BAB 13
HARI
yang ditakuti pun tiba dan perkara yang digeruni pun dah berlaku. Kenduri besar
tanpa pengantin. Riuh bagi yang suka kepoh, tapi ucapan kasihan bagi mereka
yang simpati. Kasdina Alya diam membatu di dalam biliknya bersama Rozita dan Aida,
adik perempuannya yang baru berusia lima belas tahun.
Ramai
makhluk yang berhati syaitan datang ke biliknya, sengaja untuk melihat bilik ‘pengantin
yang tak jadi’, samada dihiasi cantik atau tidak, supaya bertambah modal untuk berforum.
Tapi, ada juga teman-temannya yang datang untuk comfort dan memberi sokongan moral kepadanya agar tabah. Tak kurang
juga yang datang untuk menyindir. Kerna spesies Pak Pandir ini masih aktif
dalam masyarakat, lantaran dah tak tahu nak pilih hobi lain. Biarlah… mereka
tak rasa itu semua, dan berdoalah pada ALLAH semoga kamu dan anak keturunan
kamu semua tidak diberi ujian yang memalukan ini.
“Seronok,
kenduri kahwin tanpa laki?” tanya mak long sebaik saja menjenguk ke dalam bilik
Kasdina Alya. Menggeletar seluruh tubuh Kasdina Alya menahan sabarnya. Kalau
orang lain yang bertanya mungkin dia akan abaikan saja perlian itu, tapi ini
mak long, kakak abahnya yang bertanya. Apa motif dan niatnya tu? Air mata
Kasdina Alya menitik lagi. Sebunya perasaan ini. TUHANku! Berikan aku kekuatan,
sekuat dan seutuh srikandi muslim silam. Aku tidak mahu kalah dengan ujian yang
Kau berikan. Tiada daya dan upaya melainkan dengan daya dan upaya-Mu ya ALLAH.
Hanya Engkaulah yang aku sembah dan pada
Engkaulah tempat aku mohon pertolongan!
“Kak
yong, sabar ya, pedulikan cakap mak long yang dah tak betul tu,” pujuk Aida
sambil mengelap air mata yang meleleh di pipi kakaknya.
“Betul
tu Kas, Mak Long Aini tu dah macam orang putus wayar, entah apalah yang dia
dengki sangat dengan kau ni, aku pun tak tahu. Tak habis-habis, dari dulu
sampailah sekarang. Tak faham aku,” sampuk Rozita dengan marah.
“Ita,
aku dah tak tahan lagi…” kata-kata Kasdina Alya terputus di situ, tak mampu dia
meneruskannya.
“Bertahan
Kas, bertahan… sekurang-kurangnya untuk hari ini saja. Mak dan abah kau kat
luar sana, lagi teruk tercalar maruahnya. Sabarlah, esok kau tak akan melihat
penduduk Manjoi lagi selama yang kau mahu. Kau boleh mengucapkan sayonara pada
mereka, terutama pada yang tak senang dengan kau. Aku akan bawa kau jauh dari
sini, sampai tak ada siapa pun yang akan jumpa kau lagi,” janji Rozita serius.
“Kat
mana Kak Ita nak sorokkan kak yong? Biar betul!”
“Bukan
sorok, tapi Kak Ita nak bagi kehidupan baru pada kak yong Aida. Semoga kak yong
Aida dapat lupa dan tinggalkan kenangan hitam ini buat selamanya. Kak Ita harap
Aida sokong 100% dengan rancangan ini.”
“Semua
ni salah Rafizi, kalau dia tak putuskan tunang dengan kak yong, kami tak akan
dapat malu sebegini. Macam- macam
cerita, sana sini. Bila waktu Aida pergi sekolah, semua orang
mengata-ngata pasal kak yong, sakit hati Aida dibuatnya. Kalau Aida ada pistol
nak saja Aida tembak mereka semua tu. Terutama sekali mak long yang mulut
longkang tu,” marah Aida yang menyimpan cita-cita.
“Amboi…
Kau nak jadi pembunuh kerana umpat keji orang? Batalkan saja niat dan
angan-angan tu. Tak ada maknanya. Kalau nak jadi pembunuh, lebih baik pergi ke Gaza.
Ha… bunuh makhluk pengecut tu dapat pahala.” Rozita menyudahkan taklim jihadnya.
Aida ketawa kecil.
“Ita,
mana kau nak bawa aku nanti?”
“Sebenarnya
sepupu mak aku, aku dengar nak sambung buat PhD suami isteri kat UK. Pengajian
apa, aku pun tak ingat. Jadi, dia bawa semua tiga orang anaknya yang masih
kecil itu bersama. Aku dengar dia tengah cari pembantu rumah. Tugas kau ialah
menjaga anak-anak Mak Su Muna aku, itu saja. Tentang gaji dan tugas-tugas lain
aku tak tahu, nanti kau bincanglah dengan mereka.” Bulat mata Kasdina. Mak…
jauhnya.
