BAB
7
SURIA terlompat-lompat kegembiraan sebaik saja papanya,
Johari memasuki dan memberhentikan Mercs putihnya di halaman banglo mewah Dato’
Marzuki yang luas. Salah satu di antara tempat yang paling Suria suka kunjungi
adalah di sini, dan bila sudah bertandang alamatnya cukup susah untuk diajak pulang.
Di hadapan pintu, seorang perempuan pertengahan usia berdiri tegak
dengan senyuman menyambut kedatangan anak menantu yang disayangi. Belum luas Johari
membuka pintu keretanya, anak kecil itu terus melompat keluar tanpa perlu
menunggu arahan, lantas berlari untuk mendapatkan neneknya.
“Nenek!” Suria melaung sambil berlari dan tangannya didepakan.
Bersedia untuk memeluk nenek kesayangannya yang sudah agak lama tidak ditemui. Johari
tersenyum bahagia melihat kelincahan dan keriangan Suria.
“Mama apa khabar?” tanya Johari sebaik saja bersalaman dan
mencium tangan ibu mertuanya.
“Baik… Alhamdulillah. Joe sihat?”
“Alhamdulillah. Papa macam mana?”
“Adalah sihat sikit. Masuklah, nanti mama panggilkan papa.”
Datin Amni mempelawa.
“Terima kasih,” kata Joe.
“Harlina mana, tak ikut?” Datin Amni bertanyakan tentang anak
perempuannya.
“Macam biasalah mama, tiap kali hujung minggu, ada saja hal
dan program luarnya,” adu Johari.
“Apa yang dia buat?” tanya Datin Amni seakan marah. Hatinya
memang bengkak dengan perangai Harlina yang entah apa-apa. Walaupun hanya
seorang itu sajalah anak perempuan yang dia ada, tapi itulah juga anak yang tak
henti-henti memberi masalah pada dia dan keluarga, dari zaman remaja sampailah
sekarang, walaupun dah bergelar ibu. Entah apalah nak jadi dengan anak-anaknya,
terutamanya yang sorang ni, dia pun tak tahu. Datin Amni menghela nafas yang berat.
“Sunyi aje rumah, mana budak-budak?” tanya Johari buat
merubah topik.
“Mereka semua keluar shopping, sekejap lagi baliklah tu,” jawab Datin Amni ramah.
“Joe duduk dulu ya, nanti mama panggilkan papa. Dia dalam bilik,
sedang berehatlah agaknya tu. Jom Ria, kita panggil atok,” ajak Datin Amni.
“Baiklah!” Johari mengangguk sambil matanya dihantarkan ke
arah ibu mertuanya yang sedang berpimpin tangan dengan Suria menuju ke tingkat
atas.
Sebentar kemudian Mak Mah datang bersama dua gelas minuman
untuk tetamunya.
“Mak Mah apa khabar?” lembut Johari bertanya.
“Alhamdulillah, Mak Mah sihat. Lama Joe tak datang. Rindu
pulak Mak Mah pada kau orang dua beranak,” adu Mak Mah, orang gaji yang begitu
setia dengan keluarga Datuk Marzuki. Lamanya dia mencurahkan khidmat, dari muda
hinggalah ke sekarang ini.
“Maaflah Mak Mah, Joe sibuk sangat sekarang. Mak Mah masak
apa hari ini?” Johari bertanya ramah.
“Kebetulan hari ini Mak Mah masak, masak lemak ikan kembung
dengan belimbing buluh, tempe goreng sambal dan sambal belacan dengan ulam-ulam
kampung sikit,” cerita Mak Mah, membuat Johari menelan air liur. Seakan terasa
kesedapan masakan Mak Mah yang pernah dia rasai.
“Sedapnya Mak Mah. Lama dah Joe tak rasa masakan Mak Mah. Rindu
beno rasanya.” Luahan Johari membuatkan Mak Mah sedih dan terkilan.
“Yalah… Joe pun jarang datang. Kalau datang pun sekejap-sekejap
aje. Tak pernah nak lama, apalagi nak bersembang riuh rendah macam dulu,”
rungut Mak Mah menyambung sedih.
“Bukannya Joe tak nak Mak Mah, tapi keadaan tak mengizinkan. Segalanya
dah berubah. Kalaulah boleh diputarkan masa ini ke belakang, Joe tak nak
kehidupan yang ada sekarang. Biarlah Joe jadi orang biasa saja, dan kalau jadi
kuli papa pun Joe sanggup.” Johari meluahkan rasa di hati.
“Habis, Joe menyesal?” tanya Mak Mah.
