BAB 9
SE AWAL pagi Ariel sudah bersiap-siap untuk ke pejabat. Dia perlu awal ke pejabat kerana semalam banyak kerja-kerja yang tak sempat dia habiskan. Semasa di meja makan Ariel hanya mencicip kopi, kemudian dia bangun tanpa menegur atau bersembang dengan sesiapa seperti biasa.
Belum pun dia menghidupkan enjin kereta,
Nilna kelihatan berlari-lari ke arahnya.
“Abang, nak tumpang,” pinta Nilna
sebaik saja membuka pintu kereta. Ariel terkesima seketika.
“Hei… apa mimpi ni?” Ariel
bertanya hairan.
“Kenapa tak boleh ke? Kena
mimpi dulu baru boleh naik?”
“Bukan tak boleh, tapi rasa
pelik sikit bila Nil sudi naik kereta abang.”
“Saja Nil nak rebut peluang
bersembang-sembang dengan abang. Maklumlah semenjak dua menjak ni semua orang
dalam rumah tu nampak sibuk saja, termasuklah abang.”
“Sorrylah, kalau itu yang Nil rasa. Memang lately abang sibuk sikit sebab sedang menyiapkan proposal untuk tender yang jutaan ringgit.”
Ariel bercerita sambil menggerakkan kereta kataknya.
“Boleh tahan juga kerjaya
abang, tapi kenapa abang tak nak bekerja dengan ayah?” Ariel menoleh ke arah
Nilna sambil tersengih.
“Macamlah Nil tak tahu siapa
ayah. Sebenarnya abang nak kerja di syarikat tu, tapi buat masa sekarang
biarlah abang cari pengalaman dulu kat tempat lain. Nil tahulah ayah tu, kalau
silap atau tak tahu buat kerja, dia main
marah sesuka hati saja. Cerewetnya pula mengalahkan perempuan, semuanya nak
kelihatan sempurna. Kadang-kadang abang terfikir, macam manalah staf-stafnya
boleh tahan dengan sikap ayah? ”
“Dah sikap ayah macam tu,
sabar sajalah.”
“Memanglah boleh sabar, tapi
abang tak suka dengan sikap ayah dan ibu terhadap Sofia. Sebagai ibu bapa, mereka
perlu lebih bertegas dan keras terhadap Sofia, bukannya bagi muka pada budak
tu. Alamatnya akan hancurlah Sofia nanti.”
“Abang jangan doa begitu.”
“Itu bukan doalah Nil, itu
peringatan supaya semua orang jangan buat perkara yang sedemikian, nanti
dimurkai ALLAH di dunia dan di akhirat.”
“Yalah, Nil dengar nasihat
abang, sebab Nil tahu abang sayangkan kita orang semua.” Ingatan Ariel
tiba-tiba saja singgah pada Amir.
“Alangkah bagusnya Sofia tu
seperti Nil dan Amir, tahu menjaga diri dan maruah.” Ariel meluah kata
sendirian.
“Siapa Amir?” Ariel terpinga bila diajukan pertanyaan.
“Hah, apa Nil tanya?”
“La… abang ni, buat-buat
mamai pula. Nil tanya siapa Amir yang
abang sebut tadi?”
“Oh, itu budak bengkel, petang
nanti abang bercadang nak ke bengkelnya, nak repair kereta ni,” sempat juga Ariel cover line. Entah kenapa
nama Amir tiba-tiba tersasul keluar dari mulutnya. Mungkin juga betul kata
orang, bila ingatan mengasak minda, mulut menyebut tanpa sedar.
“Nil dah ada boyfriend?” Ariel bertanya selamba,
Nilna menyengih segan. Kemudian dia mengangguk perlahan.
“Abang bukannya melarang kalau
Nil ada teman lelaki, sebab sedikit masa lagi Nil akan berkahwin juga, kalau
tak cari sekarang bila lagi, kan? Maklumlah kaum perempuan lebih ramai dari
lelaki, jadi kenalah pat pat siku lipat, siapa cepat dia dapat. Tak gitu Nil.”
Ariel menyambung sembangnya.
