NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Saturday, September 27, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 6


                                              BAB 6

KL SENTRAL. Hari minggu yang sentiasa penuh sesak dengan manusia yang bergerak pantas berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing. Perkhidmatan tren elektrik tak pernah berhenti walau sesaat. Domestik dan antarabangsa. Ada saja keretapi yang baru tiba dan yang baru berlepas. Dari Singapura hingga nun jauh ke utara, malah lebih dari itu rangkaian connectionnya melangkaui hingga ke Bangkok. Pendek kata gambaran negara maju menjelang 2020 telah pun berada di ambang mengikut acuan yang pemerintah kehendaki. Berjaya atau tidak, jangan tanya. Kita tunggu dan lihat saja perkembangannya. Tapi hingga setakat ini pencapaiannya amat memberansangkan. World class gitu! Oh tanah tumpah darahku, bertuah dan beruntungnya aku dapat menjadi anak watanmu.
Sonia yang baru tiba dengan LRT dari Taman Melati bersama komuter yang lain turun ke bawah dengan menggunakan escalator untuk sampai ke ruang transit bagi perjalanan seterusnya. Sonia berharap dia tidak terlewat bertemu dengan sahabatnya Eja seperti yang telah dijanji.
Dalam riuh dan ribut manusia, Sonia seakan terdengar bunyi strumming gitar akustik bersama alunan nyanyian jejaka bersuara husky. Kedengaran lagu yang sedang didendangkan agak familiar dan pernah hit suatu ketika dahulu iaitu “No Woman No Cry” yang cukup sedap didengar walaupun agak lari sedikit dari melodi asalnya. Kemungkinan sengaja diimprovised untuk suit cita rasa dia kot, kata hatinya. Sonia tercari-cari dari mana datangnya suara yang telah menarik minat dan naluri kewanitaannya itu.
Pandangannya melekat pada suatu ruang yang dikerumuni. Apa yang dia nampak adalah seorang lelaki yang sederhana tinggi, handsome berkaca mata bulat, kelihatan rugged dengan kurta kapas, blue jeans serta sandal suede silang yang simple. Cukup sempoi dengan gitar akustik Fender di tangan. Lelaki itu selamba ‘belasah’ berlagu tanpa menghiraukan orang ramai yang sedang lalu-lalang di situ. Seolah-olah dia sedang tenggelam in-trance dalam alunan lirik lagu dendangannya. Sonia yang terintai-intai di celah-celah kepala orang ramai seakan terpukau dengan alunan suara busker yang memiliki animal magnetism itu. Tidak hairanlah ramai yang berhenti dan menghayati. Nampaknya dari kalangan awek eksekutif muda yang begitu teruja. Tetapi apa yang lebih mengujakan ialah wajah seniman jalanan itu sebijik macam wajah yang dia kenali. ‘Tapi, mana mungkin dia,’ hati Sonia berkata sendiri. Andainya benar seperti disangka, bermakna suatu yang pelik tapi benar telah terjadi di depan matanya.
“Wei, apa yang kau intai?” tegur Eja yang tiba-tiba saja menepuk bahunya dari belakang.
“Hish kau ni… terkejut aku. Tak reti nak bagi salam ke! Lain kali belajar-belajar bagi salam dulu boleh tak?” marah Sonia akibat terperanjat. Dahlah menepuk macam melepuk. Walaupun dia sememangnya sedang menanti kedatangan Eja, dan mereka telah pun bersetuju untuk bertemu di ruang legar KL Sentral ini, terperanjat juga kalau di sergah macam tu.
        “Kau yang tak dengar. Labang. Jenuh aku dah panggil kau, empat lima kali ada. Tapi, sepatah haram pun tak nak menyahut. Mata tu asyik merenung ke depan aje. Alert ler sikit, kata tunggu kat sini. Apa yang kau tengok, sampai tak ingat dunia?” tanya Eja yang pelik melihat telatah kawan baiknya. Sonia menyengih.
“Kau nampak tak mat busker tu, kau agak siapa dia?” soal Sonia. Eja menjegilkan matanya tanda tidak percaya sebaik saja dia mengenal pasti lelaki yang sedang asyik dengan persembahannya.
