BAB 15
KASDINA
Alya meneruskan kerjanya tanpa mempedulikan sesiapa. Targetnya satu saja, habis
saja kerja dia perlu beredar dari sini. Rasa malu yang tersimbah di mukanya
pagi tadi, belum lagi luntur. Sekejap lagi waktu dutynya akan habis.
KASDINA
Alya memerhati Azlan yang baru melangkah masuk ke ruang dapur. Langkahnya
seperti ada yang pincang. Macam orang kalah judi saja. Oppss... terlepas cakap.
Tapi perumpamaan itu kena dan tepat pada orangnya. Entahlah Abang Lan ni, bila
nak berubah pun tak tahulah... Kasdina Alya merungut dalam hati. Hmm... tadi
bercadang tak nak pedulikan sesiapa pun, tapi bila tengok kawan dah macam ayam
berak kapur saja, taklah pula sampai hati nak buat bodoh saja. Kena juga ambil
tahu tentang masalah kawan.
Azlan memulakan tugas rutinnya, mempersiapkan
bahan-bahan yang akan digunakan untuk masakannya, tapi hanya separuh jalan
saja. Lelaki itu termenung sambil melayan perasaan.
“Abang Lan, kenapa termenung. Ada masalah
ke?” Kasdina Alya mengejutkan Azlan yang sudah hanyut entah ke mana.
“Hiss... Kas ni, buat terkejut abang
saja.”
“Mana tak terkejutnya. Jauh saja Kas
tengok abang layan perasaan. Ada apa-apa yang boleh Kas tolong ke?”
“Tak adalah Kas, abang biasa saja,” tipu
Azlan. Tapi matanya tidak menatap wajah Kasdina Alya.
“Cakaplah Abang Lan, kita nikan macam
satu keluarga. Mana yang boleh Kas tolong, Kas akan tolong.”
“Tak ada apalah Kas, abang okey.”
“Okey apa ke bendanya, kalau basuh sayur
punyalah lama. Nasib baik benda tu sayur. Kalau orang dah lama mati kesejukan.”
Kasdina Alya cuba buat lawak, Azlan hanya nyengih.
“Abang Lan kalah lagi?” terjah Kasdina
Alya.
“Bukan itu masalahnya.”
“Ha, dah tu apa bendanya?”
“Adik Abang Lan bagi tahu mak sakit nak
buat operation buang rahimnya dan dia
memerlukan duit,” bicara Azlan terhenti. Nak tak nak kena juga dia membuka
mulut. Kalau tak minah ni akan bertanya itu dan ini. Dia kenal sangat dengan
Kasdina Alya ni, pantang nampak orang ada masalah, mulalah dia nak ambil tahu.
“Jadi abang nak balik tengok mak abang?
Ha, inilah peluangnya Abang Lan balik jenguk mak abang setelah sekian lama
abang tak balik.” Belum apa-apa lagi dah nak bagi ceramah free.
“Tak, abang tak bercadang pun nak balik, cuma
nak hantar duit saja. Masalahnya abang tak ada duit sebanyak yang dikehendaki
tu.” Azlan tunduk, malunya pada Kasdina Alya bila dia terpaksa terlepas cakap.
“Berapa yang adik
abang minta?”
“Sepuluh ribu,” jawab
Azlan teragak-agak. Kasdina Alya membulatkan matanya.
“Takkanlah a couple of grand tak ada dalam tangan abang? Abang kerja
lagi lama dari Kas?” terkejut Kasdina Alya mendengarnya.
“Betul tak ada,” akui Azlan jujur
bercampur malu.
“Ini semua sebab benda tu?” tanya Kasdina Alya. Azlan hanya mengangguk.
“Ya ALLAH, inilah yang selalu Kas cakap
dan nasihati abang. Benda tu kan najis, haram dan permainan syaitan. Buat
apalah Abang Lan dok ikut tabi‘at buruk tu, kayanya tak juga, duit habis begitu
saja, tak ke sia-sia namanya tu?” Kasdina Alya mula menibai.
“Abang tahu itu semua salah, tapi abang
dah macam… erm… ketagih. Bila ada duit, nak saja pergi betting,
manalah tahu kut-kut jackpot.”
“Berapa banyak kut dah yang abang menang,
dan berapa banyak pula duit dah yang abang habis? Sampai gaji abang yang banyak
tu pun abang tak dapat nak simpan sikit, apa cerita, dan kalau abang menang
sekali pun itu duit haram, bukan boleh mentakadarah,” marah Kasdina Alya.
