NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, October 11, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 11


                                             BAB 11

        APA yang ditakuti oleh Hajah Aminah suami isteri sudah pun menjadi realiti. Dah heboh satu Kampung Manjoi memperkatakan cerita dan gosip Kasdina Alya yang tak jadi kahwin sebab pernah ‘ter’mengandung anak haram dan gugurkan kandungan secara rahsia. Sungguh tragis dan sensasi. Ramai yang memperkatakannya termasuklah penganalisa-penganalisa politik kedai kopi yang perasan bagus. Tidak ketinggalan kacang hantu dan kaki dam yang yang suka ngusik & ngorat anak dara orang. Masing-masing memperlihatkan kreativiti dan kehalusan seni umpatan dan labunan yang membuatkan sesiapa saja mendengarnya rasa tak ndak balik. Dengan bermodalkan secawan kopi anda boleh layan gosip sensasi itu sampai ke petang.
        Samada cerita itu betul atau tidak, ianya belakang kira. Tukang canang cerita yang tak bertauliah seperti Kiah, Bedah, Lebor, sekadar menyenaraikan beberapa nama, berlumba-lumba untuk menyampaikan berita sensasi itu. Seolah-olah cerita yang mereka sampaikan itu boleh bertukar menjadi duit atau ganjaran duniawi tidak pula diketahui. Sebenarnya mereka ini, samada lupa ataupun jahil murakkab, perlu diingatkan bahawa mereka yang suka menabur fitnah ini akan mendapat balasan neraka dengan azab yang tidak terperi sakitnya di akhirat nanti.
        Dalam surah al-Humazah, ALLAH menegaskan kepada sesiapa yang suka menyebarkan cacian dan kekejian maka kecelakaan yang besarlah bagi mereka. Begitu juga dengan peringatan yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim: Bahawa tidak masuk syurga orang yang suka menyebar fitnah. Entahlah, terlampau berani mereka semua itu dengan hukum ALLAH yang menanti.
        “Abang aji, macam mana sudahnya si Kas tu. Sudah tiga hari tak keluar bilik. Makan tidak, hapah pun tidak. Risau saya dibuatnya,” adu Hajah Aminah pada suaminya.
        “Pujuklah lagi. Awakkan maknya, pasti lebih kenal dengan sifatnya. Suruh dia baca Quran banyak-banyak, biar tenang sikit jiwanya.”
        “Dah pujuk pun, macam-macam dah cakap, tapi dia tetap macam tu juga. Kasihan Kas, terpukul sungguh dia dengan fitnah yang di luar dugaan tu.”
        “Sabarlah Nah, benda dah nak jadi, nak buat macam mana? Apa pun kita doalah sama-sama, semoga ALLAH memberi bantuan saat kita betul-betul memerlukan,” pujuk Haji Amran.
        “Tidak berhati perut sungguh mereka yang menyebarkan fitnah ni. Tak terfikirkah mereka akan aib yang terpaksa kita tanggung? Ya ALLAH… apa nak jadi pun tak tahulah. Saya sekarang buntu sangat,” luah Hajah Aminah sedih.
        “Sebab itulah Rasulullah SAW memberitahu, kepada sesiapa yang menyebarkan kata-kata yang memalukan seorang muslim dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh ALLAH pada hari akhirat kelak. Justeru, sebagai motivasi untuk kita sekeluarga, janganlah kita terkesan dengan fitnah yang melanda ini, kerana malu orang yang memfitnah pada hari akhirat nanti, beribu kali ganda lagi berbanding dengan malu yang kita hadapi sekarang. Nah faham maksud abang, kan? Lagipun anak kita tak bersalah dan semuanya adalah fitnah semata-mata. Janganlah risau sangat. Insya-ALLAH suatu hari ALLAH akan tunjuk juga siapakah yang punya angkara,” tenang saja ucapan Haji Amran, tapi benar-benar menusuk jauh ke lubuk hati isterinya yang gundah-gulana.
        Hajah Aminah mengangguk faham, tapi dihelanya nafas yang telah memberati dadanya sekian lama dengan zikir pada ALLAH. Dia sedar kini, dia perlu kuat. Kalau dia lemah, macam mana dia hendak mengembalikan semangat Kasdina yang telah jatuh merudum ke tahap sifar. Kasihan anak gadisnya. Sebelum ini Kasdina gadis yang lincah dan ceria. Seorang yang selalu mengutamakan orang lain, sedia menghulurkan tangan buat golongan dua’fa dan mustad‘afin, jiwanya penuh dengan sifat kasih sayang terutama pada adik-beradik, malah dengan binatang pun dia sanggup berhabis, beli ikan dan sebagainya. Mudah sangat bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan, lebih-lebih lagi dengan fuqara wal masakin. Tapi kenapakah anak yang sebaik dia, diberi ujian yang sebegini hebat? Sehingga Kasdina yang dulunya kuat, tidak mampu bangun dan bertahan lagi. Ya ALLAH, bantulah anakku!
        “Cuba awak panggilkan kawan baiknya datang sini. Suruh kawan dia tu nasihatkan dia, manalah tahu dia nak dengar cakap rakan sebayanya daripada kita,” cadang Haji Amran.
        “Rozita?”
        “Yalah, siapa lagi kawan rapatnya kalau bukan anak Cikgu Alias tu. Dah, cepat telefon, suruh dia datang sekarang.”
        “Baiklah abang aji. Saya telefon sekarang. Tapi sementara tunggu Ita datang, cuba abang aji ketuk pintu biliknya. Kut-kutlah mahu dia keluar makan.”
        “Baiklah saya cuba.”