“Itu bos kau, kan?” Eja juga keliru.
“Entah, aku pun tak tahu. Jangan-jangan pelanduk dua serupa,” jawab Sonia acuh tak acuh.
“Eh, takkanlah itu bos kau. Apa ke jadahnya dia mencari ‘rejeki’ dengan melalak di tengah orang ramai macam ni? Dia, kan loaded. Mustahil bos kau buat kerja macam ni,” kata Eja.
“Aku rasa pun macam tu juga. ‘Potong ayam’ aku rasa bukan dia. Apa pun aku sukalah suara dia, syok! Aku rasa aku dah jatuh hati pada lagu-lagu yang dinyanyikannya, sungguh meninggalkan kesan,” cerita Sonia tanpa selindung.
“Hai, kenal tak sampai setengah jam dah jatuh cinta? Aneh, ajaib tu! Sebelum ni bukan main tersua-sua lagi kaum lelaki mau kasi bikin kau jatuh hati, sikit pun kau tak pandang. Alih-alih mamat busker yang tak ada masa depan ini pulak yang telah berjaya mencuri hati kau, biar betoi?” Mak! macam peluru sesat Eja menembak, siap dengan memek muka ‘dislike’ lagi. Tak suka bebeno ler tu. Sonia ketawa melihat wajah tak senang Eja dengan kenyataannya sebentar tadi.
“Kau ni cepat sangat melatah. Aku suka dengan suara dia jer. Aku dapati suara dan penampilannya agak seni,” beritahu Sonia.
“Apa seni-seni ni, aku tak reti. Yang aku tahu seni lukis adalah,” bantah Eja.
“Ah, tak payah ceritalah… malas aku. Aku ulas banyak-banyak pun, kau bukannya faham. Buat penat aje! Sebabnya kau bukan orang seni,” perlekeh Sonia.
“Habis, kau tu senilah sangat?” ejek Eja.
“Yalah… tak nampak ke,” jawab Sonia.
“Nampak ape, seni ape! Seni tari meroyan?” kutuk Eja sambil ketawa.
“Amboi, sedap aje kau mengutuk aku. Karang aku patah balik rumah, tak nak ikut kau baru kau tau,” marah Sonia bilamana Eja menggunakan perkataan meroyan. Terlalu ‘sensitip’ baginya perkataan itu.
“Alah bucuk-bucuk… aku gurau aje, itu pun nak sentap. Soro sori sori… Sorry ya!” Eja mula perasan yang dia dah tersasul. Kesal kerana membuat temannya terasa. Pada Sonia, sebutlah perkataan apa sekalipun dalam dunia ni, but not meroyan. Ada kenangan pahit dalam terminologi itu.
         “Jom kita gerak sekarang,” ajak Eja.
“Wei, wait ‘semenet’! Tak boleh tunggu kejap lagi ke? Aku tengah syok layan blues dia tu,” pinta Sonia.
“Lain kalilah kau sambung tengok seniman jalanan kau tu. Aku tak berapa minat benda-benda macam ni. Runsing telinga aku. Jomlah! Dah lambat ni,” sekali lagi Eja mengajak.
“Kau nikan, saja dengki dengan aku, kan! Tak boleh tengok aku bahagia sikit,” marah Sonia sambil membuka langkahnya. Beberapa langkah kemudian dia menoleh lagi ke arah lelaki rugged itu. Eja menyengih, kemudian ketawa. Ada unsur perli di situ. Siap kau ‘munah’! Ada ubi ada batas, bisik hati Sonia.
“Kau, kalau sukakan lelaki yang macam mat busker tu tadi, senang cerita kau tackle aje bos opis kau tu. Muka pun ada irap-irap, jadi ler! Kalau nak ‘rejeki’ kau, entah-entah bapak gitar pun dia reti main. Berbaloi-baloi gua cakap lu,” cadang Eja.
“Hah, pandailah kau. Sendiri mau ingat beb… kau ingat ada ke orang nak pandang perempuan yang pakai uniform putih dan but kuning Phua Chu Kang? Kalau beri cadangan tu, biarlah realistik sikit,” balas Sonia. Eja ketawa mengekek. Lima minit kemudian LRT tiba, mereka berdua meloloskan diri ke dalam perut Transit Aliran Ringan itu untuk ke KLCC.