“Abang menyesal sekarang.” “Hmm... menyesal sekejap ini saja tak guna.
Bila dapat envelop gaji, duty tak
habis lagi, dah cabut bergegas ke premis judi seberang jalan,” bidas Kasdina
Alya yang sudah masak dengan sikap Azlan yang suka bertaruh. Maklumlah kat
negara kapiaq ni senang saja kalau nak berjudi. Takda siapa kisah. Tepuk dada, tanya
iman. Premis bettingnya
berlambak-lambak, yang nampak familiar di
setiap ceruk adalah Ladbrokes dan William HILL. Lebih kurang macam pub jugalah.
Bersepah. Tak payah pening kepala nak tengok map. Semuanya dalam jangkauan
anda. Mudah faham, macam gerai jual nasi lemak kat Malaysialah! Sebut aje, nak betting apa. Race kuda? Itu biasa le.
Malaysia dan Singapore pun bikin. Bola, rugby, tenis, golf, boxing, greyhound
atau lumba anjing. Lagi… kerabat raja nak beranak pun jadik! Sebenarnya bukan sedikit
orang yang berpenyakit macam Abang Azlan ni. Addictted! Samalah dengan yang minat ‘tonggang’. Pantang ada duit,
nak berjudi. Pantang perasan cool, ‘tonggang’.
Alangkah bodohnya mereka kerana biarkan diri ditipu oleh shayatin. Itulah ada
akai tak mahu guna.
“Okeylah, Kas boleh tolong tapi dengan
satu syarat.”
“Apa dia syaratnya, abang akan ikut.”
“Janji ya, akan ikut apa yang Kas cakap.”
Kasdina Alya menjual syarat dan Azlan mengangguk tanda setuju.
“Abang tinggalkan perangai abang yang
suka berjudi tu. Boleh?” Termenung Azlan mendengar prasyarat dari Kasdina Alya.
“Tak nak tak apa.”
“Demi mak abang, abang berjanji abang
akan berhenti dari berjudi.”
“Okey, esok abang bawa nombor akaun bank
adik abang tu serta alamatnya sekali. Biar Kas yang uruskannya. Lagi satu, cara
pembayaran baliknya ialah weekly basis,
setuju! Abang dapat gaji terus potong untuk hutang, amacam, boleh?”
“Boleh Kas, abang sanggup apa saja.
Asalkan mak abang selamat. Abang menyesal sangat sebab telah lama abai dan hampakan
harapan mak abang,” redup wajah Azlan yang betul-betul diresapi penyesalan.
“Baguslah kalau macam tu. Perkara yang
pertama sekali yang perlu abang buat ialah bertaubat kepada ALLAH dengan
sebenar-benar taubat, taubat nasuha.”
“Apa benda taubat nasuha tu?” Pelik pula
Azlan mendengarnya, macam nama orang. Manakala Kasdina Alya mengerutkan dahi kehairanan.
Takkanlah benda yang selalu disebut pun tak tahu. Waktu sekolah dulu, tak
belajar pelajaran Pendidikan Agama Islam ke bang? Atau ponteng, pergi hisap
rokok!
“Kas, kenapa tengok abang macam tu?”
Azlan menegur Kasdina Alya yang legat memerhati wajahnya tapi fikirannya ke
arah lain.
“Eh, tak ada apalah. Okey berbalik kepada
perkara tadi. Taubat nasuha ialah taubat yang sungguh-sungguh kepada ALLAH, dan
berjanji pada diri dengan seikhlas hati tidak akan mengulangi lagi perbuatan
keji yang terdahulu. Sesungguhnya ALLAH amat suka kepada hambanya yang
bertaubat dan menyucikan diri.”
“Macam abang ni, macam mana ya Kas! ALLAH
terima ke tidak taubat abang? Sebabnya abang tak pernah sembahyang, abang
berjudi, sekali-sekala abang minum juga kencing syaitan Budweiser tu. Yang paling tak patutnya, abang anak yang tak ingat
mak bapak, apalagi untuk menyenangkan hati dan mendoakan mereka. Tapi Kas, cuma
satu saja yang abang tak buat. Abang tak pernah berzina,” tanpa silu Azlan
mengaku. Alang-alang dah ada orang yang sudi berkongsi rahsia dan resah ini,
lebih baik dia luahkan segalanya. Kalau gaya hidup carefree yang dianutinya selama di London ni dia selamba saja, takkan
pengakuan tak seberapa ini, dia takut nak dedah. Apa barai! Selama ini pun
bukan tak terlintas di hatinya untuk berhenti atau kembali kepada jalan yang
benar, tapi mungkin kerana tiada sokongan dan inisiatif menyebabkan dia lambat
untuk berubah. Biasalah kan, ramainya pun 2x5 macam dia juga.
