BAB 13
USAI solat subuh Amira tidak tidur seperti biasa. Kalau
selalunya dia akan menyambung semula tidur sambil membungkus diri dengan
selimut. Kat kampung tidurnya nyaman sekali, rasa tak puas dan tak cukup, lalu
dia akan tidur semahunya. Kalau Mak Milah membebel, dia bukan dengar pun sebab tidurnya
macam mayat.
Pagi ini Amira telah nekad untuk balik ke KL, dari pagi
lagi dia mengemas segala pakaian dan barang-barangnya, bukan banyak mana pun, cuma
beberapa helai t-shirts dan seluar
jeans.
“Mak!!!” Amira menjerit kerana terkejut sebaik saja dia
membuka pintu almari dan mengambil seluar jeansnya.
Sungguh dia tak percaya dengan apa yang dilihatnya. Mana tak terkejut, seluar jeansnya telah dikerat menjadi separuh,
bukan sehelai yang kena kerat tapi semua yang dia bawa balik. Tiga helai
semuanya.
Amira berlari keluar mencari kakaknya, lalu dicampakkannya
seluar jeans yang telah kontot kakinya itu di hadapan muka Norhayati.
“Eh, Cik Yat, Yit,Yot, apa salah aku pada kau hah? Sampai
sanggup kau kudungkan kaki seluar aku ni. Macam mana aku nak pakai?”
“Weh… minah kepala batu. Aku tak ada kena-mengena dengan
harta benda kau tau. Jangan cakap sesedap mulut saja.” Norhayati melawan.
“Habis macam mana seluar jeans aku boleh kudung? Takkanlah Cik Bibah sebelah rumah yang
datang kerat seluar aku?” Marah Amira mula sampai ke telinga bila Norhayati
tidak mengaku dan buat tak tahu saja.
“Apa yang kamu jerit pagi-pagi buta ni Mira?” marah Mak Milah yang datang dari arah dapur sebaik
saja mendengar suara Amira menjerit. Anak ni suka sangat menjerit kalau dia
marah. Ish… bila nak matang pun tak tahulah. Esok lusa dah nak kahwin. Perangai
macam bebudak!
“Mak tengoklah seluar Mira ni, siapa punya kerja ni?”
“Alah, mak yang kerat,” selamba badak saja Mak Milah
menjawab, tanpa rasa bersalah. Norhayati yang sedang mengemas ruang tamu ketawa
mengekek. Ternganga Amira dengan jawapan Mak Milah bersama hatinya yang panas
membara.
“Kenapa mak potong? Apa salah seluar ni pada mak?”
“Seluar ni tak adalah salahnya, tapi tuan dia yang salah,
asyik berpakaian macam jantan. Mulai hari ini mak tak nak kau pakai seluar jeans
lagi, ubah penampilan. Ingat kamu tu bakal menantu Tuk Leman, orang yang
dihormati di kampung ni, jangan nak malukan keluarga mereka dengan pakaian kamu
yang tak tentu arah tu!” Sekali lagi Amira ternganga, rasa macam tercekik biji
mempelam padilah pulak. Tak sangka mak cepat benar berubah karakter. Tak nampak
sikit pun yang mak tu ada penyakit lemah jantung seperti yang dicanangkan oleh
si Yati. Kalau orang sakit lemah jantung, jalannya perlahan saja, lepas tu
kerjanya taklah lasak macam mak ni. Rasanya aku dah kena goreng hidup-hidup
oleh mak dan Yat Yit Yot. Oh… kasihannya
aku…and padan muka!
“Mak, sampai hati mak buat Mira macam ni,” Amira berjeda
seketika, dia tidak dapat meneruskan kata. Mulut munggilnya yang sering
menjawab kata mak itu seakan terkunci rapat. Kelu, segalanya terkurung di
halkum. Perlahan air mata yang bergenang di tubir mata tumpah ke pipi. Dia
menjadi amat terkilan dengan sikap mak.
“Mira, mak lakukan semua ini untuk kebahagiaan Mira. Mak
nak Mira hidup seperti gadis-gadis lain. Berkahwin, punya suami, anak-anak dan
keluarga yang baik.”
