BAB 1
SONIA
menutup kembali album foto yang sering dibuka dan ditatap. Dalam sehari entah
berapa kali dia membuka dan membelek-belek halaman album yang berwarna merah
jambu itu. Di situlah segala kenangan dan kerinduannya kemas tersimpan. Bila
dia terlalu rindu, dia akan memeluk album gambar itu sambil menciumnya sebagai
pengubat rindu. Saat itu dirasakannya seperti sedang memeluk Ain Kaisara, satu-satunya
buah hati dan pengarang jantungnya.
Air mata
rindunya meleleh tanpa dipinta. Begitulah lazimnya setiap kali selesai menatap
gambar Ain Kaisara yang baru berusia setahun delapan bulan itu. Ke pelusuk mana
anak kecil itu dilarikan, dia tidak tahu. Habis sudah segala daya usaha dan
ikhtiar dalam mencari anak kesayangannya itu, namun semuanya tidak berhasil.
“Kaisara sayang, mama selalu berdoa semoga Kaisara bahagia dan selamat
walau di mana Kaisara berada,” doa Sonia sambil meletakkan album itu baik-baik
di atas meja. Air matanya gugur lagi.
Pintu
bilik Sonia yang renggang ditolak perlahan.
“Hai,
tak pergi kerja lagi. Cuti ke?” tanya Zaida kepada anak perempuannya.
“Belum
mama. Nia cadang nak singgah klinik dulu sebelum ke tempat kerja,” terang Sonia
perlahan.
“Kenapa,
demam ke?” Susah hati Zaida mendengarnya.
“Entah,
lain macam aje rasa badan ni,” jawab Nia.
“Kalau
macam tu tak payahlah pergi kerja. Duduk aje kat rumah, rehatkan diri,” tegah
Zaida.
“Tak
apalah mama. Insya-ALLAH lepas makan ubat nanti baiklah. Sebenarnya badan Nia
ni taklah berapa sangat sakitnya, yang sakit betulnya hati dan jiwa ini,” keluh
Sonia sambil menepuk-nepuk dadanya perlahan.
“Sabarlah
Nia! Ini semuanya dugaan ALLAH. Erm… apa pun Nia, serius mama cakap ni, kalau
Nia betul tak sihat, tak usahlah pergi kerja hari ini. Kerja Nia tu bukannya hebat
mana pun. Kata orang, ibarat melukut di tepi gantang aje. Kalau Nia tak datang,
tak ada orang kisahnya.” Zaida memang selalu tak puas hati dengan anaknya yang
seorang ni, degilnya mengalahkan apa. Payah betul nak dibawa berunding.
“Memanglah
kerja Nia tak hebat seperti orang lain, tapi kalau Nia tak datang pasti semua
orang tak selesa. Pasti ada yang tertanya-tanya. Mereka semua tu memang
memerlukan khidmat Nia.” Sonia berkeras dengan alasannya.
“Suka
hati Nialah! Kalau mama cakap ada jer jawabnya. Macamlah dia tu orang penting
sangat. Padahal sebelah mata pun orang tak pandang,” cemuh Zaida, geram dengan
sikap anaknya.
“Tak
apalah kalau orang tak pandang, yang pentingnya ALLAH sentiasa pandang,” jawab Sonia
sambil senyum.
“Yalah…
mama ni kalau bercakap dengan Nia selalu aje kalah, tak pernahnya menang. Maklumlah
bercakap dengan orang bijak pandai. Tapi, tindakan tak pula pandai. Cakap aje
lebih. Ada kerja yang jauh lebih elok tak nak, kerja cabuk tu juga yang ditaatnya,”
belasah Zaida geram.
Sonia
ketawa melihat mamanya yang mula berangin.
“Hai mama, pagi-pagi lagi dah kena angin kus-kus,
kenapa?”
“Tak ada kus-kusnya. Kamu tu
yang kus-kus. Mama betul-betul peliklah dengan kamu ni. Apa yang kamu nak, apa
yang kamu kejar. Apa yang membuatkan kamu taat sangat dengan kerja kamu tu.
Banyak sangat ke kamu dapat? Sampai cakap orang sekupang pun kamu tak nak
dengar.” Zaida masih belum puas memuntahkan rasa tak puas hatinya. Biasanya
beginilah keadaannya kalau bercerita atau bertanyakan sesuatu yang melibatkan
kerja atau kerjaya anaknya itu.
“Please mama, kitakan dah
bincang dulu… dan Nia pun dah janji. Takkan tak ingat! Janganlah beria sangat
nak kecohnya. Nia cadang kerja kat situ bukannya nak lama. Saja jer nak cari
pengalaman. Sekarang ternyata Nia suka dengan kerja Nia tu. Ada apa hal. Apa
yang mama susah hati sangat, relaks ler!” Sonia ketawa kecil dalam beralasan, buat
menyakinkan mamanya.
