NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 7


            

              
BAB 7

            KELUAR dari restoran tersebut mereka bertiga berjalan beriringan sambil bersembang. Orang yang paling rancak bercakap ialah Halim. Ariel banyak mendengar dan ada ketikanya dia menyampuk. Manakala Amir hanya menjadi pendengar setia yang tak bersuara. Walaupun Amir tak suka, tapi dia terpaksa ikut, nanti apa pula kata Ariel, dan dia juga perlu menjaga air muka pak sunya.
            Amir berhenti di hadapan sebuah kedai cenderamata, dia bercadang untuk membeli sesuatu yang menarik untuk dijadikan hadiah buat pak sunya.
            “Amira Batrisya!” Sebuah nama yang terlalu asing bergema di lubang telinganya. Bertahun sudah nama itu tidak digunakan dan tahun terakhir nama itu disebut orang ialah sewaktu dia berada dalam Tingkatan 5 dahulu. Amir menjadi kaget dan tercengang bila seorang perempuan muda memanggil dia dengan nama itu.
            “Amira Batrisya, saya Aida Suraya, ustazah awak masa Tingkatan 5 dulu.”  Aida Suraya terpaksa memperkenalkan diri bila dia dapati tak ada response dari bekas pelajarnya.
            “Takkan awak tak ingat saya?” Aida Suraya menggoncang tangan Amir yang diam terkedu bagaikan patung namun dalam dadanya penuh gelora persoalan yang bersimpang-siur. Kalau aku mengaku Amira, maka terbongkarlah rahsia aku selama ini, tapi kalau aku menidakkannya, ternyata aku adalah seorang pelajar yang tidak mengenang budi terhadap seorang guru yang suatu waktu dulu adalah merangkap kakak angkatku. Tapi bersediakah aku untuk menjatuhkan maruah aku di hadapan Ariel. Ah…  kalutnya!
            Halim menjadi gelisah, dia faham apa yang sedang Amir rasai, kalau boleh dia ingin menyelamatkan maruah anak buahnya daripada terkena malu. Tapi sampai bila penipuan ini harus berlaku? Selama ini pun dia bukan suka dengan sikap Amir yang berlagak menjadi lelaki sedangkan secara biological dan nalurinya Amir tetap seorang perempuan sejati.
            “Awak kenal ke Amir?” Halim bertanya.
            “Masakan saya tak kenal, dia adalah bekas anak murid saya, lagipun dia sentiasa dalam hati saya.”
            “Ustazah, maafkan saya!” Amir bersuara sayu lalu meluru memeluk Aida Suraya. Tak perlu ada penipuan lagi, biarlah dia menjadi dirinya sendiri. Sebuah tangisan pun bersatu dan dilepaskan dalam pelukan yang erat, sebuah pelukan yang diharapkan sejak bertahun lamanya dari orang yang dia sayangi. Ariel yang melihatnya terundur ke belakang, terkedu tanpa suara. Rasa pening tiba-tiba melanda kerana diserbu oleh rasa terkejut. Sebuah kejutan yang tak pernah dia sangka selama ini, dan dia tak pernah terfikir pun apa yang sedang disaksikannya. Kenapa Amir menipunya menjadi orang bisu dan kenapa Amir berlagak menjadi lelaki? Adakah dia sedang dipermainkan? Oh… kepala aku sendat ketika ini, tak mampu lagi untuk berfikir tentang sandiwara jijik ini. Ariel berlalu sebaik saja bersalaman dengan Halim tanpa memberitahu Amir yang sedang sibuk dengan ustazahnya.
            Dalam genang air mata yang masih bersisa di tubir mata, Amir melihat Ariel melangkah pergi dan menjauh. Dia tahu apa yang Ariel rasa tika ini. Pasti rasa marah membuak di dalam hati bila diri ditipu. Biarlah Ariel pergi. Memang itu yang dia inginkan selama ini, agar tidak lagi bertemu dengan lelaki yang bernama Ariel Iskandar. Sebuah nama yang telah menumpahkan satu titik rasa dalam hatinya.
