NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 12











BAB  12

            MENONONG saja Amira naik ke rumah sebaik saja dia memakirkan motornya di halaman bersama muka masamnya yang membonyot macam durian busuk.
            “Hai dah balik puteri Gunung Ledang?” Norhayati menyapa adiknya yang nampak pelik semacam.
            “Ini bukan puteri Gunung Ledang, tapi puteri gunung berapi!” Amira menjawab kasar, sambil menghayunkan kakinya menyepak pasu bunga Mak Milah yang berdiri tegak di suatu sudut. Jatuh dan pecah berderai pasu bunga kesayangan Mak Milah. Bukan Amira tak tahu itu pasu kesayangan maknya, tapi sengaja dibuatnya untuk menyakiti hati mak. Tak pasal-pasal pasu yang tak bersalah itu menjadi mangsa.
            “Apa kena dengan kau ni Mira? Dah kena rasuk ke?” Mak Milah memarahi anak bongsunya yang suka sangat membuat hatinya susah.
            “Kenapa mak pandai-pandai nak terima Mail jadi menantu mak? Mira tak suka. Mira benci Mail. Mak tahu tak? Maillah yang buat kami tertangkap dalam bilik stor dulu. Maillah yang telah merosakkan nama baik Mira,” suara Amira nyaring dan tegang, tapi kolam matanya berkaca namun tidak tumpah.
            “Alah… itu cerita lama. Orang kampung pun dah lupa. Apa yang penting kau sekarang nak dipinang oleh Tuk Ketua untuk anaknya. Kau tak bangga ke Mira? Dalam ramai-ramai anak dara yang gilakan si Mail tu, kau pula yang terpilih!” Amira tak suka melihat Mak Milah tersenyum macam tu, macam orang tengah berangan aje.
            “Ada Mira kisah? Kalau mak nak, mak terimalah Mail tu untuk diri mak,”  terkejut Mak Milah dengan bahasa Amira lalu dia bangun untuk mendapatkan Amira.
            “Kurang asam punya anak, nanti kau!”  Belum pun sempat Mak Milah menghampiri, Amira telah cabut dan berlari masuk ke bilik, kalau tunggu kat situ, alamatnya lunyailah mulut munggilnya yang cantik itu. Kalau kecil-kecil dulu mulut munggilnya pernah membengkak dan panas berapi sebab kena tenyeh dengan cili. Kenapa? Apa lagi sebab suka melawan cakaplah. Satu Mak Milah cakap, sepuluh Amira menjawab. Bila Mak Milah dah tak tahan sangat dengan perangai anak gadisnya yang ketegaq tu, dia ambil cili yang baru ditumbuk lalu dilumurkan pada mulut Amira. Hah… baru padan muka! Suka sangat melawan cakap ibu! Semenjak hari tu Amira dah serik, kalau dia sakit hati, dia tak melawan lagi, dia diam saja tapi habis barang Mak Milah dipecahnya. Eiee… sakit jantung aku dengan perangai budak sekor ni. Mak Milah melurut dadanya.
            Pintu bilik Amira terbuka luas, kemudian Amira keluar bersama beg galasnya yang sudah siap tersandang di bahu. Ternganga Mak Milah melihatnya.
            “Kau nak ke mana Mira?”  Mak Milah bertanya cemas.
            “Balik KL!”
            “Kau gila ke, esok kau nak ditunangkan, takkanlah kau tak ada.”  Norhayati menjadi gelabah, dia tahu perangai adiknya bukan boleh diagak, selalu sangat, menyusahkan orang.
            “Ada aku kisah?”
            “Janganlah buat mak macam ni Mira, malu mak nanti bila rombongan datang kau tak ada.”
            “Mira dah cakap Mira tak nak, mak tak nak dengar. Ini bab kahwin, mana boleh main-main, kalau dah tak suka macam mana nak hidup sebumbung?”
            “Mira tolonglah mak. Mak malu nak menolak permintaan mereka, sebab mereka sekeluarga dah terlalu banyak berbudi pada kita.” Mak Milah masih merayu, manalah tahu kut-kut anak bongsunya yang berhati batu itu mahu termakan pujukannya.
