NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 14









BAB  14

BAU wangi semerbak menyucuk lubang hidung Amira tatkala Halim melintas di hadapannya. Lelaki bujang terlajak itu buat-buat tak nampak saja bila Amira legat memerhatinya yang berjalan ke hulu ke hilir sambil bersiap.
            “Pak su nak pergi mana ni?”
            “Nak keluar sekejap.”
            “Nak ikut…” Amira melembikkan tengkuknya macam biasa.
            “Tak boleh, pak su nak jumpa kawan.”
            “Aleh, bukannya Mira tak kenal kawan-kawan pak su. Bolehlah Mira ikut ya.”
            “Mana boleh, ini kawan baru pak su, tak sesuai Mira jumpa dia sekarang.”
            “Siapa kawan baru pak su ni, lelaki ke perempuan?” Amira mula curiga. Selalunya Halim tak pernah menolak permintaannya.
            “Adalah…” sebaris senyuman terukir di bibir Halim.
            “Dah sah, ini mesti perempuan. Oo… pak su nak dating ya?”     
            “Yalah bagilah peluang pak su dating. Kalau ada keserasian, bolehlah dibuat girlfriend.”
            “Huh… ulat bulu dah naik daun tualah tu…” Amira mengejek sambil mencebik, tapi Halim ketawa senang, maklumlah sekarang dah ada orang yang nak dia temui.
            “Hei… tak ingat ke? Bukankah awak yang selalu suruh pak su cari isteri supaya awak tu tak payah lagi buat kerja-kerja perempuan dalam rumah ni.”
            “Yalah, tapi janganlah pula sampai pinggirkan anak saudara yang kesepian ni. Pak su lebuh, hilang bila jumpa awek, habis Mira ni jadi jaga rumah, tunggu pak su balik. Tak acilah macam ni.”
            “Hmm… memanglah, achi ada kat India.” Halim mempersendakan Amira dan Amira membalingkan bantal kecil ke      arah Halim yang masih ketawa mengekek.
            “Boringlah kalau macam ni.”
            “Kalau boring ajaklah Pian temankan Mira,” Halim memberi cadangan.
            “Oii… pak su, karang tak pasal-pasal Mira kena tangkap basah dengan Pian, dan tak pasal-pasal juga Mira kena kahwin dengan Pian. Eeeeii… tak naklah Mira.”
            “Ya tak ya juga, nanti tiba-tiba aje pak su dapat anak saudara yang kepala besar macam sarang tebuan,” kuat Halim ketawa dengan lawaknya sendiri. Amira cuma menjeling, macamlah lawak sangat.
            “Pak su bolehlah Mira ikut, Mira duduk jauh-jauh dan tak kacau pak su. Bosanlah duduk sorang-sorang kat rumah.”
            “Ha… itulah kau, orang suruh cari teman lelaki tak nak, asyik nak berkepit dengan pak su saja, lepas tu leka dok layan budak bengkel. Apa yang kau dapat?”
            “Aleh… baru pertama kali dating dah bising, belum tentu lagi perempuan yang pak su nak jumpa nanti sukakan pak su. Kita tengoklah nanti.” Amira mencebik.
“Tak apalah, sekurang-kurangnya pak su, ada, kau ada?”            Amira dengan marah membaling bantal kecil ke arah Halim dan kemudiannya masuk ke bilik. Merajuklah tu… Halim tersenyum lagi. Dia kadang-kadang pelik dengan perangai anak saudaranya yang sorang ni. Perangai macam lelaki, berpakaian macam lelaki, tak macam anak gadis-gadis lain, bila masa budak ni nak jadi perempuan sejati pun dia tak tahu. Nak kata tak cantik? Amira memang cantik, tapi selalu dia sembunyikan wajah di balik topinya. Tapi apa yang dia harapkan ialah suatu hari nanti, ada lelaki yang sukakan anak  saudaranya yang pelik ni.
    
Amira mundar-mandir di dalam rumah, sesekali dia melemparkan pandangan ke jalan raya taman perumahan yang sepi, mengintai kereta pak sunya, kut-kutlah dah balik. Bunyi bising suara dari peti televisyen di rumah itu tidak dapat menghilangkan rasa sunyi yang telah berkampung di hati Amira. Entah mengapa dia merasa sunyi sangat. Macam hidup sebatang kara saja. Ingatannya mengembara ke Kampung Pinang Sebatang. Apalah agaknya yang sedang dibuat oleh mak dan kak Yati. Adakah mereka sedang mengingati aku atau sudah buang aku dari ingatan mereka? Maklumlah sejak peristiwa pilu yang merenggut tangkai hati aku hari tu, aku belum lagi menghubungi mak. Bukan tak rindu pada mak, tapi hati yang terkilan ini menjadi penghalang, jadi aku ikut sajalah kata hati. Mungkin inilah balasan untuk aku, hati yang terhijab dari kesejahteraan, lantaran dendam yang bersisa. Mak, ampunkan Mira!
Tiba-tiba BlackBerry Curvenya menjerit kuat, Amira berlari mendapatkannya, nasib baik tak tersungkur akibat terlanggar kaki meja. Siapa yang called? Jangan-jangan mak kut, mesti mak juga sedang merindui aku, maklumlah hubungan dua jiwa, mana boleh dipisahkan.
“Assalamualaikum mak!”
“Waalaikumussalam!” terkejut Amira bila mendengar suara parau yang menjawab.
“Siapa ni?”
“Ini Ariel… awak tengah tunggu panggilan dari mak awak ke?”
“Tak adalah, saya bercakap tak tengok nama siapa yang keluar tadi.” Amira termalu sendiri.
“Ini mesti tengah rindu kat mak awak, kan?” Pandai pula si Ariel ni menembak.
“Eh… mana ada. Kita dah besar, mana main rindu-rindu macam budak kecil yang baru masuk asrama.”
“Alangkah ruginya, sekiranya awak tidak merindui mak awak. Sebab ingatan dan kerinduan terhadap ibu dan ayah merupakan talian pahala untuk anak-anak. Rasulullah pernah memberitahu, kalau kita memandang ibu bapa kita dengan ikhlas pun dapat pahala, apatah lagi  berbuat kebajikan untuk mereka.” Tersentuh jiwa Amira mendengarnya.
“Ya saya tahu, tapi syaitan selalu menguasai diri. Bila saya nak call mak saya, hati kecil ni kata tak payah, sebab mak dah buat macam-macam kat saya.” Ada saja alasan minah ni.
“Ha… ha…ha… yang pergi ikut cakap syaitan tu kenapa? Kita orang Islam kena ikut cakap ALLAH dan Rasul. Apalah sangat dengan perbuatan yang ‘biasa-biasa’ yang telah mak kita buat tu, kalau nak bandingkan dengan segala jasa dan pengorbanannya. Awak tak fikir ke, semua tu?”
“Tahu… tapi…” Amira teragak-agak. Hah… kan dah kena peluru sesat.
“Awak ni tahu, tahu. Buat tak juga. Okey, lepas ni call mak awak dan minta ampun. Ingat, syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.”
“Ya Ustaz Ariel, saya akan ikut cakap ustaz, terima kasih kerana beri nasihat,” Amira berlawak, tapi jauh di dalam hatinya dia memang berterima kasih sangat pada Ariel kerana tazkirah pendek tadi, bukan dia tak tahu itu semua, tapi dia alpa. Biasalah manusia memang mudah lupa, sebab itulah ALLAH menyuruh kita agar sentiasa berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
“Amin, awak panggil saya ustaz? Moga-moga masin mulut awak. Kalau saya jadi ustaz, awaklah orang yang saya dakwah dulu.” Ariel ketawa dan Amira juga ketawa sebab terkena batang hidungnya sendiri.
“Awak kat mana ni?” tanya Amira.
“Kat rumahlah, kenapa?”
“Ingatkan kat tempat kerja, sebab selalunya orang yang kerja dengan company besar-besar ni, suka buat kerja overtime.”
“Ini tengah buat kerja overtimelah ni, tapi buat kat rumah. Awak tak buat kerja overtime?” pertanyaan Ariel membuatkan Amira ketawa kuat.
“Ha…ha…ha…kelakarlah awak ni, takkanlah saya nak bawa balik gearbox atau segala benda mak nenek tu balik kat rumah?” Ceh… macam confident  saja menjawab.
“Awaklah yang kelakar, saya tak maksudkan overtime kat rumah, tapi kat bengkel. Lain kali kalau nak menjawab tu fikir dulu, bukan main terjah saja. Ada faham adik manis?” Giliran Ariel  pula yang ketawa. Kalaulah Ariel dapat melihat muka Amira yang dah mula cemberut ni, kan seronok. Minah ni mana suka kalau orang kena kan dia, tapi kalau dia kena kan orang, bukan main menggeletik lagi dia.
            “Amira, kenapa awak diam? Awak marah ke? Sorrylah saya nak bergurau saja.” Ariel bertanya sebaik saja dia tidak mendengar celoteh Amira.
            “Tak, buat apa nak marah, benda betul. Memang saya ni kalau bercakap main lepas saja, salah ke, silap ke, belakang kira. Janji terkeluar apa yang nak dikata.” Berani pula minah ni mengaku kelemahan dirinya.
            “Tak bolehlah macam tu, sebab kata-kata adalah buah fikiran. Adakah sama percakapan seorang Ilmuan dengan orang biasa? Pasti tak sama, kan? Orang juga dapat menilai diri kita melalui apa yang kita ucapkan.” Pandai Ariel melunakkan otak Amira yang kematu.
            “Awak jangan lupa ada juga orang yang cakap bagai nak rak, tapi habuk pun tarak, macam tin kosong.” Ariel ketawa lagi, dia tahu Amira ni, jenis orang yang suka nak menang.
            “Buat apa awak pedulikan tin kosong, yang berisikan minuman, kan banyak. So, pilihlah yang tak kosong. Ingat, dalam hidup ini kita perlu melihat ke hadapan dan berfikiran positif, dan jangan ambil kira perkara-perkara yang negatif tu!” Sekali lagi Amira terkedu. Bercakap dengan Ariel tak sama bercakap dengan Pian, Zaki dan Musa atau sesiapa saja yang dia pernah berhubung selama ini. Pelikla! peninglah!
            “Okeylah Ariel, saya rasa dah penat dan mengantuklah, saya chau dulu ya?”
            “Okey, tapi jangan lupa hubungi mak awak tu, kasihan dia tertunggu-tunggu anak kesayangannya call.”
            “Baiklah…” Selepas menjawab salam dari Ariel, Amira mematikan talian. Jiwa yang sepi dan dada yang ketat tadi terasa longgar. Kekusutan yang sekian lama berselirat di tempurung kepala pun terasa lapang. Peliklah! Bila bercakap dengan Ariel macam bercakap dengan pakar kaunseling sebab apa yang dikatakan oleh Ariel semuanya benar, dan Amira dapat menerima teguran Ariel dengan dada yang terbuka. Peliklah! Sebab selama ini Amira tak suka dengar cakap orang. Amira menggigit jarinya sendiri sambil berfikir.
            Mak, ampunkan Mira! Mira akan call mak esok sebab tak nak ganggu tidur mak malam ini.