Amira benar-benar terkilan dengan sikap mak, nampaknya
mak tak kenal lagi perangai anak mak ni. Mak selalu merendah-rendahkan perasaan
Mira, apa yang Mira cakap seolah-olah semuanya tak ada makna pada mak. Bagi mak pendapat Mira tu semuanya hampeh… tak berguna
dan tak memberi faedah. Buah fikiran Mira selalu mak pandang enteng dan kurang bernilai macam
durian gred c yang dijual longgok di tepi jalan. Eh… kalau durian longgok,
busuk sekalipun masih ada nilainya, boleh buat tempoyak dan dijual dengan harga
yang mahal, tapi aku ni, sekupang pun mak tak pandang. Maknanya aku ni gred
apalah agaknya, ataupun dah tak bergred? Huuu… sedihnya.
“Hah… kau nak ke mana pula dengan beg galas kau tu?” Mak
Milah bertanya cuak bila melihat Amira mengangkat dan menggalas begnya.
“KL mak, kerja. Dah banyak hari Mira cuti.”
“KL mak, kerja. Dah banyak hari Mira cuti.”
“Eh, kau baru saja bertunang, takkan dah nak pergi.” Mak
Milah rasa tak sedap hati bila melihat Amira sedih macam orang yang sedang
kalah dalam peperangan.
“Tak apalah mak. Mira pergi dulu ya.”
“Kau dah beritahu tunang kau?” Mak Milah bertanya lagi,
namun Amira hanya menggelengkan kepala. Tak ada rasa nak bercakap. Selepas bersalaman Amira melangkah
turun dari rumah dengan perasaan yang bercelaru sekali. Banyak perkara yang
bermain di tempurung kepalanya. Kenapa mak selalu bersikap tak adil pada aku?
Adakah aku ni anak angkat? Mak tak sayangkan aku macam dia sayangkan Yati dan
Hadi. Mungkin juga aku ni bukan darah
dagingnya, kalau aku bukan anak mak, aku anak siapa? Adakah aku ni anak
yang ditinggalkan di tepi pagar masjid? Atau di tepi tong sampah? Atau di dalam
jamban? Atau di mana-mana tempat strategik orang buang anak? Oh… tidak! Air
mata Amira mula menderu di pagi yang hening itu sehingga terkejut Mak Milah
melihatnya. Manakan tidaknya, selalunya si kepala batu tu susah nak menangis,
aleh-aleh pagi ini menangis tak tentu pasal, takkan pasal seluar kena kerat
anaknya dah jadi emosi semacam.
“Mak, halalkan makan minum Mira selama ini, Mira tahu
Mira banyak dosa pada mak. Mak ampunkanlah Mira. Mungkin ini pertemuan kita
yang terakhir,” terkejut Mak Milah bila dengar
Mira cakap macam tu. Apa kena dengan anak aku ni, dah tak betul ke otaknya?
“Kenapa pula? Kau nak ke mana?” Cuak sungguh Mak Milah
dengan kata-kata si Mira ni. Anak ni sedang berdrama ke? Gayanya macam nak meniru idea aku?
“Mira nak cari ibu kandung Mira,” sendu wajah Amira bila
menatap wajah Mak Milah. Tergelak Mak Milah mendengarnya. Macam aku pernah
dengar saja ayat tu. Yalah… masa si kepala batu ni kecil-kecil dulu, bila kena
rotan sebab nakal, mulalah dia merepek-repek mengatakan dia tu anak angkat,
anak pungut, anak jumpa tepi jalan dan entah apa-apa lagi. Hai… ingatkan dah
habis cerita dan modal macam tu bila dah besar, rupa-rupanya masih ada lagi.
Mira… Mira…
“Mira kau nak pergi mana tu, biarlah kakak kau hantar ke
stesen bas.”
“Tak payah, Mira pergi sendiri.” Mira melaung dari bawah
sebaik saja dia turun dari tangga dan mula berjalan tanpa menoleh lagi. Dalam
kepala Amira dia akan ke rumah Pak Ali yang membawa teksi untuk menghantarnya
ke pekan, seterusnya dia akan naik bas ke Kuala Lumpur.
Mak Milah merenung dari jauh langkah-langkah yang
ditinggalkan oleh Amira, ada rasa kesayuan mula bertenggek di birai hati. Ada
rasa penyesalan mula menari-nari di
lubuk hati. Wajarkah dia sebagai ibu bertindak sedemikian? Kenapa dia tega
melakukan Amira sedemikian, padahal Mira tu anaknya, sedangkan dia sendiri
lebih mengenali siapa Mira.