            “Amira, jom kita duduk kat mana-mana, saya nak bersembang panjang dengan awak.” Aida Suraya menarik tangan Amir untuk duduk di sebuah bangku yang ada berdekatan dengan tempat mereka berdiri. Halim juga mengikuti, kerana dia tak ingin terlepas apa-apa cerita menarik tentang Amir yang bertukar menjadi Amira.
            “Ustazah, kenalkan ini pak su saya.”
            “Saya Halim.” Halim memperkenalkan diri sambil menghadiahkan senyuman.
            “Panggil saja saya Aida.” Wanita yang bertudung lingkup itu menjawab ramah.
            “Amira, kenapa tak hubungi saya? Awak tahu, saya cuba menghubungi awak melalui kawan-kawan awak, tapi semuanya tak tahu di mana awak berada. Peristiwa enam tahun dahulu benar-benar menghantui saya.”
            “Alah ustazah, benda dah lepas, tak perlu diingati lagi.”
            “Memanglah perkara dah lepas, tapi kesannya sampai sekarang belum lagi selesai. Tengoklah diri awak sekarang, berpakaian seperti lelaki, dan kalau orang tengok pun orang tak sangka awak ni perempuan.” Amir menyengih bila terkena bedilan tepat Ustazah Aida Suraya.
            “Macam mana ustazah boleh cam saya?”
            “Awak ni macamlah tak kenal saya, kalau saya tengok bayang awak pun saya boleh tahu itu awak.” Aida Suraya melawak dan Amir ketawa.
            “Hmm… siapa boleh lupa dengan si Amir ni?”
            “Amira dah jadi Amir? Eh… awak dah tukar jantina ke?” kuat Halim dan Amir ketawa dengan soalan yang tak masuk akal itu.
            “Bukan jantinalah ustazah, tapi nama saja.”
            “Dah, mulai hari ini jangan panggil Amir lagi. Panggil Amira Batrisya. Ustazah tak suka, lagipun tak baik kita menukar ketetapan yang telah ALLAH sediakan untuk kita.” Hmm… dah terjumpa ustazah ni dapatlah dengar ceramah free. Halim mengangkat ibu jari tanda bagus dan setuju.
            “Nantilah saya fikirkan.” Hiss degilnya budak ni.
            “Tak payah nak fikir-fikirkan lagi, lagipun nama awak cantik, secantik orangnya.”
            “Cantik ke saya ni?” Amira ketawa dengan kata-kata ustazahnya, yang disangkanya lawak.
            “Ya, cuba awak berpakaian seperti perempuan, akan terserlahlah kecantikan awak yang asli.” Aida Suraya memberi keyakinan. Amira ketawa lepas.
            “Ustazah, janganlah buat lawak, geli perut saya.”
            “Apa pula lawaknya. Kalau tak percaya, cuba kita buat makeover, pasti ada yang jatuh hati pada awak,” bersungguh-sungguh Aida Suraya meyakinkannya.
            “Tak payahlah ustazah, saya lebih suka dengan apa yang ada sekarang, simple dan senang.”
            “Yalah… berubah mesti kerana ALLAH dan perubahan yang  berkesan biasanya dilakukan peringkat demi peringkat.” Aida Suraya mengakui kebenarannya, dan Amira seperti yang dia kenal, bukanlah orang yang boleh dipaksa-paksa. Apalagi kalau terlalu drastik.
            “Ha… tahu tak apa.” Amira menyampuk lega. Sekurang-kurangnya ustazah faham perasaannya, dan ustazah Aida masih seperti dahulu selalu menasihatinya dengan penuh hikmah.
            “Amira dah kerja atau masih belajar?”
            “Dah kerja.”
            “Kat mana?”
            “Kerja dengan pak su kat bengkel.”
            “Jadi kerani ke?”
            “Kalau saya cakap pasti ustazah terkejut.”