“Entahlah Mak Mah. Kalau nak kata menyesal pun tak boleh,
sebab semuanya adalah ketentuan ALLAH, dan DIA yang telah mengatur setiap gerak
kehidupan kita ini. Satu lagi, kalau saya menyesal maka tak wujudlah Suria
dalam hidup saya ini. Sedangkan Suria itu umpama cahaya yang telah menyinari hidup
saya yang sekian lama suram,” luah Johari lagi.
“Sabarlah Joe, mungkin suatu hari Joe akan bertemu dengan
kebahagiaan yang sejati. ALLAH itu Maha Adil. Sabar banyak-banyak dan berdoalah
selalu,” nasihat Mak Mah pada Johari, seumpama dia sedang memujuk dan
menasihati anaknya sendiri. Memang kasihnya pada Johari sangat mendalam. Sejak
dari Johari berumur sepuluh tahun hinggalah sekarang, iaitu semenjak Johari
dibawa masuk oleh datuk dan datin ke rumah ini, dan menjadikannya sebagai anak
angkat mereka, dia mendidik Johari bagaikan mengajar anak kandungnya sendiri.
“Nah, minum dulu Joe.” Mak Mah menghulurkan jus campuran fresh
oren dan strawberi kegemaran Johari sejak kecil.
“Minuman yang saya suka?” Johari bertanya gembira. Bahagianya
dia bila Mak Mah masih mengingati setiap apa yang dia suka.
“Ya, masakan seorang ibu boleh lupa kegemaran anaknya?” Berkaca
mata Johari sebaik saja mendengar ucapan Mak Mah yang membuatkan dia sebak. Ya,
memang Mak Mah seperti ibu baginya. Segala suka dukanya sering dikongsi bersama
Mak Mah. Kalau dia menangis, Mak Mah juga akan menangis, lantas akan
memujuknya. Kalau dia ketawa riang, Mak Mah juga turut gembira dan berasa
bahagia.
“Minumlah, Mak Mah nak sambung masak, karang kita makan
tengahari sama-sama ya,” pelawa Mak Mah. Johari mengangguk sambil tersenyum.
Sedang asyik Johari membaca Sinar Harian, riuh suara mulut
becok Suria kedengaran. Johari menoleh.
“Suria, kenapa minta atok dukung. Atok, kan tak sihat?”
Johari menegur anak kecilnya yang sedang bergelak ketawa dalam dukungan
atoknya. Manakala nenek, Datin Amni mengekor dari belakang.
“Tak mengapalah Joe, papa pun dah sihat sikit ni. Ini kira
riadah juga,” jawab Datuk Marzuki dengan ketawa bila cucu kesayangan memeluk
tengkuk dan mencium pipinya berkali-kali. Ah… Suria memang begitu. Mudah mesra
dan amat menyayangi orang di sekelilingnya. Suria tetap buah hati papa yang
suci, biar beribu kali orang mengeji. She’s my Hummingbird.
“Macam mana kesihatan papa sekarang?” Johari bertanya sebaik
saja habis bersalaman.
“Adalah kurang sikit, tapi doktor kata papa kena banyak
berehat. Doktor tak bagi papa buat kerja teruk-teruk macam dulu lagi. Inilah
perkara yang papa nak bincangkan dengan Joe.” Datuk Marzuki merenung ke arah
anak angkat yang juga menantu kesayangannya.
“Ada apa, papa ada masalah ke?”
“Joe, papa bercadang nak serahkan saja Syarikat Megah Maju tu
pada Joe, dan lantik Joe jadi CEOnya. Kira syarikat itu milik penuh Joe. Apa
pendapat Joe?” tanya Datuk Marzuki.
“Hish… apa ni papa? Joe tak ndak. Joe setuju pegang jawatan ni
sekarang pun, untuk sementara waktu saja, ganti papa yang tak sihat. Siang
malam Joe berdoa semoga papa cepat sembuh dan boleh kembali ke pejabat. Joe tak
nak itu semua, Joe hanya nak bantu papa,” akui Johari tentang niat hatinya.
“Bolehlah Joe, Joe bukannya orang lain, anak menantu papa
juga, kan! Kalau Joe terima pemberian papa tu bermakna Joe telah membantu papa.
Siapa lagi yang nak papa harapkan?” Datuk Marzuki masih memujuk.
“Abang Hardy, kan ada. Papa bagilah syarikat tu pada dia. Biar
dia teraju Syarikat Megah Maju tu.” Johari menolak, memang dia tak ingin
apa-apa harta pun dari Datuk Marzuki. Cukuplah kasih sayang yang papa dan mama
telah berikan selama ini.
