NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 11








BAB 11

            AMIRA memasuki perkarangan rumah bunglow dua tingkat yang bercat hijau muda bercampur putih. Halaman rumah bunglow ini cukup luas dan cantik. Pokok-pokok yang berbunga subur tersusun menghiasi laman, pasti tuan rumahnya seorang yang suka akan kekemasan.
            Seumur hidupnya dia tak pernah menjejak kaki ke rumah Tuk Ketua Kampung Pinang Sebatang ni, tapi hari ini demi masa depan dan hidup matinya, dia sanggup mencemar duli menjejak kaki ke rumah Tuk Leman yang kaya-raya ni.
            Panjang tengkuk Amira mencari kelibat manusia di dalam rumah, tapi tak pun nampak bayang orang pun. Salam diucapkan bekali-kali, namun masih belum bersahut. Takkanlah tak ada orang di dalam rumah sebab kereta banyak di halaman. Susahlah nak jumpa orang kaya ni, dah sampai depan muka pintu pun masih tak boleh jumpa. Macam mana ni, nak balik ke, nak tunggu? Amira berkira-kira sambil berjalan mundar-mandir, ke hulu dan ke hilir.
            “Oh, Amira rupanya, ingatkan siapa tadi,” tiba-tiba seorang perempuan separuh umur datang menyapanya dari belakang.
            “Assalamualaikum mak cik!” Amira bersalam dan mencium tangan Puan Latifah. Seorang wanita anggun yang berbudi tinggi.
            “Waalaikumussalam! Silalah masuk ke dalam.”
            “Eh, tak payahlah mak cik. Tujuan saya datang ni sebab nak jumpa Mail sekejap,” segan silu Amira dibuatnya, maklumlah bakal mak mertuanya tu bukan calang-calang orang kat dalam kampung ni, yang dia pula datang main terjah saja nak jumpa anak bujang Puan Latifah. Tak protokol langsung!
            “Oh, nak jumpa Mail, nanti mak cik panggil. Tapi Amira masuklah dalam rumah dulu, tak baik tau datang bertamu duduk kat luar.” Alahai suara Mak cik Tipah ni, mendayu-dayu pula, lembut saja tutur katanya tak macam mak yang sering bersuara tegas bila bercakap. Akhirnya Amira masuk ke dalam rumah setelah tangannya ditarik oleh Puan Latifah.
            Mak aii… cantiknya rumah Tuk Ketua Kampung ni, ada kelaslah, macam rumah ‘datuk datin’. Susun aturnya kemas dan kena semuanya, manakala perabutnya pula mahal-mahal. Rasanya kat dalam Kampung Pinang Sebatang hanya Tuk Ketua saja yang ada perabut mewah macam ni. Dah berpusing-pusing biji mata Amira melihat hiasan-hiasan cantik yang ada dalam rumah ini.
            “Hai Mira, lama tak jumpa,” seorang lelaki datang dan menegurnya. Amira memusingkan badannya. Berkerut dahi Amira bila melihat lelaki di hadapannya yang sudah tersenyum dari tadi. Siapa ni? Aku datang nak jumpa Mail, kenapa orang lain pula yang keluar?
            “Saya nak jumpa Mail, boleh panggil dia sekejap,” malas Amira menjawab teka-teki dalam kepalanya, cakap saja apa yang dia nak. Lagi senang.
            “Sayalah Mail,”  lelaki itu masih tersengih-sengih.
            “Tak payahlah main-main, saya datang ni ada tujuan, kalau nak main lebih baik pergi padang, boleh main galah panjang ke, polis entri ke...” panas hati Amira. Ingat aku ada masa ke nak berbual-bual kosong dengan orang yang aku tak kenal. Kuat suara lelaki itu ketawa. Amira pula melihat dengan rasa cuak. Apa pasal ketawa bagai nak rak? Mabuk ke, apa?
            “Awak tak pernah berubah, masih macam dulu juga.”
            “Macam mana awak boleh kenal saya?” Amira mengerutkan dahinya tanda masih keliru.
            “Ya ALLAH Amira. Saya ni Mail. Nama penuh saya Ismail bin Sulaiman. Bekas pelajar Tingkatan 5 Cempaka, sama kelas dengan Cik Amira Batrisya.” Biar betul mamat ni pernah satu kelas dengan aku. Rasanya tak ada budak lelaki yang rupa macam ni. Semua pelajar dalam kelas 5 Cempaka bukannya ada yang kacak segak macam ni. Dah sah ini satu penipuan. Tapi kalau penipuan kenapa mamat ini ada di rumah Tuk Ketua, setahu Amira Tuk Ketua hanya ada dua orang anak saja, iaitu Laila dan Mail. So, yang sedang berdiri tegak macam tiang lampu ni siapa?
            “Okey, kalau awak satu kelas dengan saya, siapa kawan baik saya dan siapa musuh saya?”
