BAB 14
BAU wangi semerbak menyucuk
lubang hidung Amira tatkala Halim melintas di hadapannya. Lelaki bujang
terlajak itu buat-buat tak nampak saja bila Amira legat memerhatinya yang
berjalan ke hulu ke hilir sambil bersiap.
“Pak su nak pergi mana ni?”
“Nak keluar sekejap.”
“Nak ikut…” Amira melembikkan tengkuknya macam biasa.
“Tak boleh, pak su nak jumpa kawan.”
“Aleh, bukannya Mira tak kenal kawan-kawan pak su.
Bolehlah Mira ikut ya.”
“Mana boleh, ini kawan baru pak su, tak sesuai Mira jumpa
dia sekarang.”
“Siapa kawan baru pak su ni, lelaki ke perempuan?” Amira
mula curiga. Selalunya Halim tak pernah menolak permintaannya.
“Adalah…” sebaris senyuman terukir di bibir Halim.
“Dah sah, ini mesti perempuan. Oo… pak su nak dating
ya?”
“Yalah bagilah peluang pak su dating. Kalau ada
keserasian, bolehlah dibuat girlfriend.”
“Huh… ulat bulu dah naik daun tualah tu…” Amira mengejek
sambil mencebik, tapi Halim ketawa senang, maklumlah sekarang dah ada orang
yang nak dia temui.
“Hei… tak ingat ke? Bukankah awak yang selalu suruh pak
su cari isteri supaya awak tu tak payah lagi buat kerja-kerja perempuan dalam
rumah ni.”
“Yalah, tapi janganlah pula sampai pinggirkan anak
saudara yang kesepian ni. Pak su lebuh, hilang bila jumpa awek, habis Mira ni
jadi jaga rumah, tunggu pak su balik. Tak acilah macam ni.”
“Hmm… memanglah, achi ada kat India.” Halim
mempersendakan Amira dan Amira membalingkan bantal kecil ke arah Halim yang masih ketawa mengekek.
“Boringlah
kalau macam ni.”
“Kalau boring
ajaklah Pian temankan Mira,” Halim memberi cadangan.
“Oii… pak su, karang tak pasal-pasal Mira kena tangkap
basah dengan Pian, dan tak pasal-pasal juga Mira kena kahwin dengan Pian. Eeeeii…
tak naklah Mira.”
“Ya tak ya juga, nanti tiba-tiba aje pak su dapat anak
saudara yang kepala besar macam sarang tebuan,” kuat Halim ketawa dengan
lawaknya sendiri. Amira cuma menjeling, macamlah lawak sangat.
“Pak su bolehlah Mira ikut, Mira duduk jauh-jauh dan tak
kacau pak su. Bosanlah duduk sorang-sorang kat rumah.”
“Ha… itulah kau, orang suruh cari teman lelaki tak nak,
asyik nak berkepit dengan pak su saja, lepas tu leka dok layan budak bengkel. Apa
yang kau dapat?”
“Aleh… baru pertama kali dating dah bising, belum tentu
lagi perempuan yang pak su nak jumpa nanti sukakan pak su. Kita tengoklah
nanti.” Amira mencebik.
“Tak apalah,
sekurang-kurangnya pak su, ada, kau ada?” Amira
dengan marah membaling bantal kecil ke arah Halim dan kemudiannya masuk ke
bilik. Merajuklah tu… Halim tersenyum lagi. Dia kadang-kadang pelik dengan
perangai anak saudaranya yang sorang ni. Perangai macam lelaki, berpakaian
macam lelaki, tak macam anak gadis-gadis lain, bila masa budak ni nak jadi
perempuan sejati pun dia tak tahu. Nak kata tak cantik? Amira memang cantik,
tapi selalu dia sembunyikan wajah di balik topinya. Tapi apa yang dia harapkan
ialah suatu hari nanti, ada lelaki yang sukakan anak saudaranya yang pelik ni.