“Bila
pergi?” tanya Kasdina dengan wajah yang ceria sedikit.
“Dalam
masa terdekat ni. Mungkin minggu depan kut, sebab sebelum ini dia dah lama
tercari-cari siapa yang nak di minta tolong untuk jaga anaknya. Nampaknya TUHAN
telah melorongkan kau untuk berhijrah ke England.”
“Terima
kasih Ita,” ucap Kasdina Alya sambil memeluk sahabat baiknya. Air mata Kasdina
Alya berguguran lagi, terharu dan bersyukur dengan laluan yang di rencana oleh
ILAHI.
JANGAN
kau ucapkan selamat tinggal, pada diriku yang setia. Kalau boleh nak saja Hajah
Aminah menyanyikan lagu tersebut sampai habis senikatanya, agar puteri
kesayangannya membatalkan niat untuk berhijrah ke negara penjajah itu. Namun
hati Kasdina Alya telah nekad, bulat, tetap dan jazam. Dia akan tinggalkan tanahair nan bertuah ini. Kembang kempis
hidung Hajah Aminah menahan tangis dan air mata. Dia tidak mahu menangisi
perpisahan ini, walaupun hati di dalam sudah menggila.
Melepaskan
Kasdina Alya jauh dari matanya adalah sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh
fikirannya selama ini. Seandainya perkahwinan Kasdina dan Rafizi tidak hancur
begini rupa, paling jauh pun Kasdina bermusafir dan terpisah darinya hanyalah
ke negeri bertuah Selangor Darul Ehsan. Tapi sekarang anak gadisnya akan pergi
jauh beribu batu bersama puin-puin hatinya yang telah berderai. Ah… sesaknya
nafas dan sebunya perasaan! Hajah Aminah merintih sendiri sambil menekan
dadanya yang seakan tersumbat.
“Mak, janganlah
macam ni. Relakanlah Kas pergi.” Kasdina Alya memeluk Hajah Aminah erat.
“Kas tak
akan lupakan mak dan abah?” Mata Hajah Aminah mula berkaca biarpun sudah diseka.
“Mestilah
Kas tak akan lupakan mak, abah dan adik-adik, walaupun di mana Kas berada,” janji
Kasdina Alya penuh kepastian.
“Kak
yong, jaga diri baik-baik ya. Kat sana nanti dah tak ada lagi orang yang nak
bebelkan kak yong. Buat itu dan buat ini,” pesan Aida ikhlas.
“Amboi… pandai
pula kau nak menasihati kak yong ya? Baiklah… kak yong dengar nasihat kau tu.
Tapi nasihat kak yong untuk Aida ialah belajar bersungguh-sungguh, sampai masuk
universiti, tebus segala kekurangan kak yong ni. Kasihan mak, dia seorang guru,
tapi anak dia ni, tak pun masuk universiti, malah yang lebih teruknya telah
mencalar maruahnya dengan bukan sebenar. Kak yong rasa bersalah sangat pada mak
dan abah.” Kasdina Alya tidak dapat menahan sebak. Air matanya gugur satu
persatu di pipi, kemudian menjadi laju. Hibanya hati dan perasaannya pun
bercelaru.
Kalaulah
bukan kerana tragedi hitam itu, mungkin dia tidak akan sanggup untuk
meninggalkan keluarganya yang tercinta. Sumpah! Dia pasti tidak akan mampu
berpisah dari keluarganya. Tersengguk-sengguk Kasdina Alya menahan tangis, tapi
akhirnya berderai juga tangisannya bercampur dengan tangisan ahli keluarganya.
“Kas,
bawa bersabar. Kas perlu kuat dan tabah. Jangan risau ALLAH selalu bersama
dengan orang yang sabar,” pujuk Haji Amran sambil memeluk Kasdina Alya. Sedaya
upaya lelaki ini menahan air jernih tumpah dari birai matanya, namun bila
hatinya terlampau sedih dia juga tidak bisa bertahan. Akhirnya, birai mata yang
berkaca itu pun pecah juga.
“Abah,
maafkan Kas. Kas tak tahu begini kesudahannya nasib Kas. Kalaulah Kas tahu Kas
akan menyusahkan mak dan abah, dari kecil lagi Kas minta pada ALLAH agar Kas
tidak di lahirkan ke dunia.”
