NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, October 11, 2013

AWEK ABANG POYO BAB 10




                                           BAB 10

        “Mak, abah. Percayalah cakap Kas. Kas tak buat semua tu. Kas masih tahu dosa pahala. Ilmu agama yang mak dan abah ajar pada Kas tetap utuh dan Kas tak akan buat perkara yang akan memalukan keluarga!” Kasdina mempertahankan dirinya. Dia tahu, ini semua fitnah.
        “Habis kalau Kas tak buat, masakan ada cerita yang tak enak sampai ke telinga keluarga Rafizi?” Hajah Aminah mendesak lagi. Dia perlu tahu kebenarannya.
        “Mak, Kas tak tahu, betul-betul tak tahu.” Mati akal Kasdina Alya dibuatnya.
        “Eh, Kasdina. Kalau tak ada angin masakan pokok bergoyang?” marah Hajah Aminah.
        “Mak, itu peribahasa lama dan dah tak relevan dah pun. Pokok boleh bergoyang kalau ada manusia jahat dan busuk hati yang menggoncangnya,” jawab Kasdina Alya.
        “Maksud kamu keluarga si Rafizi saja buat fitnah?” 
        “Yalah mak, saja dia buat cerita untuk putuskan pertunangan kami. Takkan mak tak kenal Kasdina Alya yang membesar di hadapan mata mak dua puluh empat jam ni. Selama ini mak nampak ke Kas buat benda tak elok?” marah Kasdina. Ini dah melampau, sanggup dia jatuhkan maruah aku semata-mata nak putuskan pertunangan. Tak guna punya jantan.
        “Entahlah, Kas. Tapi masa mama si Rafizi called tadi, berapi-rapi dia marahkan mak, sampai tak sanggup mak nak dengar, nasib baik mak ni tak sakit jantung, kalau tak, tak tahulah apa jadinya,” rungut Hajah Aminah.
        “Apa yang dia orang cakap mak?”
        “Dahlah tak payah ambil tahu, abaikan saja. Malas mak nak ulas. Yang penting Kas tak buat benda-benda yang tak elok tu.”
        “Cakaplah mak, apa yang dia orang tuduh Kas, sampai sanggup putuskan pertunangan kami?”
        “Tak payah tahulah Kas, nanti hati Kas terguris luka,” pujuk Hajah Aminah.
        “Bila dia orang nak datang memutuskan secara beradab?” tanya Kasdina pedih.
        “Kata mereka Ahad ini.”
        “Okey, kita tunggu mak, tau le nak ngajonya,” janji Kasdina Alya. Rasa sakit hati memuncak sampai pucuk pokok kelapa. Kalaulah si Rafizi tu ada saat ini nak saja dia tendang mamat tak guna tu sampai melayang atas bumbung. Biar dia tahu dengan siapa dia berurusan. Kalau dah tak suka dan tak hingin, janganlah main tuduh segala, ini tidak, siap taburkan fitnah lagi. Tapi cerita apalah yang mereka dah skripkan? Ini yang buat aku tak sabar. Siap!