“Baguslah kalau begitu,
sekurang-kurangnya abang tidak menambah lagi satu dosa besar yang tersenarai
sebagai al-Kabaair seperti dalam
kitab Imam az-Zahabi itu. Semua yang abang sebut tadi adalah dosa-dosa besar.
Insya-ALLAH ada masa, Kas akan senaraikan yang lain, supaya boleh dijadikan
sempadan. Cara menghapuskannya senang aje bang! Caranya ialah dengan bertaubat
nasuha. Pertama, berazam untuk tidak mengulangi maksiat itu lagi. Kedua, menyesal
sungguh-sungguh hingga membawa kepada tangisan kalau boleh. Ketiga, bersegera
meninggalkan maksiat tersebut, tanpa berlengah kerana ALLAH semata-mata. Dan
sekiranya ada melibatkan manusia seperti mengambil hartanya tanpa pengetahuan, atau
mengumpat, menzalimi dan lainnya, maka hendaklah ditambah satu lagi syarat
taubat itu menjadi empat, dengan menceritakan apa yang berlaku dan memohon maaf
serta bersedia memulangkan kembali apa yang dirembat. Sesungguhnya syarat yang
melibatkan sesama manusia inilah yang amat payah untuk direalisasikan. Al-maklumlah,
mana nak letak muka yang handsome dan
comel ni, walaupun perangai macam penyamun tarbus, tak begitu bang. Walau
bagaimanapun itulah harga yang perlu dibayar, oleh itu taatlah perintah ALLAH
dengan menjauhi segala larangannya. Untuk pengetahuan abang dosa-dosa besar
atau kabaair yang dimaksudkan
semuanya akan diampun oleh ALLAH, kecuali dosa syirik. Maksudnya kita semua
masih berpeluang kembali rujuk kepada-Nya,” penuh semangat Kasdina Alya
bercakap, mirip sekali dengan program Tanyalah Ustazah.
“Abang tahu benda yang abang buat itu
dosa dan maksiat, namun begitu abang sedar dan selalu kalah dengan bisikan dan
godaan syaitan, Kas…”
“Okey, mulai hari ini abang teruskan niat
yang murni itu, jangan menoleh ke belakang lagi. Perkara yang baik tak perlu
ditangguh. Kita ni disuruh selalu bertaubat, yang belum bertaubat tu bersegeralah
melakukan dan mengingatinya setiap masa. Manalah tahu esok lusa kita diambil
oleh pemilik yang hakiki. Tup-tup dah jadi arwah. Qalu inna lillahi ilaihi rajiun.”
Tiba-tiba Anas Irfan masuk ke dapur untuk
menghantar pinggan mangkuk yang kotor. Kasdina Alya memberhentikan
perbualannya. Azlan juga begitu. Tak perlu ada siapa pun yang tahu topik
perbualan mereka. Sebarang keaiban perlu disorok, tak perlu diuar-uarkan, dan
memang kehendak agama juga begitu. Bila ALLAH menyembunyikan keaiban kita, maka
janganlah pula kita membuka pintunya dengan menceritakan keaiban sendiri di khalayak.
Apa yang perlu dan penting adalah keaiban itu dijadikan iktibar untuk masa-masa
yang mendatang. Nasib baiklah Danny belum datang, kalau tidak susah juga
Kasdina Alya boleh bersembang tentang permasalahan yang dihadapi oleh Azlan. Danny
itu pula satu hal. Pantang dapat rahsia orang, mulalah dia nak mengeja dan mengejek.
Dasar mamat mulut lembik, mulut insuran ‘illek’, lidah tak bertulang.
Dari hujung mata Kasdina Alya dapat
mengagak Anas Irfan sedang memerhatikan mereka berdua yang duduk berhadapan di
sebuah meja kecil di suatu sudut. Tempat yang selalu krew-krew tukang masak
lepak, makan dan minum. Mungkin dia akan merasa pelik bila Kasdina Alya yang
sering bermulut becok itu diam menyepi dan Azlan yang suka ‘huha-huha’ pula
diam membisu sambil tangannya menongkat dagu. Mungkin juga dalam fikiran Anas
Irfan mereka berdua ni sedang mengumpat seseorang. Ah... lantak dialah nak
fikir apa pun. Sekupang pun tak ada kena mengena dengan dia.