“Hiss…
jangan bercakap seperti itu lagi nak. Berdosa tau, seolah-olahnya Kas tidak
rela dan redha dengan takdir ALLAH, sedangkan Kas belum tahu lagi apa yang
ALLAH sediakan buat Kas sewaktu di
London nanti. Pesan abah, jangan sekali-kali berburuk sangka pada ALLAH, kerana
ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hambanya,” amanat terakhir dari seorang
ayah kepada anaknya.
“Baiklah
abah, Kas akan ingat sampai bila-bila.” Kasdina Alya meleraikan pelukannya.
Masa semakin hampir. Hati semakin ketat, perasaan semakin sebu dan air mata
bukan lagi rahsia. Lepaslah semahu-mahunya agar tidak menjadi rindu dendam di kala
berjauhan.
“Kas, mak
nak pesan satu saja. Biarpun di mana Kas berada dan di waktu mana Kas berdiri.
Jangan sekali-kali tinggalkan solat lima waktu, kerana itulah tiang agama,
tanpa solat yang sempurna kita bukanlah orang yang beragama dan beriman, kerana
iman itu dijelmakan dalam perbuatan. Solat adalah ibu segala kebaikan, solatlah
tempat pergantungan ibadah-ibadah yang lain. Solatlah juga yang mula-mula
sekali dihisab oleh ALLAH di padang Mahsyar nanti. Kalau solat tak lulus. Maka
ibadah-ibadah yang lain akan terbatal. Ingat tu kas!” Ya ALLAH, hati seorang
ibu yang menginginkan kebaikan di dunia dan di akhirat untuk anaknya. Kasdina
terharu, hiba dan sedih mendengarnya. Selepas ini dia tidak akan mendengar
kata-kata indah dari mak lagi. Mak!
Kasdina
memeluk erat dan kemas, seakan tidak mahu lepas.
“Kas, itu
panggilan terakhir penerbangan ke London. Majikan Kas pun dah bersedia untuk
berlepas. Jomlah,” ajakan Haji Amran menyedarkan Kasdina Alya.
“Aida,
kau jaga mak dan abah, serta Hazim ya? Jangan bagi dia melepak sana sini,
belajar betul-betul. Kak yong pergi dulu, nanti kak yong chat dengan kau melalui facebook,
okey!”
“Okey kak
yong, jaga diri baik-baik.” Aida dan Hazim berpesan.
“Baiklah.
Kas pergi dulu. Assalamualaikum!”
“Waalaikumussalam!”
serentak mereka yang ditinggalkan menjawab salam bersama rasa sayu yang
mengerat tangkai hati. Saat Kasdina perlahan-lahan melepaskan genggaman tangan
bonda tersayang, air matanya kian lebat dan kesedihan Hajah Aminah juga kian
menjadi-jadi dan tak dapat dibendung lagi. Pilu sehingga tidak terkata,
sehingga tiada lagi bahasa jiwa untuk menggambarkan situasi hatinya di kala
ini. Hanya TUHAN saja yang tahu.
Tesedu-sedu
Hajah Aminah menangis tatkala Kasdina Alya melambaikan tangannya sewaktu dia
menuruni escalator untuk melepasi balai
berlepas. Perlahan-lahan gerak langkah Kasdina semakin menjauh sehingga dia
tidak lagi dapat melihat batang tubuh anaknya. Walang sungguh hati ibu
ditinggalkan oleh anak yang bernasib malang. Entah apa yang akan terjadi pada
anaknya di perantauan nanti tiada siapa yang dapat mengadaikannya. Namun ketetapan
menyusun dan mengtakdirkan hidup anaknya samada bahagia atau derita, sudah lama
dalam ilmu yang ESA. Perintah ALLAH kepada malaikat supaya ditulis ‘syaqiyun au saeedun’ bagi setiap jiwa termeterai
selesai saja ruh ditiupkan setelah 120 hari dalam rahim ibu lagi.
“Cik Nah,
sudah… sudahlah tu menangis. Dah dapat handbag
mahal dan cantik pun masih nak menangis juga?” panggil Haji Amran yang sedang
membaca surat khabar, tapi sebenarnya dia ralit memerhatikan isterinya melayan
perasaan sedih yang mengusik emosinya.
“Ada apa
bang?” Hajah Aminah terbangun dari kenangan silam yang dalam, yang penuh dengan
onak dan duri. Rupa-rupanya peristiwa itu sudah empat tahun berlalu, bermakna
sudah empat tahun dia tidak dapat memeluk anak gadis kesayangannya. Ah… kenangan
yang tak pernah berhenti menggigit perasaannya. Sampai bila-bila pun yang pahit
dan hitam itu tidak akan dilupakan.
“Kas,
sihatkah dikau, rindunya mak pada Kas,” luah Hajah Aminah dari dasar pelusuk
hati yang paling dalam, sambil mengusap kelopak mata yang basah.
No comments:
Post a Comment