BAB 8
SUASANA
sejuk membungkusi City of Westminster, walaupun begitu bani adam yang menghuni
kota ini masih berpusu-pusu ke sana ke mari dengan niat dan hala tuju masing-masing.
Seolah-olah cuaca yang berada di paras -2 celcius
itu bukan menjadi penghalang untuk mereka bergerak. Hari ini langit berhenti
menumpahkan air mata mutiaranya. Syukurlah, kerana I, Kasdina Alya tidak berapa
sukakan salji. Sejuk yang melatuk-latuk tanpa salji ini pun dia tak berapa nak
tahan, ini kan pula nak mengharungi salji di sepanjang perjalanan. Walaupun
hakikatnya snowing kurang sejuk
dibandingkan dengan cuaca yang windy,
namun ianya tetap terasa macam hidup dalam freezer.
Apapun bila ALLAH dah tentukan salji turun menyapa bumi, maka semua makhluk
akur dan redha dengan kehendak Yang Maha Pencipta, walaupun ada makhluk yang
digelar al-hayawanu natiq terpaksa
memakai pakaian tebal yang beratnya berkilo dan terus-terusan memaki-hamun
cuaca yang dingin.
Dari
Queen’s Park mereka menggunakan tube
melalui perantaraan bakerloo line ke Oxford Circus, ianya hanya mengambil masa
15 minit perjalanan. Kalau ambil bas Double
Decker no.36 tu entah pukul berapa nak sampai, berhenti beratus kali. Kalau
rasa-rasa tak ada hal dan nak save bajet
boleh le. Apa-apa pun I guna weekly travelcard, rasa nak naik tube, I naik tube, rasa nak naik bas, I
naik bas, no hal, cover all-rounder you! Jimat
dan boleh pergi banyak zon pulak tu.
Memang untuk you sesuai, sebab you
hali-hali keluar ma..., kata kekawan.
Bila keluar saja dari tren, terasa hangat dengan orang ramai, dan apabila exit saja dari stesen Underground Oxford
Circus, kelihatan manusia bertali arus ke hulu ke hilir dan ke sana ke mari,
macam semut keluar sarang aje, terutama kat pedestrian scramble. Nampaknya tak
kira musim panas atau musim sejuk, sama saja, masing-masing ingin memenuhi
hajat untuk berbelanja, termasuklah we
all!
“Kita
ni nak jalan ke naik bas ke Selfridges?” tanya Saly.
“Jalanlah,
bukannya jauh,” jawab Kasdina Alya.
“Aku
ni bukannya tahan sangat nak berjalan dalam keadaan sejuk macam ni,” terang
Saly.
“Apa
pasal, kaki kau kebas ke?” Sarah pula bertanya.
“Bukan,
aku ni cepat sangat nak terkucil,” jawab Saly sambil berbisik. Melambak ketawa
Kasdina Alya dan Sarah, lawak betul, siap dengan berbisik lagi, macamlah orang
kulit putih dan kulit hitam kat sini faham apa maksud terkucil tu, wa ima kalau Saly bertempik sekali pun. Saly… Saly… Itulah, asal nama melayu,
Salmah, rasa nak moden sikit bubuh Saly.
Kasihan bapak dia yang bagi nama tu, sebab bila dewasa anak dah tak sudi lagi
guna nama tersebut.
“Alah, jalan sajalah, bukannya jauh mana
pun. Lagipun di sepanjang-panjang jalan kita nak menuju ke Selfridges tu nanti
banyak kedai dan gedung yang buat sale,
bolehlah kita singgah untuk cuci mata ataupun beli mana yang patut,” pujuk
Kasdina Alya.
“Betul
tu, aku rasa Debenhams, Marks & Spencer, Woolworths, Body Shop, Next, Clarks,
HMV dan kedai sukan JD Sports kat
depan tu aje, ya dak! Satu lagi, aku
kalau ronda-ronda kat Oxford Street waktu macam ni untuk cuci mata atau shopping, rasa macam berada di Jalan Tunku
Abdul Rahman sewaktu musim nak dekat Hari Raya. Bezanya kat jalan TAR ada bunyi
lagu raya, dam dam dum bunyi mercun,
mintak mak kuih sepotong segala,
tapi kat sini bunyi lagu jingle bell, jingle bell, jingle bell rock, jingle bells swing and jingle bells ring
segala, sebab majoriti masyarakatnya nak sambut Christmas tak lama lagi,” ujar
Sarah.