.



           





Amir Minah Macho Bab 13













BAB 13

            USAI solat subuh Amira tidak tidur seperti biasa. Kalau selalunya dia akan menyambung semula tidur sambil membungkus diri dengan selimut. Kat kampung tidurnya nyaman sekali, rasa tak puas dan tak cukup, lalu dia akan tidur semahunya. Kalau Mak Milah membebel, dia bukan dengar pun sebab tidurnya macam mayat.
            Pagi ini Amira telah nekad untuk balik ke KL, dari pagi lagi dia mengemas segala pakaian dan barang-barangnya, bukan banyak mana pun, cuma beberapa helai t-shirts dan seluar jeans.
            “Mak!!!” Amira menjerit kerana terkejut sebaik saja dia membuka pintu almari dan mengambil seluar jeansnya. Sungguh dia tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Mana tak terkejut, seluar jeansnya telah dikerat menjadi separuh, bukan sehelai yang kena kerat tapi semua yang dia bawa balik. Tiga helai semuanya.
            Amira berlari keluar mencari kakaknya, lalu dicampakkannya seluar jeans yang telah kontot kakinya itu di hadapan muka Norhayati.
            “Eh, Cik Yat, Yit,Yot, apa salah aku pada kau hah? Sampai sanggup kau kudungkan kaki seluar aku ni. Macam mana aku nak pakai?”
            “Weh… minah kepala batu. Aku tak ada kena-mengena dengan harta benda kau tau. Jangan cakap sesedap mulut saja.” Norhayati melawan.
            “Habis macam mana seluar jeans aku boleh kudung? Takkanlah Cik Bibah sebelah rumah yang datang kerat seluar aku?” Marah Amira mula sampai ke telinga bila Norhayati tidak mengaku dan buat tak tahu saja.
            “Apa yang kamu jerit pagi-pagi buta ni Mira?” marah  Mak Milah yang datang dari arah dapur sebaik saja mendengar suara Amira menjerit. Anak ni suka sangat menjerit kalau dia marah. Ish… bila nak matang pun tak tahulah. Esok lusa dah nak kahwin. Perangai macam bebudak!
            “Mak tengoklah seluar Mira ni, siapa punya kerja ni?”
            “Alah, mak yang kerat,” selamba badak saja Mak Milah menjawab, tanpa rasa bersalah. Norhayati yang sedang mengemas ruang tamu ketawa mengekek. Ternganga Amira dengan jawapan Mak Milah bersama hatinya yang panas membara.
            “Kenapa mak potong? Apa salah seluar ni pada mak?”  
            “Seluar ni tak adalah salahnya, tapi tuan dia yang salah, asyik berpakaian macam jantan. Mulai hari ini mak tak nak kau pakai seluar jeans lagi, ubah penampilan. Ingat kamu tu bakal menantu Tuk Leman, orang yang dihormati di kampung ni, jangan nak malukan keluarga mereka dengan pakaian kamu yang tak tentu arah tu!” Sekali lagi Amira ternganga, rasa macam tercekik biji mempelam padilah pulak. Tak sangka mak cepat benar berubah karakter. Tak nampak sikit pun yang mak tu ada penyakit lemah jantung seperti yang dicanangkan oleh si Yati. Kalau orang sakit lemah jantung, jalannya perlahan saja, lepas tu kerjanya taklah lasak macam mak ni. Rasanya aku dah kena goreng hidup-hidup oleh mak dan Yat Yit Yot. Oh…  kasihannya aku…and padan muka!
            “Mak, sampai hati mak buat Mira macam ni,” Amira berjeda seketika, dia tidak dapat meneruskan kata. Mulut munggilnya yang sering menjawab kata mak itu seakan terkunci rapat. Kelu, segalanya terkurung di halkum. Perlahan air mata yang bergenang di tubir mata tumpah ke pipi. Dia menjadi amat terkilan dengan sikap mak.
            “Mira, mak lakukan semua ini untuk kebahagiaan Mira. Mak nak Mira hidup seperti gadis-gadis lain. Berkahwin, punya suami, anak-anak dan keluarga yang baik.”
            Amira benar-benar terkilan dengan sikap mak, nampaknya mak tak kenal lagi perangai anak mak ni. Mak selalu merendah-rendahkan perasaan Mira, apa yang Mira cakap seolah-olah semuanya tak ada makna pada mak. Bagi mak  pendapat Mira tu semuanya hampeh… tak berguna dan tak memberi faedah. Buah fikiran Mira selalu  mak pandang enteng dan kurang bernilai macam durian gred c yang dijual longgok di tepi jalan. Eh… kalau durian longgok, busuk sekalipun masih ada nilainya, boleh buat tempoyak dan dijual dengan harga yang mahal, tapi aku ni, sekupang pun mak tak pandang. Maknanya aku ni gred apalah agaknya, ataupun dah tak bergred? Huuu… sedihnya.
            “Hah… kau nak ke mana pula dengan beg galas kau tu?” Mak Milah bertanya cuak bila melihat Amira mengangkat dan menggalas begnya.
            “KL mak, kerja. Dah banyak hari Mira cuti.”
            “Eh, kau baru saja bertunang, takkan dah nak pergi.” Mak Milah rasa tak sedap hati bila melihat Amira sedih macam orang yang sedang kalah dalam peperangan.
            “Tak apalah mak. Mira pergi dulu ya.”
            “Kau dah beritahu tunang kau?” Mak Milah bertanya lagi, namun Amira hanya menggelengkan kepala. Tak ada rasa nak  bercakap. Selepas bersalaman Amira melangkah turun dari rumah dengan perasaan yang bercelaru sekali. Banyak perkara yang bermain di tempurung kepalanya. Kenapa mak selalu bersikap tak adil pada aku? Adakah aku ni anak angkat? Mak tak sayangkan aku macam dia sayangkan Yati dan Hadi. Mungkin juga aku ni bukan darah   dagingnya, kalau aku bukan anak mak, aku anak siapa? Adakah aku ni anak yang ditinggalkan di tepi pagar masjid? Atau di tepi tong sampah? Atau di dalam jamban? Atau di mana-mana tempat strategik orang buang anak? Oh… tidak! Air mata Amira mula menderu di pagi yang hening itu sehingga terkejut Mak Milah melihatnya. Manakan tidaknya, selalunya si kepala batu tu susah nak menangis, aleh-aleh pagi ini menangis tak tentu pasal, takkan pasal seluar kena kerat anaknya dah jadi emosi semacam.
            “Mak, halalkan makan minum Mira selama ini, Mira tahu Mira banyak dosa pada mak. Mak ampunkanlah Mira. Mungkin ini pertemuan kita yang terakhir,”  terkejut Mak Milah bila dengar Mira cakap macam tu. Apa kena dengan anak aku ni, dah tak betul ke otaknya?
            “Kenapa pula? Kau nak ke mana?” Cuak sungguh Mak Milah dengan kata-kata si Mira ni. Anak ni sedang berdrama ke? Gayanya  macam nak meniru idea aku?
            “Mira nak cari ibu kandung Mira,” sendu wajah Amira bila menatap wajah Mak Milah. Tergelak Mak Milah mendengarnya. Macam aku pernah dengar saja ayat tu. Yalah… masa si kepala batu ni kecil-kecil dulu, bila kena rotan sebab nakal, mulalah dia merepek-repek mengatakan dia tu anak angkat, anak pungut, anak jumpa tepi jalan dan entah apa-apa lagi. Hai… ingatkan dah habis cerita dan modal macam tu bila dah besar, rupa-rupanya masih ada lagi. Mira… Mira…
            “Mira kau nak pergi mana tu, biarlah kakak kau hantar ke stesen bas.”
            “Tak payah, Mira pergi sendiri.” Mira melaung dari bawah sebaik saja dia turun dari tangga dan mula berjalan tanpa menoleh lagi. Dalam kepala Amira dia akan ke rumah Pak Ali yang membawa teksi untuk menghantarnya ke pekan, seterusnya dia akan naik bas ke Kuala Lumpur.
            Mak Milah merenung dari jauh langkah-langkah yang ditinggalkan oleh Amira, ada rasa kesayuan mula bertenggek di birai hati. Ada rasa penyesalan mula menari-nari  di lubuk hati. Wajarkah dia sebagai ibu bertindak sedemikian? Kenapa dia tega melakukan Amira sedemikian, padahal Mira tu anaknya, sedangkan dia sendiri lebih mengenali siapa Mira.
            Tiba-tiba saja Mak Milah merasa sayu seperti ditinggalkan, seperti kehilangan dan seakan dia kekurangan sesuatu pagi ini. Bila Amira meninggalkan rumah tanpa memeluknya, tanpa berlawan cakap dengannya, dan dengan wajah yang redup meliputi mukanya anak itu melangkah pergi, maka dia tahu ada sesuatu yang tak kena dengan anaknya.




