BAB 2
JOHARI memandu laju Merc putihnya dengan cermat dan penuh hati-hati
menyusuri jalan ke Ulu Kelang yang kurang sibuknya kerana ketika ini masih
waktu pejabat. Gadis yang tak lekang dengan mask itu duduk tenang dan sopan di sebelahnya sambil melayan
pandangan keluar jendela.
“Awak masih demam lagi?” Johari memulakan bicara.
“Dah kurang sikit, sebab sebelum keluar pejabat tadi saya dah
ambil ubat,” jawab Sonia.
“Lain kali kalau sakit tak payah datang kerja. Duduk aje kat
rumah. Makan ubat dan rehat secukupnya,” pesan bos yang tiba-tiba saja teringin
menjadi ramah. Walhal sebelum ini bukan main liat dan susah betul nak berbual
dengan orang.
“Encik ni sama saja macam mak saya tau. Tak habis-habis suruh
rehat dan duduk rumah, padahal sakit saya ni bukannya teruk mana pun,” petah
saja mulut Sonia menjawab.
“Betullah tu, kalau dah sakit buat apa nak datang kerja?
Penyudahnya… tengoklah sekarang, kerja sekerat hari, kemudian terpaksa balik
rumah. Apa ke hal! Bukankah itu menyusahkan badan namanya?” Hati Johari mula
tersentuh dengan bual bicara pekerja bawahannya. Terasa gadis ini mempunyai
aura yang kuat untuk mengheretnya berbual terus.
“Itulah sikap orang kita, pantang sakit sikit, mengada aje yang
lebih. Melayu yang cepat layu, kalau dalam perjuangan belum apa-apa, cepat aje nak mengalah.” Lepas
bebas saja Sonia bercakap. Tak macam orang demam.
“Hai, dah lari dari tajuk nampaknya.” Johari menegur, hatinya
makin tercuit.
“Yalah! kat Malaysia ni ramai yang berfikiran seperti mak
saya dan encik ni. Itulah hakikatnya. Jenis yang tak tahan diuji dan tak mampu
menerima bala kesakitan sebagai rahmat,” selamba badak saja Sonia bercakap.
“Habis kalau macam tu, kenapa awak balik kalau awak mampu bertahan
dengan sakit yang dianggap ujian ni?” Kelancangan pendapat gadis ini membuatkan
Johari tertarik untuk mencungkil apa yang ada dalam mindanya.
“Sebab encik dah arahkan saya balik… jadi kenalah ikut
perintah bos. Nanti kalau tak ikut dianggap melawan pulak. Tak naklah macam tu,”
beradab Sonia menjawab.
“Oh, macam tu ke?” Kedua-dua bibir Johari bergerak, tersenyum
seketika. ‘Taat betul budak ni,’ kata hatinya.
“Lagipun orang tua-tua cakap, rezeki jangan ditolak, musuh
jangan dicari. Orang memberi, kita menerima.” Sonia ketawa kecil dengan bidalan
bahasa yang dimodifiednya.
“Badan awak masih panas lagi ke?” tanya Johari.
“Tak adalah panas sangat, rasanya demam saya dah kebah ni.
Kenapa, encik nak arahkan saya pergi kerja balik ke?” laju saja Sonia bertanya.
Cuak pula rasanya.
“Kenapa, awak rasa nak pergi kerja semula ke?” Johari berpaling
ke arah masked girl di sebelahnya. Gadis itu
menggeleng-gelengkan kepala, tanda tidak mahu. Johari tersenyum sendiri. Tahu
takut, cakap besar bukan main.
“Kalau awak dah sihat, boleh temankan saya lunch?” Johari mempelawa sambil menguji.
“Oh, tak boleh bos! Saya kena balik rumah, saya dah beritahu
mak saya yang saya demam kuat. Karang kalau tak sampai dalam waktu yang
dijanjikan, mak saya akan risau dan susah hati,” cerita Sonia dengan jujur.
“Awak call lah balik mak awak tu. Beritahu
dia yang awak dah sihat dan lambat balik. Apa susahnya.” Johari menguji lagi.
“Handfon saya dah tak ada bateri. Lagipun bukan masa yang
sesuai untuk saya berjalan sana-sini, sebab ghalibnya habis aje tempoh empat
jam nanti, demam saya akan datang balik. Jadi minta maaf banyaklah, saya tak
dapat temankan bos. Kalau bos rasa saya dah mengganggu masa makan bos, eloklah
bos dropkan saya aje kat sini. Kat area sini dah banyak teksi, saya
boleh balik sendiri,” pinta Sonia yang mula rasa bersalah.
“Takpe takpe, no hal!
Saya faham. Kalau macam tu, saya hantar aje ler awak balik. Awak beritahu
alamatnya.” Johari bersuara perlahan setelah gagal dengan ujiannya nak
‘menekel’. Tak mengapa, mungkin lain kali, masa masih panjang. The game is just
started. Permainan baru nak
bermula. Johari masih tersenyum sendiri, terasa ada cahaya kecil yang sedang
berkerlip dalam kamar hatinya yang sekian lama sejuk dan gelap.