            “Kawan baik awak ialah Nazatul Hawa dan musuh ketat awak ialah Noni. Puas hati?” terkejut Amira, semuanya betul. Dahinya bertambah berkerut seribu.
            “Awak ni siapa sebenarnya?” Amira makin keliru bercampur marah sebab dipermain-mainkan.
            “Takkan awak tak ingat, pelajar lelaki yang ditangkap khalwat dengan awak semasa dalam stor buku?”
            “Mak!!!  Takkan awak ni Mail?” Amira menjerit kerana terkejut dan kerana peristiwa ngeri itu diungkit kembali. Sumpah! Sampai mati dia tidak mahu mengingati peristiwa hitam itu. Mail ketawa senang bila melihat Amira terkejut beruk.
            “Kenapa rupa kau dah berubah?” Amboi, bukan main cepat lagi Amira menukar gaya bahasanya.
            “Itulah kau, selalu melihat aku dengan sebelah mata walaupun aku selalu berharap kau selalu memberi renungan dan perhatian pada aku.” Wah… boleh tahan juga mamat ni, siap ayat cintan-cintun lagi.
            “Dah, kau jangan nak jiwang-jiwang dengan aku.”
            “Betul Mira, aku dah lama sukakan kau.” Mak oii, ada juga manusia yang sukakan aku, rasa lawaklah pula. Amira tersenyum sumbing, agaknya mata Mail ni ada masalah retina kut. Tak nampak yang aku ni jenis yang tak serupa perempuan lain agaknya.
            “Sejak bila kau suka kat aku?”  Saja Amira nak tahu, sebab rasa terkejut dan tak percaya pun ada.
            “Kalau aku cakap, kau mesti tak percaya punya.”
            “Eh, cakap sajalah, banyak cekadak pula kau ni,”  marah Amira.
            “Tak baik kau cakap macam tu dengan bakal suami. Aku sukakan kau sejak sekolah rendah lagi, tapi kau tak pernah nak ambil tahu,”  Mail menagih simpati.
            “Yak!!!  Gelilah  anak tekak aku! Siapa yang nak jadi bini kau? Aku datang sini pun sebab nak kasi peringatan pada kau.” Amira berjeda seketika, dia menelan air liurnya yang mula terasa pahit itu. Apa tidaknya, bukan mudah nak membatalkan  persetujuan yang telah dibuat oleh dua keluarga itu. Risikonya besar sekali dan dia perlu menanggung kesemuanya.
            “Peringatan apa?” Mail ketawa mengejek macam tahu saja apa yang ada dalam kepala Amira.
            “Aku nak bagitahu kau, esok rombongan kau jangan datang ke rumah aku.Tak akan ada acara pertunangan ni. Aku tak nak bertunang dengan kau, apalagi nak jadi bini kau. Faham!”
            “Kalau rombongan kau pergi juga?”
            “Siap kau!!!” Amira meninggikan suara, sakit hati dengan gelagat Mail yang seolah-olah mempersendakannya.
            “Apa yang siap? Majlis akad nikah ke?” Mail ketawa lagi.
            “Aku bakar kau dengan Kampung Pinang Sebatang ni! Biar jadi seperti padang jarak, padang terkukur. Atau aku bakar konvoi bas rombongan kau bersama drebar dan kelindannya sekali, nak?” Mendidih hati Amira mendengar ketawa Mail, bernanah lubang telinga dibuatnya. Mail ketawa kuat, lucu sangat dengan amaran si Mira. Tak padan kecik!
            “Ada aku kisah? Yang penting mak kau terima aku jadi menantunya. Mak Milah baik tak macam kau yang garang mengalahkan singa.” Mail sambung gelak.
            “Kalau macam tu kau kahwinlah dengan mak aku. Aku ni pun dah lama tak berbapa. Kalau kau jadi bapa tiri aku bagus juga,” terkedu Mail seketika. Ha… padan muka!
            “Sampai hati kau cakap macam tu. Dalam hati aku ni hanya ada kau. Mana-mana aku pergi pun aku hanya ingat kau. Apa, aku tak cukup bagus ke, untuk kau?” kendur suara Mail untuk meraih simpati Amira.
            “Sebab kau baguslah aku tak boleh terima. Kau anak orang kaya, harta kau banyak, aku orang miskin. Kau belajar sampai universiti, aku ni bodoh,  tak ke mana pun! Kau dah kacak bergaya, manakala aku masih lagi comot-momot. Kau tak nampak ke perbezaan kita?”
            “Alah, alasan yang tak boleh pakai.” Mail mencebik, dia tahu bukan itu alasannya.
            “Senang cerita, biar aku cakap, aku tak suka kau, aku benci kau!” Direct terus… nak sangat.
            “Takkan macam tu sekali?”