            JENUH Amira menunggu, tapi batang hidung pun tak nampak. Bila called aje, asyik cakap on the way, on the way. Berapa banyak dia punya way pun tak tahulah, sampai sekarang tak tiba lagi. Dah dua jam menunggu tak juga muncul. Kalau tahu macam ni lebih baik aku balik naik teksi. Tapi kalau naik teksi tentu mahal, dari Pudu Sentral ke Bukit Kiara entah berapa ringgitlah duitnya yang akan ditebak oleh pemandu teksi. Oii… kedekut betul minah ni. Bukan kedekut tapi berjimat cermat, itu, kan suruhan agama. Jangan suka membazir kerana membazir itu amalan syaitan.
            “Pak su, bila nak sampai ni?” tanpa bagi salam Amira menyerang.
            “Amboi, garangnya. Sabarlah sikit, kejap aje lagi sampailah tu.”
            “Apa maksud pak su?” Pelik aje bunyi. Dahlah kena tunggu lama.
            “Sebenarnya tadi pak su suruh Pian yang pergi ambil Amir kat Pudu Sentral. Pak su sibuk sangat. Sorry ye?” Halim mengaku salah.
            “Kalau dengan Pian tu, baik tak payah. Bawa kereta lembab mengalahkan hamster,” marah Amira dengan bapa saudaranya yang  mungkir janji. Kalaulah dari tadi dia tahu Pian si rambut Afro tu yang akan datang mengambilnya, lebih baik naik teksi saja. Tak payah nak jimat-jimat duit, bayar pemandu teksi lagi baik dari tunggu Pian yang terkemut-kemut di atas jalan. Nak bawa laju sikit tak boleh, mana tidaknya penakutnya mengalahkan perempuan. Pondan ke apa? Amboi! Sedapnya mengata di belakang Pian. Kalau Pian dengar tak pasal-pasal dia tinggalkan kau kat Pudu Sentral ni. Padan muka.
            “Huh… Pak su ni saja tau, buat Mira marah.” Amira mendengus keras, merajuklah tu. Halim tercengang, macam ada sesuatu yang asing saja dalam kata-kata Amir tadi. Mira… sejak bila pula budak ni menggunakan nama Mira? Walau apa pun syukurlah, kut, kut ada perubahan bila dah balik kampung tu.
            Bencinya! Bencinya! Bencinya! Pada siapa harus aku luahkan rasa benci ini? Entahlah… mungkin pada Pian yang lambat sangat datang menjemputnya. Geramnya aku kat Pian ni. Saja datang lambat sebab nak buat aku marah. Hei… dari pagi sampailah ke tengah hari aku asyik rasa nak marah saja. Dahlah dalam bas tadi aku marah betul dengan mamat yang duduk sebelah aku tu, bila dia tertidur kepalanya asyik melentok kat aku. Eieee… geramnya! Agaknya hari ini hari ‘marah’ sedunia kut?
            “Assalamualaikum!” parau suara lelaki memberi salam, tapi bukan suara Pian. Amira mengangkat muka sambil menjawab salam dalam hati. Mak!!! Dia menjerit kuat, tapi dalam hati. Sebaris senyuman manis yang lama dia tak kelihatan sedang terukir untuknya. Mimpikah aku? Eh… tak, aku masih di alam jaga. Tapi kenapa lelaki yang berwajah menawan ini berada di hadapan aku?
            “Tutup mulut awak tu, nanti lalat masuk.” Ariel menegur Amira yang terkedu sekian lama sambil mulut munggilnya ternganga. Tersipu malu Amira dibuatnya. Ceh… dah berlagak jadi perempuan sejati nampak?
            “Awak buat apa kat sini? Amira memberanikan diri bertanya. Inilah pertama kalinya dia bersembang dengan Ariel, dulu guna bahasa isyarat lainlah ceritanya. Kalau nak kira bahasa isyarat yang dia buat bukannya betul pun, main taram saja. Amira tersengih sendiri bila mengingatkan perangainya yang tak betul itu.
            “Saya datang ke sini sebab nak ambil awaklah.”
            “Ha…ambil saya?” terkejutnya Amira sampai melopong lagi.
            “Tak, saya nak ambil Mak cik Munachi Saraswati yang duduk sebelah awak tu.” Amira ketawa dengan lawak Ariel, tak sangka Ariel pandai juga melawak.
            “Kenapa Cik Munachi Saraswati ni mak mertua awak ke?”  Amira ketawa lagi, ha… lega rasa dada yang ketat tersumbat tadi. Tulah asyik dengan marah dia saja, cuba bawa bertenang dan zikir banyak-banyak.
            “Ini sudah terlebih mengata ni.” Ariel Iskandar juga ketawa.
            “Tak  mengapalah Ariel, saya sedang tunggu si Pian ni.”
            “Sebenarnya Pian yang menyuruh saya datang, katanya dia adahal, emergency!”
            “Ah… Pian tu auta saja lebih, emergency apa? Nenek dia nak bersalin ke? Jaga kau Pian, bila aku jumpa kau aku cukur segala rambut kerinting kau tu!” ketawa Ariel mendengar rungutan Amira. Rasa marah Amira bertambah berapi dari tadi dan angin kus-kusnya sudah naik satu badan. Apa tidaknya tak pasal-pasal Ariel tengok dia berpakaian macam ni. Malulah pakai macam ni, pakai kelambu macam mak cik-mak cik saja. Tak macholah…
            “Kenapa marah sangat dengan Pian, biarlah kalau dia ada hal, saya, kan boleh hantar awak.”
            “Eh… jangan, saya tak nak susahkan awak, lagipun lepas ini saya nak pergi tempat lain.”
            “Kenapa Pian boleh ambil awak, dengan saya awak tak nak pula?”  Sengaja Ariel bertanya budak lelaki bisu yang telah bertukar menjadi puteri yang ayu di hadapannya kini.
            “Sebab Pian tu kawan saya.”
            “Oh… jadi selama ini awak tak pernah menganggap saya ni kawan awak?” nada suara Ariel macam orang merajuk dan Amira rasa bersalah.
            “Eh… bukan macam tu maksud saya, saya dengan Pian dan budak-budak bengkel tu dah lama kenal, so, dah tak ada rasa seganlah kalau nak suruh itu dan ini.”
            “Mulai sekarang saya nak awak anggap saya ni macam kawan-kawan awak kat bengkel tu. Kalau awak ada apa-apa masalah awak boleh minta tolong dengan saya,” cerah wajah Ariel mengandung harapan. Amira mengangguk setuju demi menjaga hati Ariel.
            “Tapi awak tak marah ke saya tipu awak dulu?” Ariel ketawa senang bila Amira membuka cerita.
            “Tak, sebab awak ni lautan, terlalu dalam untuk diduga.” Ternganga Amira mendengar madah Ariel. Tak fahamlah tu, minah ni kalau bab-bab macam ni lembab sikit.
            “Jomlah kita beredar.” Ariel mengajak Amira meninggalkan Pudu Sentral yang sesak dengan manusia. Amira mengangguk tanda setuju, dan dia mula membuntuti belakang Ariel berjalan di celah-celah keriuhan manusia. Ariel berjalan pantas dan Amira terpaksa mengangkat kainnya  untuk memudahkan dia melangkah supaya tidak kehilangan jejak Ariel. Ariel berpusing ke belakang kemudian ketawa bila melihat Amira di belakangnya.
            “Kenapa ketawa?” Amira terpinga-pinga dengan sikap Ariel.
            “Awak ingat Pudu Sentral ni banjir ke? Buat apa awak angkat kain tu? Dahlah pakai kasut macam tu.” Ariel ketawa lagi. Panas hati Amira, tapi sepantas kilat dia merenung ke arah kakinya. Apa tidaknya, pakai baju kurung tapi kasut high cut. Mak datuk!!! Gonjengnya aku, macam Orang Asli dari Kuala Dipang. Cepat-cepat Amira menurunkan kainnya. Malu pada Ariel tak tahu nak cakaplah.
            “Susah nak jalan dengan kain macam ni.” Amira mengadu.
            “Apa pula susahnya, awak tengok orang perempuan tu, pakai baju kurung siap dengan kasut tumit tinggi lagi.” Ariel Iskandar menunjuk ke arah wanita muda di hadapan Amira yang sedang berjalan dengan gaya vouge. Catwalk gitu!
            “Aleh… dia dah biasa, bolehlah.”
            “Kenapa, awak tak biasa ke?”  Ariel bertanya, hairan sangat bila orang perempuan tak biasa pakai baju kurung.
            “Tak.” Amira menjawab sepatah sambil menggelengkan kepala. Macam budak tadika yang menjawab pertanyaan guru. Ariel merenung Amira dari atas ke bawah, sepintas lalu ingatannya menyinggah. Patutlah tak biasa, budak ini, kan tomboy. Ariel tersenyum sendiri.
            “Kalau dah tak biasa kenapa pakai juga?”
            “Dah terpaksa, kenalah pakai juga.” Malasnya Amira nak mengungkit cerita pagi tadi, kalau boleh dia ingin lupakan perbuatan mak yang tak masuk akal itu.
            “Siapa yang paksa? Tunang awak?” Ariel bertanya sambil ketawa. Melabuk jantung Amira jatuh atas jalan raya. Terkedu dia seketika. Mamat ni pakai jin ke? Macam mana dia boleh tahu yang aku ni dah bertunang. Rasanya kat dahi ni tak adalah pula cop mohor yang menandakan aku dah bertunang, kat jari pun tak ada inai, dan cincin bertunang pun aku tak pakai. Biar mak saja yang pakai cincin tu, sebab mak yang nak sangat aku bertunang sampai sanggup menipu aku. Atau mamat ni menyindir, maklumlah aku ni, kan brutal, mana ada lelaki yang nakkan aku?
            “Heh… Amir, siapa yang paksa?” Ariel mengejutkan lamunan Amira.”
            “Panjang ceritanya,”  malas saja Amira menjawab.
            “Pendekkan,” teruja Ariel ingin mengetahuinya.
“Mak saya yang paksa, habis semua seluar jeans saya di kudungkan kakinya. Jadi nak tak nak, kenalah pakai kelambu ni.”
            “Ha…ha…ha…” kuat ketawa Ariel menyebabkan Amira menoleh legat ke wajah kacak yang sedang galak mentertawakannya. Amboi! Bukan main sedap lagi ketawa, seronok sangat ke dengar cerita sedih aku yang penuh tragis tu? Nasib baik kau tu bukan Pian atau Zaki. Kalau tak, dah lama aku sepak tulang kering kau tu, biar lekuk. 
            “Dah habis ketawa?” kering saja suara Amira. Menyesal rasanya bercerita pada Ariel yang belum betul-betul dikenalinya.
            “Belum, lucu sangat. Tak sangka mak awak tu brutal dan bijak.”
            “Bijak?” terkejut Amira dengan pandangan Ariel. Bijak sangatlah mak tu kalau dah sanggup potong seluar anak sendiri. Kelam hati bila mengingatkan tragedi pagi tadi.
            “Ya, sebab mak awak bijaklah saya berpeluang melihat kecantikan semulajadi awak, yang awak sembunyikan selama ini,”  Ariel berkata jujur. Amira berhenti melangkah sebaik saja mendengar perkataan asing yang memenuhi lubang telinganya kala ini. Merona merah muka Amira, maklumlah belum ada orang yang memuji dia dengan kata-kata indah seperti itu.
            “Ah… tak ada maknanya. Menyusahkan saya adalah!” Amira mula cover line takut Ariel melihat muka yang merona bila dipuji. Aleh, malulah konon…
            “Amir.”
            “Panggil saja Mira, sebab mak saya panggil saya Mira.” Amboi, apa sudah jadi ni, siap boleh tukar nama lagi. Dulu kalau kawan-kawan kat bengkel tu panggil nama Mira, siap dia orang kena belasah, terutamanya Pian. Habis rambut sarang tebuannya di tarik-tarik oleh Amira.
            “Hmm… sedap nama tu, saya suka. Kalau Mira selalu pakai macam ni, kan cantik.” Ariel melahirkan rasa terujanya, entah mengapa dia suka sangat bila melihat Amira berpakaian seperti ini. Cantik, manis dan sopan. Lain benar dengan watak Amira yang dia temui selama ini. Amira hanya ketawa bersahaja. Tapi hatinya berdetak laju.
            “Terlanjur awak bersama saya ni, saya nak minta tolong sikit boleh?” dengan muka tak malu Amira bertanya.
            “Boleh, apa salahnya, nak minta tolong apa?” lebar senyum Ariel.
            “Temankan saya shopping, saya nak beli seluar jeans baru, nak ganti seluar yang telah terkorban tu.”
            “Awak nak pakai seluar jeans semula?” Pelik benar bunyinya di telinga  Amira.
            “Yalah…why, you don’t mind me wearing like this all the time?” Amira bertanya kerana terkejut sampai tercakap orang putih.
            “Yes, why not? You really look beautiful and anggun in this  dress.” Pandai pula Amira tersipu-sipu bila kena puji. Kembang hidung Amira seketika. Itulah sebabnya dikatakan pakaian itu melambangkan keperibadian.
            “Nonsense.”  Amira senyum sambil gelengkan kepala.
            “Why?” 
            “Awak tak nampak ke kerja saya macam mana?” Termenung Ariel seketika.
            “Tapi awak boleh cari kerja lain, kan? Kerja yang lebih sesuai dengan orang perempuan.”
            “Masalahnya saya tak suka, dan kerja yang ada sekarang cukup membahagiakan saya.” Amira gelak sendiri bila melihat Ariel seperti terkejut.
            “Awak ni memang peliklah!”
            “Hmm… telinga saya ni dah sendat dengan umpat keji orang yang mengatakan saya perempuan pelik.”
            “Walaupun awak pelik, tapi awak menarik,” ikhlas Ariel menuturkannya.
           “Hmm… ya sangatlah tu…” Amira menyengih, bukan dia tak tahu lelaki itu hanya berbasa-basi saja. Tak lebih tak kurang.
         
