NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, September 21, 2012

Amir Minah Macho Bab 8





BAB 8

            ARIEL Iskandar termenung di beranda biliknya sambil memerhati malam yang dihiasi bulan penuh dan juga kerdipan bintang yang bergermalapan. Cukup indah dan berseri, tapi hati Ariel Iskandar sedikit pun tidak tertawan. Fikirannya jauh melayang terbang ke arah peristiwa siang tadi, sesuatu yang sungguh tidak dijangka dan diduga sama sekali.
            Siapa sangka nama Amir ialah Amira Batrisya, sebuah nama yang cukup indah dan amat sesuai sekali dengan orangnya. Satu persoalan yang sedang terapung-apung di dalam otaknya ialah kenapa Amira Batrisya berlagak seperti lelaki dan berperwatakan lelaki, apa sebenarnya yang dia hendak dalam hidupnya, dan kenapa dia tidak bersyukur dilahirkan sebagai seorang perempuan? Ah… macam-macam soalan dalam kepala ni, tapi tiada jawapannya.
            Rasa sakit hati memang menyirap dari siang tadi. Kenapa budak tu sanggup menipu dia. Dahlah berlagak jantan, buat-buat bisu pula. Apa kes! Apa masalahnya, kenapa dia beria sangat menipu aku? Hiss… memang tak puas hati betullah! Tapi, apa pula masalah aku yang sebenarnya? Sibuk sangat tak puas hati tu apa pasal? Lantak dialah nak jadi Amir ke, Amira ke, bukannya ada kena-mengena dengan aku pun. Ariel meredakan perasaannya sendiri. Kenapa dia perlu menyesakkan fikiran dengan benda-benda yang remeh dan tak ada kaitan dengannya? Tapi… Ah! Ingatan terhadap peristiwa siang tadi datang kembali.
            Mungkin Amira ada alasannya tersendiri mengapa dia suka jadi tomboy, tapi alasan tu tak boleh pakai. Sebagai hamba ALLAH kita tak berhak memilih apa yang kita nak. Kita dikehendaki redha dengan segala qada dan qadar ALLAH, tanpa perlu bersoal jawab itu dan ini.
            Penat Ariel duduk di kerusi, dia bangun sambil meninjau kawasan rumah mereka yang nampak jelas dari tingkat atas. Tiba-tiba sebuah kereta putih jenis Honda berhenti di hadapan rumahnya. Pemandunya keluar untuk membuka pintu kereta untuk pasangannya dengan penuh romantik, kemudian pasangan tersebut berpelukan di tepi kereta sebagai ucapan perpisahan.
Mata Ariel Iskandar  membulat dan terjegil dengan tiba-tiba bila dia dapati perempuan yang sedang berpelukan dengan pasangannya itu ialah Sofia. Darah menyirap naik ke muka, rasa marah melonjak sampai ke kepala. Sepantas kilat Ariel berlari turun ke tingkat bawah untuk memarahi pasangan yang sedang memadu kasih asmara di hadapan rumahnya. Sebaik saja Ariel membuka pintu, wajah Sofia terjengul di hadapannya. Sofia melangkah masuk seolah-olah tak ada apa yang berlaku.
“Eh Sofia, apa yang kau buat kat luar tadi?” Ariel terus menyerang. Wajah Sofia berubah dan kelihatan terkejut.
“Buat apa?” Sofia bertanya balik dengan muka tak bersalahnya.
“Kamu ingat abang tak nampak yang kamu sedang berpeluk-pelukan dengan boyfriend kamu?” Ariel mula meninggikan suara.
“Habis, dah tahu kenapa tanya?” Sofia juga meninggikan suara tanda tak puas hati.
“Kamu sedar ke tidak, yang kamu sedang buat maksiat. Heh… kita ni orang Islam, ada peraturan, ada adat, ada maruah. Kamu tak malu ke buat perangai tak senonoh macam tu?” Dada Ariel turun naik turun naik kerana marah. Sofia sekarang betul-betul dah melampau, dah tak ingat dunia dan dah tak takut dosa. Apa nak jadi…
“Kenapa abang sibuk pasal Sofia. Suka hati Sofialah nak buat apa pun.”
