NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, September 27, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 4

                                           BAB 4 


JAM Swatch celoreng yang terikat kemas di tangan kanan Sonia tepat menunjukkan pukul 2.30 petang. Bermakna diam tak diam mereka telah menghabiskan empat jam lamanya di The Mines. Patutlah kakinya dah rasa lenguh dan sakit. Rupa-rupanya dah habis setiap penjuru bangunan ini mereka tawaf. Siap cruised tasik lagi. Hentian terakhir mereka ialah di hadapan kedai permainan Toys “R” Us.
“Beb, jomlah balik! Aku dah penat ni,” rungut Eja.
“Eh, kau nikan, macam bebudaklah! Bising jer… Ikut ajelah. Okey, aku janji sekejap aje. Aku nak beli barang penting ni,” marah Sonia.
“Nia, kita ni dah lama sangat kat sini, tau tak? Makanan yang kita telan tadi pun dah lama hadam. Dah lapar balik perut aku ni, jom kita cari kudap-kudap,” ajak Eja sambil memegang perutnya.
“Aleh… kalau kau nak minta aku belanja lagi cakap ajelah. Tak payahlah nak koner-koner, nak putar-putar alam, buat kiasan bagai. Cakap aje kau nak makan apa, aku support,” perli Sonia sambil ketawa.
“Betul ni, tarak tipu?” Eja teruja. Di kepalanya ada gambaran menu yang ingin dicuba.
“Yalah, pernah ke aku tipu kau?”
“Bestnya… Kaulah sahabat aku dunia akhirat,” peluk Eja sampai Sonia lemas, tak bernafas. Punya ler bodek.
“Eh, lepaslah! Apa hal kamu ni. Nanti orang pandang, dan ingat kita ni ada hubungan terlarang,” marah Sonia sambil ketawa. Eja juga ketawa gembira, kerana sebentar lagi dia nak dapat makan ‘pree’.
“Terima kasih banyak beb, selalu belanja aku makan. Nanti bila aku dah kerja, aku akan belanja apa saja yang kau nak,” janji Eja.
“Takpe takpe… tak kisah, aku tahu orang yang tengah belajar macam kau ni, mana pernah cukup duit. PTPTN yang kau orang dapat tu pun bukannya cukup. Dahlah buku ya amatlah mahal, belum lagi kos kehidupan. Aku lebih daripada faham, janganlah risau. Eja, aku pun nak berterima kasih juga dengan kau, sebab kau sudi temankan aku, dan selalu bersama aku bila aku dalam kesedihan. Thanx Eja…”
Dah terbalik pulak jadinya, Sonia pula yang teremosi seketika bila mengenangkan kesetiaan seorang sahabat yang bernama Khadeeja anak dara Pak Wahid ini.
Sonia melangkah masuk ke dalam kedai yang penuh dengan mainan imported dan lokal yang beraneka jenis, dari kereta kontrol yang tahan dua tiga hari, hinggalah ke anak patung yang tahan bertahun. Rambang mata Sonia dibuatnya. Kalaulah ditakdirkan dia menjadi kanak-kanak semula, pasti dia tidak mahu keluar dari kedai ini. Rasa semuanya hendak dimiliki. Ke mana tumpahnya kuah, Ain Kaisara juga begitu. Jenuh kena tarik, baru mahu keluar. Ain… Ain…! Sekarang, Sonia ingin memilih hadiah untuk ulang tahun kelahiran Ain Kaisara yang bakal datang esok, dan dia tetap akan menyambutnya walaupun tanpa kelibat anak kesayangannya itu. Tahun lepas dia juga telah melakukan perkara yang sama, menempah kek ‘custom made’, dan membelikan hadiah yang spesial untuk permata hatinya itu. Selepas dia menyanyikan lagu “Happy Birthday Kaisara”, dia akan meniup lilin pada kek tersebut, kemudian dia akan memotong bagi pihak anaknya. Penyudahnya kek tersebut menjadi habuan bibik, dan berselepat comotlah mulut bibik dek krim kek Secret Recipe yang ‘secret’ harganya itu.
         Sonia menilik dan membelek-belek teady bear berwarna pink, warna kegemaran Kaisara. Cantik sangat, rasanya sesuai sungguh dengan Kaisara. Sonia mengambil dan membayarnya di kaunter.
“Kau nak buat apa ni beb?” tanya Eja yang memang tak pernah suka dengan tindakan Sonia. ‘Nak bagi sapa. Jangan nak mengada’, katanya. Sebenarnya dia dah tahu, nak beri pada yang tiada, itu mengarut namanya.
“Saja… nak celebrate birthday anak aku,” seronok saja Sonia menjawab.
“Nia, dahlah tu! Janganlah nak buat kerja yang di awang-awang tu. Buang masa aje,” nasihat Eja.