“Alah,
kalau naik double decker pun
dapat rasai juga suasana yang sedemikian,” tegas Saly.
“Naik
bas lain, tak sama dengan jalan kaki. Jalan kaki ni happening sikit, jalan
perlahan-lahan sambil tengok kiri kanan, sedar-sedar dah sampai. Jomlah, tak
payah banyak merungut,” ajak Kasdina Alya.
“Yalah
aku ikut, tapi kalau dah tak larat nanti kita naik bas ya,” syor Saly.
“Apa-apa
ajelah Saly. Jom bergerak sekarang,” arah Kasdina Alya. Kumpulan Dara Tiga Serangkai
itu pun mula beredar dari tepi tangga tempat mereka bermesyuarat tadi, sambil
menghayunkan kaki masing-masing merentasi Oxford Street bersama deretan manusia
yang memenuhi ruang pedestarian walkway yang sentiasa sesak dengan manusia yang
berbilang bangsa. Semua orang melangkah laju, maju ke hadapan menghala ke destinasi
dengan hasrat yang tidak ketahuan.
“Stop, berhenti sekejap,” pinta Kasdina
Alya pada teman-temannya.
“Kenapa?”
tanya Sarah.
“Tengok
tu, Clarks ada offer sampai
70 percent Off. Jom singgah sekejap.”
pinta Kasdina Alya.
“Kau
nak beli kasut ke? Bukankah boot yang
kau pakai ni baru beli?” tanya Saly yang tak berapa suka bila berjalan asyik
berhenti, tinjau sana tinjau sini. Bagi Saly, kalau nak ke suatu tempat, terus
saja tuju ke destinasinya, lepas beli terus balik, tak payah merewang-rewang ke
tempat lain.
“Alah
masuk sajalah tengok, kalau ada yang bagus aku belilah, bukan senang Clarks nak
offer sampai 70 peratus ni. Jom
masuk, tak payah kau nak buat muka kecut kau tu.Tak cantik tau tak?” Kasdina
Alya menarik tangan Saly yang sudah bermuka ketat dan kecut itu.
“Penatlah
aku berjalan dengan kau ni, semua benda kau nak tengok. Belinya tak juga,”
rungut Saly.
“Okey,
kalau kau penat, kau tumpang bangku mat saleh tu sekejap, aku nak tengok
kut-kut ada yang berkenan.” Kasdina Alya dan Sarah meninggalkan Saly yang
terkulat-kulat di tepi pintu masuk.
“Ini
yang aku serik berjalan dengan minah berdua tu, asyik aku yang jadi tukang
tunggu,” rungut Saly lagi. Manakala Kasdina Alya dan Sarah telah lesap di
celah-celah orang ramai yang memenuhi kedai tersebut.
Ralit
Kasdina Alya meneliti sepasang kasut lelaki yang dirasakan amat sesuai dengan
abah. Lalu dia cuba mencapainya. Tapi sebelum sempat dia mencapainya ada tangan
lain yang serentak memegang kasut tersebut. Nampak gayanya macam tangan lelaki.
Kasdina Alya mengalihkan pandangan matanya ke arah lelaki yang berdiri di
sebelahnya.
“Oh no!!!” jerit Kasdina Alya keras
dalam hati saat pandangan matanya bertemu dengan si empunya tangan. Jantungnya
terhenti dengan tiba-tiba, seluruh urat sarafnya berhenti mengalirkan darah dan
dia seakan ingin mati kerana terkejut. Tapi betulkah lelaki yang tak guna itu
berada di hadapannya ketika ini? Macam mana mereka boleh terserempak dan
bertemu lengan di Kota Metropolitan ini? Padahal dah beribu batu Kasdina Alya
melarikan diri.