Tiba-tiba saja Mak Milah merasa sayu seperti
ditinggalkan, seperti kehilangan dan seakan dia kekurangan sesuatu pagi ini.
Bila Amira meninggalkan rumah tanpa memeluknya, tanpa berlawan cakap dengannya,
dan dengan wajah yang redup meliputi mukanya anak itu melangkah pergi, maka dia
tahu ada sesuatu yang tak kena dengan anaknya.
JENUH Amira menunggu, tapi batang hidung pun tak nampak.
Bila called aje, asyik
cakap on the way, on the way. Berapa banyak dia punya way pun tak
tahulah, sampai sekarang tak tiba lagi. Dah dua jam menunggu tak juga muncul.
Kalau tahu macam ni lebih baik aku balik naik teksi. Tapi kalau naik teksi
tentu mahal, dari Pudu Sentral ke Bukit Kiara entah berapa ringgitlah duitnya yang
akan ditebak oleh pemandu teksi. Oii… kedekut betul minah ni. Bukan kedekut
tapi berjimat cermat, itu, kan suruhan agama. Jangan suka membazir kerana
membazir itu amalan syaitan.
“Pak su, bila nak sampai ni?” tanpa bagi salam Amira
menyerang.
“Amboi, garangnya. Sabarlah sikit, kejap aje lagi
sampailah tu.”
“Apa maksud pak su?” Pelik aje bunyi. Dahlah kena tunggu
lama.
“Sebenarnya tadi pak su suruh Pian yang pergi ambil Amir
kat Pudu Sentral. Pak su sibuk sangat. Sorry ye?” Halim mengaku salah.
“Kalau dengan Pian tu, baik tak payah. Bawa kereta lembab
mengalahkan hamster,” marah Amira
dengan bapa saudaranya yang mungkir
janji. Kalaulah dari tadi dia tahu Pian si rambut Afro tu yang akan datang mengambilnya, lebih baik naik teksi saja.
Tak payah nak jimat-jimat duit, bayar pemandu teksi lagi baik dari tunggu Pian
yang terkemut-kemut di atas jalan. Nak bawa laju sikit tak boleh, mana tidaknya
penakutnya mengalahkan perempuan. Pondan ke apa? Amboi! Sedapnya mengata di
belakang Pian. Kalau Pian dengar tak pasal-pasal dia tinggalkan kau kat Pudu
Sentral ni. Padan muka.
“Huh… Pak su ni saja tau, buat Mira marah.” Amira
mendengus keras, merajuklah tu. Halim tercengang, macam ada sesuatu yang asing
saja dalam kata-kata Amir tadi. Mira… sejak bila pula budak ni menggunakan nama
Mira? Walau apa pun syukurlah, kut, kut ada perubahan bila dah balik kampung
tu.
Bencinya! Bencinya! Bencinya! Pada siapa harus aku
luahkan rasa benci ini? Entahlah… mungkin pada Pian yang lambat sangat datang
menjemputnya. Geramnya aku kat Pian ni. Saja datang lambat sebab nak buat aku
marah. Hei… dari pagi sampailah ke tengah hari aku asyik rasa nak marah saja.
Dahlah dalam bas tadi aku marah betul dengan mamat yang duduk sebelah aku tu,
bila dia tertidur kepalanya asyik melentok kat aku. Eieee… geramnya! Agaknya
hari ini hari ‘marah’ sedunia kut?
“Assalamualaikum!” parau suara lelaki memberi salam, tapi
bukan suara Pian. Amira mengangkat muka sambil menjawab salam dalam hati. Mak!!!
Dia menjerit kuat, tapi dalam hati. Sebaris senyuman manis yang lama dia tak
kelihatan sedang terukir untuknya. Mimpikah aku? Eh… tak, aku masih di alam
jaga. Tapi kenapa lelaki yang berwajah menawan ini berada di hadapan aku?
“Tutup mulut awak tu, nanti lalat masuk.” Ariel menegur
Amira yang terkedu sekian lama sambil mulut munggilnya ternganga. Tersipu malu
Amira dibuatnya. Ceh… dah berlagak jadi perempuan sejati nampak?