Sejurus kemudian Anas Irfan beredar dari
situ sebaik saja dia habis membasuh tangan. Kasdina Alya menghela nafas lega. Kalau
tak dadanya sesak dan sendat saja bila melihat mamat poyo yang perasan outstanding tu.
“Kas, kenapa pak cik tu jeling abang?”
Azlan bertanya.
“Pak cik mana?” Kasdina Alya
tertoleh-toleh, mencari pak cik yang Azlan maksudkan.
“Alah... pak cik handsome tulah,” terang Azlan. Susah sangat minah ni nak faham.
“Si poyo tu?”
“Yalah, kenapa panggil poyo? Tak
sesuailah dengan orangnya,” tegur Azlan.
“Apa pula tak sesuainya. Itulah diri
mamat tu yang sebenarnya. Perasan bagus, mentang-mentanglah belajar kat University
of London. Dia ingat orang yang tak masuk universiti ni tak ada otak? Suka hati
dia saja kalau mengata orang,” luah Kasdina Alya. Dah terover nampak.
“Tak adalah pula dia maksudkan begitu,”
celah Azlan. Tak nak menuangkan minyak ke dalam sekam.
“Kenapa abang bela dia pula. Tadi kata
mamat poyo tu jeling abang dan kenapa dia nak jeling abang? Tak faham betul aku
dengan si poyo tak cukup akal tu.”
“Mungkin jelingan cemburu,” ketawa Azlan.
Saja nak menyakat Kasdina Alya.
“Cemburu, pada siapa?”
“Pada abanglah.” Azlan merenung wajah
Kasdina Alya yang putih lawa. Cantik orangnya. Mana tak jealous!
“Pasai apa dia nak cemburukan abang. Apa
yang abang dah buat?” Nak juga Kasdina Alya tahu tentang mamat poyo ni,
sekurang-kurangnya boleh dibuat kepala modal jika bertikam lidah nanti.
“Sebab abang rapat dengan orang yang dia
suka,” pancing Azlan. Bulat mata Kasdina Alya, macam tak percaya. Huh... poyo
tu kuat cemburu rupa-rupanya.
“Ooo... patutlah dia marahkan abang. Cantik
ke budak perempuan tu?” tanya Kasdina Alya.
“Cantik… baik hati dan suka tolong orang,”
ujar Azlan selamba, matanya melihat Kasdina Alya yang sedang mencebik. Lembab
betullah minah ni, otak tu tak pickup langsung. Pakai kereta kuda padi
ke apa?
“Dahlah Abang Lan. Tak payah abang nak
terlibat dengan ‘gilerpren’ dia
tu. Karang dikaratenya abang baru
tahu. Orang macam dia tu bukannya boleh pakai, hari ni dia sewel, esok dia
baik,” larang Kasdina Alya ikhlas. Azlan menepuk dahi, macam tak percaya Kasdina
Alya yang bijak bercakap menjadi sebendul dan sekayu ini. Sungguh tak sangka.
Nangka jadi cempedak nangka.
“Okeylah Abang Lan, Kas balik dulu. Duty Kas dah habis. Balik rumah layan
bantal, lagi siok. Wau nikmat bah!”
Kasdina Alya bangun sambil mengambil barang-barangnya dari dalam locker.
“Kas, terima kasih kerana sudi tolong
abang.”
“Sama-sama. Hari ini hari abang, entah
esok-esok hari Kas pula, mana tau. Hidup kita ni kan seperti roda, kenalah
saling bantu-membantu. Okey, esok jangan lupa bawa apa yang Kas suruh tadi. Janganlah
abang terasa bila Kas sendiri yang masukkan duit ke akaun adik abang. Bukan apa,
cuma Kas nak menjaga ciri-ciri keselamatan, for
safety reason kata orang.”
“Abang faham? Orang yang gila judi macam
abang ni, mana boleh tengok duit banyak-banyak. Nanti berpinar mata macam
vertigo. Mulalah nak gelek, naik sheikh macam Pak Daud Kilau kita tu. Satu
Ringgit… Dua Ringgit… Tigaaaaaa Ringgit… Mudahlah vampire dan jin judi mat saleh pesongkan niat abang.” Azlan ketawa
sendiri dan Kasdina Alya menyengih. Baguslah kalau dah faham. Sendiri mau
ingat.