajah Amir
mula cemberut. Kurang asam punya pak sedara…
No comments:
Post a Comment