“Awak buat apa kat sini? Amira memberanikan diri
bertanya. Inilah pertama kalinya dia bersembang dengan Ariel, dulu guna bahasa
isyarat lainlah ceritanya. Kalau nak kira bahasa isyarat yang dia buat bukannya
betul pun, main taram saja. Amira tersengih sendiri bila mengingatkan
perangainya yang tak betul itu.
“Saya datang ke sini sebab nak ambil awaklah.”
“Ha…ambil saya?” terkejutnya Amira sampai melopong lagi.
“Tak, saya nak ambil Mak cik Munachi Saraswati yang duduk
sebelah awak tu.” Amira ketawa dengan lawak Ariel, tak sangka Ariel pandai juga
melawak.
“Kenapa Cik Munachi Saraswati ni mak mertua awak
ke?” Amira ketawa lagi, ha… lega rasa
dada yang ketat tersumbat tadi. Tulah asyik dengan marah dia saja, cuba bawa
bertenang dan zikir banyak-banyak.
“Ini sudah terlebih mengata ni.” Ariel Iskandar juga
ketawa.
“Tak mengapalah
Ariel, saya sedang tunggu si Pian ni.”
“Sebenarnya Pian yang menyuruh saya datang, katanya dia
adahal, emergency!”
“Ah… Pian tu auta saja lebih, emergency apa? Nenek
dia nak bersalin ke? Jaga kau Pian, bila aku jumpa kau aku cukur segala rambut
kerinting kau tu!” ketawa Ariel mendengar rungutan Amira. Rasa marah Amira
bertambah berapi dari tadi dan angin kus-kusnya sudah naik satu badan. Apa
tidaknya tak pasal-pasal Ariel tengok dia berpakaian macam ni. Malulah pakai macam
ni, pakai kelambu macam mak cik-mak cik saja. Tak macholah…
“Kenapa marah sangat dengan Pian, biarlah kalau dia ada
hal, saya, kan boleh hantar awak.”
“Eh… jangan, saya tak nak susahkan awak, lagipun lepas
ini saya nak pergi tempat lain.”
“Kenapa Pian boleh ambil awak, dengan saya awak tak nak
pula?” Sengaja Ariel bertanya budak
lelaki bisu yang telah bertukar menjadi puteri yang ayu di hadapannya kini.
“Sebab Pian tu kawan saya.”
“Oh… jadi selama ini awak tak pernah menganggap saya ni
kawan awak?” nada suara Ariel macam orang merajuk dan Amira rasa bersalah.
“Eh… bukan macam tu maksud saya, saya dengan Pian dan
budak-budak bengkel tu dah lama kenal, so, dah tak ada rasa seganlah
kalau nak suruh itu dan ini.”
“Mulai sekarang saya nak awak anggap saya ni macam
kawan-kawan awak kat bengkel tu. Kalau awak ada apa-apa masalah awak boleh
minta tolong dengan saya,” cerah wajah Ariel mengandung harapan. Amira
mengangguk setuju demi menjaga hati Ariel.
“Tapi awak tak marah ke saya tipu awak dulu?” Ariel
ketawa senang bila Amira membuka cerita.
“Tak, sebab awak ni lautan, terlalu dalam untuk diduga.”
Ternganga Amira mendengar madah Ariel. Tak fahamlah tu, minah ni kalau bab-bab
macam ni lembab sikit.
“Jomlah kita beredar.” Ariel mengajak Amira meninggalkan
Pudu Sentral yang sesak dengan manusia. Amira mengangguk tanda setuju, dan dia
mula membuntuti belakang Ariel berjalan di celah-celah keriuhan manusia. Ariel
berjalan pantas dan Amira terpaksa mengangkat kainnya untuk memudahkan dia melangkah supaya tidak
kehilangan jejak Ariel. Ariel berpusing ke belakang kemudian ketawa bila
melihat Amira di belakangnya.
“Kenapa ketawa?” Amira terpinga-pinga dengan sikap Ariel.
“Awak ingat Pudu Sentral ni banjir ke? Buat apa awak angkat
kain tu? Dahlah pakai kasut macam tu.” Ariel ketawa lagi. Panas hati Amira, tapi
sepantas kilat dia merenung ke arah kakinya. Apa tidaknya, pakai baju kurung
tapi kasut high cut. Mak datuk!!! Gonjengnya aku, macam Orang Asli dari
Kuala Dipang. Cepat-cepat Amira menurunkan kainnya. Malu pada Ariel tak tahu
nak cakaplah.