PAGI Ahad yang ceria dan terang, tapi tidak bagi Kasdina Alya sekeluarga. Kedatangan keluarga pihak lelaki benar-benar telah menggelap dan mewarna hitamkan masa depan Kasdina Alya. Benarlah seperti apa yang dikata, mereka datang adalah untuk memutuskan tali pertunangan yang yang telah terikat selama setahun.
        “Boleh saya tahu, atas alasan apa pertunangan ini diputuskan?” celah Kasdina Alya yang turut serta dalam perbincangan meja bulat itu.  Kembang kempis hidung Kasdina menahan sedih dan sakit hati.
        “Kas, pergi masuk dalam, tak baik mencelah cakap orang tua,” larang bonda Hajah Aminah.
        “Tak, Kas tak nak pergi, kas nak tahu juga, alasan apa yang membuatkan Rafizi sanggup memutuskan pertunangan kami, cakap… sebab apa?” Semuanya diam tanpa kata.
        “Kas, sudahlah tu, masuk ke bilik,” pujuk abahnya.
        “Cakap, biar Kas tahu apa sebabnya, kau orang sanggup mencemarkan maruah keluarga kami, sedangkan tarikh pernikahan telah ditetapkan, kad kahwin juga semuanya telah diedarkan, barang-barang semuanya telah dibeli dan disediakan. Apa alasan besar kau orang!!!” jerit Kasdina Alya yang sudah tak mampu bersabar lagi. Merah mata Kasdina Alya melihat mata-mata tetamu yang sudah kecut menikus. Rasa kecik macam semut saja mereka semua tu di pandangannya. Rasa nak tenyeh.
        “Kenapa diam? Berilah alasan kamu!” lancang mulut  Kasdina Alya mencabar.
        “Sebabnya kamu tu dah tak suci, kamu tu pernah mengandung dan gugurkan anak haram,” terang Mak Long yang sedang bersimpuh di belakang mak.
        “Fitnah apa yang kau orang lemparkan ni!!!” jerit Kasdina Alya. Buntang biji matanya kerana terkejut. Memang terkejut giler punya. Tak sangka alasan yang tak pernah bermain di kepala otaknya pula timbul. Ya Rabbi, mereka semua ni sengaja nak menyakiti hati aku. Korang semua memang nak mencari, memang nak kena dengan aku!
        “Betul tu, kami tak nak anak kami mendapat calon isteri yang tak baik dan tak berakhlak,” sahut Puan Kalsom dengan muka yang tak puas hati. Hajah Aminah melabuhkan mukanya menahan malu yang teramat sangat.
        “Mana kau orang dengar cerita ni? Dan mana buktinya!!!” jerkah Kasdina Alya sampai semua orang terkejut termasuk abahnya sekali. Bulat biji mata abang Aji melihat anak sulungnya mengamuk, dah macam gajah turun minyak. Kebetulan di layar kaca pembentangan bajet oleh Pak Menteri petang itu minyak naik sekupang. Mixed bercelaru Abang Aji dibuatnya. Sini turun, sana naik. Mampuih!
        “Eh, sendiri mau ingatlah, pandai kau makan, pandailah kau simpan,” sindir suara dari belah keluarga Rafizi. Air mata Hajah Aminah sudah menitik membasahi ribanya, tapi tidak bagi Kasdina Alya, mukanya semakin merah menyala, umpama singa yang akan membaham mangsa bila-bila masa saja.
        “Eh, Puan Kalsom, dengar sini molek-molek. Puan, kirim salam pada si Rafizi yang berotak sempit tu. Cakap dengan dia, aku pun tak hadap untuk menjadi isteri dia dan menantu emaknya. Cakap dengan dia, malam sikit! Nasib baik TUHAN tunjuk awal bagaimana fe’el Puan Kalsom anak-beranak yang sebenarnya sebelum pernikahan kami. Kalau tak akulah orang yang paling malang sekali dalam dunia ni kerana bersuamikan manusia yang otaknya letak kat kepala lutut!” Nah, amekaw… kenyang telinga kau menadahnya.
        Haji Amran menarik Kasdina Alya ke belakang perbincangan, tanda fault. Walaupun kad merah tidak dilayangkan, namun Kasdina nak jugak tunjuk terror.
        “Kas, sabarlah. Abah tak pernah mengajar Kas jadi macam ni,”  marah Haji Amran.
        “Abah, orang datang rumah kita untuk cerca dan londehkan maruah kita, kita hanya perlu mendiamkan diri dan sabar aje ke?”  tukas Kasdina.
        “Kas, bersabar itu lebih baik,” nasihat Haji Amran lagi.
        “Mungkin pada abah sabar itu sesuai, tapi tidak pada Kas.” Kasdina mula masuk semula dalam perbincangan  yang berlarutan itu.
        “Ini dia segala barang waktu bertunang dulu dan kami harap pihak perempuan akan pulangkan cincin pertunangan pihak lelaki,” kata wakil pihak lelaki tanpa rasa malu. Kasdina bangun berjalan ke biliknya, kemudian datang semula dengan kotak baldu kecil berisi cincin belah rotan di tangan kirinya. Kalau ikutkan rasa hati yang marah ni, nak saja dia lemparkan kotak cincin tersebut atas muka Puan Kalsom.
        “Nah, ini saja yang ada, hantaran dalam bentuk makanan dah pun lama jadi tahi, jadi kenalah pihak sana halalkan. Manakala segala kain pasangnya dah saya buat baju. Itu pun nak juga ke?” sindir Kasdina Alya. Hajah Aminah merenung mata anaknya yang lancang. Jangan berani sangat, kata hatinya, sambil mengucap.
        “Kurang hajarnya anak awak Hajah Aminah bercakap, memang sesuai sangat bila tak jadi macam ni.” Ada lagi suara sumbang yang mencurah kerosene ke dalam api yang sedang menyala. Memang mencari namanya!