            Amira tercari-cari sesuatu bila tiba di kawasan parkir, tapi tak nampak pun.
            “Awak cari apa?” Ariel bertanya hairan.
            “Cari katak.”
            “Katak, nak buat apa?”
           “La… naiklah, takkan nak tengok aje.” Jawapan Amira lagi membuat Ariel keliru.
           “Eh Mira, saya peninglah. Katak apa yang awak maksudkan?” kuat ketawa Amira bila melihat muka Ariel yang blur.
            “Ha…ha…ha… katak sendiri pun tak ingat. Heh… Ariel what I mean is your Beetle?” akhirnya Ariel juga ketawa bila mengetahui apa yang dimaksudkan katak.
            “Ada kat rumah.”
            “Kenapa rosak lagi?”
           “Taklah, saja pinjam kereta mama sebab nak jemput awak. Tak macholah jemput perempuan pakai katak, lagipun mana ada perempuan suka naik katak.”
            “Salah kenyataan tu, masih ada perempuan yang sukakan katak tu! Contohnya, saya. Saya suka dengan katak awak, ianya nampak elegan, klasik, romantik dan penuh seni,” penuh emosi Amira menuturkannya. Terlopong Ariel mendengar sesuatu yang dia tak sangka. Selama ini semua orang mengutuk bila dia menggunakan Volkswagen itu sebagai kenderaan hariannya, dan tak ada seorang pun memahami apa yang dia rasa dan apa yang dia minati.
            “Tak sangka awak juga meminati katak tu,” senyum Ariel sampai ke telinga. Mana tidaknya, dia dah jumpa seorang kawan yang boleh dikongsi minatnya.
            “Awak ni betul-betul pelik, tak serupa gadis-gadis lain.”
            “Yup… saya memang pelik, saya akan suka apa yang orang ramai tak suka, dan saya akan tak suka, apa yang orang lain suka,” tanpa segan Amira menceritakan betapa weird dirinya. Kalau Ariel nak berkawan dengannya biarlah kerana dirinya yang seadanya. Dia tak mahu menjadi seorang yang hipokrit hanya kerana sebuah persahabatan yang baru terjalin.