“Susah nak jalan dengan kain macam ni.” Amira mengadu.
“Apa pula susahnya, awak tengok orang perempuan tu, pakai
baju kurung siap dengan kasut tumit tinggi lagi.” Ariel Iskandar menunjuk ke
arah wanita muda di hadapan Amira yang sedang berjalan dengan gaya vouge. Catwalk
gitu!
“Aleh… dia dah biasa, bolehlah.”
“Kenapa, awak tak biasa ke?” Ariel bertanya, hairan sangat bila orang
perempuan tak biasa pakai baju kurung.
“Tak.” Amira menjawab sepatah sambil menggelengkan
kepala. Macam budak tadika yang menjawab pertanyaan guru. Ariel merenung Amira
dari atas ke bawah, sepintas lalu ingatannya menyinggah. Patutlah tak biasa,
budak ini, kan tomboy. Ariel tersenyum sendiri.
“Kalau dah tak biasa kenapa pakai juga?”
“Dah terpaksa, kenalah pakai juga.” Malasnya Amira nak mengungkit
cerita pagi tadi, kalau boleh dia ingin lupakan perbuatan mak yang tak masuk
akal itu.
“Siapa yang paksa? Tunang awak?” Ariel bertanya sambil
ketawa. Melabuk jantung Amira jatuh atas jalan raya. Terkedu dia seketika.
Mamat ni pakai jin ke? Macam mana dia boleh tahu yang aku ni dah bertunang. Rasanya
kat dahi ni tak adalah pula cop mohor yang menandakan aku dah bertunang, kat
jari pun tak ada inai, dan cincin bertunang pun aku tak pakai. Biar mak saja
yang pakai cincin tu, sebab mak yang nak sangat aku bertunang sampai sanggup
menipu aku. Atau mamat ni menyindir, maklumlah aku ni, kan brutal, mana ada lelaki yang nakkan aku?
“Heh… Amir, siapa yang paksa?” Ariel mengejutkan lamunan
Amira.”
“Panjang ceritanya,”
malas saja Amira menjawab.
“Pendekkan,” teruja Ariel ingin mengetahuinya.
“Mak saya yang paksa, habis
semua seluar jeans saya di kudungkan kakinya. Jadi nak tak nak, kenalah
pakai kelambu ni.”
“Ha…ha…ha…” kuat ketawa Ariel menyebabkan Amira menoleh
legat ke wajah kacak yang sedang galak mentertawakannya. Amboi! Bukan main
sedap lagi ketawa, seronok sangat ke dengar cerita sedih aku yang penuh tragis
tu? Nasib baik kau tu bukan Pian atau Zaki. Kalau tak, dah lama aku sepak
tulang kering kau tu, biar lekuk.
“Dah habis ketawa?” kering saja suara Amira. Menyesal
rasanya bercerita pada Ariel yang belum betul-betul dikenalinya.
“Belum, lucu sangat. Tak sangka mak awak tu brutal
dan bijak.”
“Bijak?” terkejut Amira dengan pandangan Ariel. Bijak
sangatlah mak tu kalau dah sanggup potong seluar anak sendiri. Kelam hati bila
mengingatkan tragedi pagi tadi.
“Ya, sebab mak awak bijaklah saya berpeluang melihat
kecantikan semulajadi awak, yang awak sembunyikan selama ini,” Ariel berkata jujur. Amira berhenti melangkah
sebaik saja mendengar perkataan asing yang memenuhi lubang telinganya kala ini.
Merona merah muka Amira, maklumlah belum ada orang yang memuji dia dengan
kata-kata indah seperti itu.
“Ah… tak ada maknanya. Menyusahkan saya adalah!” Amira
mula cover line takut Ariel melihat muka yang merona bila dipuji. Aleh,
malulah konon…
“Amir.”
“Panggil saja Mira, sebab mak saya panggil saya Mira.”
Amboi, apa sudah jadi ni, siap boleh tukar nama lagi. Dulu kalau kawan-kawan
kat bengkel tu panggil nama Mira, siap dia orang kena belasah, terutamanya
Pian. Habis rambut sarang tebuannya di tarik-tarik oleh Amira.