“Yalah,
kalau nak cari pengalaman sekali pun, carilah kerja yang selayaknya dengan
sijil-sijil yang Nia ada. Bukannya jadi tukang cuci bilik pejabat dan tandas
orang, hina tau tak?” makin tinggi nada Zaida. Dadanya sentiasa ketat bila
memikirkan perangai anak perempuannya yang lain daripada orang ini. Entahlah…
anak ini selalu saja buat dia susah hati. ‘Barangkali ada kemungkinan fikirannya
terganggu akibat penderitaan emosi yang dialaminya selama ini,’ kata hati Zaida.
“Mama
tolong dengar please… sekarang
ni Nia hanya nak cari kebahagiaan dan ketenangan buat mengubat hati Nia ini. Tak
kisahlah cara apa pun, janji hati Nia okey. Mama tau Nia tak berapa okey selama
ini, kan! So ma, please try to understand,” rayu Sonia agar mamanya mengerti.
“Ermm…
yalah yalah.., sorry! Mama faham.” Zaida memeluk Sonia kemas. Dia tahu dia dah
tersilap dan terlalu terbawa-bawa dengan pandangannya yang sehala. Dia
sepatutnya tidak boleh berkeras sangat dengan Nia yang baru saja bangkit dari
gaung duka yang sangat dalam itu. Sonia yang baru menyusun semula jadual
hidupnya setelah jiwanya hancur. Tapi yang pastinya, ibu mana yang sanggup melihat
anak yang ada degree
kelas pertama bekerja sebagai cleaner? Itu yang merunsingkannya.
SONIA
duduk tersandar di tepi dinding, matanya terpejam rapat. Badan terasa hangat pijar,
kepala pula berdenyut tidak mahu berhenti. Paracetamol yang ditelan empat jam
lalu sudah hilang powernya, rasa demam seram sejuk mula menyerang kembali. Waktu
rehat dan makan tengahari nanti seboleh-bolehnya hendak digunakan untuk
merehatkan badannya yang sudah pun terasa sengal-sengal.
“Panasnya
Nia, tak makan ubat ke?” tanya Mak Cik Hana sewaktu meletakkan telapak tangannya
ke dahi Sonia.
“Pagi
tadi dah makan mak cik, tapi sekarang demam datang balik,” adu Sonia.
“Oh,
demam tengah nak naiklah ni. Kenalah ambil empat jam sekali,” cadang Mak Cik
Hana. Sonia membuka kelopak matanya yang pedih dengan dahi yang berkerut.
Betul-betul dia rasa tak sihat ketika ini.
“Insya-ALLAH
mak cik, sekejap lagi Nia makan.”
“Kenapa
tak telan aje sekarang. Nia nak air? Boleh mak cik ambilkan,” tawar Mak Cik
Hana ingin membantu.
“Belum
cukup empat jam lagi. Nantilah kalau dah cukup, Nia minta air dari mak cik ya,” jawab Sonia.
“Yalah…
Nia rehatlah dulu. Mari sini biar mak cik tolong picitkan kepala Nia yang sakit
tu.” Mak Cik Hana menarik bahu Sonia, dan kepala Sonia dilentukkan ke atas
bahunya. Tangan kasar Mak Cik Hana menari-nari di atas dahi Sonia yang licin.
“Mak
cik,boleh tak Nia baring sekejap? Dah tak tahan pulak rasanya,” pinta Sonia
lemah.
“Boleh!
Jom kita pergi ke bilik kita,” jawab Mak Cik Hana yang bingkas bangun memapah
Sonia untuk bergerak. Sonia bangun tanpa banyak soal, namun dalam kepalanya
sudah terbayang akan bilik yang dimaksudkan oleh Mak Cik Hana. Sebuah bilik
kecil seperti stor yang menjadi tempat mereka menyimpan barang-barang keperluan
dan peralatan mencuci. Di situlah rutinnya mereka berdua akan melepaskan lelah,
melepak atau bercerita itu dan ini setelah selesai dari tugasan harian mereka. Di
kamar kecil itu juga, mereka membuka dan makan bekalan mereka bersama.
Mak Cik
Hana memapah Sonia dengan perlahan. Di perjalanan ke bilik utiliti itu, mereka
bertembung dengan bos mereka Encik Johari.
“Kenapa ni mak cik?”
“Oh,
Encik Johari! Nia demam. Panas sangat badannya ni. Sekarang ni saya nak bawa
dia berehat, lepas tu nak bagi dia makan ubat,” beritahu Mak Cik Hana.
“Kenapa
dia tak ambil MC?” tanya Johari sambil meneliti wajah budak perempuan yang sedang
dipapah oleh Mak Cik Hana. Sebenarnya dia tak pernah nampak wajah sebenar
pekerjanya itu, walaupun budak itu telah bekerja selama enam bulan di
pejabatnya.
“Kata
dia, tadi demamnya tak adalah teruk sangat, sebab tulah dia datang kerja juga. Tapi,
nampak gayanya sekarang ni kuat pulak panas badannya. Saya rasa, memang dia
kena ambil cuti ni,” adu Mak Cik Hana.
“Ya,
lepas ini suruh dia isi borang kat HR, lepas tu balik dan jumpa doktor,” arah
Johari.
“Baik
encik! Terima kasih encik.” Mak Cik Hana mengucapkan terima kasih sambil
menundukkan kepalanya tanda hormat.