GPS canggih, namun Johari meneruskan pemanduannya mengikut
arahan Sonia, gadis yang tak pernah menanggalkan penutup hidung dan mulutnya
walau di mana dia berada. Hendak ditanya takut pula dicap sebagai penyibuk atau
busy body. Hendak dibiarkan saja mask tu melekap kat muka gadis ni
rasa tak adillah pula, sebab dia tidak dapat mengenali wajah sebenar masked girl ni. Dengar suaranya dah
terasa-rasa sangat nak jatuh hati. Ikutkan hati yang tak sabar ni, hendak aje
merentap penutup mukanya laa ni jugak.
“Stop stop stop…” Suara Sonia yang mengarahkan supaya berhenti
telah mengejutkan lamunan Johari. Keretanya dibrek dengan mengejut. Tersengguk keduanya
ke hadapan.
“Awak ni… Lain kali jangan buat macam ni boleh tak. Dah nak
nak sampai sangat baru nak beritahu. Nasib baik tak ada kenderaan lain di
belakang. Kalau tak habis kereta saya ni kena sondol,” tegur Johari.
“Sorry bos! Tapi, saya dah cakap
tadi… takkan bos tak dengar?”
“Ya ke? Tak perasan pun,” jawab Johari.
“Dah sah, ‘kompom’ bos tengah berkhayal,” usik Sonia. Johari
senyum kecil, kemudian dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Macam tak percaya pun
ada, betul ke alamat rumah budak ni? hatinya tertanya sendiri.
“Awak tinggal kat sini?” tanya Johari.
“Ya, kenapa?” angguk Sonia.
“Dengan siapa?”Johari masih tak percaya.
“Dengan mak sayalah, kenapa?” pelik pula melihat bos handsome itu berkerut wajahnya.
“Rumah besar ni?” Johari masih bertanya, memang tak percaya. Cleanernya tinggal di rumah sebesar
ini.
“Yalah, saya tinggal dengan mak saya yang bekerja sebagai orang
gaji di rumah ini. Kami tinggal di bilik kecil di belakang rumah tu,” terang
Sonia setelah dapat membaca riak kerut di dahi bos yang memang tidak akan
percaya dia tinggal di rumah mewah itu. Biasalah… siapa pun susah nak percaya. Cleaner… faham-faham ajelah! Johari
kemudiannya mengangguk kecil tanda faham.
“Terima kasih bos kerana hantar saya,” ucap Sonia.
“Sama-sama. Awak berehatlah! Nanti pergi klinik, jangan lupa
ambil MC ya. Berehat sampai baik,” pesan Johari sambil melihat mata redup Sonia
yang cantik.
“Baiklah bos, terima kasih,” ucap Sonia sekali lagi. Johari
tersenyum kembali dan hatinya seakan ditumbuhi rerumput segar selepas hujan
bila bersama cik cleaner@ SpongeBabenya. Entah mengapa ya…
Bila kereta Johari sudah jauh bergerak meninggalkan kawasan
rumah banglo mewah dua tingkat itu, barulah Sonia melangkah masuk ke dalam
rumah.
“Hai, awal balik?” tegur Zaida yang melenggang datang
menyambut anaknya di muka pintu.
“Demam kuat,” adu Sonia manja sambil membuka mask yang menutupi wajahnya.
“Itulah degil sangat, kalau cakap mama ni sikit pun tak mahu
dengar.” Zaida marah-marah sayang, lalu tangannya di letakkan ke atas dahi
Sonia.
“Eh, kuat demam ni! Dah pergi klinik ke belum?” cemas Zaida.
“Belum, tapi dah dua kali telan Paracetamol. Kebahnya sekejap
aje.” Sonia bercerita menagih simpati.
“Biasalah orang degil, terima ajelah kifarah ALLAH,” sahut
Zaida dengan senyuman mengejek.
“Ma… Nia ni sakit tau, mama nak kutuk-kutuk pulak.” Sonia
merenget manja.
“Huhu… anak manja yang degil.” Zaida memicit hidung Sonia
yang mancung.
“Mama… sakit tau!” Sonia menjerit lembut.
“Tadi, pakwe mana yang hantar?” saja Zaida nak tahu cerita,
sebaik saja dia terlihat Mercedes putih yang singgah di bahu jalan di hadapan
rumahnya, dan Sonia pula bagus punya duduk di seat hadapan.
“Bukan pakwe lah! Itu bos tempat Nia kerja,” jawab Nia malas.
Dah tahu sangat dengan perangai mamanya yang suka mengorek rahsia dan berserkap
jarang.