PAMERAN Aqsa Syarif untuk Suria dan Gaza. Sebuah pameran yang sedang berlangsung di ruang legar KLCC ketika ini. Ramai pengunjung dan pencinta keamanan tekun mendengar penjelasan dari wakil Aqsa Syarif tentang tujuan dan matlamat pameran tersebut diadakan. Ada juga yang ralit melihat gambar-gambar tragedi mangsa kekejaman peperangan yang didalangi manusia berbangsakan syaitan. Kemusnahan sebuah negara dan tamadun yang sekian lama terbina ranap dalam sekelip mata angkara nafsu ‘surakah’ yang bermaharajalela. Bahan pameran yang sangat menyentuh hati bagi sesiapa saja yang melihatnya adalah gambar kanak-kanak yang tidak berdosa mati bergelimpangan umpama haiwan ternakan yang diserang wabak. Seolah-olah nyawa manusia di saat itu sudah tidak ada nilainya di sisi penaja sekutu durjana.
“Sedihnya,” keluh Sonia sambil mengelap hujung matanya yang mula bergenang dengan jari. Kelam rasa hati.
“Ya, memang cukup menyedihkan. Saudara seakidah kita diperlakukan sedemikian rupa,” ulas Eja.
“Beb, kau ajak aku datang sini, sebab kau memang dah tahu ada pameran kat sini ke?” tanya Sonia ingin tahu.
“Ya, memang aku dah tahu. Aku dipelawa oleh Profesor Zulaiha datang ke pameran ini untuk mendapatkan maklumat terkini sambil menyumbang,” terang Eja.
“Oh ya ke?”
“Kenapa, kau marah ke aku tak beritahu kau awal-awal?” tanya Eja.
“Taklah! Benda baik, buat apa aku nak marah tak tentu pasal. Lagipun elok juga kita datang, dapat juga kita maklumat sahih tentang apa yang berlaku di Gaza dan Syria ketika ini,” akur Sonia.
“Assalamualaikum!” mereka berdua disapa.
“Waalaikumussalam!” serentak salam dijawab.
“Dah lama ke Khadeeja sampai?”
“Baru aje prof! Tak sampai pun lima belas minit,” jawab Eja sambil tersenyum.
“Maaflah saya tak perasan tadi. Ramai sangat orang. Ini siapa?”
“Oh! Kenalkan, ini kawan baik saya Sonia, dan ini Prof. Zulaiha, pensyarah aku.” Eja memperkenalkan Sonia kepada pensyarahnya.
“Selamat berkenalan,” ucap Zulaiha lembut sambil menghulurkan tangan bersalaman. Terpegun Sonia seketika bila mengetahui Profesor Zulaiha ini muda orangnya. Dikhabarkan umurnya sekitar lewat 20-an. Orangnya juga sangat cantik dengan jubah kelabu dan tudung putih labuh, menambahkan nur di wajahnya. Di tengkuknya tersangkut megah mafla ‘Free Palestin’ tanda sokongan yang tidak berbelah bagi pada saudara seagamanya yang telah lama tertindas di tanah air sendiri.
“Selamat berkenalan,” ucap Sonia kembali, tanpa mengalihkan pandangannya dari wajah cantik bersih milik Profesor Zulaiha.
“Masih belajar atau dah berkerja?” tanya Profesor Zulaiha.
“Berkerja,” senyum simpul Sonia menjawab. Dalam hati dia berdoa agar Prof. Zulaiha tidak bertanya lebih-lebih tentang kerjayanya.
“Sebenarnya Nia ni, ex-graduate UM juga. Satu batched dengan saya dulu.” Tak pasal-pasal pula ‘Mak Cik Limah’ mulut bising ni nak buka rahsia pulak. Sonia menjeling tajam. Siap kau! Bukan Eja tak tau yang Sonia ni begitu secretive. Tak nak orang tahu banyak-banyak tentang dirinya.
“Oh ya ke! Kenapa tak sambung belajar macam Khadeeja?” Meriah sungguh profesor muda ni berinteraksi.
“Tak berkesempatan. Banyak sangat halnya. Insya-ALLAH, izin ALLAH mungkin lain kali kot!” jawab Sonia jujur dengan senyuman yang terukir di bibir.
