BAB 9
JAUH
Hajah Aminah merenung jalan yang sentiasa sibuk dengan kenderaan yang bertali
arus di hadapan rumahnya. Bukan kenderaan yang bertali arus itu yang berada
dalam mindanya, tapi wajah anak sulungnya yang sekian lama terpisah jauh
memenuhi ruang memori kerinduannya.
Tadi,
sebaik saja syarikat penghantaran DHL Courier Services datang ke rumah
menghantar bingkisan istimewa dari London, hatinya terus dipagut pilu dan sayu.
Terkenangkan Kasdina Alya yang berkelana jauh di perantauan, terbayang pula
peristiwa hitam yang telah memisahkan mereka sekeluarga. Kasihan Kasdina, tak
sepatutnya anak gadisnya yang baik hati itu menjadi mangsa fitnah manusia yang
dengki dan bermulut jahat. Kasihan Kasdina, gara-gara peristiwa kahwin tak jadi
itu membuatkan dia membawa diri sampai sekarang dan tak berhasrat pulang. Air
mata bonda Hajah Aminah meleleh perlahan. Runtun hati seorang ibu mengenangkan
anak kandung yang tidak ketahuan amannya.
“Apa
yang dimenungkan tu, jauh sangat saya nampak awak mengelamun?” Haji Amran
menegur isterinya yang ralit berada di beranda rumah.
“Tak
ada apalah bang, saja teringatkan Kasdina. Entah macam manalah agaknya budak tu
hidup kat negara orang tu,” keluh Hajah Aminah.
“Apa
awak nak risaukan, si Kas tu bukannya budak-budak lagi, dah besar panjang, umur
pun dah 26 tahun, tahulah dia macam mana nak menjaga dan mengatur hidupnya,”
sangkal Haji Amran, saja nak meredakan kerisauan isterinya.
“Kasihan
Kas, kerana peristiwa yang memalukan itu, Kas langsung tak ada bercita-cita nak
balik.” Hajah Aminah diburu hiba lagi.
“Janganlah
risau, sampai masanya dia baliklah nanti. Bila luka dia dah sembuh, bila marah
dia dah reda, insya-ALLAH dia akan kembali,” pujuk Haji Amran.
“Betul
ke bang? Saya ni boleh kata tiap-tiap malam tidur asyik mimpikan dia. Rindu
sangat rasanya nak memeluk dia. Entah-entah dia dah tak ingatkan saya lagi, tak
rindukan saya lagi hu…hu…hu…” Hajah Aminah mula terlebih emosi.
“Hiss…
awak ni bercakap macam budak-budak, melalut tak tentu pasal. Itu beg tangan dan
kasut mahal yang awak baru terima tadi, bukankah tanda kasih dan rindu dia pada
awak?” tegur Haji Amran.
“Yalah
bang, saya terlupa,” ucap Hajah Aminah sambil mengelap air matanya.
“Kalau
awak rindu, cuti musim panas nanti kita jenguklah dia. Puaskan hati awak tu,”
janji Haji Amran.
“Ya
ke bang, Ya ALLAH, seronoknya dapat jumpa Kas. Ha… kalau macam tu abang kenalah
rajin-rajin makan ubat, biar sihat sepenuhnya. Kalau tak sihat macam mana nak
berjalan?”
“Yalah,
abang akan jaga kesihatan abang dengan baik, supaya kita dapat bercuti di
London nanti.”
“Nah,
hari ini ada tak si Aida telefon?”
“Tak
ada pun, kenapa bang?”
“Entahlah,
hati saya ni risau saja memikirkan si Aida tu. Apa nak jadi dengan rumahtangga
mereka pun tak tahulah,” rungut Haji Amran kesedihan.
“Sabar
sajalah bang, kita doa yang terbaik untuk anak-anak kita semua,” pujuk si isteri.
“Kadangkala
abang terfikir dan tercari-cari apakah dosa abang sehingga ALLAH mengenakan kifarah
yang sedemikin pada abang, tak cukup dengan masalah anak-anak, masalah sendiri
pula yang tak pernah selesai,” keluh Haji Amran, bukan niat menyesali nasib,
tapi menjadi buah pertanyaan bagi sesiapa saja yang sering diuji.
“Sabarlah
bang, ALLAH sedang menguji kita. Moga-moga kita mendapat banyak pahala, dan
semoga dosa kita diampun.” Tiada kata lain yang lebih sesuai untuk memujuk
orang yang sering diuji oleh ALLAH, kerana itulah juga janji ALLAH kepada
hambanya, sehingga tercucuk duri juga dipanggil kifarah dan diberi pahala yang
berganda.