Kasdina
Alya terpempan seketika tanpa mampu berkata apa-apa, namun kesedihan terus
menyimbah wajah dan dia tidak mampu menatap wajah itu lagi. Kenapa dia
dipertemukan kembali dengan lelaki yang tak berguna ini? Tidak ada keperluannya
lagi. Perkara yang lepas, biarlah berlalu dan tak perlu ditayang kembali.
“Kas,”
jejaka itu menyebut lembut. Kasdina Alya terus berlari keluar dari kedai kasut Clarks yang sesak itu meninggalkan Sarah dan
Saly yang terpinga-pinga. Kemudian kedua gadis tersebut mengejar Kasdina Alya
yang sudah berjalan laju ke hadapan.
“Hello
Kas, slow lah sikit jalan tu, kau ni
kenapa? Tiba-tiba saja meroyan,” tegur Sarah. Kasdina Alya memperlahankan
langkahnya.
“Sorry, aku terover sikit,” Kasdina Alya mengelap matanya yang basah.
“Hey
kenapa ni? Siap dengan menangis lagi. Apa yang kau jumpa kat dalam kedai tadi?
Ceritalah…” desak Saly. Sarah pula mengangguk.
“Sebenarnya
tadi aku terjumpa dengan orang yang paling aku benci dan yang paling tak ingin
aku jumpa samada sewaktu hayatnya atau sesudahnya.” Kasdina Alya mula membuka
lembaran ceritera hidupnya.
“Siapa
Anas?” teka Sarah. Kasdina Alya menggeleng.
“Dah
tu siapa? Tak payahlah berteka-teki, aku bukannya pandai nak jawab,” tegas
Saly.
“Aku
terjumpa dengan Rafizi, lelaki yang telah meninggalkan aku lima hari sebelum perkahwinan
kami berlangsung tanpa alasan yang kukuh bersama fitnah yang telah
menghancurkan maruah aku.” Tirai hitam hidup Kasdina Alya perlahan tersingkap. Air
mata Kasdina Alya mengalir lagi. Kepedihan dan kesakitan yang ditanggung empat
tahun dahulu masih terasa hingga ke saat ini. Ternganga Sarah mendengarnya.
“Ya
ALLAH, zalimnya jantan tu,” rungut Saly.
“Habis,
kenduri kahwin tu macam mana?” tanya Sarah penuh simpati.
“Kenduri
tersebut bertukar menjadi kenduri doa selamat.”
“Tak
dapat aku bayangkan macam mana sedih dan hibanya kau sekeluarga,” ulas Saly
penuh simpati.
“Ya,
hanya ALLAH saja yang tahu,” air mata kesakitan mengalir lagi.
“Habis
kau tak saman keluarga lelaki tu?” geramnya Saly.
“Tak,
kata abah, biarlah, kita akan saman di mahkamah Rabbul Jalil nanti,” jelas
Kasdina Alya. Kesedihannya masih menyimbah wajah.
“Sabarlah
Kas, akan ada balasan untuk lelaki seperti itu. Kalau balasan di mahkamah ALLAH
itu agak lambat, jangan risau hukum karma tetap menanti,” pujuk Sarah.
“Ya
Kas, pasti dia akan mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang telah dia
buat pada kau, sebab sesungguhnya ALLAH itu bersifat Adil. Dahlah, tak payah
nak bersedih-sedih meratapi orang yang tak guna tu. Anggap saja ianya seperti seekor
lalat kecil yang mengganggu perbualan kita. Okey, jom kita bergerak, Selfridges
sedang menunggu kita dengan diskaunnya yang giler-giler tu.” Pujukan Saly
membuatkan Kasdina Alya terhibur sedikit, walaupun realitinya luka lama telah
berdarah kembali. Betul kata Saly, tak guna
mengingati dan mengenangi jantan pengecut yang tak berguna tu lagi. Buat
buang karan saja. Pasti ada hikmahnya bila perkahwinan mereka tidak menjadi
kenyataan, kerana perancangan ALLAH dengan perancangan manusia memang tidak
sama. Walaupun sama-sama merancang, perancangan ALLAH lah yang lebih baik—wamakaru wamakarallah, wallahu khairul makirin. We plan, ALLAH plans, and The Best Planner is ALLAH’s.
No comments:
Post a Comment