NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, September 27, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 7


                                           BAB 7

        SURIA terlompat-lompat kegembiraan sebaik saja papanya, Johari memasuki dan memberhentikan Mercs putihnya di halaman banglo mewah Dato’ Marzuki yang luas. Salah satu di antara tempat yang paling Suria suka kunjungi adalah di sini, dan bila sudah bertandang alamatnya cukup susah untuk diajak pulang.
        Di hadapan pintu, seorang perempuan pertengahan usia berdiri tegak dengan senyuman menyambut kedatangan anak menantu yang disayangi. Belum luas Johari membuka pintu keretanya, anak kecil itu terus melompat keluar tanpa perlu menunggu arahan, lantas berlari untuk mendapatkan neneknya.
        “Nenek!” Suria melaung sambil berlari dan tangannya didepakan. Bersedia untuk memeluk nenek kesayangannya yang sudah agak lama tidak ditemui. Johari tersenyum bahagia melihat kelincahan dan keriangan Suria.
        “Mama apa khabar?” tanya Johari sebaik saja bersalaman dan mencium tangan ibu mertuanya.
        “Baik… Alhamdulillah. Joe sihat?”
        “Alhamdulillah. Papa macam mana?”
        “Adalah sihat sikit. Masuklah, nanti mama panggilkan papa.” Datin Amni mempelawa.
        “Terima kasih,” kata Joe.
        “Harlina mana, tak ikut?” Datin Amni bertanyakan tentang anak perempuannya.
        “Macam biasalah mama, tiap kali hujung minggu, ada saja hal dan program luarnya,” adu Johari.
        “Apa yang dia buat?” tanya Datin Amni seakan marah. Hatinya memang bengkak dengan perangai Harlina yang entah apa-apa. Walaupun hanya seorang itu sajalah anak perempuan yang dia ada, tapi itulah juga anak yang tak henti-henti memberi masalah pada dia dan keluarga, dari zaman remaja sampailah sekarang, walaupun dah bergelar ibu. Entah apalah nak jadi dengan anak-anaknya, terutamanya yang sorang ni, dia pun tak tahu. Datin Amni menghela nafas yang berat.
        “Sunyi aje rumah, mana budak-budak?” tanya Johari buat merubah topik.
        “Mereka semua keluar shopping, sekejap lagi baliklah tu,” jawab Datin Amni ramah.
        “Joe duduk dulu ya, nanti mama panggilkan papa. Dia dalam bilik, sedang berehatlah agaknya tu. Jom Ria, kita panggil atok,” ajak Datin Amni.
        “Baiklah!” Johari mengangguk sambil matanya dihantarkan ke arah ibu mertuanya yang sedang berpimpin tangan dengan Suria menuju ke tingkat atas.
        Sebentar kemudian Mak Mah datang bersama dua gelas minuman untuk tetamunya.
        “Mak Mah apa khabar?” lembut Johari bertanya.
        “Alhamdulillah, Mak Mah sihat. Lama Joe tak datang. Rindu pulak Mak Mah pada kau orang dua beranak,” adu Mak Mah, orang gaji yang begitu setia dengan keluarga Datuk Marzuki. Lamanya dia mencurahkan khidmat, dari muda hinggalah ke sekarang ini.
        “Maaflah Mak Mah, Joe sibuk sangat sekarang. Mak Mah masak apa hari ini?” Johari bertanya ramah.
        “Kebetulan hari ini Mak Mah masak, masak lemak ikan kembung dengan belimbing buluh, tempe goreng sambal dan sambal belacan dengan ulam-ulam kampung sikit,” cerita Mak Mah, membuat Johari menelan air liur. Seakan terasa kesedapan masakan Mak Mah yang pernah dia rasai.
        “Sedapnya Mak Mah. Lama dah Joe tak rasa masakan Mak Mah. Rindu beno rasanya.” Luahan Johari membuatkan Mak Mah sedih dan terkilan.
        “Yalah… Joe pun jarang datang. Kalau datang pun sekejap-sekejap aje. Tak pernah nak lama, apalagi nak bersembang riuh rendah macam dulu,” rungut Mak Mah menyambung sedih.
        “Bukannya Joe tak nak Mak Mah, tapi keadaan tak mengizinkan. Segalanya dah berubah. Kalaulah boleh diputarkan masa ini ke belakang, Joe tak nak kehidupan yang ada sekarang. Biarlah Joe jadi orang biasa saja, dan kalau jadi kuli papa pun Joe sanggup.” Johari meluahkan rasa di hati.
        “Habis, Joe menyesal?” tanya Mak Mah.