Amir Minah Macho Bab 12











BAB  12

            MENONONG saja Amira naik ke rumah sebaik saja dia memakirkan motornya di halaman bersama muka masamnya yang membonyot macam durian busuk.
            “Hai dah balik puteri Gunung Ledang?” Norhayati menyapa adiknya yang nampak pelik semacam.
            “Ini bukan puteri Gunung Ledang, tapi puteri gunung berapi!” Amira menjawab kasar, sambil menghayunkan kakinya menyepak pasu bunga Mak Milah yang berdiri tegak di suatu sudut. Jatuh dan pecah berderai pasu bunga kesayangan Mak Milah. Bukan Amira tak tahu itu pasu kesayangan maknya, tapi sengaja dibuatnya untuk menyakiti hati mak. Tak pasal-pasal pasu yang tak bersalah itu menjadi mangsa.
            “Apa kena dengan kau ni Mira? Dah kena rasuk ke?” Mak Milah memarahi anak bongsunya yang suka sangat membuat hatinya susah.
            “Kenapa mak pandai-pandai nak terima Mail jadi menantu mak? Mira tak suka. Mira benci Mail. Mak tahu tak? Maillah yang buat kami tertangkap dalam bilik stor dulu. Maillah yang telah merosakkan nama baik Mira,” suara Amira nyaring dan tegang, tapi kolam matanya berkaca namun tidak tumpah.
            “Alah… itu cerita lama. Orang kampung pun dah lupa. Apa yang penting kau sekarang nak dipinang oleh Tuk Ketua untuk anaknya. Kau tak bangga ke Mira? Dalam ramai-ramai anak dara yang gilakan si Mail tu, kau pula yang terpilih!” Amira tak suka melihat Mak Milah tersenyum macam tu, macam orang tengah berangan aje.
            “Ada Mira kisah? Kalau mak nak, mak terimalah Mail tu untuk diri mak,”  terkejut Mak Milah dengan bahasa Amira lalu dia bangun untuk mendapatkan Amira.
            “Kurang asam punya anak, nanti kau!”  Belum pun sempat Mak Milah menghampiri, Amira telah cabut dan berlari masuk ke bilik, kalau tunggu kat situ, alamatnya lunyailah mulut munggilnya yang cantik itu. Kalau kecil-kecil dulu mulut munggilnya pernah membengkak dan panas berapi sebab kena tenyeh dengan cili. Kenapa? Apa lagi sebab suka melawan cakaplah. Satu Mak Milah cakap, sepuluh Amira menjawab. Bila Mak Milah dah tak tahan sangat dengan perangai anak gadisnya yang ketegaq tu, dia ambil cili yang baru ditumbuk lalu dilumurkan pada mulut Amira. Hah… baru padan muka! Suka sangat melawan cakap ibu! Semenjak hari tu Amira dah serik, kalau dia sakit hati, dia tak melawan lagi, dia diam saja tapi habis barang Mak Milah dipecahnya. Eiee… sakit jantung aku dengan perangai budak sekor ni. Mak Milah melurut dadanya.
            Pintu bilik Amira terbuka luas, kemudian Amira keluar bersama beg galasnya yang sudah siap tersandang di bahu. Ternganga Mak Milah melihatnya.
            “Kau nak ke mana Mira?”  Mak Milah bertanya cemas.
            “Balik KL!”
            “Kau gila ke, esok kau nak ditunangkan, takkanlah kau tak ada.”  Norhayati menjadi gelabah, dia tahu perangai adiknya bukan boleh diagak, selalu sangat, menyusahkan orang.
            “Ada aku kisah?”
            “Janganlah buat mak macam ni Mira, malu mak nanti bila rombongan datang kau tak ada.”
            “Mira dah cakap Mira tak nak, mak tak nak dengar. Ini bab kahwin, mana boleh main-main, kalau dah tak suka macam mana nak hidup sebumbung?”
            “Mira tolonglah mak. Mak malu nak menolak permintaan mereka, sebab mereka sekeluarga dah terlalu banyak berbudi pada kita.” Mak Milah masih merayu, manalah tahu kut-kut anak bongsunya yang berhati batu itu mahu termakan pujukannya.
            “Itulah mak, suka sangat makan budi, sekarang tak pasal-pasal body Mira yang nak digadainya.”
            “Bukan macam tu nak! Bukan masalah membalas budi, tapi ini perkahwinan yang menjadi sunnah Rasulullah SAW, dan mereka mengharap sangat kau menjadi menantunya.” Dah habis ayat power Mak Milah untuk melembutkan si kepala batu ni.
            “Eiee… susah cakap dengan mak ni. Orang cakap tak suka, tak sukalah! Dahlah Mira nak pergi ni.”
            Air mata Mak Milah tumpah bila Amira mula melangkah bersama beg sandangnya. Tepu dada Mak Milah dan nafasnya seakan tersekat. Dia memegang dada dan badannya tidak dapat diimbang lagi.
            “Yati, tolong mak!” Mak Milah menyeru dalam suaranya yang tersekat. Akhirnya Mak Milah jatuh ke lantai. Norhayati berlari mendapatkan Mak Milah manakala Amira terhenti langkahnya lalu berlari mendapatkan maknya yang sudah terbaring.
            “Mak!!!” kedua anak gadis Mak Milah menjerit serentak. Tiada sahutan dari Mak Milah. Matanya terpejam rapat dan tidak sedarkan diri.
            “Mak bangun mak! Jangan takutkan Yati.” Norhayati mula menangis ketakutan. Amira juga takut, kalau apa-apa terjadi pada maknya. Tak pernah dia melihat maknya begini, selalunya mak sihat dan cergas.
            “Ini semua kau punya pasal, mak stressed dengan perangai kau!” Yati menuduh dan Amira terkedu tanpa menjawab. Mungkin betul salah aku, ya… aku salah, aku selalu buat mak susah hati.
            “Sekarang macam mana ni?” suara Amira kendur dan cemas, macam nak nangis.
            “Kita bawa mak ke hospital, tapi sebelum itu kau ambil air dulu.” Yati memberi arahan dan Amira berlari mendapatkannya mengalahkan lipas kudung. Tiba-tiba Mak Milah membuka mata. Terkejut bukan main Noryahati. Mak Milah mengisyaratkan diam, dengan meletakkan jari telunjuk ‘1Malaysia’ vertical ke bibirnya.
            “Sekarang masa untuk berlakon, kita kenakan si kepala batu tu.” Mak Milah berbisik, kemudian dia pura-pura pengsan semula. Norhayati menyembunyikan senyumannya dalam-dalam sebaik saja Amira datang bersama segelas air.
            “Mak bangun mak, jangan takutkan Mira!” Amira merayu cemas. Kalaulah terjadi apa-apa pada mak, dialah yang akan dipertanggungjawabkan, dan dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri.
            “Mak bangun mak!” Norhayati pura-pura merintih dan mula buat-buat menangis. Mak Milah tetap kaku macam tadi, tanpa response dan gerak, walaupun telah digolek-golekkan oleh Amira.
            “Mak, ampunkan Mira! Mira anak yang degil, Mira selalu susahkan hati mak, mak ampunkan Mira!” si kepala batu itu mula menangis. Dalam kepalanya timbul bergantang-gantang rasa sesal yang tak sudah, mengasak perasaan. Kalaulah mak… oh tidak, mak! Bukalah mata, Mira takut. Berjurai-jurai air mata Mira gugur seperti  hujan yang tumpah dari langit. Dalam diam Norhayati menjeling ke arah adiknya, kasihanlah pula tengok minah ni menangis, sebab bukan senang nak tengok minah yang banyak cekadak ni mengalirkan air mata. Alahai… Norhayati meluah dalam hati.
            “Mak, mak!” Norhayati memanggil Mak Milah sambil menyapu air di muka ibunya. Yalah Mak Milah, kan pengsan, buatlah real sikit. Seketika kemudian Mak Milah mula buat-buat sedar dan terpisat-pisat.
            “Mak dah sedar, mak maafkan Mira. Mira buat mak sakit.” Amira menyapu mukanya yang lencun dengan air mata. Amira tak nak mak tengok dia menangis. Kecil-kecil dulu pun kalau kena pukul Amira tak akan menangis di hadapan mak, paling sakit dan sedih sangat, Amira akan memanjat pokok rambutan di depan rumahnya. Amira akan melepaskan tangisannya puas-puas, kadang-kadang sampai tertidur di atas pokok rambutan yang sudah dibuat ran oleh Amira dan Hadi. Kadangkala makan nasi pun atas pokok. Mana mak tak mengamuk. Mak kata hidup mengalahkan orang zaman batu. Mak akan menjerit kuat menyuruhnya turun, kalau tak mak akan tebang pokok rambutan tu.
            “Mak, ampunkan Mira!”  Mak Milah buat tak reti saja.
            “Yati, sakitnya dada mak. Mak rasa kalau ALLAH ambil nyawa mak tika ini mak redha saja, lebih baik mak mati dari menanggung malu nanti,” suara Mak Milah keluar perlahan-lahan sebaik saja buat-buat sedar.
            “Mak jangan cakap macam tu. Amira menyesal buat mak sakit.”
            “Tak mengapalah Mira, dah nasib mak macam ni. Kalau kau nak balik KL, baliklah. Mak tak larang. Kau pun dah besar dan tak perlukan mak lagi.” Mak Milah memalingkan muka dan tak ingin menatap wajah Amira yang lencun bersimbah air mata walaupun sudah beberapa kali dia mengelapnya. Hati Amira runtun dan rawan sekali. Segarang-garang mak, dia tak pernah mengalah begini. Mungkinkah mak dah betul-betul tak larat melayan kerenah aku ini.
            “Mak, ampunkan Mira!” Amira memegang tangan mak dan menciumnya berkali-kali bersama penyesalan yang kian menebak hati.
            “Yati, bawa mak masuk bilik. Mak nak rehat.” Mak Milah memaut tangan Yati buat tempat dia berpegang untuk bangun. Hati Amira terkesan sekali bila mak menepis tangannya tatkala dia menghulurkan bantuan. Nampaknya mak betul-betul marah, mak dah tak sudi menatap wajahnya lagi, mak dah tak nak terima bantuannya. Amira menjadi sedih sekali, terasa terpinggir dan dipinggirkan. Aku tak boleh hidup tanpa mak, kalau mak dah tak sayang aku, siapa lagi nak sayang aku? Walaupun aku degil dan keras hati, tapi aku tetap memerlukan kasih sayang mak. Kasih mak sampai ke syurga.
            “Mak, Mira setuju untuk ditunangkan esok. Mira tak akan pergi mana-mana. Mira akan ikut saja cakap mak. Tapi dengan syarat Mira tak nak kahwin dulu dalam tempoh dua tahun,”  terketar-ketar Amira melafazkan ikrarnya. Kalau itu yang mak nak, biarlah, dia sanggup berkorban, asalkan mak tidak membencinya. Mira anak mak, Mira akan mati tanpa kasih sayang mak, walaupun Mira suka melawan mak, mak adalah ratu di hati Mira.
            “Betul ke Mira?” Kembang telinga Mak Milah macam telinga arnab bila mendengarnya. Badan yang bongkok dan tak bermaya tadi sekelip mata saja menjadi sihat dan segar-bugar macam biasa. Wah… ajaib sungguh sebuah kerelaan itu. Dah setengah mampus aku dibuatnya, baru nak dengar kata, detik hati Mak Milah. Amira menjadi pelik dan pening dengan tingkah maknya. Tadi bukan main lagi sakit, tapi sekarang dah baik? Adakah mak sedang bersandiwara dengan Yat Yit Yot?  Ah…jangan berburuk sangka dengan mak sendiri. Hatinya memujuk perasaan yang mula berbelah bagi.
            “Terima kasih Mira. Mira telah menyelamatkan maruah mak. Kalau tak, mak tak tahu nak cakap apa pada Tuk Ketua Leman, sedangkan mereka semua orang baik-baik. Sekarang mak rasa sihat sangat. Semangat mak dah pulih. Terima kasih Mira kerana menjadi anak yang baik.”  Mak Milah memeluk Amira yang masih terkeliru. Dah sah… mak aku ni kemaruk sangat nak menerima menantu.



