NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, September 27, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 5


                                          BAB 5

PAGI-PAGI lagi Sonia telah sampai di pejabatnya yang terletak tidak jauh dari pusat perniagaan Wangsa Walk. Kadangkala staf belum sampai lagi, dia dan Mak Cik Hana sudah pun memulakan tugas rutin harian mereka. Biasanya mereka datang awal atas alasan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Pagi ini bila Sonia menolak daun pintu bilik stor, Mak Cik Hana tidak ada di situ. Di tempat lain juga tidak ada. Puas dia mencari tapi tak juga jumpa. Akhirnya dia menyeluk poket seluarnya mengambil handfon lalu mendail talian Mak Cik Hana.
“Assalamualaikum, mak cik kat mana ni?” tanya Sonia.
“Waalaikumussalam. Mak cik masih kat rumah, mak cik tak kerja hari ni,” jawab Mak Cik Hana.
“Oh ya ke! Kenapa, mak cik sakit ke?” Bimbang pula rasa hatinya, sebab dia tahu Mak Cik Hana hanya sebatang kara di KL ni. Kalau sakit pening pasti tiada siapa yang menjaga.
“Tak… Mak cik ambil cuti. Ada hal penting,” kata Mak Cik Hana lagi.
“Hal apa mak cik?” Sonia mula kepo, saja nak tahu. Kot-kot Mak Cik Hana dalam kesusahan.
“Nantilah, bila dah jumpa Sonia esok mak cik beritahu.”
“Okeylah kalau macam tu! Hati-hati ya mak cik. Jaga diri baik-baik,” pesan Sonia penuh prihatin.
Ketiadaan Mak Cik Hana di pejabat membuatkan Sonia susah hati dan serba salah. Sebelum ini dia tak pernah masuk dan membersihkan bilik air lelaki, malah semua yang berkaitan dengan tandas lelaki dia tidak pernah ambil tahu. Yang dia kisah hanya bilik air wanita sahaja, kerana semua undang-undang dan apa yang diamanahkan ke atasnya terhadap tandas di pejabat itu telah pun dibuat MoU dengan Mak Cik Hana. Tapi hari ini nampaknya automatik perjanjian itu terbatal dengan sendirinya. Mahu tidak mahu terpaksa juga dia masuk ke bilik air lelaki itu untuk dicuci. Haiya… ini macam wa butut-butut tara suka maa…
Walaupun tak suka, dia tetap rasa bertanggungjawab mengambil alih tugas Mak Cik Hana. Bertungkus lumus dia mencuci bilik termenung dan tempat mencari idea bagi kaum lelaki yang suka membaca akhbar sambil merokok itu. Apa pun tak kisahlah, yang pentingnya penghuni pejabat ni ‘enjoy’ berkunjung ke bilik air senggelaraan Sonia dan Mak Cik Hana. Kenapa ya? Tidak syak lagi, mereka selesa dan seronok dengan keadaan bilik air yang nampak ‘kelaas’, dan yang tak kalah dengan bilik air hotel lima bintang. Mana tidaknya, siapa saja yang masuk ke situ, bila keluar gerenti melekat bau-bauan wangi lavendarnya. Di setiap sudut bilik air itu juga mereka letakkan pokok-pokok indoor hijau yang menyejukkan mata dan sesuai dijadikan hiasan. Pendek kata, bilik air di bawah seliaan mereka berdua nampak bersih, kemas dan eksklusif. Tidaklah begitu menghairankan kerana kedua pengendalinya juga sentiasa kelihatan kemas dengan uniform putih, but kuning Phua Chu Kang, rubber gloves dan lain-lain eksesoris setiap kali menjalankan tugas.
Sedang asyik Sonia memancutkan air ke seluruh permukaan lantai, tiba-tiba ada lelaki yang menerjah masuk. Sonia yang sedang bekerja sambil menunduk hanya nampak sepasang kasut tajam ala kasut John Travolta yang sudah basah akibat semburan air paipnya itu.
