BAB 12
PERSIAPAN untuk kenduri hari minggu ini
tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa pengantin. Bagaimana mungkin hendak
menghentikan kenduri yang telah dirancang berbulan-bulan lamanya, sedangkan kad
undangan telah lama dihantar dan telah pun teredar dan bertukar tangan
dikalangan saudara-mara sahabat-handai dan jiran-tetangga samada yang jauh
mahupun yang dekat.
Tiada daya dan upaya
untuk Hajah Aminah dan Haji Amran menelefon semua jemputan bagi menyatakan
kenduri kahwin anaknya telah dibatalkan. Rasanya sungguh mustahil untuk berbuat
seperti itu. Biarlah, kenduri ini perlu diteruskan juga walaupun ianya pincang.
Lagipun segala keperluan kenduri telah lama dibeli, duit caterer juga sudah sebulan dibayar in advance. Pendek kata semuanya lengkap. Maklumlah kenduri anak
sulung, semuanya nak kelihatan sempurna. Tapi bila ALLAH tidak mengizinkan,
ianya tidak akan berlaku. Saat ini dia akan redha dan pasrah kerana ALLAH lebih
tahu apa yang terbaik untuk anak dan keluarganya.
Kasdina Alya termenung
di sofa sambil memerhati beberapa orang jiran yang sedang memasukkan bungkusan
kecil kudapan ke dalam beg-beg kertas sebagai ole-ole untuk diberi kepada para
jemputan. Kalaulah bukan kerana fitnah durjana itu, pasti dialah orang yang
paling gembira hari ini. Dia akan turut
serta menyudahkan kerja-kerja mengisi kudapan ke dalam beg itu. Dia juga yang
akan menghias set bilik tidurnya yang baru dibeli. Malah dia yang akan mengarahkan
di mana pelamin yang cantik itu harus diletakkan. Tapi sekarang, menjamah itu
semua pun dia dah tak sudi lagi. Hatinya hancur sehancurnya seperti kaca yang
terhempas ke batu. Ah... pelamin anganku musnah. Kasdina Alya mengeluh lagi.
“Kas, takkan nak
tengok saja benda-benda ni?” Hajah Aminah menegur anaknya. Kasdina Alya tidak
menyahut, tapi dia hanya menggelengkan kepala.
“Tak apalah Cik Nah,
kami boleh buat. Biarkanlah Kas tu. Nasib baik dia mahu keluar dari biliknya
pun dah syukur,” sahut Mak Cik Asmah yang sedang rancak menyusun beg-beg kertas
tadi ke dalam kotak.
“Betul tu Cik Nah,
janganlah diusik lagi. Kasihan dia,” sampuk Mak Cik Aton jiran Hajah Aminah
yang paling dekat.
“Entahlah... saya ni
dah tak tahu nak cakap apa dah. Saya serah saja pada ALLAH dengan nasib yang
menimpa kami. Apa pun terima kasihlah kerana sudi datang menolong, saya ingat
dah tiada siapa lagi yang sudi memandang kami ni,” sayu saja ucapan Hajah
Aminah.
“Cik Nah, janganlah bimbang dan bersedih,
ingatlah semuanya ujian dari ALLAH. Sebenarnya kami tak percaya dengan
cerita-cerita yang disampaikan oleh tukang karut-tukang karut kat kampung ni.
Kami kenal siapa Kasdina dan siapa pula keluarganya. Biarlah apa orang nak kata
pun, yang penting ALLAH tahu kita di pihak yang benar.” Sejuk hati Hajah Aminah
dengan sokongan dari Mak Cik Asmah. Terharu rasanya bila ada yang simpati.
“Cik Nah,
ingat satu saja. ALLAH itu Maha Mendengar. ALLAH selalu mendengar dan
mengabulkan doa-doa orang yang dizalimi. Suatu hari pasti kita akan tahu, siapakah
yang punya angkara bila ALLAH kehendaki,” pujuk Mak Cik Aton pula. Kasdina Alya
yang sedang melayan perasaan tadi juga terubat rasa hibanya bila mendengar
tazkirah pendek dari kedua jiran rapatnya. Syukurlah! Masih ada orang yang
percaya aku ini masih suci. Menitik air mata Kasdina Alya kerana terharu.