            “Itulah mak, suka sangat makan budi, sekarang tak pasal-pasal body Mira yang nak digadainya.”
            “Bukan macam tu nak! Bukan masalah membalas budi, tapi ini perkahwinan yang menjadi sunnah Rasulullah SAW, dan mereka mengharap sangat kau menjadi menantunya.” Dah habis ayat power Mak Milah untuk melembutkan si kepala batu ni.
            “Eiee… susah cakap dengan mak ni. Orang cakap tak suka, tak sukalah! Dahlah Mira nak pergi ni.”
            Air mata Mak Milah tumpah bila Amira mula melangkah bersama beg sandangnya. Tepu dada Mak Milah dan nafasnya seakan tersekat. Dia memegang dada dan badannya tidak dapat diimbang lagi.
            “Yati, tolong mak!” Mak Milah menyeru dalam suaranya yang tersekat. Akhirnya Mak Milah jatuh ke lantai. Norhayati berlari mendapatkan Mak Milah manakala Amira terhenti langkahnya lalu berlari mendapatkan maknya yang sudah terbaring.
            “Mak!!!” kedua anak gadis Mak Milah menjerit serentak. Tiada sahutan dari Mak Milah. Matanya terpejam rapat dan tidak sedarkan diri.
            “Mak bangun mak! Jangan takutkan Yati.” Norhayati mula menangis ketakutan. Amira juga takut, kalau apa-apa terjadi pada maknya. Tak pernah dia melihat maknya begini, selalunya mak sihat dan cergas.
            “Ini semua kau punya pasal, mak stressed dengan perangai kau!” Yati menuduh dan Amira terkedu tanpa menjawab. Mungkin betul salah aku, ya… aku salah, aku selalu buat mak susah hati.
            “Sekarang macam mana ni?” suara Amira kendur dan cemas, macam nak nangis.
            “Kita bawa mak ke hospital, tapi sebelum itu kau ambil air dulu.” Yati memberi arahan dan Amira berlari mendapatkannya mengalahkan lipas kudung. Tiba-tiba Mak Milah membuka mata. Terkejut bukan main Noryahati. Mak Milah mengisyaratkan diam, dengan meletakkan jari telunjuk ‘1Malaysia’ vertical ke bibirnya.
            “Sekarang masa untuk berlakon, kita kenakan si kepala batu tu.” Mak Milah berbisik, kemudian dia pura-pura pengsan semula. Norhayati menyembunyikan senyumannya dalam-dalam sebaik saja Amira datang bersama segelas air.
            “Mak bangun mak, jangan takutkan Mira!” Amira merayu cemas. Kalaulah terjadi apa-apa pada mak, dialah yang akan dipertanggungjawabkan, dan dia tidak akan memaafkan dirinya sendiri.
            “Mak bangun mak!” Norhayati pura-pura merintih dan mula buat-buat menangis. Mak Milah tetap kaku macam tadi, tanpa response dan gerak, walaupun telah digolek-golekkan oleh Amira.
            “Mak, ampunkan Mira! Mira anak yang degil, Mira selalu susahkan hati mak, mak ampunkan Mira!” si kepala batu itu mula menangis. Dalam kepalanya timbul bergantang-gantang rasa sesal yang tak sudah, mengasak perasaan. Kalaulah mak… oh tidak, mak! Bukalah mata, Mira takut. Berjurai-jurai air mata Mira gugur seperti  hujan yang tumpah dari langit. Dalam diam Norhayati menjeling ke arah adiknya, kasihanlah pula tengok minah ni menangis, sebab bukan senang nak tengok minah yang banyak cekadak ni mengalirkan air mata. Alahai… Norhayati meluah dalam hati.
            “Mak, mak!” Norhayati memanggil Mak Milah sambil menyapu air di muka ibunya. Yalah Mak Milah, kan pengsan, buatlah real sikit. Seketika kemudian Mak Milah mula buat-buat sedar dan terpisat-pisat.