        “Entahlah Mak Mah. Kalau nak kata menyesal pun tak boleh, sebab semuanya adalah ketentuan ALLAH, dan DIA yang telah mengatur setiap gerak kehidupan kita ini. Satu lagi, kalau saya menyesal maka tak wujudlah Suria dalam hidup saya ini. Sedangkan Suria itu umpama cahaya yang telah menyinari hidup saya yang sekian lama suram,” luah Johari lagi.
        “Sabarlah Joe, mungkin suatu hari Joe akan bertemu dengan kebahagiaan yang sejati. ALLAH itu Maha Adil. Sabar banyak-banyak dan berdoalah selalu,” nasihat Mak Mah pada Johari, seumpama dia sedang memujuk dan menasihati anaknya sendiri. Memang kasihnya pada Johari sangat mendalam. Sejak dari Johari berumur sepuluh tahun hinggalah sekarang, iaitu semenjak Johari dibawa masuk oleh datuk dan datin ke rumah ini, dan menjadikannya sebagai anak angkat mereka, dia mendidik Johari bagaikan mengajar anak kandungnya sendiri.
        “Nah, minum dulu Joe.” Mak Mah menghulurkan jus campuran fresh oren dan strawberi kegemaran Johari sejak kecil.
        “Minuman yang saya suka?” Johari bertanya gembira. Bahagianya dia bila Mak Mah masih mengingati setiap apa yang dia suka.
        “Ya, masakan seorang ibu boleh lupa kegemaran anaknya?” Berkaca mata Johari sebaik saja mendengar ucapan Mak Mah yang membuatkan dia sebak. Ya, memang Mak Mah seperti ibu baginya. Segala suka dukanya sering dikongsi bersama Mak Mah. Kalau dia menangis, Mak Mah juga akan menangis, lantas akan memujuknya. Kalau dia ketawa riang, Mak Mah juga turut gembira dan berasa bahagia.
        “Minumlah, Mak Mah nak sambung masak, karang kita makan tengahari sama-sama ya,” pelawa Mak Mah. Johari mengangguk sambil tersenyum.
        Sedang asyik Johari membaca Sinar Harian, riuh suara mulut becok Suria kedengaran. Johari menoleh.
        “Suria, kenapa minta atok dukung. Atok, kan tak sihat?” Johari menegur anak kecilnya yang sedang bergelak ketawa dalam dukungan atoknya. Manakala nenek, Datin Amni mengekor dari belakang.
        “Tak mengapalah Joe, papa pun dah sihat sikit ni. Ini kira riadah juga,” jawab Datuk Marzuki dengan ketawa bila cucu kesayangan memeluk tengkuk dan mencium pipinya berkali-kali. Ah… Suria memang begitu. Mudah mesra dan amat menyayangi orang di sekelilingnya. Suria tetap buah hati papa yang suci, biar beribu kali orang mengeji. She’s my Hummingbird.
        “Macam mana kesihatan papa sekarang?” Johari bertanya sebaik saja habis bersalaman.
        “Adalah kurang sikit, tapi doktor kata papa kena banyak berehat. Doktor tak bagi papa buat kerja teruk-teruk macam dulu lagi. Inilah perkara yang papa nak bincangkan dengan Joe.” Datuk Marzuki merenung ke arah anak angkat yang juga menantu kesayangannya.
        “Ada apa, papa ada masalah ke?”
        “Joe, papa bercadang nak serahkan saja Syarikat Megah Maju tu pada Joe, dan lantik Joe jadi CEOnya. Kira syarikat itu milik penuh Joe. Apa pendapat Joe?” tanya Datuk Marzuki.
        “Hish… apa ni papa? Joe tak ndak. Joe setuju pegang jawatan ni sekarang pun, untuk sementara waktu saja, ganti papa yang tak sihat. Siang malam Joe berdoa semoga papa cepat sembuh dan boleh kembali ke pejabat. Joe tak nak itu semua, Joe hanya nak bantu papa,” akui Johari tentang niat hatinya.
        “Bolehlah Joe, Joe bukannya orang lain, anak menantu papa juga, kan! Kalau Joe terima pemberian papa tu bermakna Joe telah membantu papa. Siapa lagi yang nak papa harapkan?” Datuk Marzuki masih memujuk.
        “Abang Hardy, kan ada. Papa bagilah syarikat tu pada dia. Biar dia teraju Syarikat Megah Maju tu.” Johari menolak, memang dia tak ingin apa-apa harta pun dari Datuk Marzuki. Cukuplah kasih sayang yang papa dan mama telah berikan selama ini.