“Hmm… sedap nama tu, saya suka. Kalau Mira selalu pakai
macam ni, kan cantik.” Ariel melahirkan rasa terujanya, entah mengapa dia suka
sangat bila melihat Amira berpakaian seperti ini. Cantik, manis dan sopan. Lain
benar dengan watak Amira yang dia temui selama ini. Amira hanya ketawa
bersahaja. Tapi hatinya berdetak laju.
“Terlanjur awak bersama saya ni, saya nak minta tolong
sikit boleh?” dengan muka tak malu Amira bertanya.
“Boleh, apa salahnya, nak minta tolong apa?” lebar senyum
Ariel.
“Temankan saya
shopping, saya nak beli seluar jeans baru, nak ganti seluar yang
telah terkorban tu.”
“Awak nak pakai seluar jeans semula?” Pelik benar
bunyinya di telinga Amira.
“Yalah…why, you don’t mind me wearing like this all
the time?” Amira bertanya kerana terkejut sampai tercakap orang putih.
“Yes, why not? You really look beautiful and
anggun in this dress.” Pandai
pula Amira tersipu-sipu bila kena puji. Kembang hidung Amira seketika. Itulah sebabnya
dikatakan pakaian itu melambangkan keperibadian.
“Nonsense.”
Amira senyum sambil gelengkan kepala.
“Why?”
“Awak tak nampak ke kerja saya macam mana?” Termenung
Ariel seketika.
“Tapi awak boleh cari kerja lain, kan? Kerja yang lebih
sesuai dengan orang perempuan.”
“Masalahnya saya tak suka, dan kerja yang ada sekarang
cukup membahagiakan saya.” Amira gelak sendiri bila melihat Ariel seperti
terkejut.
“Awak ni memang peliklah!”
“Hmm… telinga saya ni dah sendat dengan umpat keji orang
yang mengatakan saya perempuan pelik.”
“Walaupun awak pelik, tapi awak menarik,” ikhlas Ariel
menuturkannya.
“Hmm… ya sangatlah tu…” Amira menyengih, bukan dia tak
tahu lelaki itu hanya berbasa-basi saja. Tak lebih tak kurang.
Amira tercari-cari sesuatu bila tiba di kawasan parkir,
tapi tak nampak pun.
“Awak cari apa?” Ariel bertanya hairan.
“Cari katak.”
“Katak, nak buat apa?”
“La… naiklah, takkan nak tengok aje.” Jawapan Amira lagi
membuat Ariel keliru.
“Eh Mira, saya peninglah. Katak apa yang awak maksudkan?”
kuat ketawa Amira bila melihat muka Ariel yang blur.
“Ha…ha…ha… katak sendiri pun tak ingat. Heh… Ariel what
I mean is your Beetle?” akhirnya Ariel juga ketawa bila mengetahui apa yang
dimaksudkan katak.
“Ada kat rumah.”
“Kenapa rosak lagi?”
“Taklah, saja pinjam kereta mama sebab nak jemput awak. Tak
macholah jemput perempuan pakai
katak, lagipun mana ada perempuan suka naik katak.”
“Salah kenyataan tu, masih ada perempuan yang sukakan
katak tu! Contohnya, saya. Saya suka dengan katak awak, ianya nampak elegan,
klasik, romantik dan penuh seni,” penuh emosi Amira menuturkannya. Terlopong Ariel
mendengar sesuatu yang dia tak sangka. Selama ini semua orang mengutuk bila dia
menggunakan Volkswagen itu sebagai kenderaan hariannya, dan tak ada seorang pun
memahami apa yang dia rasa dan apa yang dia minati.
“Tak sangka awak juga meminati katak tu,” senyum Ariel
sampai ke telinga. Mana tidaknya, dia dah jumpa seorang kawan yang boleh
dikongsi minatnya.
“Awak ni betul-betul pelik, tak serupa gadis-gadis lain.”
“Yup… saya memang pelik, saya akan suka apa yang orang
ramai tak suka, dan saya akan tak suka, apa yang orang lain suka,” tanpa segan
Amira menceritakan betapa weird
dirinya. Kalau Ariel nak berkawan dengannya biarlah kerana dirinya yang
seadanya. Dia tak mahu menjadi seorang yang hipokrit hanya kerana sebuah
persahabatan yang baru terjalin.
No comments:
Post a Comment