“Joe bukannya tak tahu perangai Hardy, kan? Kalau papa
serahkan Syarikat Megah Maju tu pada dia, alamatnya ranap, habis lingkuplah segala
usaha papa selama ini.” Datuk Marzuki dapat membaca apa yang tertera dalam
kepala anak angkatnya.
“Tapi papa, Abang Hardy tulah yang paling layak. Dia, kan
anak kandung papa. Saya ni hanya anak angkat aje, kalau dari sudut pembahagian faraid
pun, saya tak layak, dan tak patut dapat apa-apa. Itu realitinya,” tegas
Johari.
“Papa tahu itu semua, sebab itulah papa nak bagi siap-siap,
agar kalau papa dah tak ada nanti, nasib Joe dan Suria taklah
terkontang-kanting. Tentang Hardy dan Harlina tu, Joe jangan risau, mereka dah
ada bahagian masing-masing. Joe terimalah hadiah dari papa,” terang Datuk
Marzuki. Johari termenung.
“Papa, janganlah buat Joe serba salah.” Johari merayu lemah.
“Joe juga, janganlah buat papa serba salah. Selama ini papa dah
cukup rasa bersalah pada Joe. Papa telah memusnahkan kebahagiaan Joe. Papa tahu
Joe terpaksa mengahwini Harlina atas permintaan papa. Papa menyesal sangat
kerana telah menyusahkan Joe,” luah Datuk Marzuki.
“Papa jangan nak ungkit lagi, benda dah lama berlalu. Semua
ini terjadi pun atas kehendak ALLAH jua, papa tak perlu rasa menyesal. Joe
bahagia dengan adanya Suria.”
“Tak… papa tahu, Joe tak bahagia. Joe tak pernah mencintai
Harlina, dan Harlina juga tidak menghormati Joe sebagai seorang suami.” Sugul
sungguh wajah Datuk Marzuki, sesungguhnya dia dapat rasakan apa yang dialami
oleh menantunya.
“Papa sudahlah! Jangan fikirkan sangat tentang rumah tangga
kami. Insya-ALLAH kami akan dapat melaluinya dengan baik. Cuma beri kami masa.”
Johari tidak bercadang untuk membincangkan masalah rumah tangganya dengan orang
lain. Cukup hanya dia dan ALLAH saja yang tahu akan kepincangannya. Dia tidak
perlu membebani mama dan papa dalam soal ini.
“Joe, mama tak menyokong, menghalang atau menyuruh. Kalau Joe
ada rasa teringin nak berkahwin satu lagi, teruskanlah hajat itu. Mama dan papa
merestuinya,” sampuk Datin Amni yang sekian lama menjadi pendengar dalam
perbincangan itu.
“Mama, seorang pun Joe tak mampu nak didik dan ajar. Inikan, dua.
Boleh mati berdiri tau tak ma.” Johari cuba buat lawak, kemudian tertawa
sendiri. Tak terfikir pun selama ini dia nak tambah cawangan.
“Mama tahu, Harlina tu banyak kekurangannya. Dia bukanlah
isteri yang baik, dan tak pernah membahagiakan Joe, malah menambah dan membebankan
Joe dengan masalahnya adalah. Mama malu sangat sebab menjadi ibu yang gagal
dalam mendidik anak-anak,” suara Datin Amni terputus, ada kesedihan yang perlu
diberi laluan, lalu air mata yang bergenang sedari tadi, menitik perlahan.
“Mama kita tak payah sembang pasal ni lagi okey?” sekali lagi
Johari cuba mematikan isu.
“Joe, seandainya suatu hari nanti Joe ada seseorang yang
berkenan di hati, bawalah dia jumpa mama, kami akan merestuinya,” pinta Datin
Amni sungguh-sungguh. Johari hanya mengangguk untuk menyudahkan perbincangan
yang tak masuk akal kudupnya. Aduh! beratnya…
“Oh, patuhlah rumah ini rasa panas dan berbahang saja bila
masuk tadi, rupa-rupanya ada anak haram kat sini.” Kuat suara yang memerli
datang dengan tiba-tiba dari belakang menerjah masuk ke lubang telinga, bisa memecah
gegendang dan menghancurkan hati Johari. Tak perlu Johari menoleh untuk melihat
siapa yang bercakap, dia sudah tahu orangnya. Johari melihat ke arah anaknya
yang sedang ralit bermain di riba datuknya. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu,
sedih dan terasing.
“Apa masalah kamu sebenarnya Hardy. Kenapa kau marah sangat
dengan Joe dan Suria?” tengking Datin Amni kepada anak sulungnya yang baru
balik dari membeli-belah bersama keluarganya. Manakala anak-anak Hardy, Hani
dan Aiman berlari ke arah datuknya untuk mendapatkan Suria yang berada di
ribaan bagi diajak bermain bersama-sama.