        “Joe bukannya tak tahu perangai Hardy, kan? Kalau papa serahkan Syarikat Megah Maju tu pada dia, alamatnya ranap, habis lingkuplah segala usaha papa selama ini.” Datuk Marzuki dapat membaca apa yang tertera dalam kepala anak angkatnya.
        “Tapi papa, Abang Hardy tulah yang paling layak. Dia, kan anak kandung papa. Saya ni hanya anak angkat aje, kalau dari sudut pembahagian faraid pun, saya tak layak, dan tak patut dapat apa-apa. Itu realitinya,” tegas Johari.
        “Papa tahu itu semua, sebab itulah papa nak bagi siap-siap, agar kalau papa dah tak ada nanti, nasib Joe dan Suria taklah terkontang-kanting. Tentang Hardy dan Harlina tu, Joe jangan risau, mereka dah ada bahagian masing-masing. Joe terimalah hadiah dari papa,” terang Datuk Marzuki. Johari termenung.
        “Papa, janganlah buat Joe serba salah.” Johari merayu lemah.
        “Joe juga, janganlah buat papa serba salah. Selama ini papa dah cukup rasa bersalah pada Joe. Papa telah memusnahkan kebahagiaan Joe. Papa tahu Joe terpaksa mengahwini Harlina atas permintaan papa. Papa menyesal sangat kerana telah menyusahkan Joe,” luah Datuk Marzuki.
        “Papa jangan nak ungkit lagi, benda dah lama berlalu. Semua ini terjadi pun atas kehendak ALLAH jua, papa tak perlu rasa menyesal. Joe bahagia dengan adanya Suria.”
        “Tak… papa tahu, Joe tak bahagia. Joe tak pernah mencintai Harlina, dan Harlina juga tidak menghormati Joe sebagai seorang suami.” Sugul sungguh wajah Datuk Marzuki, sesungguhnya dia dapat rasakan apa yang dialami oleh menantunya.
        “Papa sudahlah! Jangan fikirkan sangat tentang rumah tangga kami. Insya-ALLAH kami akan dapat melaluinya dengan baik. Cuma beri kami masa.” Johari tidak bercadang untuk membincangkan masalah rumah tangganya dengan orang lain. Cukup hanya dia dan ALLAH saja yang tahu akan kepincangannya. Dia tidak perlu membebani mama dan papa dalam soal ini.
        “Joe, mama tak menyokong, menghalang atau menyuruh. Kalau Joe ada rasa teringin nak berkahwin satu lagi, teruskanlah hajat itu. Mama dan papa merestuinya,” sampuk Datin Amni yang sekian lama menjadi pendengar dalam perbincangan itu.
        “Mama, seorang pun Joe tak mampu nak didik dan ajar. Inikan, dua. Boleh mati berdiri tau tak ma.” Johari cuba buat lawak, kemudian tertawa sendiri. Tak terfikir pun selama ini dia nak tambah cawangan.
        “Mama tahu, Harlina tu banyak kekurangannya. Dia bukanlah isteri yang baik, dan tak pernah membahagiakan Joe, malah menambah dan membebankan Joe dengan masalahnya adalah. Mama malu sangat sebab menjadi ibu yang gagal dalam mendidik anak-anak,” suara Datin Amni terputus, ada kesedihan yang perlu diberi laluan, lalu air mata yang bergenang sedari tadi, menitik perlahan.
        “Mama kita tak payah sembang pasal ni lagi okey?” sekali lagi Johari cuba mematikan isu.
        “Joe, seandainya suatu hari nanti Joe ada seseorang yang berkenan di hati, bawalah dia jumpa mama, kami akan merestuinya,” pinta Datin Amni sungguh-sungguh. Johari hanya mengangguk untuk menyudahkan perbincangan yang tak masuk akal kudupnya. Aduh! beratnya…
        “Oh, patuhlah rumah ini rasa panas dan berbahang saja bila masuk tadi, rupa-rupanya ada anak haram kat sini.” Kuat suara yang memerli datang dengan tiba-tiba dari belakang menerjah masuk ke lubang telinga, bisa memecah gegendang dan menghancurkan hati Johari. Tak perlu Johari menoleh untuk melihat siapa yang bercakap, dia sudah tahu orangnya. Johari melihat ke arah anaknya yang sedang ralit bermain di riba datuknya. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu, sedih dan terasing.
        “Apa masalah kamu sebenarnya Hardy. Kenapa kau marah sangat dengan Joe dan Suria?” tengking Datin Amni kepada anak sulungnya yang baru balik dari membeli-belah bersama keluarganya. Manakala anak-anak Hardy, Hani dan Aiman berlari ke arah datuknya untuk mendapatkan Suria yang berada di ribaan bagi diajak bermain bersama-sama.