        TERKEJUT Kasdina Alya bila mendengar suara Rozita memberi salam dan memanggil-manggil namanya dari luar pintu biliknya. Bergegas Kasdina Alya membuka pintu biliknya. Sebaik saja Rozita meloloskan diri, Kasdina Alya terus menerkam, memeluk kemas kawannya dan air matanya pun gugur lagi buat kesekian kali. Rozita juga menangis, melihat keadaan kawannya yang sudah kusut-masai. Kasihan Kasdina, badannya sudah susut, malah di sekeliling matanya kelihatan ada gelung hitam dan nampak cengkung. Lama sekali Kasdina Alya meminjam bahu temannya, buat melepas duka dan lara  di hati.
        “Ita, terima kasih kerana datang,” ucap Kasdina dalam tangis yang kian reda.
        “Ya, sama-sama. Sorrylah, aku baru datang sebab aku tak dapat hubungi kau. Kau tutup handfon kau, ya! Ini pun nasib baik mak kau yang called aku, minta aku datang jenguk kau bila kau langsung tak mahu keluar bilik.”
        “Terima kasih, aku sebenarnya buntu. Sesak dada aku ni bila memikirkan hari kenduri yang tak lama lagi akan tiba.” Kasdina Alya mula bercerita.
        “Ya, aku tahu. Aku faham, tapi janganlah buat sampai mak dan abah kau susah hati dengan keadaan kau. Kasihan mereka,” nasihat Rozita. Kasdina merenung mata teman karibnya kemudian mengangguk tanda setuju.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                               
        “Ita, aku dah tak mampu bertahan lagi. Sana sini orang dok mengata aku. Kasihan mak dan abah aku, tak pasal-pasal dikutuk masyarakat.” Kasdina meluah rasa kesalnya.
        “Baru-baru memanglah macam tu, bila dah lama sikit mereka akan berhentilah, dah penat dan seterusnya lupa. Kan mantan PM kita, Che Det ada mengatakan, Melayu mudah lupa, kau tak ingat?” pujuk Rozita yang bunyinya seakan lawak.
        “Kalau benda baik senang saja mereka lupa, tapi kalau benda aib mereka akan ungkit sampai mati, itu yang aku faham dengan orang kita,” jawab Kasdina.
        “Kau sabarlah, bukankah sabar itu sebahagian dari pada iman?”
        “Aku tahu, tapi dada aku terlalu sesak dan sakit untuk menanggungnya. Hancur lebur hati aku kala ini dan aku ni seakan bernafas dalam lumpur, perit dan cukup terseksa.”
        “Ya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Jadi apa yang boleh aku bantu kau?” Rozita menggenggam erat tangan sahabatnya. Matanya tepat memandang ke arah anak mata Kasdina yang keruh. Tiada lagi sorotan mata yang galak, yang sering bercahaya kalau Kasdina Alya bercakap. Semuanya sudah berubah, bukan lagi Kasdina Alya yang dahulu. Oh, kasihannya sahabatku!
        “Ita, aku rasa, aku nak saja tinggalkan Kampung Manjoi ni. Pergi jauh-jauh ke tempat yang tidak dikenali orang. Biar orang tak tahu samada aku masih hidup atau sudah mati.”  Rozita tergamam dengan luahan rasa Kasdina Alya. Kata-kata yang berbau kekecewaan.