            “Mak dah sedar, mak maafkan Mira. Mira buat mak sakit.” Amira menyapu mukanya yang lencun dengan air mata. Amira tak nak mak tengok dia menangis. Kecil-kecil dulu pun kalau kena pukul Amira tak akan menangis di hadapan mak, paling sakit dan sedih sangat, Amira akan memanjat pokok rambutan di depan rumahnya. Amira akan melepaskan tangisannya puas-puas, kadang-kadang sampai tertidur di atas pokok rambutan yang sudah dibuat ran oleh Amira dan Hadi. Kadangkala makan nasi pun atas pokok. Mana mak tak mengamuk. Mak kata hidup mengalahkan orang zaman batu. Mak akan menjerit kuat menyuruhnya turun, kalau tak mak akan tebang pokok rambutan tu.
            “Mak, ampunkan Mira!”  Mak Milah buat tak reti saja.
            “Yati, sakitnya dada mak. Mak rasa kalau ALLAH ambil nyawa mak tika ini mak redha saja, lebih baik mak mati dari menanggung malu nanti,” suara Mak Milah keluar perlahan-lahan sebaik saja buat-buat sedar.
            “Mak jangan cakap macam tu. Amira menyesal buat mak sakit.”
            “Tak mengapalah Mira, dah nasib mak macam ni. Kalau kau nak balik KL, baliklah. Mak tak larang. Kau pun dah besar dan tak perlukan mak lagi.” Mak Milah memalingkan muka dan tak ingin menatap wajah Amira yang lencun bersimbah air mata walaupun sudah beberapa kali dia mengelapnya. Hati Amira runtun dan rawan sekali. Segarang-garang mak, dia tak pernah mengalah begini. Mungkinkah mak dah betul-betul tak larat melayan kerenah aku ini.
            “Mak, ampunkan Mira!” Amira memegang tangan mak dan menciumnya berkali-kali bersama penyesalan yang kian menebak hati.
            “Yati, bawa mak masuk bilik. Mak nak rehat.” Mak Milah memaut tangan Yati buat tempat dia berpegang untuk bangun. Hati Amira terkesan sekali bila mak menepis tangannya tatkala dia menghulurkan bantuan. Nampaknya mak betul-betul marah, mak dah tak sudi menatap wajahnya lagi, mak dah tak nak terima bantuannya. Amira menjadi sedih sekali, terasa terpinggir dan dipinggirkan. Aku tak boleh hidup tanpa mak, kalau mak dah tak sayang aku, siapa lagi nak sayang aku? Walaupun aku degil dan keras hati, tapi aku tetap memerlukan kasih sayang mak. Kasih mak sampai ke syurga.
            “Mak, Mira setuju untuk ditunangkan esok. Mira tak akan pergi mana-mana. Mira akan ikut saja cakap mak. Tapi dengan syarat Mira tak nak kahwin dulu dalam tempoh dua tahun,”  terketar-ketar Amira melafazkan ikrarnya. Kalau itu yang mak nak, biarlah, dia sanggup berkorban, asalkan mak tidak membencinya. Mira anak mak, Mira akan mati tanpa kasih sayang mak, walaupun Mira suka melawan mak, mak adalah ratu di hati Mira.
            “Betul ke Mira?” Kembang telinga Mak Milah macam telinga arnab bila mendengarnya. Badan yang bongkok dan tak bermaya tadi sekelip mata saja menjadi sihat dan segar-bugar macam biasa. Wah… ajaib sungguh sebuah kerelaan itu. Dah setengah mampus aku dibuatnya, baru nak dengar kata, detik hati Mak Milah. Amira menjadi pelik dan pening dengan tingkah maknya. Tadi bukan main lagi sakit, tapi sekarang dah baik? Adakah mak sedang bersandiwara dengan Yat Yit Yot?  Ah…jangan berburuk sangka dengan mak sendiri. Hatinya memujuk perasaan yang mula berbelah bagi.
            “Terima kasih Mira. Mira telah menyelamatkan maruah mak. Kalau tak, mak tak tahu nak cakap apa pada Tuk Ketua Leman, sedangkan mereka semua orang baik-baik. Sekarang mak rasa sihat sangat. Semangat mak dah pulih. Terima kasih Mira kerana menjadi anak yang baik.”  Mak Milah memeluk Amira yang masih terkeliru. Dah sah… mak aku ni kemaruk sangat nak menerima menantu.