“Wow berita baik tu! Sesuatu yang menarik untuk didengar dan
dibualkan. Cerita bos dengan Miss Cleaner. Handsome betul bos Nia ya? Padan
dengan anak mama yang cantik jelita ni.” Zaida meneka sambil menyapu dagu Sonia
yang lekuk cantik terbentuk.
“Hish mama ni! Mulalah nak menyakat dan bergosip tak tentu
kira tu. Orang demam ni! Jangan nak mereka-reka. Buat pengetahuan mama, Nia tak
ada apa-apa dengan bos Nia tu. Kebetulan saja Nia menumpangnya, sebab terjumpa
kat tepi jalan masa menunggu teksi tadi,” cerita Sonia akan hal yang sebenar.
“Tak apalah… perlahan-lahanlah berkenalan. Take your time. Lama-lama sukalah. Mama
berkenan tengok wajahnya yang tenang dan matang tu.”
“Mama tak payah nak berangan-angan bagai. Encik Johari tu tak
kenal pun Nia, dan dia pun tak pernah tengok wajah Nia yang sebenar. Lagipun
Nia ni hanya seorang cleaner. Siapa nak tengok, siapa nak pandang?” Sonia
mula ketawa melihat mamanya yang mudah sangat mengharap sesuatu yang tidak tahu
hujung pangkalnya.
“Itulah sebabnya mama tak suka sangat Nia berkerja sebagai cleaner tu, kan dah tak pasal-pasal saham anak mama jatuh merudum.
Tak payah lagilah Nia buat kerja tu, tak sesuai dengan Nia,” suara Zaida tak
pernah setuju kalau jenama kerjaya anaknya itu menyelusup ke telinganya.
“Alah mama, bukannya Nia nak
kerja kat situ sampai ke tua, tiba masanya nanti Nia berhentilah. Banyak kali
Nia dah cakap, kan! Janganlah mama fobia dan stres sangat dengan kalimah ‘cleaner’ tu,” pujuk Sonia sambil
melentuk manja pada badan mamanya yang masih tegap dan sihat.
“Mama ni bukannya apa, mama risaukan hidup Nia yang dah tak
tentu arah sejak akhir-akhir ni. Dah tak serupa anak mama Nia yang dulu,” rungut
Zaida.
“Biasalah mama, bila masa berubah, mood dan kecenderungan juga turut
berubah,” perlahan saja Sonia melafazkan ungkapan itu. Wajah yang cerah tadi
teduh semula, dan ingatan mula berlari pada seraut wajah comel milik Ain
Kaisara. Hati Sonia merintih dan jiwanya menangis tiba-tiba.
“Oh maafkan mama, sebenarnya mama tak bermaksud pun untuk
mengusik perasaan Nia,” pohon Zaida bersungguh sebaik saja menyedari ada
perubahan pada wajah dan suara anak kesayangannya.
“It’s okay… Nia yang terbawa-bawa dan terkenang-kenang.
Mama tak salah apa pun. Nia tahu yang Nia selalu menyusahkan mama.” Sonia
memeluk mamanya erat. Membenamkan segala rasa yang dia ada pada bahu ibu
tercinta. Untungnya memiliki seorang ibu yang terlalu baik dan penyayang, yang
selalu mengambil berat di saat dia di dalam kesusahan dan keperitan.
“Nia… sama-samalah kita doakan keselamatan dan kebahagiaan Ain.
Jangan bersedih lagi ya! Doa seorang ibu tiada hijabnya Nia. Mama yakin bila
Ain sudah besar dan dewasa nanti, dia sendiri yang akan datang mencari Nia. Jangan
risau, ALLAH itu Maha Adil. So, Nia kena kuatkan
semangat. Teruskan hidup seperti biasa,” pujuk Zaida seperti selalu. Lalu dia
mencium dahi anaknya dengan penuh kasih sayang. Timbul rasa menyesal dalam hatinya
kerana selalu berkata yang bukan-bukan, padahal bukan dia tidak tahu keadaan
emosi anaknya sekarang. Sepatutnya dia biarkan saja apa yang Sonia mahu buat,
asalkan segala tindakannya tidak menyalahi syariat dan undang-undang.
Cukuplah pengalaman dua tahun lepas itu menjadi sejarah hitam
dalam hidup Sonia dan seluruh ahli keluarganya. Saat bekas menantunya melarikan
cucu kesayangannya entah ke mana menjadikan Sonia menjadi sasau dan hampir
gila. Menghadapi kemelut perceraian yang tidak diingini dan kehilangan permata
hati yang amat berharga dalam hidupnya itu menyambungkan sengsara.
Seluruh keluarga bersedih dengan peristiwa tersebut, manakala
Sonia di peringkat awalnya bagaikan mayat yang
bernyawa. Merintih dan terus merintih.
‘Oh TUHAN, angkatlah penderitaan ini dari anakku, dan
berikanlah dia kebahagiaan,’ dalam diam Zaida berdoa ke hadrat yang ESA.
No comments:
Post a Comment