Tiba-tiba
bunyi bising datang dari arah dapur, seperti orang sedang bertengkar. Hajah
Aminah menoleh ke arah Kasdina dengan isyarat mendongak dagu seolah bertanya
siapakah yang kecoh bertengkar di dapur. Kasdina Alya hanya mengangkat bahu. Bunyi
suara orang bertengkar makin nyata kedengaran. Siapa yang bertengkar? Dalam
rumah ini anak-anaknya jarang bergaduh dan bertengkar. Semua anak-anaknya hidup
dalam berkasih-sayang. Siapa ya? Untuk memuaskan hatinya Hajah Aminah bingkas
bangun lalu menuju ke dapur. Ha… kak long rupanya. Bila dia datang. Tak sedar
pun. Kenapa datang tak masuk pintu depan? Sekarang ni siap bertengkar lagi
dengan suaminya. Apa masalahnya? Apa halnya?
Hajah
Aminah berdiri di ruang dapur bagi mendengar butir perbalahan antara suaminya
dan kak long.
“Saya
kata tak setuju, tak setujulah. Kak long tak faham ke?” marah Haji Amran.
“Heh, Amran.
Kau tu tengin, kepala udang, aku ni datang nak menyelamatkan maruah kau orang
anak-beranak. Kau tak faham lagi ke maksud aku?” jerkah Kak Long Aini.
“Tak payah,
biarlah, kalau maruah kami sekeluarga hancur pun tak mengapa, demi untuk kahwinkan
Kasdina dengan Azwan saya tak akan benarkan,” tegas Haji Amran. Oh… barulah
tahu hujung pangkal ceritanya. Melabuk jatuh jantung Hajah Aminah. Longlai
terus lututnya. Lemah sendi tiba-tiba. Kasdina yang tiba-tiba datang terus
memeluk maknya agar tidak jatuh terbungkang.
“Kenapa
kau tak suka Azwan? Si Azwan tu dengan rela hatinya nak membantu bapa saudaranya
daripada mendapat malu yang lebih besar.”
“Tak
mengapalah kak long, terima kasihlah kerana niat nak membantu. Keputusan saya
tetap sama. Saya tak nak terima Azwan sebagai menantu,” sekali lagi Haji Amran
bertegas. Lega dada Hajah Aminah. Begitu juga Kasdina Alya.
“Kau
rela kenduri Ahad ini tanpa ada pengantin?
Apa kau nak cakap bila orang bertanya?” desak Kak Long Aini.
“Saya
akan cakap dah tak ada jodoh dari ALLAH. Semuanya berpunca dari mulut jahat
orang yang khianat.” Merah muka Kak Long Aini dengan kenyataan
itu.
“Itu
cakap kau. Kau belum tanya lagi pendapat Kasdina. Tentu dia nak berkahwin
dengan Azwan. Daripada tak berlaki lebih baik dia berkahwin dengan sepupunya
sendiri,” bukan main sedap lagi Kak Long Noraini bercakap. Bukan main yakin dia!
“Mak
long, Kas tak sudi pun jadi isteri Azwan. Lebih baik Kas dihina dan dicerca
daripada bersuamikan Azwan,” tegas sekali suara Kasdina.
“Kenapa?
Sebab Azwan tu penagih dadah?” tempik Noraini marah.
“Ya,
takkan mak long tak kenal anak sendiri?”
“Tapi
Azwan boleh berubah selepas kahwin nanti. Bila dia dah berkeluarga, tahulah dia
akan tanggungjawabnya. Kas bukannya tak tahu, asalnya Azwan tu budak baik dan
bertanggungjawab, tapi kerana terjerumus dengan benda tu dia dah berubah
sikit,” intonasi suara Noraini berubah rendah,
tabaqat qarar.
“Berubah
sikit mak long kata? Dah jadi penagih tegar macam tu boleh ke berubah? Entah-entah
dia dah pun dijangkiti aids, positif HIV. Mak long tahu tak? Kalau Azwan tu dah
dijangkiti aids, haram hukum baginya berkahwin dengan mana-mana perempuan sebab
ianya akan memberi mudarat pada orang lain, faham dak?” Wah… daripada lembik
layu dan tak bermaya, bukan main segar lagi Kasdina Alya memberikan hujah. Haji
Amran menoleh. Hah… inilah anak abah yang sebenarnya. Kembang dada Haji Amran,
anaknya masih lagi berfikiran waras walaupun dalam keadaan tertekan.
“Pandailah
kau bercakap. Kalau kau tu baik sangat dan pandai sangat jaga diri, takkanlah
sampai bunting tanpa suami, lepas tu siap gugur kandungan lagi.” Berdesing
telinga Kasdina Alya mendengarnya. Kalau tidak kerana memikirkan mak long itu
ibu saudaranya, dia tidak akan teragak-agak untuk menyingsing lengan baju
kurungnya. Biar lebam biji mata mak long. Cakap jangan sebarang cakap, makan
jangan sebarang makan. Karang tak pasal-pasal muka mak long makan penumbuk
sulung aku ni. Ayam bertelur kat punggung, mak long bertelur kat dahi. Ndak!