“Bagus bagus… Istilah belajar atau menuntut ilmu ni sebenarnya tak ada ada titik noktahnya. Nabi kita pun pernah sebut, menuntut ilmu ni bermula dari buaian sampailah ke liang lahat. Bila-bila masa pun kita boleh belajar, asalkan ada kemahuan,” tegas Profesor Zulaiha.
“Prof. dah lama ke terlibat dengan pertubuhan Aqsa Syarif ni?” tanya Sonia yang mula berminat untuk mengetahui latar belakang ilmuan muda yang cantik jelita ini. Rasa seronok dan beruntung pula dapat bertemu dan berbual-bual dengan golongan bijak pandai yang begitu komited dan ikhlas dalam kerja amal mereka. Yang senantiasa menyibukkan masa rehat mereka untuk memenuhi keperluan orang lain. Yang sanggup bertungkus-lumus mencari dana untuk disumbangkan kepada saudara seagama yang lebih memerlukan. Ah… sungguh mulianya keperibadian mereka. Sonia merenung jauh ke dalam dirinya. Bermuhasabah. Apakah yang telah aku sumbangkan untuk agama, bangsa dan saudara seagama ku? Kosong… setakat ini tidak ada apa-apa pun yang telah aku sumbangkan. Apa yang hendak ku jawab di hadapan ALLAH nanti. Saudara-saudaraku di sana disembelih, sedang aku di sini selesa dan tenggelam dalam hiburan. Anak-anak kecil mereka menangis kelaparan, sedang anak-anak kami di sini nyenyak kekenyangan. Isteri-isteri mereka terbiar, sedang isteri-isteri di sini cukup bahagia dan mendapat perlindungan. Walaupun tidak termasuk aku, namun aku ada emak dan kawan-kawan.
“Sebelum saya jawab, saya nak awak berdua jangan panggil saya prof, sebab ini bukan dewan kuliah, uccay! Uolls panggil saja Kak Zu, boleh?”
“Boleh,” serentak Eja dan Sonia menjawab.
“Okey, saya dah join dengan pertubuhan ini agak lama juga, sejak dari sekolah menengah lagi, sampailah sekarang. Kenapa Sonia tanya, berminat nak jadi sukarelawan?” Terkerising Sonia bila ditanya.
“Entahlah… sekarang ni belumlah lagi rasa nak join, tak tahulah selepas ini,” jawab Sonia untuk melepas diri.
“Tak kisahlah, yang pentingnya kita sudi meluangkan masa untuk mendengar dan memberi sokongan kepada Aqsa Syarif dalam usahanya untuk mengutip dana bagi menolong mangsa kekejaman di Syria dan Gaza ni. Semoga ALLAH merahmati dan memberkati awak berdua,” doa Prof. Zulaiha.
 “Ameen!” Eja mengaminkannya, diikuti dengan Sonia perlahan.
“Okeylah… Khadeeja, Sonia, sekarang jom kita pergi dengar penerangan dan berita terkini dari Imam Ahmed Muaz mengenai Masjidil Aqsa yang sedang diceroboh, dan penduduknya yang telah dikepung hebat oleh regim jahat Zionis laknatullah itu,” ajak Zulaiha dengan penuh semangat. Tanpa berlengah mereka berdua mengikut Profesor Zulaiha bergerak ke hadapan agar dapat mendengar butirannya dengan lebih jelas.
Penerangan tersebut disampaikan dalam bahasa Arab, kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh wakil dari pihak Aqsa Syarif sendiri. Ramai pengunjung yang duduk mendengar, dan ramai juga yang terkesan di hati, lalu ramai jugalah yang menterjemahkan simpati mereka dalam bentuk material. Inilah antara sikap yang amat dibanggakan dengan orang yang telah diberi hidayah oleh ALLAH. Hati mereka mudah tersentuh, simpati dan cepat memberi. Mudah-mudahan sifat yang mulia itu akan sentiasa kekal dan subur di hati sanubari setiap orang Islam. Sesungguhnya Islam itu bersaudara.


       



























No comments:

Post a Comment