NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Monday, September 15, 2014

CINTA KITA SEMPOI BAB 3

BAB 3


        SUASANA di The Mines, Seri Kembangan pada hujung minggu itu cukup meriah dengan pengunjung dari pelbagai lapisan, all walks of life, tidak terkecuali pelancong asing yang hitam dan yang putih. Semuanya datang dengan tujuan yang telah pun tersemat di hati masing-masing. Bagi yang loaded dan banyak duit, mereka datang untuk membeli-belah, makan-makan dan berekreasi. Adapun yang kurang fulus, saja datang untuk suka-suka, window shopping, cuci mata ataupun sekadar menghilangkan rasa bosan duduk di rumah. Especially yang bujang-bujang.
        Namun bagi Sonia, dia datang kerana rindunya yang kian tidak tertanggung, rindu yang sering menggoncang perasaan, rindu yang sering mengganggu lenanya yang kekadang sampai ke subuh. Lalu mahu tidak mahu, dia perlu hadir kembali di sini bagi melewati batas-batas kenangan, agar senak rindu yang sering menekan dada ini bisa berkurangan. Di sini banyak kenangan indah bersama Ain Kaisara dan juga bekas suaminya. Saat di mana mereka pernah dilimpahi dengan kebahagiaan suatu ketika dahulu. Saat di mana dia pernah dihadiahkan bulan dan bintang oleh bekas suaminya. Cukup indah dan cukup manis.
        Hari ini, dia datang lagi ke Kidz Paradise yang terletak di Level 4, tempat dia dan Ain Kaisara pernah bermain-main. Dua tahun lalu umur Ain Kaisara baru mencecah setahun delapan bulan, tapi anak kecil itu sangat cergas dan sangat aktif. Ke hulu ke hilir dia berlari, tak mau diam dan tak reti penat. Semua permainan yang ada di Kidz Paradise ini mahu dicuba, walaupun tak padan dengan usia dan saiznya yang cinonet. Ah, indahnya kenangan!
        “Ain, mama rindu sangat pada Ain,” rintih Sonia sambil tangan kanannya menggosok-gosok kuda plastik yang pernah dinaiki oleh Ain Kaisara dahulu. Kolam matanya sudah lama penuh dengan air jernih, tapi ditahan-tahannya agar tidak tumpah.
        Sonia beralih pula pada slide berwarna pink dan biru, di mana si comel Ain Kaisara pernah bergelongsor dengannya. Ain Kaisara yang ketawa terkekeh-kekeh memanjat tangga lalu menggelongsor laju sampai ke bawah. Terbayang jelas di mata Sonia keletah Ain Kaisara yang ceria dan girang ketika bermain. Ah, rindu ini membelah jiwa. Dalam tak sedar dan tak keruan Sonia melekapkan hidungnya rapat pada slide yang berwarna pink dan biru itu.
        “Wei, sudah-sudahlah tu… Kau jangan nak buat kerja gila. Malu kita nanti,” tegur Eja, teman yang setia menunggu dan menemani ke mana saja Sonia pergi.
        “Aku buat apa?” tanya Sonia separuh pelik bila Eja menegurnya.
        “Yang kau pergi cium papan gelongsor tu buat apa?” marah Eja.
“Macam orang tak betul jer aku tengok,” marahnya lagi.
        “Bila aku cium?” tanya Sonia balik. Eja membulatkan matanya. Dah sah kawannya ni tengah mamai dan sedang berdelusi. Biarlah asalkan dia bahagia. Cakap lebih-lebih pun tak guna.
        “Okeylah! Jom blah. Aku ni dah tak laratlah nak follow kau. Takkan semua permainan bebudak kat sini ni kau nak kena jumpa, and say hey hello I miss you semua,” bedal Eja tanpa perasaan. Rasa geram juga dia dengan Sonia yang terlalu emosional ni. Baginya yang lepas tu biarlah lepas, tak payahlah dok nak ingat-ingat lagi, nanti bertambah kacau fikiran tu.
        Sonia menatap mata Eja dengan legat, mengharapkan simpati darinya.  Dia tahu kawannya ini sedang angin.
        “Kau tak memahami perasaan aku, sebab bukan kau yang mengalaminya,” perlahan saja suara Sonia seolah-olah tenggelam di dalam kerongkong.