        “Kau nak pergi mana?”
        “Tak kisahlah, asalkan aku tak akan berjumpa lagi dengan penduduk sini. Boleh kau tolong aku? Kaukan banyak saudara- mara yang berada Kuala Lumpur.” Kasdina bersungguh-sungguh untuk pergi dari sini.
        “Bila kau nak pergi?”
        “Kalau boleh sekarang. Aku rasa dah tak tahan walau seminit, tapi aku tahankan juga perasaan ini sebab memikirkan mak dan abah aku.” Kasdina mengelap air matanya yang mula bergenang kembali.
        “Betul tu, jangan ingat kau seorang saja yang rasa sedih, semua adik-beradik dan saudara-mara kau serta aku turut bersedih atas perkara ini. Kau sabarlah banyak-banyak. Aku janji akan tolong kau, mengeluarkan kau dari sini.”                                                                                                                                                                                                                                              
        “Janji ya Ita?”
        “Ya, takkan kau tak percayakan aku. Okey, kalau kau nak keluar dari kampung ni kau mesti dalam keadaan sihat, kuat fizikal dan mental, maklumlah tempat baru, semuanya asing dan susah, jadi kekuatan mesti ada, barulah boleh survive.” Kasdina mengangguk perlahan. Betul juga…
        “Okey, perkara yang pertama kau perlu buat ialah keluar dari bilik ni, dan kita pergi makan untuk dapatkan tenaga dan kesihatan, boleh?”
        “Aku tak ada selera nak makan,” adu Kasdina Alya lemah. Rozita melihat ke atas dan ke bawah susuk tubuh Kasdina  Alya yang benar nampak kurus. Memang gadis ini sudah ketara hilang berat badannya.
        “Aku ada bawa benda yang boleh membuka selera kau. Jom kita keluar, takkan nak makan kat sini.” Rozita memicit hidung mancung Kasdina Alya dan gadis itu menjerit kesakitan sambil melarikan hidungnya supaya tidak menjadi mangsa tangan rakus Rozita.
        “Apa yang kau bawa?” tanya Kasdina Alya bersahaja.
         “Hmm… makanan kegemaran kaulah, ikan pekasam goreng bersama cili dan bawang. Kau suka, kan?” promote Rozita dengan ghairahnya bersama kecuran dan telanan air liur. Kasdina Alya hanya mengangkat kening tanpa komen apa-apa dan tanpa perasaan. Ingatkan bergerak kerongkong, macam aku! Dah sah gadis ini sudah parah perasaannya, sudah lemah jiwanya, sudah tawar hatinya untuk menikmati hidup. Kalau tidak, sebut saja ikan pekasam goreng, especially yang ‘Made in Lenggong’, pasti liurnya sudah kecur walaupun ikan pekasam tersebut masih belum lagi digoreng. Nak-nak lagi kalau pekasam Ikan Loma yang digoreng dengan cili, bawang dan daun karipulai. Perah sikit limau kasturi. Wow! Sedapnya terangkat you, mengalahkan Smoked Salmon, German Smoked Eel atau apa-apa yang sewaktu dengannya.  



No comments:

Post a Comment