“Tak mengapalah Eja, sekurang-kurangnya kalau aku dapat bertemu dengan dia semula suatu hari nanti, aku akan tunjukkan bukti yang aku tak pernah melupakan tarikh keramat hari kelahirannya. Semua barang-barangnya masih tersimpan elok. Aku jamin dia suka.” Eja terdiam dengan hujah Sonia. Betul juga cakapnya. Sonia lebih tahu apa yang dia rasa. Dia yang melahirkan. Apa hak aku untuk komen lebih-lebih, kata hatinya.
“Papa, I want this Smurf doll boleh,” suara gemersik anak kecil yang pernah didengarnya berbunyi pulak. Kali ini lebih manja. Bagaikan kilat menyambar, Sonia memusingkan kepalanya mencari dari manakah datangnya suara tersebut. Sonia tercari-cari akan suara itu di celah-celah rak mainan yang berlapis. Bukan sedikit bilangan customer yang berkunjung di kedai tersebut pada hari itu. Eja mengikut ke mana saja langkah Sonia.
Akhirnya Sonia bertemu dengan pemilik suara emas itu. Si rambut curly yang cute. Hati Sonia terus jatuh kasih pada seraut wajah comel yang mendamaikan sukmanya. Dia rasa ingin memeluk dan mencium anak kecil yang petah dan keletah itu. Keterujaan membuatkan Sonia hilang kawalan diri. Tidak semena-mena dia berdiri di hadapan anak kecil tersebut, tanpa menghiraukan si bapa yang tercengang dengan tindakan ‘berani malu’nya.
Nah, hantie haniahkan bear hini huntuk hawak.” Tonasi ayat yang sukar difahami oleh seluruh makhluk di bumi terhambur bilamana Sonia menuturkan dalam bahasa sengaunya yang klasik. Eja yang berada di belakangnya sudah pun menekup mulut. Perutnya senak menahan ketawa agar tidak pecah. ‘Minah ni nampaknya dah buat balik perangai lama,’ kata hatinya.
“Hamiklah!” Sonia menyuruh lagi, sambil menghulur. Anak kecil itu terpinga-pinga. Tak faham! Bukan saja anak yang tak faham, tapi siap dengan bapaknya sekali mencorong dan meluaskan lubang telinga. Johari menggaru kepalanya yang tak gatal beberapa kali. ‘Apa bendalah yang minah sengau ini cakap?’ kata benaknya.
“Haya ikhlah ni. Haya beli ni huntuk haniah hari hadi anak haya, tapi hia tak ada hini.” Sonia menyambung perbualan yang jenuh orang nak faham, kecuali sekutu rapatnya Eja. Johari dan anaknya masih terkedu di situ. Mana tidaknya, tetiba saja minah sengau ni nak bagi hadiah pada anaknya tak tentu pasal. Apa kes, nak ngorat ke apa? Cuak Johari dibuatnya.
“Encik ambillah! Dia ikhlas memberi tu. Dia beli ni sempena hari jadi anaknya yang tiada di sini. Anak perempuannya sudah dilarikan oleh bekas suaminya ke luar negara. Sekarang ini jiwanya kacau. Terima ajelah, kasihan dia,” terang Eja yang cuba mengawal ketawanya. Johari merenung ke arah Sonia, mungkin juga sedang cuba membaca dan meneliti personaliti minah sengau di hadapannya itu dengan lebih mendalam.
“Papa nak ni,” tiba-tiba suara anak kecil itu meminta. Mata Sonia membulat ceria, lalu dihulurkan pada anak kecil itu, dan patung beruang tersebut pun bertukar tangan. Sonia tersenyum bahagia, bagaikan senyuman kepuasan seorang ibu yang berjaya memenuhi kehendak anaknya.
“Herima hasih, hami hergi hulu,” ucap Sonia yang tak habis-habis dengan bahasa sengau yang telah mengejutkan Johari yang ralit merenung dan memerhati wajah misteri yang tiba-tiba saja mewarnai hujung minggunya.
Sonia melambaikan tangannya ke arah anak kecil itu, dan dia membalasnya kembali sambil merenung ke arah Sonia yang mula melangkah keluar dari kedai tersebut. Di kala ini hatinya cukup bahagia. Senyuman terukir manis di bibir Sonia yang sentiasa merah bak kelopak Roselle.
        Setelah agak jauh sikit mereka melangkah pergi, kedua-duanya ‘soksek-soksek’ antara satu sama lain sambil sengih-sengih.
“Weh beb, kenapa tiba-tiba kau buat suara sengau. Apa helah dan muslihat kau kali ini?” tanya Eja yang dah tak tahan menyembunyikan tawanya. Pecah berderai tawanya selepas itu. Sonia juga ketawa geli hati. Tak sangka pula timbul idea spontan untuk menyelamatkan diri.