Amira mundar-mandir di dalam rumah,
sesekali dia melemparkan pandangan ke jalan raya taman perumahan yang sepi,
mengintai kereta pak sunya, kut-kutlah dah balik. Bunyi bising suara dari peti
televisyen di rumah itu tidak dapat menghilangkan rasa sunyi yang telah
berkampung di hati Amira. Entah mengapa dia merasa sunyi sangat. Macam hidup
sebatang kara saja. Ingatannya mengembara ke Kampung Pinang Sebatang. Apalah
agaknya yang sedang dibuat oleh mak dan kak Yati. Adakah mereka sedang
mengingati aku atau sudah buang aku dari ingatan mereka? Maklumlah sejak
peristiwa pilu yang merenggut tangkai hati aku hari tu, aku belum lagi
menghubungi mak. Bukan tak rindu pada mak, tapi hati yang terkilan ini menjadi
penghalang, jadi aku ikut sajalah kata hati. Mungkin inilah balasan untuk aku,
hati yang terhijab dari kesejahteraan, lantaran dendam yang bersisa. Mak,
ampunkan Mira!
Tiba-tiba BlackBerry Curvenya menjerit kuat, Amira berlari
mendapatkannya, nasib baik tak tersungkur akibat terlanggar kaki meja. Siapa yang
called? Jangan-jangan mak kut, mesti
mak juga sedang merindui aku, maklumlah hubungan dua jiwa, mana boleh
dipisahkan.
“Assalamualaikum mak!”
“Waalaikumussalam!” terkejut
Amira bila mendengar suara parau yang menjawab.
“Siapa ni?”
“Ini Ariel… awak tengah tunggu
panggilan dari mak awak ke?”
“Tak adalah, saya bercakap tak
tengok nama siapa yang keluar tadi.” Amira termalu sendiri.
“Ini mesti tengah rindu kat
mak awak, kan?” Pandai pula si Ariel ni menembak.
“Eh… mana ada. Kita dah besar,
mana main rindu-rindu macam budak kecil yang baru masuk asrama.”
“Alangkah ruginya, sekiranya
awak tidak merindui mak awak. Sebab ingatan dan kerinduan terhadap ibu dan ayah
merupakan talian pahala untuk anak-anak. Rasulullah pernah memberitahu, kalau
kita memandang ibu bapa kita dengan ikhlas pun dapat pahala, apatah lagi berbuat kebajikan untuk mereka.” Tersentuh
jiwa Amira mendengarnya.
“Ya saya tahu, tapi syaitan
selalu menguasai diri. Bila saya nak call mak saya, hati kecil ni kata
tak payah, sebab mak dah buat macam-macam kat saya.” Ada saja alasan minah ni.
“Ha… ha…ha… yang pergi ikut
cakap syaitan tu kenapa? Kita orang Islam kena ikut cakap ALLAH dan Rasul.
Apalah sangat dengan perbuatan yang ‘biasa-biasa’ yang telah mak kita buat tu,
kalau nak bandingkan dengan segala jasa dan pengorbanannya. Awak tak fikir ke,
semua tu?”
“Tahu… tapi…” Amira
teragak-agak. Hah… kan dah kena peluru sesat.
“Awak ni tahu, tahu. Buat tak
juga. Okey, lepas ni call mak awak dan minta ampun. Ingat, syurga itu
terletak di bawah telapak kaki ibu.”
“Ya Ustaz Ariel, saya akan
ikut cakap ustaz, terima kasih kerana beri nasihat,” Amira berlawak, tapi jauh di
dalam hatinya dia memang berterima kasih sangat pada Ariel kerana tazkirah
pendek tadi, bukan dia tak tahu itu semua, tapi dia alpa. Biasalah manusia
memang mudah lupa, sebab itulah ALLAH menyuruh kita agar sentiasa
berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.