Ish… sedih pula Eja mendengarnya.
        “Aku faham perasaan kau, sebab itu aku nak kau bangkit dari kenangan semalam. Yang lepas tu sudah-sudahlah. Kan itu sudah suratan takdir. Janganlah kau nak sia-siakan hidup kau dengan asyik mengenangkan kesedihan yang tak pernah padam tu. Kau kena ingat, hidup ini perlu diteruskan walau apa konsekuensinya. Ujian kehilangan kau tu hanya sedikit saja kalau nak bandingkan dengan penderitaan rakyat Syria ataupun Gaza yang sedang bergolak sekarang ni. Mereka kehilangan tempat untuk bergantung. Ada yang hampir kehilangan ahli keluarga semuanya sekali, terkontang-kanting di tengah-tengah pergolakan yang sedang menggila. Kau bayangkanlah bagaimana anak kecil yang kehilangan ayah, ibu dan adik-beradik, meraung bersendirian tidak tahu hendak ke mana, dengan lapar dan dahaga serta ketakutan yang melampau. Apa perasaan kau? So please Nia, jangan kau nak over sangat okey! Penderitaan kau tu kalau nak dibandingkan dengan mereka, sekelumit pun tak sampai. Ayuh… Come on wake up and be strong Sonia,” belasah Eja cukup-cukup. Biar sahabatnya itu sedar bahawa masih ada insan lain yang lebih malang darinya di muka bumi ALLAH yang penuh pancaroba ini.
        “Kau marah sebab aku beria-ia ajak kau datang sini ke?” tanya Sonia yang mula sedih.
        “Hek eleh… sentaplah pula ‘Mak Cik Bedah’ ni. Tak ada maknanya aku nak marahkan kau. Aku tegur tu supaya kau sedar, jangan hidup dalam bayang-bayang lagi. Sepatutnya kau dah lama cari pengganti bekas laki kau yang senget tu. Cer kau tilik diri kau tu, kau tu masih muda beliawanis, masih cantik, masih bergetah kalau nak dibandingkan dengan aku yang tak seberapa ni. Apa yang kau susah, petik aje jari, sepuluh yang datang berlari,” lancar saja butir-butir yang keluar dari mulut Eja.
        “Aku sedih bila mengenangkan Kaisara,” adu Sonia, minta simpati.
        “Aku tahulah kau sedih. Orang lain pun sedih juga, tapi tak adalah sampai peringkat cium papan gelongsor. Jangan kau buat aksi emosi yang pelik semacam tu lagi, seram aku!” Eja mengecutkan badan.
        “Bila masa pulak aku cium slide? Kau jangan lebih-lebih nak kutuk aku,” muncung Sonia.
        “Tadi tu! Kau bukannya sedar. Sebab tulah aku marah sangat kalau kau emo terbawa-bawa tak tentu pasal. Aku takut banyak lagi perkara pelik yang akan kau buat. Ya ampun... tolong… jangan ler Nia, bawak-bawak ler mengucap.” Akhirnya Eja ketawa melihat muka Sonia yang sudah masam mencuka. Marahlah tu…
        “Yalah, aku janji tak buat lagi dan cuba kawal perasaan aku,” janji Sonia.
        “Okeylah! Jom kita chau dari sini, perut aku pun dah berkeroncong ni.” Eja mula menghayunkan langkah.
        “Eja please… beri aku masa sikit lagi. Tunggulah, sekejap aje lagi,” pinta Sonia dengan muka 10 sen.
        “Kau nak pergi cium benda apa lagi?” marah Eja. Geram betullah aku dengan Sonia ni. Lagi dicakap, lagi menjadi-jadi pulak dia.
        “Aku nak masuk dalam kolam bola tu…” Sonia menunjukkan kolam besar yang dipenuhi dengan bola-bola plastik yang berwarna-warni. Kenangan yang indah juga ada di situ, saat dia bermain baling-baling bola dengan Kaisara. Tanpa menunggu kebenaran dari Eja, Sonia terus berlari dan masuk ke dalam kawasan kolam yang luas berjaring. Masuk saja ke dalam kolam tersebut Sonia terus menjatuhkan dirinya ke atas bola-bola kecil itu, kemudian dia mengaut bola-bola yang beraneka warna itu menutupi seluruh tubuh badannya. Memang saat ini dia betul-betul tenggelam dalam nostalgik bersama ribuan bola, dan dia ingin mencari ketenangan di situ. Sonia memejamkan mata. Perlahan-lahan rindu yang menebal beransur pergi apabila ketenangan datang memujuk hati.