“Betul tu abang, bayangkan
dalam kelas Nil ada 26 orang pelajar semua, tapi pelajar lelaki cuma 2 orang
saja, kasihan kan?” Nilna ketawa dan Ariel juga ketawa.
“Dah pupuskah kaum lelaki yang
bijak pandai kat Malaysia ni?” Ariel bertanya sambil menyambung sisa ketawanya.
“Nampaknya gitulah abang.”
“Abang nasihatkan Nil, jagalah
adab-adab dalam perhubungan, jangan buat perkara yang melanggar hukum, sebab
seronoknya hanya sekejap tapi dosanya berpanjangan. Lagi satu, biarlah teman
lelaki Nil tu seorang yang bertanggungjawab, beriman dan boleh membimbing Nil
ke arah jalan yang diredhai ALLAH.”
“Terima kasih abang,
sebenarnya Nil juga tak suka perangai Sofia. Dah banyak kali Nil tegur, tapi
dia marah Nil balik. Bila cakap pada ibu, ibu buat diam saja.”
“Tak mengapalah Nil, walaupun
Sofia tak dengar atau marah-marahkan kita, kita semua tetap kena tegur dia,
sebab dia tu adik kita. Lagipun ALLAH menyuruh kita berpesan-pesan dengan
kebenaran tak kira dengan siapa pun,” bersungguh Ariel memberi penerangan pada
Nilna, mudah-mudahan Nilna tahu tentang tanggungjawab sebagai seorang muslimah,
apalagi sebagai seorang kakak.”
“Insya-ALLAH, Nil akan cuba. Tapi
satu Nil nak tanya abang.”
“Tanya apa?”
“Abang dok sibuk pasal Nil, abang
sendiri dah ada teman wanita ke?” Ariel ketawa dengan pertanyaan Nilna, ingat
nak tanya apa tadi.
“Entahlah, abang sendiri pun
tak tahu, abang ada teman wanita ke tidak. Nak kata tak ada, abang ada suka kat
seseorang, dan kalau nak kata ada, orang tu pun tak tahu abang suka kat dia.
Itu yang payah tu.”
“Ah… senang saja tu, luahkan
saja hasrat hati abang tu, biar dia tahu.”
“Cakap senanglah, masalahnya
orang yang abang suka tu lain macam sikit.”
“Kenapa abang cari yang lain
macam?” besar ketawa Nilna, dan Ariel juga ketawa.
“Nil dan Sofia, kan selalu
kata abang ni pelik, so abang cari girlfriend pun yang peliklah.” Ariel
menyambung ketawanya mengenangkan cinta butanya yang pelik tu.
“Habis, abang suka dia?”
“Yup, abang suka dia, sebab
dia lain dari yang lain dan tak serupa orang.” Nilna menggelengkan kepalanya, memang
abang aku mamat pelik. Lantak dialah, janji dia bahagia. Bila sampai di hadapan
kolej, Nilna turun dari kereta Ariel tanpa ada rasa malu dan segan pada
kawan-kawannya kerana dihantar dengan kereta katak. Malah dia merasa senang dan
bahagia bila dapat berbual-bual dengan abangnya. Betullah kata pepatah,
kebahagiaan itu bukan datang dari harta dan kemewahan, tapi dari hati yang
sejahtera. Patutlah abang tak berapa hairan
sangat dengan kemewahan yang kami ada, kerana abang telah bahagia dengan apa
yang dia ada.
Alangkah kecewanya Ariel bila
dia sampai di Bengkel Halim, Amir pula tiada. Yang ada hanya kawan-kawan dia
dan motosikalnya saja. Ah… tengok sajalah motosikalnya mudah-mudahan hilang rindu
ini.
“Pian, kenapa Amir balik
tiba-tiba saja?” Ariel bertanya.
“Entah balik kahwin kut,” senang saja Pian menjawab.
“Janganlah main-main, abang
tanya betul-betul ni,” hati Ariel tiba-tiba menjadi gundah.
“La… betullah kut, abang ingat
si Amir tu tak ada orang nak ke? Dia tu, nampak saja macam lelaki, tapi
kecantikan sebagai wanita tetap terserlah. Zaki ni dah lama angau kat Amir, tapi
Amir saja yang tak layan.”