“Amin, awak panggil saya
ustaz? Moga-moga masin mulut awak. Kalau saya jadi ustaz, awaklah orang yang
saya dakwah dulu.” Ariel ketawa dan Amira juga ketawa sebab terkena batang
hidungnya sendiri.
“Awak kat mana ni?” tanya
Amira.
“Kat rumahlah, kenapa?”
“Ingatkan kat tempat kerja,
sebab selalunya orang yang kerja dengan company besar-besar ni, suka
buat kerja overtime.”
“Ini tengah buat kerja overtimelah
ni, tapi buat kat rumah. Awak tak buat kerja overtime?” pertanyaan Ariel
membuatkan Amira ketawa kuat.
“Ha…ha…ha…kelakarlah awak ni,
takkanlah saya nak bawa balik gearbox
atau segala benda mak nenek tu balik kat rumah?” Ceh… macam confident saja menjawab.
“Awaklah yang kelakar, saya
tak maksudkan overtime kat rumah, tapi kat bengkel. Lain kali kalau nak
menjawab tu fikir dulu, bukan main terjah saja. Ada faham adik manis?” Giliran
Ariel pula yang ketawa. Kalaulah Ariel
dapat melihat muka Amira yang dah mula cemberut ni, kan seronok. Minah ni mana
suka kalau orang kena kan dia, tapi kalau dia kena kan orang, bukan main menggeletik
lagi dia.
“Amira, kenapa awak diam? Awak marah ke? Sorrylah
saya nak bergurau saja.” Ariel bertanya sebaik saja dia tidak mendengar celoteh
Amira.
“Tak, buat apa nak marah, benda betul. Memang saya ni
kalau bercakap main lepas saja, salah ke, silap ke, belakang kira. Janji
terkeluar apa yang nak dikata.” Berani pula minah ni mengaku kelemahan dirinya.
“Tak bolehlah macam tu, sebab kata-kata adalah buah
fikiran. Adakah sama percakapan seorang Ilmuan dengan orang biasa? Pasti tak
sama, kan? Orang juga dapat menilai diri kita melalui apa yang kita ucapkan.” Pandai
Ariel melunakkan otak Amira yang kematu.
“Awak jangan lupa ada juga orang yang cakap bagai nak
rak, tapi habuk pun tarak, macam tin kosong.” Ariel ketawa lagi, dia tahu Amira
ni, jenis orang yang suka nak menang.
“Buat apa awak pedulikan tin kosong, yang berisikan
minuman, kan banyak. So, pilihlah
yang tak kosong. Ingat, dalam hidup ini kita perlu melihat ke hadapan dan
berfikiran positif, dan jangan ambil kira perkara-perkara yang negatif tu!” Sekali
lagi Amira terkedu. Bercakap dengan Ariel tak sama bercakap dengan Pian, Zaki dan
Musa atau sesiapa saja yang dia pernah berhubung selama ini. Pelikla!
peninglah!
“Okeylah Ariel, saya rasa dah penat dan mengantuklah,
saya chau dulu ya?”
“Okey, tapi jangan lupa hubungi mak awak tu, kasihan dia
tertunggu-tunggu anak kesayangannya call.”
“Baiklah…” Selepas menjawab salam dari Ariel, Amira
mematikan talian. Jiwa yang sepi dan dada yang ketat tadi terasa longgar.
Kekusutan yang sekian lama berselirat di tempurung kepala pun terasa lapang.
Peliklah! Bila bercakap dengan Ariel macam bercakap dengan pakar kaunseling sebab
apa yang dikatakan oleh Ariel semuanya benar, dan Amira dapat menerima teguran
Ariel dengan dada yang terbuka. Peliklah! Sebab selama ini Amira tak suka
dengar cakap orang. Amira menggigit jarinya sendiri sambil berfikir.
Mak, ampunkan Mira! Mira akan call mak esok sebab
tak nak ganggu tidur mak malam ini.
.
No comments:
Post a Comment