            MAJLIS pertunangan Amira berjalan dengan lancar dan meriah. Senyum Mak Milah macam tak cukup mulut. Tak lenguh ke mulut tu? Bangganya Mak Milah, tak usah cakap, maklumlah dapat berbesan dengan Tuk Ketua Kampung Pinang Sebatang. Jangan sampai mencece sana, mencece sini, dahlah Mak Milah.
            Amira yang berada dalam biliknya rasa nak pengsan kerana sedang membungkus perasaan sedihnya. Sedih yang teramat sangat. Tak sangka begini berakhirnya kisah hidup seorang gadis brutal. Oh…kasihan, sungguh kasihan. Perlahan Amira menyapu air matanya yang kerap menuruni pipi. Membasuh luka sendiri.
            Bibirnya sudah muncung panjang berdepa. Dia tak ingin bercakap dengan sesiapa pun. Marahkah dia dengan keputusan yang dibuat? Kesalkah dia kerana mengikut cadangan mak. Terkilankah dia kerana nampaknya mak hanya berlakon sakit? Entahlah, dia tak tahu. Semuanya semakin celaru dan keliru, berkumpul dalam satu rasa.
            Dia tak mahu kenang peristiwa hari ini, kalau boleh dipadamkan dengan cat hitam, mahu saja dia melakukannya. Cukuplah rasa sakit yang dia terima tadi. Saat mak dan Cik Yat Yit Yot memaksa dia memakai baju kurung moden yang penuh manik dan labuci. Entah apa-apa, rasa macam patung yang duduk dalam butik pakaian. Mira tak suka! Biarlah Mira pakai apa yang Mira suka. Janganlah paksa, aku dah setuju nak bertunang pun dah kira okey.
            Bila jiran-jiran datang menjenguknya di dalam bilik, ada yang memuji dan ada juga yang mengutuk.
            “Cantiknya kau Mira, tak sangka mak cik kau secantik ini bila dah kena make-up,” kata Mak cik Gayah. Amira tak tahu sama ada ikhlas memuji atau memerli. Amira hanya diam mematung.
            “Tak cantiklah, tengok bahagian dada tak berapa kemas. Longgar saja, nampak sangat yang kau ni bukan wanita sejati.” Cik Bibah menjuihkan mulut. Mak oii… jaga sikit mulut tu! Sesedap rasa saja mengata.
            “Yalah dah nasi lemaknya 50 sen, mana nak cantiknya, leper sajalah.”  Mak cik Gayah menambah. Kemudian kedua-dua makhluk halus itu ketawa kuat geli hati. Ini sudah melampau. Pasal nasi lemak aku 50 sen pun dipertikainya. Habis nak suruh nasi lemak aku berapa puluh sen? Nak suruh aku pergi buat pembedahan plastik? Jadikan nasi lemak aku RM 2.50 sen? Baru kemas, baru cantik? Baru wanita sejati? Kurang asam punya Cik Gayah dan Cik Bibah ni. Dah ini yang ALLAH bagi, aku  terima ajelah, yang kau orang sibuk, apa hal, apa kes? Aku tahulah kau orang dengki dengan aku sebab Mail tu pilih aku, bukannya anak kau orang berdua. Dulu sewaktu peristiwa aku kena fitnah dulu, kau orang berdua juga yang menjaja cerita aku ke hulu ke hilir dan ke darat ke baruh. Kau orang yang buat fitnah mengatakan aku ni bukan anak dara lagi. Hantu betul langsuir dua ekor ni!  Berapi-api Amira memarahi jiran tetangga yang dia tak gemar itu, tapi bukannya Cik Bibah dan Cik Gayah dengar pun sebab Amira hanya menyumpah seranah dalam hati.
            Saat cincin pertunangan disarungkan ke jari manisnya Amira tidak dapat membendung perasaannya lagi. Rasa sedih dan hiba memenuhi ruang rongga perasaan dan dadanya seakan sendat sangat terasa seolah-olah batu besar yang sedang menghimpitnya. Ya ALLAH! Aku berserah pada-Mu segala untung nasib ku!