“Memang
Kas pandai dan bijak jaga diri, tapi disebabkan orang yang bermulut busuk dan
bau limbah longkang macam mak long yang suka menabur fitnah pada orang, itu
yang jadi masalah. Mak long tahu tak balasannya kepada orang yang suka buat
fitnah ni. Balasannya samalah seperti makan daging busuk saudaranya sendiri
yang telah mati. Lepas tu dalam neraka nanti, kerja dia mengerat lidahnya
sendiri, tak henti-henti. Mak long nak macam tu?” tinggi suara Kasdina.
“Ah…
sudahlah, jangan nak merepek. Kau ingat, kau bijak. Kau tak tahu siapa lagi
bijak. Sebenarnya korang semua belum kenal dengan aku lagi. Urusan kita belum
selesai,” ungkapan yang berbau ugutan dari Noraini menyebabkan semua yang
berada di situ terkesima. Noraini berlalu dengan hentakan kaki yang kuat
seperti gergasi yang kehampaan. Tanda marahnya yang tidak bertepi. Hajah Aminah
mengurut dada lega dan Haji Amran terduduk di kerusi, kemudian dia menuang air
sejuk ke dalam gelas buat membasahi tekaknya yang dah lama kering, juga buat
menyejukkan hatinya yang dari tadi panas.
“Apa
kena dengan kak long ni?” luah Hajah Aminah tidak puas hati.
“Entahlah,
abang pun tak tahu. Belum lagi selesai satu bala, nak pula ditambah dengan bala
yang lain.” Haji Amran menyambung rungutan isteri.
“Biasalah
mak long tu, nak menangguk di air yang keruh. Entah-entah ini semua angkara
dia, siapa tahu?” tuduh Kasdina geram.
“Hiss…
jangan menuduh. Berdosa tau! Kalau kita menuduh tanpa bukti, samalah kita
seperti perangai mereka yang menuduh Kas tanpa asas itu. So, jangan nak cari pasal, jaga mulut tu, jangan terlepas cakap,
jangan celupar sangat,” pesan Hajah Aminah.
“Tapi
mak, peliklah mak long tu, selama ini dia bukan main lagi benci dengan Kas. Apa
saja yang Kas buat semuanya tak kena di mata mak long. Tup-tup, nak pula dia
bermenantukan Kas yang dituduh dah tak dara lagi. Apa maknanya tu?” keras suara
Kasdina Alya yang ditujukan kepada mak longnya.
“Maaflah
menyampuk, tapi ada juga betulnya cakap si Kas ni, Cik Nah. Sebab selama ini
pun mulut si Noraini tu boleh tahan jahatnya. Kat dalam kampung ni, anak siapa
yang dia tak umpat. Tapi bila kena batang hidung sendiri, tak nak pula dia
heboh menjaja cerita tentang anaknya yang sering kena tangkap polis, keluar
masuk lokap tu,” celah Mak Cik Asmah yang dari tadi kelihatan pasif dan selesa
menjadi pendengar dan penonton bersama beberapa orang yang lain.
“Apa
hal pun, kita berhati-hatilah kerana kita tak tahu apa yang ada dalam hati
manusia. Baguslah Kas tadi tidak terpengaruh dengan permainan si Noraini tu. Sebenarnya
dialah pelakon, dialah sutradara. Hati-hatilah!” pesan Mak Cik Aton sambil
menepuk-nepuk bahu Kasdina Alya.
“Apa
maksud Mak Cik Aton?”
“Tak
ada apa-apa, sekadar berpesan. Manusia ni rambut saja sama hitam, tapi hati
lain-lain,” pesan Mak Cik Aton lagi.
“Aton,
sekarang ni rambut pun dah berbagai warna, dah tak sama lagi,” celah Mak Cik
Asmah. Mak Cik Aton ketawa, Hajah Aminah senyum dan Kasdina Alya bersahaja,
tanpa perasaan. Fikirannya berlari pada mak long. Apakah betul wanita itu
mempunyai agenda? Tapi takkanlah mak saudara sendiri yang mengkhianatinya? Tak
mungkin. Sejahat-jahat mak long, dia masih darah daging abah. Hati Kasdina Alya
menangkis lintasan jahat yang mula mengisi ruang fikiran.
No comments:
Post a Comment