Sedang
asyik bersembang, jiran sebelah rumah yang juga kakak sulung kepada Haji Amran
datang bertandang untuk bertenggek dan berlabun. Biasalah tu…
“Assalamualaikum!”
Noraini memberi salam.
“Waalaikumussalam,”
jawab Haji Amran yang berada di kerusi malasnya.
“Kau
apa khabar Am?” tanya Noraini buat pemanis mulut.
“Macam
nilah kak long, sakit memanjang,” adu Haji Amran.
“Kau
makan ubat hospital tak?”
“Makan,
mana boleh berhenti, tapi kalau nak kira, tekanan darah saya bukanlah tinggi
sangat, naik sikit saja, tapi sakitnya menyucuk sana-sini.”
“Kau
salah makan kut? Ada kau tak pantang?”
“Mestilah
pantang, tapi tetap sakit juga.”
“Biasalah
tu dah nak sakit, nak buat macam mana,” ujar Noraini. Sedang bersembang matanya
melilau ke arah handbag yang berada
di tangan Hajah Aminah.
“Eh,
cantiknya beg, mana datang ni?” tegur Noraini yang bermulut kepo. Tak payah minta
izin segala, terus dicubanya dan digayakannya seperti model.
“Kas
yang kirim,” jawab Hajah Aminah acuh tak acuh.
“Oh,
patutlah tadi kak long nampak ada van DHL Courier datang. Eh, cantiklah beg ni,
bagi kat kak long ajelah, sesuai sangat dengan kak long,” dengan muka yang tak
tahu malu Noraini meminta. Dah tahu sangat dengan gelagat dan perangai kak long
yang terlalu mementingkan diri sendiri tu. Bengkak hati Hajah Aminah kian
membusung.
“Mana
boleh kak long, ini Kas kirim sempena hari jadi saya. Kalau kak long nak, pesan
saja pada Kas,” tegur Hajah Aminah.
“Ha…
sama saja, kak long ambil yang ini, yang pesan kemudian tu kau ambillah,” pandai
pula Noraini memberi cadangan untuk menguntungkan dirinya.
“Tak
boleh, yang ini anak saya hadiahkan pada saya. Apa pun saya tak akan bagi pada
kak long,” tegas Hajah Aminah. Dia sudah tak mampu lagi berlembut dengan
perempuan seperti ini. Telunjuk lurus kelingking berkait. Tindakannya tak
pernah ikhlas. Ah… macam-macam lagi perbuatan yang telah Noraini lakukan ke atas
keluarganya.
“Kedekut,
dengan adik-beradik pun nak berkira?” marah Noraini. Biasalah tu, kalau tak
dapat apa yang dia hajati, dia akan marah-marah dan merungut.
“Bukannya
berkira, tapi betullah, itukan Nah punya, hadiah hari lahir lagi, dari anak
kesayangan pula tu, takkan nak bagi kak long.” Haji Amran menyampuk.
“Ha…
kau tu selalunya macam tulah. Asyik menangkan isteri kau saja. Ingat, aku ni
kakak kau, darah daging kau. Jangan kau nak singkirkan aku begitu saja,” bising
mulut Noraini dengan benda yang entah apa-apa.
“Apa
hal pula yang kak long melalut-lalut ni? Saya cakap lain kak long cakap lain.
Dahlah kak long, lebih baik kak long balik, bertambah sakit saya dibuatnya
kalau kak long marah-marah macam ni.”
Haji Amran memegang kepalanya yang mula berdenyut. Aduh…
“Oh,
kau halau akulah ni ya? Tak mengapa, kau tengoklah nanti,” ugut Noraini lalu
keluar dari rumah Haji Amran dengan perasaan marah dan balik ke rumahnya yang
tak sampai lima puluh langkah itu.
“Kak
long ni betul ke tidak? Bercakap macam orang berdendam saja. Tiap kali dia
marahkan kita dia akan cakap macam tu. Apa masalah kak long ni?” tanya Hajah
Aminah pada suaminya.
“Ah…
tak payah layan kak long tu, dah dia memang macam tu, dari kecil sampailah ke tua,
tak pernah berubah. Asyik nak menang dan nak suruh semua orang ikut cakap dia
saja,” terang Haji Amran.
“Kasihan
Abang Naim, asyik kena ikut cakap kak long saja. Kalau tak ikut, dia mengamuk
macam orang gila. Saya ingat kak long ni ada kena gangguan saka kut? Itu yang perangai
mengalahkan Jin Ifrit.”
“Bukan
main sedap lagi mengata orang Cik Hajah?” tegur Haji Amran. Hajah Aminah
tersengih-sengih, perasan yang dirinya telah terover.
No comments:
Post a Comment