Amir Minah Macho Bab 11








BAB 11

            AMIRA memasuki perkarangan rumah bunglow dua tingkat yang bercat hijau muda bercampur putih. Halaman rumah bunglow ini cukup luas dan cantik. Pokok-pokok yang berbunga subur tersusun menghiasi laman, pasti tuan rumahnya seorang yang suka akan kekemasan.
            Seumur hidupnya dia tak pernah menjejak kaki ke rumah Tuk Ketua Kampung Pinang Sebatang ni, tapi hari ini demi masa depan dan hidup matinya, dia sanggup mencemar duli menjejak kaki ke rumah Tuk Leman yang kaya-raya ni.
            Panjang tengkuk Amira mencari kelibat manusia di dalam rumah, tapi tak pun nampak bayang orang pun. Salam diucapkan bekali-kali, namun masih belum bersahut. Takkanlah tak ada orang di dalam rumah sebab kereta banyak di halaman. Susahlah nak jumpa orang kaya ni, dah sampai depan muka pintu pun masih tak boleh jumpa. Macam mana ni, nak balik ke, nak tunggu? Amira berkira-kira sambil berjalan mundar-mandir, ke hulu dan ke hilir.
            “Oh, Amira rupanya, ingatkan siapa tadi,” tiba-tiba seorang perempuan separuh umur datang menyapanya dari belakang.
            “Assalamualaikum mak cik!” Amira bersalam dan mencium tangan Puan Latifah. Seorang wanita anggun yang berbudi tinggi.
            “Waalaikumussalam! Silalah masuk ke dalam.”
            “Eh, tak payahlah mak cik. Tujuan saya datang ni sebab nak jumpa Mail sekejap,” segan silu Amira dibuatnya, maklumlah bakal mak mertuanya tu bukan calang-calang orang kat dalam kampung ni, yang dia pula datang main terjah saja nak jumpa anak bujang Puan Latifah. Tak protokol langsung!
            “Oh, nak jumpa Mail, nanti mak cik panggil. Tapi Amira masuklah dalam rumah dulu, tak baik tau datang bertamu duduk kat luar.” Alahai suara Mak cik Tipah ni, mendayu-dayu pula, lembut saja tutur katanya tak macam mak yang sering bersuara tegas bila bercakap. Akhirnya Amira masuk ke dalam rumah setelah tangannya ditarik oleh Puan Latifah.
            Mak aii… cantiknya rumah Tuk Ketua Kampung ni, ada kelaslah, macam rumah ‘datuk datin’. Susun aturnya kemas dan kena semuanya, manakala perabutnya pula mahal-mahal. Rasanya kat dalam Kampung Pinang Sebatang hanya Tuk Ketua saja yang ada perabut mewah macam ni. Dah berpusing-pusing biji mata Amira melihat hiasan-hiasan cantik yang ada dalam rumah ini.
            “Hai Mira, lama tak jumpa,” seorang lelaki datang dan menegurnya. Amira memusingkan badannya. Berkerut dahi Amira bila melihat lelaki di hadapannya yang sudah tersenyum dari tadi. Siapa ni? Aku datang nak jumpa Mail, kenapa orang lain pula yang keluar?
            “Saya nak jumpa Mail, boleh panggil dia sekejap,” malas Amira menjawab teka-teki dalam kepalanya, cakap saja apa yang dia nak. Lagi senang.
            “Sayalah Mail,”  lelaki itu masih tersengih-sengih.
            “Tak payahlah main-main, saya datang ni ada tujuan, kalau nak main lebih baik pergi padang, boleh main galah panjang ke, polis entri ke...” panas hati Amira. Ingat aku ada masa ke nak berbual-bual kosong dengan orang yang aku tak kenal. Kuat suara lelaki itu ketawa. Amira pula melihat dengan rasa cuak. Apa pasal ketawa bagai nak rak? Mabuk ke, apa?
            “Awak tak pernah berubah, masih macam dulu juga.”
            “Macam mana awak boleh kenal saya?” Amira mengerutkan dahinya tanda masih keliru.
            “Ya ALLAH Amira. Saya ni Mail. Nama penuh saya Ismail bin Sulaiman. Bekas pelajar Tingkatan 5 Cempaka, sama kelas dengan Cik Amira Batrisya.” Biar betul mamat ni pernah satu kelas dengan aku. Rasanya tak ada budak lelaki yang rupa macam ni. Semua pelajar dalam kelas 5 Cempaka bukannya ada yang kacak segak macam ni. Dah sah ini satu penipuan. Tapi kalau penipuan kenapa mamat ini ada di rumah Tuk Ketua, setahu Amira Tuk Ketua hanya ada dua orang anak saja, iaitu Laila dan Mail. So, yang sedang berdiri tegak macam tiang lampu ni siapa?
            “Okey, kalau awak satu kelas dengan saya, siapa kawan baik saya dan siapa musuh saya?”
            “Kawan baik awak ialah Nazatul Hawa dan musuh ketat awak ialah Noni. Puas hati?” terkejut Amira, semuanya betul. Dahinya bertambah berkerut seribu.
            “Awak ni siapa sebenarnya?” Amira makin keliru bercampur marah sebab dipermain-mainkan.
            “Takkan awak tak ingat, pelajar lelaki yang ditangkap khalwat dengan awak semasa dalam stor buku?”
            “Mak!!!  Takkan awak ni Mail?” Amira menjerit kerana terkejut dan kerana peristiwa ngeri itu diungkit kembali. Sumpah! Sampai mati dia tidak mahu mengingati peristiwa hitam itu. Mail ketawa senang bila melihat Amira terkejut beruk.
            “Kenapa rupa kau dah berubah?” Amboi, bukan main cepat lagi Amira menukar gaya bahasanya.
            “Itulah kau, selalu melihat aku dengan sebelah mata walaupun aku selalu berharap kau selalu memberi renungan dan perhatian pada aku.” Wah… boleh tahan juga mamat ni, siap ayat cintan-cintun lagi.
            “Dah, kau jangan nak jiwang-jiwang dengan aku.”
            “Betul Mira, aku dah lama sukakan kau.” Mak oii, ada juga manusia yang sukakan aku, rasa lawaklah pula. Amira tersenyum sumbing, agaknya mata Mail ni ada masalah retina kut. Tak nampak yang aku ni jenis yang tak serupa perempuan lain agaknya.
            “Sejak bila kau suka kat aku?”  Saja Amira nak tahu, sebab rasa terkejut dan tak percaya pun ada.
            “Kalau aku cakap, kau mesti tak percaya punya.”
            “Eh, cakap sajalah, banyak cekadak pula kau ni,”  marah Amira.
            “Tak baik kau cakap macam tu dengan bakal suami. Aku sukakan kau sejak sekolah rendah lagi, tapi kau tak pernah nak ambil tahu,”  Mail menagih simpati.
            “Yak!!!  Gelilah  anak tekak aku! Siapa yang nak jadi bini kau? Aku datang sini pun sebab nak kasi peringatan pada kau.” Amira berjeda seketika, dia menelan air liurnya yang mula terasa pahit itu. Apa tidaknya, bukan mudah nak membatalkan  persetujuan yang telah dibuat oleh dua keluarga itu. Risikonya besar sekali dan dia perlu menanggung kesemuanya.