“Heh, budak-budak, jangan kau orang bermain dengan anak haram
tu!” melengking marah Hardy pada anak-anaknya. Terhenti larian Hani dan Aiman. Selalunya
itulah perkataan yang sering Hardy jeritkan untuk melarang anak-anaknya bermain
dengan Suria. Anak-anak yang ketakutan itu akan terundur ke belakang,
berlindung di balik ibunya Siti Anisa, bagi mematuhi perintah ayahnya, tapi
jika sekira ayah mereka tiada di rumah, mereka bertiga akan bermain sampai
penat dengan penuh ceria dan bahagia.
“Jaga mulut kau Hardy! Mama tak suka kau cakap macam tu pada
cucu mama,” menyinga marah Datin Amni. Suria yang berada di ribaan juga
terkejut, kemudian mata bulat miliknya merenung ke arah wajah nenek yang sedang
berapi.
“Dah kenyataannya macam tu, macamlah mama tak tahu. Anak dan
bapa sama-sama anak haram,” ejek Hardy yang belum puas memuntahkan
kebenciannya.
“Tutup mulut kau Hardy!!!” Datin Amni menjerit lagi. Hatinya
cukup sakit dengan kutukan dari Hardy.
“Kenapa mama tak nak terima hakikat yang dua orang manusia
tak berguna ini telah menghancurkan hubungan kita anak-beranak?” suara Hardy
juga tinggi bila kemarahan sudah menguasai perasaan.
“Apa yang kau marah sangat pada Suria dan Joe? Mereka tak
pernah pun menyusah dan menyakiti hati kau?” giliran Datuk Marzuki pula yang
marah.
“Aku marah sebab dua ekor anak haram ni telah merampas hak
aku. Papa dan mama lebih sayangkan si keparat yang pernah merempat ni daripada
anak kandung sendiri. Papa serahkan Syarikat Megah Maju pada bedebah ni. Apa
yang aku dapat?” Mengamuk giler Hardy bila melibatkan isu pengagihan harta.
“Abang, boleh kutuk saya macam-macam, tapi tolonglah jangan
kutuk anak saya. Dia tak tahu apa-apa, dan dia tetap anak yang suci,” pinta
Johari.
“Hahaha… lalala… sucilah sangat,” ejekan kuat dengan ketawa
yang menyakitkan hati dari Hardy.
“Knock it off. Diam kau Hardy!!!” marah
Datuk Marzuki dengan penuh emosi.Tiba-tiba dada Datuk Marzuki kembali berdenyut
dan diserang. Tangannya diletakkan ke dada.
“Papa okey ke?” tanya Johari risau. Datuk Marzuki mengangguk
kemudian dia menjawab, ‘papa perlu berehat’.
“Yalah, Joe juga perlu beredar dari sini,” kata Johari.
“Elok sangatlah kau bawa keluar anak haram kau tu, sebelum
rumah ni penuh dengan bahang panas,” mulut celaka Hardy terus-terusan merobek
perasaan Johari, dari dulu hinggalah sekarang, mulut limbah itu tidak pernah
berhenti memaki-hamun dirinya. Johari merenung tajam ke arah Hardy, kalau tidak
difikir dan dikenangkan segala jasa dan kebaikan papa dan mama, ingin saja dia
membelasah Hardy sampai lembik dan sampai lunyai. Biar mulut longkang itu pecah
robek hingga tak mampu berkata-kata lagi. Tapi kena bawak bertenang
banyak-banyak, nabi pun ada beritahu, ‘sesungguhnya orang yang bersabar, dapat
menahan marahnya apabila menerima provokasi, adalah orang yang paling kuat’.
Jadi, teringatkan akan nasihat itu, pendekatan yang terbaik ialah bersabar
selagi mampu.
“Mama, papa Joe balik dulu. Assalamualaikum!” ucap Johari
sambil mencempung Suria yang berada di sisinya dan terus berlalu pergi. Suria
yang tidak tahu apa-apa mula merenget kerana tidak puas bermain dan bermanja
dengan datuk dan neneknya.
Bila Johari mula menggerakkan keretanya, dia nampak dari cermin
pandang belakang, Mak Mah berlari mengejarnya bersama ‘siya’ bekas makanan
bertingkat di tangan. Pasti itu masak lemak ikan kembung dan belimbing buluh
yang hendak diberikan padanya. Johari menjadi bertambah sedih melihat Mak Mah
menangis bila dia terus meninggalkan perkarangan rumah Datuk Marzuki. Hatinya
cukup terguris dan terluka, harap-harap Mak Mah faham dengan situasi yang
mencengkam ini.