“Ya,
sama-sama,” jawab Johari yang kemudiannya beredar dari situ. Manakala kedua tukang
cuci itu meneruskan langkah mereka.
LAMA Sonia berdiri di siring
jalan, menunggu teksi yang tak kunjung jelma. Selalunya taklah sepayah ini
untuk mendapatkan teksi di lokasi itu. Tapi hari ini, nampaknya macam sengaja
aje para pemandu teksi berpakat hendak menderanya. Masa terdesak nilah sebijik
pun tak ada. Kalau tak, berderet-deret, lepas satu satu. Orang berjalan pun dia
hon. ‘Aku dah tak larat sangat nak berdiri ni,’ dalam diam Sonia merungut.
Tiba-tiba
sebuah Mercedes-Benz CLA 45 left-hand drive berhenti betul-betul di hadapannya.
Terkejut bercampur takut Sonia dibuatnya. Bila cermin kereta diturunkan. Lega
pula rasanya, al-maklumlah bos kacak yang datang menyapa.
“Awak
belum balik lagi?” tanya Johari ingin kepastian.
“Belum,
susah sangat nak dapat teksi,” jawab Sonia lemah. Rasa segan dan tak mampu dia
nak beramah-tamah dengan bos yang cukup dihormatinya itu.
“Kalau
macam tu, biar saya saja hantar awak balik.” Johari menawarkan diri.
“Eh,
tak apalah bos! Sekejap lagi adalah teksi tu.” Sonia menolak.
“Jomlah
saya hantar. Kasihan tengok awak demam dari tadi. Dah tu berjemur pula tengah
panas macam ni. Nanti lagi teruk demam awak tu.” Johari bersimpati.
“Tak
payahlah bos, saya boleh balik sendiri. Insya-ALLAH tak lama lagi adalah teksi
tu. Demam saya pun sikit jer.” Sonia menolak dengan sopan. Tak pernah terlintas
di hati kecilnya untuk menumpang kereta bos yang mahal dan mewah ini. Itu yang
membuatkan dia tak berapa bersedia tu!
“Cik
Sonia… awak tak payah banyak cakap, sekarang lebih baik awak masuk, kawasan ini
kereta tak boleh berhenti lama-lama, karang tak pasal-pasal saya kena saman,”
ucap Johari yang berbaur arahan dengan muka sejuk yang tak pernah senyum. Serba
salah sungguh Sonia dibuatnya. Teragak-agak dia untuk melangkah masuk.
“Tak
ke menyusahkan bos? Rumah saya jauh.” Sonia rasa bersalah seandainya dia
betul-betul menjadi penumpang bos itu nanti.
“Kat
mana rumah awak?” serius saja muka Johari.
“Kat
Ulu Kelang,” jawab Sonia lemah. Selemah badannya yang kian dikunyah oleh bisa-bisa
demam.
“Oh,
ingatkan kat United Kingdom! Tak adalah jauh mana. Masuklah saya hantar awak.”
Johari ingin buat lawak, tapi tak menjadi. Sonia tak ketawa, dia sendiri pun
tidak. Bila melihat Sonia yang masih teragak-agak, sekejap tergaru sekejap
terundur, Johari dengan rendah dirinya keluar dari keretanya dan terus membuka
pintu hadapan sambil mempelawa Sonia masuk. Cukup serba salah Sonia rasakan,
ditempek pula dengan rasa malu bercampur segan yang menebal.
“Bos,
biarlah saya duduk kat belakang saja,” perlahan suara Sonia setelah tiada
pilihan untuk menolak.
“Oh,
maaf ya! saya bukannya pemandu peribadi awak,” pantas Johari menjawab dengan
muka selamba sejuknya. Hatinya terus berkata-kata, ‘banyaak chantek!’ Sonia tersentak
dan termalu sendiri.
“Baiklah,”
akhirnya Sonia akur dan mula mengangkat kaki kirinya untuk melangkah masuk ke
dalam kereta mewah milik bosnya bersama kepala lutut yang mula menggeletar.
Fuhh… sungguh tak tercapai dek akalnya selama ini, naik kereta bersama bos, dan
bos pula beria-ia dengan rela hati hendak menghantarnya pulang. Badan yang seram
sejuk macam demam kura-kura tadi dah hilang dengan sendirinya. Tiba-tiba saja
Sonia rasa sihat dan badannya berpeluh, dah dedor, tanda demamnya sudah kebah.
Hai, ajaib juga ya? Sonia tersenyum lebar dan terus lebar. Kenapa demam dah
kebah, sebab malu ke, atau sebab teruja dapat naik kereta dengan bos yang ‘encem’?
Maklumlah selama ini dia hanya berani intai-intai balik pintu saja bos yang sempoi
giler ni. Siapalah dia sis Sonia Abdul Halim untuk menegur sapa atau bertanya
khabar dengan ketua syarikat yang penuh dedikasi ini. Tak berani weh!
Di
sepanjang perjalanan Sonia masih tersenyum lebar dan melerek, kemudian
menguntum berbunga-bunga. Namun demikian bos tetap tidak tahu dan tidak nampak
apa yang berlaku.
No comments:
Post a Comment