“Macam biasa ler, tak nak orang jatuh cinta dengan kita. Yang keduanya aku sukakan anak dia. Takut pula si bapa salah anggap yang aku nak mengoratnya. Yang akhir, iaitu yang ketiga, saja aku nak menguji minda dan tanggapan seseorang. Persepsi mereka terhadap orang sengau, boleh tolerate ke tak, itu aje,” beria Sonia memberi penerangan.
“Kau ni ‘got-got’, ada-ada aje. Apa pun bos kau tu memang handsome, macho dan karismatiklah! I loike lelaki yang begitu,” teruja ‘lebeh’ pula si Eja ni.
“Ha, kalau kau suka, kenapa kau tak masuk jarum tadi?” saja Sonia bertanya.
“Laki orang tu beb, itu yang perlu diingat dan dijauhi,” jawab Eja dengan rasionalnya.
“Jawapan yang paling tepat. Bagus jawapan tu. Jangan sekali-kali terlibat dengan suami orang. Banyak lagi lelaki yang masih bujang dan tak berpunya, jangan nak menggatai,” sokong Sonia. Mereka berdua ketawa. Prinsip hidup biar jelas, barulah tak jadi huru-hara kehidupan ini.
         Sonia memandu Myvi putih miliknya dengan cermat melalui Lebuhraya Sungai Besi, seterusnya menyusur masuk ke Jalan Bandar Tun Razak untuk meneruskan perjalanan ke Kg. Kerinchi, Bangsar South untuk menghantar Eja pulang.
“Eja, balik rumah aku nak? Tidur sana.” Sonia mempelawa teman baiknya.
“Ulu Kelang?” Kura-kura dalam perahu pula si Eja ni.
“Yalah, mana lagi,” jawab Sonia tenang.
“Macamlah kau tak tahu, esok Isnin. Aku ada kelas. Agak-agaklah sikit,” marah Eja.
“Tahulah kau ada kelas. Kau turun awallah,” cadang Sonia lagi.
“Jauh tu, dari Ulu Kelang ke UM tau tak, karang tak pasal-pasal terlepas kelas. Dahlah, lain kali saja aku tidur kat rumah kau,” janji Eja.
“Sebenarnya mama aku yang asyik bertanyakan kau. Kenapalah dah lama kau tak menjenguk rumah aku. Mungkin dia rindu agaknya pada kau.”
“Okeylah, kau beritahu mama kau hujung minggu ni aku datang dan tidur sana, pass! Cakap dengan dia, selama sebulan dua ni, aku sibuk sangat dengan tesis yang tak siap-siap, sebab tulah aku dah tak datang rumah kau,” terang  Eja buat mengukuhkan ceritanya.
“Yalah, aku faham. Berapa lama lagi kau nak final erk?”
“Adalah dalam satu sem lagi. Lepas tu aku merdekalah. Kenapa, dah rasa menyesal tak sambung belajar?”
“Tak adalah pula, kalau nak sambung, bila-bila pun boleh. Cumanya, aku rasa cepatnya masa berlalu. Sedar-sedar kau dah nak dapat master. Bestnya kau… tahniah!” ucap Sonia dengan senyum.
“Terima kasih. Aku harap bila hidup kau dah okey dan stabil nanti, kau sambunglah semula sampai dapat PhD. Bukankah itu cita-cita kita berdua semasa mula-mula menjejakkan kaki ke Universiti Malaya dulu?” Eja mengungkapkan kembali kenangan silamnya.
“Ya, aku ingat. Tapi kehidupan tak seperti yang kita rancangkan. Apa-apa pun good luck untuk kau!” ucap Sonia tatkala Eja melangkah keluar dari keretanya sebaik saja sampai di apartmen Kg. Kerinchi, Bangsar South tempat Eja menyewa bersama beberapa orang teman pelajarnya. Sebelum berpisah mereka berpelukan dan berjanji akan bertemu lagi di minggu hadapan. Eja melambaikan tangan sebaik saja Sonia mula menggerakkan keretanya meninggalkan kawasan apartmen berpagar dan berpengawal tersebut. Sonia mengangkat tangan dan matanya memandang Eja dari dalam cermin. Itulah kawan baiknya sejak mula dia memasuki universiti hinggalah sekarang. Seorang gadis yang sangat baik, suka menolong, selalu bersimpati dan sangat prihatin dengan masalah orang lain. Anak kelahiran Johor Bharu yang dibesarkan dalam keluarga sederhana, anak kedua dari lapan orang adik-beradik yang rata-ratanya masih belajar. Sonia bangga mempunyai sahabat sehebat Khadeeja.

















No comments:

Post a Comment