        “Heh, budak-budak, jangan kau orang bermain dengan anak haram tu!” melengking marah Hardy pada anak-anaknya. Terhenti larian Hani dan Aiman. Selalunya itulah perkataan yang sering Hardy jeritkan untuk melarang anak-anaknya bermain dengan Suria. Anak-anak yang ketakutan itu akan terundur ke belakang, berlindung di balik ibunya Siti Anisa, bagi mematuhi perintah ayahnya, tapi jika sekira ayah mereka tiada di rumah, mereka bertiga akan bermain sampai penat dengan penuh ceria dan bahagia.
        “Jaga mulut kau Hardy! Mama tak suka kau cakap macam tu pada cucu mama,” menyinga marah Datin Amni. Suria yang berada di ribaan juga terkejut, kemudian mata bulat miliknya merenung ke arah wajah nenek yang sedang berapi.
        “Dah kenyataannya macam tu, macamlah mama tak tahu. Anak dan bapa sama-sama anak haram,” ejek Hardy yang belum puas memuntahkan kebenciannya.
        “Tutup mulut kau Hardy!!!” Datin Amni menjerit lagi. Hatinya cukup sakit dengan kutukan dari Hardy.
        “Kenapa mama tak nak terima hakikat yang dua orang manusia tak berguna ini telah menghancurkan hubungan kita anak-beranak?” suara Hardy juga tinggi bila kemarahan sudah menguasai perasaan.
        “Apa yang kau marah sangat pada Suria dan Joe? Mereka tak pernah pun menyusah dan menyakiti hati kau?” giliran Datuk Marzuki pula yang marah.
        “Aku marah sebab dua ekor anak haram ni telah merampas hak aku. Papa dan mama lebih sayangkan si keparat yang pernah merempat ni daripada anak kandung sendiri. Papa serahkan Syarikat Megah Maju pada bedebah ni. Apa yang aku dapat?” Mengamuk giler Hardy bila melibatkan isu pengagihan harta.
        “Abang, boleh kutuk saya macam-macam, tapi tolonglah jangan kutuk anak saya. Dia tak tahu apa-apa, dan dia tetap anak yang suci,” pinta Johari.
        “Hahaha… lalala… sucilah sangat,” ejekan kuat dengan ketawa yang menyakitkan hati dari Hardy.
        “Knock it off. Diam kau Hardy!!!” marah Datuk Marzuki dengan penuh emosi.Tiba-tiba dada Datuk Marzuki kembali berdenyut dan diserang. Tangannya diletakkan ke dada.
        “Papa okey ke?” tanya Johari risau. Datuk Marzuki mengangguk kemudian dia menjawab, ‘papa perlu berehat’.
        “Yalah, Joe juga perlu beredar dari sini,” kata Johari.
        “Elok sangatlah kau bawa keluar anak haram kau tu, sebelum rumah ni penuh dengan bahang panas,” mulut celaka Hardy terus-terusan merobek perasaan Johari, dari dulu hinggalah sekarang, mulut limbah itu tidak pernah berhenti memaki-hamun dirinya. Johari merenung tajam ke arah Hardy, kalau tidak difikir dan dikenangkan segala jasa dan kebaikan papa dan mama, ingin saja dia membelasah Hardy sampai lembik dan sampai lunyai. Biar mulut longkang itu pecah robek hingga tak mampu berkata-kata lagi. Tapi kena bawak bertenang banyak-banyak, nabi pun ada beritahu, ‘sesungguhnya orang yang bersabar, dapat menahan marahnya apabila menerima provokasi, adalah orang yang paling kuat’. Jadi, teringatkan akan nasihat itu, pendekatan yang terbaik ialah bersabar selagi mampu.
        “Mama, papa Joe balik dulu. Assalamualaikum!” ucap Johari sambil mencempung Suria yang berada di sisinya dan terus berlalu pergi. Suria yang tidak tahu apa-apa mula merenget kerana tidak puas bermain dan bermanja dengan datuk dan neneknya.
        Bila Johari mula menggerakkan keretanya, dia nampak dari cermin pandang belakang, Mak Mah berlari mengejarnya bersama ‘siya’ bekas makanan bertingkat di tangan. Pasti itu masak lemak ikan kembung dan belimbing buluh yang hendak diberikan padanya. Johari menjadi bertambah sedih melihat Mak Mah menangis bila dia terus meninggalkan perkarangan rumah Datuk Marzuki. Hatinya cukup terguris dan terluka, harap-harap Mak Mah faham dengan situasi yang mencengkam ini.



















No comments:

Post a Comment