“Haiya… lu talak tengok itu signboard ka, sana atak tulis “Silang Chuuchii”, talak leti baca ka?” marah Sonia persis nyonya tua kepada tuan punya kasut ‘John tarak otak’ itu.
“Maaf, saya terpaksa guna bilik air sekarang. Terdesak sangat,” ucap suara orang yang sedang berdiri di hadapannya. Macam pernah dengar suara itu. Sonia mengangkat muka. Mak!!! hatinya menjerit kuat rasa nak melompat. Terkejut bukan kepalang. Sekarang dia sedang berhadapan dengan kepala kantor, waduuh… gimana sih? Gawat…
“Maaf pak… enggak sengaja,” tiba-tiba saja terkeluar bahasa seberang dari peti suaranya yang mula ketaq.
“Tak apa… saya yang salah,” jawab Encik Johari.
“Tapi pak, saya yang bersalah. Maaf pak,” gelabah betul Sonia, sampai tak sedar bahasa apa yang dia guna. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, Sonia mengeluarkan sapu tangan di sakunya, lalu dilap-lapnya kasut hitam runcing berkilat yang sudah basah lencun itu.
“Tak mengapa, saya nak cepat ni, biar saya saja yang buat,” larang Encik Johari sambil mengambil sapu tangan tersebut dari tangan Sonia. Kemudian Encik Johari terus bergegas ke bilik termenung. Dek kerana rasa malu dan bersalah, Sonia membatalkan niatnya untuk meneruskan kerja mencucinya saat itu juga. Laju saja dia mengangkat kon bersama papan tanda “Tandas Sedang Dicuci”, “Cleaning In Progress” dan sebagainya itu, kemudian terus dia menghilangkan diri, sebelum terserempak sekali lagi dengan pemilik si kasut tajam itu.
Malam makin larut, tapi mata Sonia begitu liat untuk pejam. Terkebil-kebil biji matanya merenung siling, membilang hari-hari yang telah dia lewati tanpa Ain Kaisara. Sonia berpusing ke kiri, wajah Kaisara yang terpampang, berkalih ke kanan, seraut wajah comel yang menjelma. Sonia bangun dari katil, menuju ke handbagnya untuk mengambil ‘azimat’ yang sering dia gunakan tatkala dia tidak dapat melelapkan mata seperti itu. Cari punya cari, tak juga jumpa. Dah puas dia membelek di celah-celah beg, bayang pun tak nampak. Sonia mula berfikir, di manakah kali terakhir dia menggunakan tangkal ‘bebas syirik’ itu. Di rumah atau di pejabat? Tiba-tiba mentol di kepalanya menyala malap, kemudian terang dengan tiba-tiba. Hah, dah ingat pun! Patutlah cari tak jumpa, bukankah siang tadi dah jadi kain pengelap kasut tajam bos? Alamak! Mamak! Tolong mak! Rasanya pasti dah lesap sapu tangan kesayanganku itu kena buang ke dalam tong sampah. Hai, macam mana boleh blank punya lupa pun tak tahulah. Tak apa… esok pagi-pagi aku akan selongkar tong sampah tu kaw-kaw punya. Aku pasti ada kat situ. Tidurlah wahai mata, esok kita ada operasi ‘ops selongkar’! Sonia memujuk dirinya sendiri.

SEPERTI yang dirancang, Sonia datang awal ke pejabat, lebih awal dari biasa untuk melaksanakan agendanya. Habis segala sampah dalam tong dan bakul sampah dibongkar, ditonggang dan diterbalik ‘kong’ ke dalam plastik hitam.
Heh, Nia buat apa tu?” tegur Mak Cik Hana dengan rasa pelik bila melihat Sonia yang bersungguh-sungguh mencari sesuatu di dalam longgokan sampah.
“Hish mak cik, terkejut Nia.”