“Woi, kenapa kau babitkan aku
pula? Kau pun sama, suka kat Amir, tapi takut nak mengaku. Takut kena belasah
dek Amir hi…hi… hi…” ketawa Zaki yang
kuat membuatkan semua orang geli hati.
“Dahlah, tak payah bertekak
pasal orang yang tak ada kat sini. Sekarang ni kau orang dah habis kerja ke?”
“Dah, kenapa bang?” Pian
bertanya pantas.
“Kalau kau orang berdua sudi,
abang nak belanja minum.”
“Rezeki, rezeki… walaupun Amir
tak ada, dapat juga kita minum free.” Zaki berkata girang, mana
tidaknya, kalau Amir ada tiap-tiap petang dia belanja goreng pisang panas Kak
Timah seberang jalan tu. Bila Amir tak ada semuanya rasa tak kena, tak boleh
dengar Amir berleter, tak boleh tengok Amir sepak tong sampah bila dia marah, pendek
kata Amir tetap bunga pujaan di kalangan mereka walaupun versi jantan. Amir
dengan caranya yang tersendiri dapat menarik perhatian orang lain walaupun dia
hanya bersahaja dan sederhana.
“Hoi Zaki, sempat kau mengelamun.
Ini pasti tengah ingat Amir.” Pian menyergah Zaki. Zaki hanya menyengih.
“Habis, kau sendiri tak ingat?
Aku tengok kau tu macam ayam berak kapur saja bila Amir tak ada.”
“Dahlah jangan sebut-sebut
nama dia lagi, nanti tak pasal-pasal si Amir tu tersedak memanjang.” Ariel
menenangkan dua sahabat yang kerinduan itu. Sebenarnya tiga orang yang dalam
kerinduan, tapi malu nak mengaku. Karang diketawakan oleh Pian dan Zaki, baru
padan muka. Tak mengapalah simpan saja dalam hati.
“Abang datang cari Amir,
kenapa?” Pian bertanya.
“Saja nak sembang-sembang dan
borak-borak macam dengan kau orang.” Cakaplah
apa alasan apa pun tiada yang tahu.
“Ya ke bang? Bukan kerana
rindu?” Bukan main celupar lagi mulut Pian. Ariel ketawa lepas tapi wajahnya
berubah merah seketika.
“Kenapa pula nak rindu kat
Amir? Amir, kan…” bicara Ariel tersekat, tak tahu nak cakap apa.
“Cakap sajalah abang, apa nak disegankan
dengan kami ni. Sebenarnya Amir ada cerita yang dia malu sangat nak jumpa abang
setelah pembohongannya terbongkar, dan sekarang abang dah tahu Amir seorang
perempuan, adakah abang akan berkawan dengannya lagi?” Pian dan Zaki
terbedik-bedik matanya menanti buah kata dari Ariel.
“Mula-mula tu abang rasa nak
marah juga, tapi setelah difikirkan, pasti Amir ada alasan sendiri bila dia
melakukan sesuatu. Dalam persahabatan, kita tak perlu memandang perkara buruk
yang ada padanya, tapi pandanglah segala kebaikannya, barulah persahabatan itu
boleh berkekalan.”
“Tak sangka ya, pandangan abang
sama dengan pandangan Amir. Amir selalu menasihati kami, kalau kami bermasam
muka dan bertelagah,” Zaki menyampuk, Ariel tersenyum puas.
Mereka bertiga pun melangkah laju menuju ke
Restoran Basyir untuk membasahkan tekak. Kosong rasa jiwa Ariel bila Amir tak
ada, dan niat di hati untuk meminta maaf tentang peristiwa tempoh hari semasa
di One Utama, tidak kesampaian.
Tak mengapalah, tunggu saja
Amir balik, mungkin itu yang lebih baik, dan tak perlulah dia ganggu Amir
dengan panggilan ataupun SMS. Biarlah Amir tenang semasa kat kampung bersama
keluarganya.
No comments:
Post a Comment