            “Dulu aku tak benci kau, tapi setelah aku kena tangkap bersama kau aku menjadi benci sangat.”
            “Jadi sia-sialah rancangan aku dulu.” Mail mendengus sambil menekur kepalanya.
            “Apa kau cakap? Rancangan apa?” Amira tiba-tiba menyinga   bila mendengar ayat terakhir Mail. Ada sesuatu yang aku tak tahu ke?   
            “Kalau kau nak tahu, akulah yang rancang supaya kita berdua terperangkap dalam stor buku dulu tu, dan aku suruh Noni kunci dari luar, kemudian dia beritahu pada guru. Puas hati kau?” Akhirnya Mail membuka rahsia yang dia simpan selama ini.
            “Kau yang buat dajal tu Mail?” Amira menjerit nyaring, betapa terkejutnya dia bila mendengar cerita peristiwa hitam enam tahun lalu yang telah memalitkan seluruh badannya dengan lumpur kotor khalwah yang terancang. Sungguh dia tak sangka Maillah dalangnya. Sekarang amarahnya sedang memuncak, dia tak peduli lagi, di mana dia harus mengamuk, yang pentingnya dia dapat melepaskan sumpahannya enam tahun dulu. “Kalau aku dapat orang yang buat khianat kat aku, aku akan kerjakan dia cukup-cukup.”
            “Jembalang tanah kau Mail, sanggup kau khianati kawan kau sendiri!!!” jerit Amira sambil berlari mengambil penyapu yang tersandar di tepi rumah. Mail cabut lari sebelum Amira sampai dan menghempuk kepalanya dengan penyapu. Amira mengejar Mail sampai ke halaman rumah, dah jadi macam sewaktu mereka kecil-kecil dulu, sewaktu main polis entri. Mail berlari sambil ketawa manakala Amira sudah masam renyut dengan muka marahnya yang ketara sangat.
            “Kenapa kau buat aku macam tu Mail?” Amira menjerit lagi sebaik saja dia berhenti bila tak dapat mengejar Mail.
            “Sebab aku cintakan kau, biar kau tak dipinang oleh orang lain, lepas tu aku yang dapat kau.” Mail melaung dari jauh.
            “Kau jahat Mail, kau jembalang tanah, jembalang minyak. Sanggup kau busukkan nama aku demi cinta bodoh kau tu?” Sakit hati Amira TUHAN saja yang tahu, dah macam lava gunung berapi tunggu masa nak dicurah atas Mail saja, biar hangus rentung Mail si jembalang tanah tu.
            “Mira, kau tahu kenapa aku suka sangat pada kau? Sebab kau cantik, kau baik, jiwa kau penuh kasih sayang, kau kuat dan bertanggungjawab. Bila kita kahwin nanti kau dapat menjaga aku dan harta-harta yang aku ada ni, sebab aku tahu kau seorang yang amanah.”
            “Eh, diamlah jembalang tanah. Aku tak nak kahwin dengan kau. Aku benci kau!” Amira menjerit sambil mengejar Mail lagi. Mail berlari masuk ke dalam rumah semula dan Amira juga masuk ke rumah. Tiba-tiba terjengul kepala Puan Latifah di muka pintu.
            “Apa hal kau orang ni bising-bising, dah tu siap main kejar-kejar lagi, tak sedar ke awak berdua tu dah besar, dah nak kahwin pun.” Puan Latifah bersuara lembut. Amira menyorok penyapu di belakangnya, macamlah orang tak nampak. Terkerising Amira bila ditegur dengan dada yang berombak dan wajah yang berpeluh. Rasa malu pun ada.
            “Kenapa ni Mail?” Puan Latifah bertanya Mail yang sedang menyorok di belakangnya.
            “Menantu mak ni garang sangat. Mira nak pukul Mail dengan penyapu.” Ceh… mengadu konon. Dasar jembalang tanah! Sumpah Amira dalam hati.
            “Dah Mail jahat sangat pada Mira, terima sajalah balasannya.” Amira merenung wajah Puan Latifah, lain macam saja bunyinya, Mak cik Tipah ni tahu ke cerita sebenar?
            “Ha… Mira, emak Mira, Mak Milah telefon tadi, dia suruh Mira balik.”
            “Baiklah mak cik. Mira balik dulu.” Amira bersalam dan mencium tangan Puan Latifah. Kemudian dia menghampiri Mail.
            “Ingat Mail, kalau kau hantar juga rombongan peminangan pagi esok, siap kau!”  Amira memberi amaran dengan kadar perlahan. Mail hanya menyengih tanpa berkata apa-apa. Kemudian setelah dia mengucapkan salam pada Puan Latifah, Amira pun meninggalkan perkarangan bunglow dua tingkat itu dengan seribu rasa dan perasaan yang makin bercelaru. 
           
            

No comments:

Post a Comment