        Tiba-tiba dia terdengar suara anak kecil yang gemersik.
        “Papa papa, cepatlah! Ria nak naik ni,” suara manja si kecil memohon izin.
        “Sabarlah sayang, perlahan-lahan nanti jatuh,” nasihat si ayah yang sentiasa mengawal. Tup! Sonia membuka kelopak matanya. Adakah dia sedang berdelusi lagi.
        “Papa… I want to play on the slide,” suara anak kecil itu meminta lagi. Kali ini kedengaran semakin dekat.
        “Yeah… alright, but be careful honey,” pesan si ayah. Anak kecil itu ketawa riang. Jiwa Sonia sudah tidak tertahan mendengarnya. Sah, itu suara buah hatinya Kaisara. Anak mama sudah kembali!
        “Kaisara anak mama!!!” Sonia bertempik kuat sambil bangkit dari pembaringannya. Persis zombie kampung pisang keluar dari kuburan. Ternyata kelakuan Sonia membuatkan anak-anak yang sedang leka bermain dalam kolam itu terkejut dugong dan menjerit serentak. Sungguh mereka tidak menyangka ada manusia yang bukan sesaiz mereka berbaring di dalam timbunan bola itu bersama mereka. Ada yang menjerit kerana terkejut, dan ada yang ketawa kerana teruja.
        Sonia berdiri bercekak pinggang sambil menoleh sekelilingnya, melilau mencari Kaisara dan bekas suaminya. Tidak pula nampak, dan suara ketawa riang tadi juga hilang dari pancainderanya. Dah sah dia berdelusi lagi. Tiba-tiba matanya terpandang kepada seseorang yang sangat-sangat dikenali. ‘Encik Johari!’ senada hati dan lidahnya menyebut. Di sebelahnya kelihatan budak perempuan comel sedang bermain papan gelongsor bersama kanak-kanak lain. Suara mereka berduakah yang telah menerobos masuk ke dalam gegendang telinganya? Sonia terkeliru.
        Sonia merenung ke arah Encik Johari dan anaknya yang sedang bergelak tawa. Anak kecil itu cukup comel, matanya bulat, kulitnya putih gebu, pipinya tembam licin, dan yang paling Sonia suka ialah rambutnya yang curly hitam lebat, panjang melepasi bahu. Sungguh cantik. Agaknya Kaisara buah hatinya sekarang ini mungkin sudah sebesar itu. Legat Sonia memerhatikan si kecil itu bermain. Pandangan mata Sonia berpindah pula ke arah Encik Johari yang berwajah tenang sambil mengawasi si anak. Dengan tidak semena-mena pandangan mereka bertemu dan bersatu. Encik Johari juga kebetulan sedang tepat merenungnya, mata bertemu mata. Apakah mungkin terbit di minda Encik Johari satu prasangka buruk terhadap tenungannya itu. Mungkinkah Encik Johari merasakan yang dia sedang berniat jahat atau sedang merancang satu penculikan terhadap anaknya? Huh… dah ke situ pula fikirannya jauh melalut. Nyah kau syaitan… ini tidak lain hanyalah bisikan yang senantiasa mengganggu anak adam, auzubillahu minhu. Akhirnya Sonia mengalihkan padangan matanya dan mula beredar dari situ. 
        “Eh, beb! Siapa brader handsome yang kau renung macam nak telan tadi?” tanya Eja sebaik saja mereka berdua beredar.
        “Bos tempat kerja aku,” jawab Sonia malas. Di matanya masih terbayang keletah anak Encik Johari yang sangat cute.
        “Kenapa kau tak tegur, dan kenapa dia juga macam tak kenal kau erk?” Eja masih belum puas hati.
        “Dia memang tak kenal aku pun,” balas Sonia.