“Nia cari apa?” tanya Mak Cik Hana.
“Cari barang tercicir,” tak beria Sonia menjawab.
“Barang apa? Kalau tercicir tentunya jatuh atas lantai, bukan dalam tong sampah,” kata Mak Cik Hana.
“Nantilah Nia cerita, sekarang tengah busy ni,” jawab Sonia sambil meneruskan kerjanya.
Penyudahnya, apa yang diharapkan dari hasil yang sia-sia tadi hanyalah rasa penat dan hampa. Barang yang dicari tidak juga ditemui. Sonia termenung kesedihan. Hanya satu lagi peluang atau ‘talian hayat’ untuk dia mengetahui di manakah harta milik kesayangannya itu berada. Encik Johari! Kita nantikan kedatangannya.
Sebaik saja Sonia melihat kelibat Encik Johari masuk ke pejabatnya, hati Sonia mula berdebar kencang. Antara berani dan takut silih berganti. Apakah logik, rasional atau tidak, tindakannya itu. Tapi demi naluri kasih seorang ibu, membuatkan Sonia membulatkan hati mengetuk pintu bilik bosnya. Apa bos nak cakap pun cakaplah… dia nekad.
“Assalamualaikum bos,” ucap Sonia.
“Waalaikumussalam. Ada apa?” Johari menjawab sebaik saja mengangkat muka dari meneliti skrin iPhone 5nya.
“Bos saya nak tanya, sapu tangan yang buat lap kasut bos semalam, bos buang kat mana?” tanya Sonia dengan suara yang gugup. Johari melihat Sonia dengan wajah tanpa senyum dan tanpa perasaan.
“Kenapa?” tanya Johari.
“Saya nak balik sapu tangan tu,” minta Sonia tanpa selindung.
“Sapu tangan kecik tu! Awak nak buat apa?” permintaan Sonia menarik perhatian Johari.
“Tak adalah nak buat apa, tapi saya nak jugak, sebab itu hak milik saya.” Berani betul Sonia menjawab bila terasa yang bosnya nampak seakan hendak mempermainkan tindakannya.
“Erm… Ingatkan nak lap hingus. Tak payah carilah! Saya dah buang dah. Kat Chow Kit berlambak sapu tangan macam tu, macam-macam kaler ada, apa susah, beli ajelah!” Saja Johari nak menyakat, terasa seronok pula buat sesuatu yang tak pernah dia lakukan.
“Bos buang kat mana? Biar saya cari,” tanya Sonia.
“Penting sangat ke sapu tangan Hello Kitty ciplak Made in China tu pada awak?” tanya Johari seloroh.
“Penting sangat-sangat… sebab ianya sentimental value, takkan sama dengan yang baru,” ucap Sonia dalam nada yang kendur dan sedih. Terbayang dia sapu tangan pink embroided tertera Ain Kaisara Love Ibu” di atasnya. Sapu tangan itulah yang selalu dia guna untuk membersih muntah dan air liur Kaisara sewaktu baby. Semua yang bersangkutan dengan Kaisara adalah kenangan terindah bagi Sonia.
“Kalau saya dapat cari balik sapu tangan awak tu, apa yang awak akan beri pada saya?” tanya Johari pada cleanernya yang sedih. Walaupun Johari masih tidak dapat melihat wajah Sonia, tapi dia tahu dari redup mata wanita itu, jelas ia sedang bersedih.
“Saya bagi duit pada bos. Berapa bos nak?” tanya Sonia yang nampak bersemangat kembali.
“Buat apa duit, saya dah banyak duit,” jawab Johari.
“Saya cuci bilik bos sebersih-bersihnya,” cadang Sonia.
“Tak payah… itu memang dah tugas awak,” kata Johari.
“Erm… kalau macam tu, tak ada apa yang boleh saya beri, melainkan bekal saya,” perlahan saja suara Sonia. Sedih sangat bunyinya.