            “Kenapa? Pelik, Thrill atau luar biasa sangat ke?”
            “Lebih dari itu ustazah. Ni ha… budak yang suka sangat jadi mekanik kereta.” Halim menyampuk
            “Hah… awak jadi mekanik?” terkejut sungguh Aida Suraya. Bulat mata dan ternganga mulutnya. Memang thrill!
            “Ustazah tutup mulut tu, nanti lalat masuk! Janganlah terkejut sangat. Tak ada yang peliknya pun.” Kenakalan Amira membuatkan Aida Suraya juga ketawa.
            “Mana tak pelik, anak gadis kerja macam tu. Itu kerja orang lelaki, kerja budak jantan.”
            “Eloklah tu ustazah nasihatkan dia. Saya ni dah berbuih mulut nasihatkan dia, tapi masuk telinga kiri, keluar telinga kanan, tak pakai langsung. Degilnya mengalahkan batu kerikil.” Amboi… dah pandai mengadu nampak, baru jumpa sekali. Kalau dah jumpa berkali-kali nanti entah apa yang dibincangkannya. Terkerising Amira dengan agendanya yang tersendiri.
            “Ustazah dah berkeluarga ke?”  Lancang betul mulut minah ni.
            “Belum lagi, tak ada orang nak.” Aida Suraya melawak sambil tersenyum simpul.
            “Bukan tak ada orang nak, cuma belum jodoh. Orang cantik macam ustazah ni mustahil tak ada yang terpikat. Kalau macam saya ni lainlah, sebelah mata pun orang tak pandang.” Tersipu-sipulah pula si Aida ni bila dipuji. Halim tersenyum sambil menelan air liurnya perlahan-lahan, mungkin nak menyampuk tapi tertelan kata-kata sendiri. Kenapa ada aura ke?
            “Ustazah, sudi tak kalau saya belanja minum?  Bukan apa, kalau sembang kat dalam restoran dapatlah kita basahkan tekak untuk hilangkan dahaga.” Amboi pak su… gentleman nampak! Amira menatap legat ke wajah pak sunya yang dari tadi kerap tersenyum. Macam tak percaya saja dengar pak su cakap macam tu. Dahaga konon, bukankah tadi dah minum, dah soru? Siap milo ais, gelas besar lagi. Beradap ngelentongnya! Nampak benar gaya orang nak masuk daun, nak ngorat!
            “Oh maaflah Encik Halim, bukan tak sudi. Tapi saya tak boleh lama, saya ada hal. Saya datang ni pun dengan kawan. Mungkin lain kali Encik Halim boleh belanja saya.” Aida Suraya ketawa manja.
            “Ya, mungkin lain kali lebih sesuai.” Halim senyum meleret sampai ke telinga dan dadanya berdetak-detuk. Entah mengapa! Hai… nampaknya kumbang tua dah ada deria bau dan rasa. Baguslah!
            “Amira minta nombor hanfon awak, senang saya nak hubungi awak nanti.”
            “Ustazah, saya lupa bawa hanfon.”
            “Sebut sajalah nombornya, nanti saya buat miss call.”
            “Tak ingat nombor.”
            “Hai, takkan nombor sendiri pun tak ingat?” Aida Suraya memperli, maka tersengih-sengih Amira dibuatnya. Macam kerang busuk.
            “Ha… saya ada idea. Ustazah buat saja miss call ke hanfon pak su, nanti pak su forwardkanlah pada saya, boleh!”
            “Hmm… boleh juga.”  Aida Suraya mengiakannya, maka Halim dengan senang hatinya memberitahu nombor smartphonenya bersama senyuman yang selebar dulang. Nampaknya mereka berdua ni macam ada chemistry saja. Bila bersembang bukan main mesra lagi, baguslah kalau begitu, sudah tiba masanya kedua-duanya membina tiang-tiang masjid, kemudian sama-sama membina atap dan dinding. Alangkah bagusnya kalau perancangan insan selari dengan kehendak Penciptanya.








No comments:

Post a Comment