        “Ha… ini baru sikit, kalau tidak kerana mak dan abah saya, dah lama saya hamput tuan puan semua.”
        “Dahsyat betul budak zaman sekarang ni, cakap tak bertapis, tak hormat langsung dengan orang tua-tua,” ucap Puan Kalsom sambil menjeling Kasdina Alya.
        “Habis nak suruh saya ni berteriak tangis, merayu-rayu pada puan supaya jangan putuskan pertunangan ini? Heh… tolong sikit, sekali Rafizi tak hendakkan saya, sepuluh kali saya tak hendakkan dia.” Kasdina Alya berjeda seketika, menarik nafasnya yang kencang, kemudian dia menyambung lagi butir-butir kata yang terlintas di kepala hotaknya yang sudah gelong. Lantaklah! Orang kata, dan atuk Rafizi pun pernah kata, alang-alang menyelup pekasam, biar sampai ke pangkal ketiak.
        “Dengar sini semua. Saya rasa hina dan terinaya dengan fitnah yang kalian sampaikan tadi. Dengan nama ALLAH yang jiwa saya dalam genggaman-Nya, saya sumpah kalian semua akan menyesal seumur hidup kerana telah mengkhianati dan memfitnah saya. Saya akan dakwa kalian di hadapan TUHAN di akhirat kelak.” Ternganga semua yang hadir termasuk Mak Long Ani, Kak Siah dan Mak Pe’ah yang sedang bersimpuh di belakang Hajah Aminah. Terangkat muka Hajah Aminah mendengar sumpahan dari anaknya. Rasa  tak masuk akal pun ya, rasa macam sejarah Mahsuri Pulau Langkawi tu pun ya. Entah apa-apalah si Kasdina ni, macamlah sumpahannya itu berdaulat dan ada power sakti. Yang nak dakwa depan ALLAH tu, betullah! Tapi yang sumpah-sumpah tu apa cerita! Terasa diri tu cucu-cicit, ciut-ciat, piut-miut, piat-piut, pot pot pot Sang Kelembai ke apa?
        Tanpa menoleh Kasdina terus masuk ke dalam biliknya dan menghempaskan badannya ke katil lalu mengongoi. Melepaskan air mata yang diseka sekian lama. Sungguh-sungguh Kasdina Alya menangis kesedihan, merintih nasib yang menimpa, sehingga pipinya lencun dengan air mata. Sampai hati Rafizi buat dia seperti ini. Bukan sehari Rafizi mengenalinya, malah dah tiga tahun. Dua tahun mereka berkawan dan setahun mereka bertunang. Sepanjang mereka berkawan dan bertunang takkanlah Rafizi belum kenal lagi siapa Kasdina Alya. Kalau bersentuhan kulit pun Kasdina Alya tak mahu, inikan pula untuk melakukan zina sehingga mengandung dan menggugurkan anak. Ya ALLAH, manusia apa mereka ni?
        “Gila!!!  Kau orang semuanya gila!!!” Kasdina menjerit kuat dan lantang seperti orang kerasukan. Terkejut Haji Amran dan Hajah Aminah. Bergegas mereka berdua menerpa masuk ke bilik Kasdina Alya.
        “Kas, sabar nak, jangan jerit-jerit macam ni. Tak elok sayang,” pujuk Hajah Aminah sambil menggosok-gosok belakang Kasdina Alya. Kasdina bangun lalu memeluk maknya.
        “Mak…” Tak mampu Kasdina Alya bersuara. Air matanya makin laju bagaikan hujan di musim tengkujuh yang lebat menggila. Hajah Aminah juga tidak mampu menahan tangisnya. Air matanya yang tadi sudah kering, kembali bercucuran menemani tangis anaknya.
        “Ya, mak tahu. Sabarlah sayang. Ingat ALLAH. Ini semua ujian dari ALLAH, dan pasti ada hikmahnya,” pujuk Hajah Aminah lagi.
        “Mak, kenapa dia orang fitnah Kas?” Air mata Kasdina makin laju, tak ada pun tanda mahu berhenti. Pedih hati Kasdina Alya menanggungnya. Lebih pedih dari badan yang dihiris dengan pisau kemudian dilumurkan dengan garam dan cuka, diperah pula dengan limau nipis. Pedih dan sakitnya yang seakan ingin mati. Kalau sekadar putus tunang, tak apalah lagi, dah tak ada jodoh, tapi kalau dah memfitnah dengan perkara yang melibatkan maruah, ini yang tak boleh nak ditanggung dan nak dikrompomi.
        “Mak tau, Kas seorang yang kuat. ALLAH juga tahu Kas seorang yang kuat dan hebat. Letak ujian yang hebat macam mana pun Kas tetap steady. Kas tetap redha dan pasrah. Sebab itulah ALLAH pilih Kas untuk diberi ujian ini. Agaknya kalaulah ALLAH berikan ujian ini pada Aida, mahu agaknya dia jadi gila. So, sekarang mak nak Kas berhenti menangis, pergi ambil wuduk dan buat solat dua rakaat dan berdoalah pada ALLAH, semoga ALLAH menambah kekuatan pada Kas. Nabi kita pun apabila ditimpa sesuatu kesusahan, baginda akan bersegera melakukan solat meminta pertolongan ALLAH.”  Hajah Aminah memujuk puteri kesayangannya. Dia kenal anaknya dan dia tahu anaknya tidak akan melakukan perkara yang hina itu. Walaupun anak-anak jiran dan anak-anak rakan dah moden cara berfikirnya, dan berpakaian juga dah mengalahkan artis barat, namun Kasdina Alya tetap macam tu, tetap gadis timur yang koservatif.
        Dia mengenali anaknya luar dan dalam, tapi kenapalah ada mulut jahat yang menabur fitnah. Mungkin juga Rafizi tak tahu apa-apa. Cuma kemungkinan atau kebarangkalian ada mulut busuk yang cuba hendak mengacum dengan niat untuk menjatuhkan maruah keluarganya. Tapi siapa pula mala‘un yang sanggup mencipta-reka perkara yang terkutuk ini? Selama ini dia tidak pernah ada musuh, apalagi seteru? Ah… buntu, buntu…





No comments:

Post a Comment