“Wokey, boleh diterima. Bagus tawaran tu. Awak hantar bekal awak tu ke sini, dan saya akan serahkan semula sapu tangan awak tu. Amacam, setuju?” tanya Johari.
Yes, terima kasih bos! Tapi, bekal saya tu taklah sedap mana,” jawab Sonia merendah diri.
“Tak mengapa, saya nak juga dengan bekal awak tu.”  Johari berkeras, dan Sonia pula tergaru-garu kepala kerana rasa kurang percaya.
“Baiklah bos,saya pergi ambil sekarang dan kita buat pertukaran selepas ini,” ucap Sonia sebelum beredar. Johari hanya mengangguk tanda setuju. Sebaik saja Sonia merapatkan pintu biliknya, Johari melepaskan ketawa yang tersimpan sejak tadi, LOL. Entah kenapa terasa lucu pula dengan gelagat cleanernya tadi, dan rasa teruja pula dia untuk mengenakan gadis itu.
        Sonia datang kembali ke bilik bos dengan dua bekas tupperware yang berisi makanan. Dengan rendah hati dan rasa kurang percaya dia menyerahkan bekal sarapan paginya kepada bos yang sudah teruja untuk mencuba. Johari menerima dengan hati yang lapang. Sebaik saja bekas tadi bertukar tangan, Johari terus membuka dan semerbak bau wangi nasi goreng ikan bilis memenuhi ruang udara. Dengan kumat-kamit lafaz Basmalah… Johari memasukkan sesudu nasi goreng tersebut ke dalam mulutnya, kemudian dia menelannya perlahan-lahan. Tiba-tiba, mata Johari membulat besar. Ah sudah… bos tercekik tulang ikan bilis ke? Sonia bertanya dalam hati dengan rasa takut dan bersalah.
        “Awak masak sendiri ke nasi ni?” tanya Johari dengan mata yang masih bulat. Sesuatu yang aneh sedang terasa di tekaknya. Sukar untuk ditafsirkan. Rasa pernah mencubanya, tapi lupa, di mana ya! Tapi yang nyata ada kenangan terselit dalam rasa nasi goreng ikan bilis ini.
        “Ya! eh tak, eh bukan!” Sonia serba salah.
        “Mana satu yang betul ni? Kejap ya kejap bukan,” marah Johari.
        “Tak bos, sebenarnya nasi goreng tu Mak Cik Hana yang masak, dia selalu bekalkan untuk saya. Ha, bekal yang lagi satu tu, ya saya yang masak,” takut-takut Sonia bercerita. Johari membuka pula tupperware berwarna hijau yang dimaksudkan. Sepotong kek keju berlapis dengan hirisan strawberi Cameron cukup meliurkan deria lidah Johari. Sesudu penuh dihantar tepat ke dalam mulutnya. Pergh… kesedapannya mencair di kerongkong. Superb! Best in the world.
        “Sedap, pandai awak masak,” puji Johari ikhlas. Lebar senyuman Sonia, tapi sayang Johari tak nampak.
        “Nah, ini barang awak.” Johari menghulurkan sapu tangan merah jambu milik Sonia. Sekali lagi Sonia tersenyum lebar, tapi sayang Johari masih juga tidak dapat melihat senyuman Sonia yang sebesar padang Stadium Shah Alam itu.
        “Terima kasih bos, kerana menyimpan benda ni,” ucap Sonia lega.
        “Ya, samalah tu, kerana handkerchief Hello Kitty pink awak tu saya dapat merasa nasi goreng dan cheese cake awak yang sedap. Thanks a lot,” jawab Johari.
        “Sama-sama. Bos ni kelakar juga ya, bestlah!” Sonia memberanikan diri untuk meluahkan ketawanya. Johari juga ketawa dengan dirinya yang mula berubah di hadapan gadis yang setia dengan penutup mukanya itu.











No comments:

Post a Comment