            MAJLIS pertunangan Amira berjalan dengan lancar dan meriah. Senyum Mak Milah macam tak cukup mulut. Tak lenguh ke mulut tu? Bangganya Mak Milah, tak usah cakap, maklumlah dapat berbesan dengan Tuk Ketua Kampung Pinang Sebatang. Jangan sampai mencece sana, mencece sini, dahlah Mak Milah.
            Amira yang berada dalam biliknya rasa nak pengsan kerana sedang membungkus perasaan sedihnya. Sedih yang teramat sangat. Tak sangka begini berakhirnya kisah hidup seorang gadis brutal. Oh…kasihan, sungguh kasihan. Perlahan Amira menyapu air matanya yang kerap menuruni pipi. Membasuh luka sendiri.
            Bibirnya sudah muncung panjang berdepa. Dia tak ingin bercakap dengan sesiapa pun. Marahkah dia dengan keputusan yang dibuat? Kesalkah dia kerana mengikut cadangan mak. Terkilankah dia kerana nampaknya mak hanya berlakon sakit? Entahlah, dia tak tahu. Semuanya semakin celaru dan keliru, berkumpul dalam satu rasa.
            Dia tak mahu kenang peristiwa hari ini, kalau boleh dipadamkan dengan cat hitam, mahu saja dia melakukannya. Cukuplah rasa sakit yang dia terima tadi. Saat mak dan Cik Yat Yit Yot memaksa dia memakai baju kurung moden yang penuh manik dan labuci. Entah apa-apa, rasa macam patung yang duduk dalam butik pakaian. Mira tak suka! Biarlah Mira pakai apa yang Mira suka. Janganlah paksa, aku dah setuju nak bertunang pun dah kira okey.
            Bila jiran-jiran datang menjenguknya di dalam bilik, ada yang memuji dan ada juga yang mengutuk.
            “Cantiknya kau Mira, tak sangka mak cik kau secantik ini bila dah kena make-up,” kata Mak cik Gayah. Amira tak tahu sama ada ikhlas memuji atau memerli. Amira hanya diam mematung.
            “Tak cantiklah, tengok bahagian dada tak berapa kemas. Longgar saja, nampak sangat yang kau ni bukan wanita sejati.” Cik Bibah menjuihkan mulut. Mak oii… jaga sikit mulut tu! Sesedap rasa saja mengata.
            “Yalah dah nasi lemaknya 50 sen, mana nak cantiknya, leper sajalah.”  Mak cik Gayah menambah. Kemudian kedua-dua makhluk halus itu ketawa kuat geli hati. Ini sudah melampau. Pasal nasi lemak aku 50 sen pun dipertikainya. Habis nak suruh nasi lemak aku berapa puluh sen? Nak suruh aku pergi buat pembedahan plastik? Jadikan nasi lemak aku RM 2.50 sen? Baru kemas, baru cantik? Baru wanita sejati? Kurang asam punya Cik Gayah dan Cik Bibah ni. Dah ini yang ALLAH bagi, aku  terima ajelah, yang kau orang sibuk, apa hal, apa kes? Aku tahulah kau orang dengki dengan aku sebab Mail tu pilih aku, bukannya anak kau orang berdua. Dulu sewaktu peristiwa aku kena fitnah dulu, kau orang berdua juga yang menjaja cerita aku ke hulu ke hilir dan ke darat ke baruh. Kau orang yang buat fitnah mengatakan aku ni bukan anak dara lagi. Hantu betul langsuir dua ekor ni!  Berapi-api Amira memarahi jiran tetangga yang dia tak gemar itu, tapi bukannya Cik Bibah dan Cik Gayah dengar pun sebab Amira hanya menyumpah seranah dalam hati.
            Saat cincin pertunangan disarungkan ke jari manisnya Amira tidak dapat membendung perasaannya lagi. Rasa sedih dan hiba memenuhi ruang rongga perasaan dan dadanya seakan sendat sangat terasa seolah-olah batu besar yang sedang menghimpitnya. Ya ALLAH! Aku berserah pada-Mu segala untung nasib ku!







No comments:

Post a Comment