        “Hai, peliknya! Biar betul... dah kerja selama enam bulan pun masih tak kenal pekerja sendiri? Apa besar sangat ke syarikat tempat kau kerja tu. Ada beratus-ratus orang ke? Sampai tak kenal!” Eja mencebik. Sonia menjeling. Mulalah ‘munah’ ni nak kepo, mengalahkan buntut ayam telor.
        “Alah, aku hanya cleaner jer kat pejabat tu. Siapa pula yang nak ambil tahu pasal aku? Lagipun dia orang kat pejabat tu tak pernah tengok muka aku, melainkan seorang aje, iaitu Mak Cik Hana yang ‘sewaktu’ dengan aku,” dengan senyum Sonia bercerita.
        “Habis, kau kerja pakai purdah ke?” tanya Eja dengan nada terkejut. Lepas tu dia mengilai sorang-sorang.
        “Hiss, kau ni agak-agaklah sikit. Ada ke macam tu… Akai ada ka! Takkanlah aku nak kerja cuci lantai, cuci tandas, berjubah dan berpurdah bagai. Aku pakai masklah, itu pun tak boleh agak ke?” jeling Sonia. Eja ketawa kuat, entah apa yang digeli hatikannya sangat, aku pun tataw. Lantak dialah…
        “Apa pasal ler pulak yang kau sembunyikan muka kau yang cantik gebu ni?” Eja bukan saja bertanya tapi siap cubit lagi, geram sangat tengok pipi gebu licin milik Sonia. Si Sonia ni walaupun hatinya jarang tenteram, tapi soru tak pernah miss, itu yang gebu semacam tu.
        “Sebenarnya aku tak nak kena ganggu. Ehem! Kau tahu ajelah, mana aje aku pergi ada saja yang nak ngorat. Eeiii… lemas. Rimaslah! Senang cerita kasi tabir sikit muka, sapa pun tak angkat port, selamat dari fitnah,” terang Sonia.
        “Eh, cantik jugak idea kau tu! Erm… tapi Nia, aku tengok kau dengan bos handsome kau tu, macam ada chemistrylah pulak! Macam ada baek punya ‘reaksi kimia’ aku perhati,” dahi Eja berkerut bila bercakap.
        “Dah dah! tak payah kau nak jadi nujum mak belalang kunyit kat sini. Tak usah payah-payah dok berkerut dahi bagai untuk memikirkannya,” larang Sonia sambil melangkah dengan pantas. Malas nak layan cakap Eja yang entah apa-apa.
        “Betullah beb, aku nampak ada karan cinta yang sedang sabung-menyabung bila pandangan kau dan dia bersatu tadi. Hah, untuk mudah kau faham, kau pernah tengok tak arus elektrik pada dawai yang tak bersalut atau pada bola kristal? Alah… macam dalam filem cereka sains fiksyen Amerika yang mengarut tulah. Kau faham tak maksud aku?” Faham ke idak ni! Sungguh-sungguh Eja menceritakan teori entah apa-apanya. Sonia ketawa kuat.
        “Kenapa kau ketawa. Tak percaya ke?” tanya Eja.
        “Percaya… tersangatlah percayanya, cumanya tadi bukan main lagi kau kata aku dah macam orang tak betul. Cium itu cium ini, seram ler apa ler. Baeek, kaw-kaw punya kutuk. Yang kau tu! Sendiri tak sedar. Sebenarnya, kau lagi teruk, lagi tak betul, lebih senget dari aku, hikhikhik… Itulah suka sangat tengok Star Wars,” kutuk Sonia pula. Ketawanya masih belum reda. Eja menyengihkan barisan giginya yang telah dibraced dengan pendakap kawat, tanpa sedikit pun rasa tersinggung.
        “Woii, jom makan! Perut aku dah beberapa kali berkeruk-kerak ni. Lapo tau dak!” ajak Eja.
        “Hish kamu.., kalau pasal makan, tak reti nak menyempat. Ingat kamu sorang aje lapar,” ejek Sonia sambil ketawa. Dia pun geram juga sangat, asyik kena kutuk dari tadi. Pantas saja Eja mencucuk-cucuk pinggang Sonia, menggeletek sampai janda muda itu berlari laju kerana tidak tahan. Hairan orang menengok perangai budak perempuan dua ekor tu. Keduanya apah tak rasa. Selamba kodok aje…
       












No comments:

Post a Comment