            “Peringatan apa?” Mail ketawa mengejek macam tahu saja apa yang ada dalam kepala Amira.
            “Aku nak bagitahu kau, esok rombongan kau jangan datang ke rumah aku.Tak akan ada acara pertunangan ni. Aku tak nak bertunang dengan kau, apalagi nak jadi bini kau. Faham!”
            “Kalau rombongan kau pergi juga?”
            “Siap kau!!!” Amira meninggikan suara, sakit hati dengan gelagat Mail yang seolah-olah mempersendakannya.
            “Apa yang siap? Majlis akad nikah ke?” Mail ketawa lagi.
            “Aku bakar kau dengan Kampung Pinang Sebatang ni! Biar jadi seperti padang jarak, padang terkukur. Atau aku bakar konvoi bas rombongan kau bersama drebar dan kelindannya sekali, nak?” Mendidih hati Amira mendengar ketawa Mail, bernanah lubang telinga dibuatnya. Mail ketawa kuat, lucu sangat dengan amaran si Mira. Tak padan kecik!
            “Ada aku kisah? Yang penting mak kau terima aku jadi menantunya. Mak Milah baik tak macam kau yang garang mengalahkan singa.” Mail sambung gelak.
            “Kalau macam tu kau kahwinlah dengan mak aku. Aku ni pun dah lama tak berbapa. Kalau kau jadi bapa tiri aku bagus juga,” terkedu Mail seketika. Ha… padan muka!
            “Sampai hati kau cakap macam tu. Dalam hati aku ni hanya ada kau. Mana-mana aku pergi pun aku hanya ingat kau. Apa, aku tak cukup bagus ke, untuk kau?” kendur suara Mail untuk meraih simpati Amira.
            “Sebab kau baguslah aku tak boleh terima. Kau anak orang kaya, harta kau banyak, aku orang miskin. Kau belajar sampai universiti, aku ni bodoh,  tak ke mana pun! Kau dah kacak bergaya, manakala aku masih lagi comot-momot. Kau tak nampak ke perbezaan kita?”
            “Alah, alasan yang tak boleh pakai.” Mail mencebik, dia tahu bukan itu alasannya.
            “Senang cerita, biar aku cakap, aku tak suka kau, aku benci kau!” Direct terus… nak sangat.
            “Takkan macam tu sekali?”
            “Dulu aku tak benci kau, tapi setelah aku kena tangkap bersama kau aku menjadi benci sangat.”
            “Jadi sia-sialah rancangan aku dulu.” Mail mendengus sambil menekur kepalanya.
            “Apa kau cakap? Rancangan apa?” Amira tiba-tiba menyinga   bila mendengar ayat terakhir Mail. Ada sesuatu yang aku tak tahu ke?   
            “Kalau kau nak tahu, akulah yang rancang supaya kita berdua terperangkap dalam stor buku dulu tu, dan aku suruh Noni kunci dari luar, kemudian dia beritahu pada guru. Puas hati kau?” Akhirnya Mail membuka rahsia yang dia simpan selama ini.
            “Kau yang buat dajal tu Mail?” Amira menjerit nyaring, betapa terkejutnya dia bila mendengar cerita peristiwa hitam enam tahun lalu yang telah memalitkan seluruh badannya dengan lumpur kotor khalwah yang terancang. Sungguh dia tak sangka Maillah dalangnya. Sekarang amarahnya sedang memuncak, dia tak peduli lagi, di mana dia harus mengamuk, yang pentingnya dia dapat melepaskan sumpahannya enam tahun dulu. “Kalau aku dapat orang yang buat khianat kat aku, aku akan kerjakan dia cukup-cukup.”
            “Jembalang tanah kau Mail, sanggup kau khianati kawan kau sendiri!!!” jerit Amira sambil berlari mengambil penyapu yang tersandar di tepi rumah. Mail cabut lari sebelum Amira sampai dan menghempuk kepalanya dengan penyapu. Amira mengejar Mail sampai ke halaman rumah, dah jadi macam sewaktu mereka kecil-kecil dulu, sewaktu main polis entri. Mail berlari sambil ketawa manakala Amira sudah masam renyut dengan muka marahnya yang ketara sangat.
            “Kenapa kau buat aku macam tu Mail?” Amira menjerit lagi sebaik saja dia berhenti bila tak dapat mengejar Mail.
            “Sebab aku cintakan kau, biar kau tak dipinang oleh orang lain, lepas tu aku yang dapat kau.” Mail melaung dari jauh.
            “Kau jahat Mail, kau jembalang tanah, jembalang minyak. Sanggup kau busukkan nama aku demi cinta bodoh kau tu?” Sakit hati Amira TUHAN saja yang tahu, dah macam lava gunung berapi tunggu masa nak dicurah atas Mail saja, biar hangus rentung Mail si jembalang tanah tu.
            “Mira, kau tahu kenapa aku suka sangat pada kau? Sebab kau cantik, kau baik, jiwa kau penuh kasih sayang, kau kuat dan bertanggungjawab. Bila kita kahwin nanti kau dapat menjaga aku dan harta-harta yang aku ada ni, sebab aku tahu kau seorang yang amanah.”
            “Eh, diamlah jembalang tanah. Aku tak nak kahwin dengan kau. Aku benci kau!” Amira menjerit sambil mengejar Mail lagi. Mail berlari masuk ke dalam rumah semula dan Amira juga masuk ke rumah. Tiba-tiba terjengul kepala Puan Latifah di muka pintu.
            “Apa hal kau orang ni bising-bising, dah tu siap main kejar-kejar lagi, tak sedar ke awak berdua tu dah besar, dah nak kahwin pun.” Puan Latifah bersuara lembut. Amira menyorok penyapu di belakangnya, macamlah orang tak nampak. Terkerising Amira bila ditegur dengan dada yang berombak dan wajah yang berpeluh. Rasa malu pun ada.
            “Kenapa ni Mail?” Puan Latifah bertanya Mail yang sedang menyorok di belakangnya.
            “Menantu mak ni garang sangat. Mira nak pukul Mail dengan penyapu.” Ceh… mengadu konon. Dasar jembalang tanah! Sumpah Amira dalam hati.
            “Dah Mail jahat sangat pada Mira, terima sajalah balasannya.” Amira merenung wajah Puan Latifah, lain macam saja bunyinya, Mak cik Tipah ni tahu ke cerita sebenar?
            “Ha… Mira, emak Mira, Mak Milah telefon tadi, dia suruh Mira balik.”
            “Baiklah mak cik. Mira balik dulu.” Amira bersalam dan mencium tangan Puan Latifah. Kemudian dia menghampiri Mail.
            “Ingat Mail, kalau kau hantar juga rombongan peminangan pagi esok, siap kau!”  Amira memberi amaran dengan kadar perlahan. Mail hanya menyengih tanpa berkata apa-apa. Kemudian setelah dia mengucapkan salam pada Puan Latifah, Amira pun meninggalkan perkarangan bunglow dua tingkat itu dengan seribu rasa dan perasaan yang makin bercelaru.