“Kurang ajar punya budak!”  Sebijik penampar Jepun singgah di pipi Sofia yang gebu. Terpusing Sofia dek penampar sulung abangnya, dan dia sendiri tidak menyangka abangnya sanggup menjatuhkan tangannya ke pipinya. Sofia meraung keras melepaskan rasa sakit dan marah.
Sebentar kemudian Puan Hasni dan Nilna laju saja turun ke tingkat bawah sebaik saja mendengar suara riuh-rendah di ruang tamu.
“Kenapa ni Ariel, Sofia?” Puan Hasni bertanya cemas bila melihat Sofia menangis.
“Abang tampar Sofia,” adu Sofia bersama tangisan.
“Kenapa Ariel tampar Sofia?” Puan Hasni bertanya dengan suara yang tinggi kerana terkejut, tak pernah seumur hidupnya melihat Ariel menjatuhkan tangan ke badan adik-adiknya.
“Ibu tahu tak Sofia buat apa sebentar tadi? Dia berpeluk-pelukan dengan boyfriendnya di hadapan rumah, tak malu ke? Kalau jiran tengok macam mana?” Ariel menerangkan keadaan, tapi Puan Hasni mendengar dengan tenang tanpa rasa terkejut pun.
“Mana ada jiran nampak, dah malam.”
“Tengoklah, menjawab lagi, bukannya nak ada rasa bersalah.” Ariel masih memarahi Sofia yang berada di sebelah ibunya.
Tiba-tiba Encik Syaiful masuk ke dalam rumah dan berada di tengah-tengah mereka. Semua yang ada berpandangan. Tak sedarpun bila ayahnya balik, tiba-tiba aje terpacak kat dalam rumah.
“Kenapa bising-bising ni?” Encik Syaiful bertanya.
“Ini ha, Ariel tampar si Sofia, apalagi menangislah anak manja awak ni,” Puan Hasni mengadu tanpa melihat ke wajah Ariel.
“Kenapa Ariel, dah nak jadi samseng ke? Sampai pukul adik sendiri,” marah Encik Syaiful tanpa usul periksa.
“Mana tak kena pukul ayah, kalau dah buat salah lepas tu melawan pula.”    Nilna menyampuk bagi pihak abangnya setelah dari tadi dia mendiamkan diri.
“Kau diam, jangan nak menyibuk!” marah Sofia pada Nilna.
“Ariel tampar Sofia kerana dia berpeluk-pelukan dengan boyfriendnya di hadapan pagar rumah. Lepas tu tak pula rasa berdosa atau bersalah.” Ariel bercerita perkara yang sebenar.
“Tak boleh ke kamu tegur saja, janganlah main pukul-pukul.” Encik Syaiful menegur dengan nada yang masih tinggi.
“Ayah ingat, si Sofia ni nak dengar kalau cakap lembut? Pernahkah dia peduli teguran kita selama ini?” Ariel masih mempertahankan pendapatnya.
“Ariel dah tu! Ibu juga tak setuju cara Ariel menegur Sofia. Lain kali cakaplah elok-elok. Dia, kan adik Ariel.” Puan Hasni membuka mulut.
“Ayah, ibu, sebab Sofia ni adik sayalah maka saya bertindak sedemikian. Mencegah lebih baik daripada mengubati. Benda maksiat ni kalau dibuat ia akan rasa sedap dan seronok, lama-lama lupa TUHAN.”
“Ya, ayah tahu, tapi janganlah guna kekerasan, kau tahu, kan ayah sendiri tak pernah pukul anak-anak ayah.” Encik Syaiful masih tak puas hati dengan tindakan Ariel.
“Hadis Rasulullah SAW ada mengatakan, kalau seseorang itu melihat sesuatu kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, dengan maksud kuasa yang dia ada, sekiranya dia tidak mampu, maka hendaklah ubah dengan mulutnya, nasihat atau pujukan, sekiranya tidak mampu juga, ubahlah dengan hati, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman. Sekarang jelas, kan? Tugas kita semua menegah dari berlakunya kemungkaran dan maksiat. Kalau di hadapan rumah kita ni mereka boleh berpelukan, entah-entah di belakang kita, dah lebih dari itu agaknya.” Ariel meluahkan rasa.
“Ariel, sanggup Ariel tuduh adik sendiri macam tu?” marah Puan Hasni, memang dari awal dia tak puas hati dengan tindakan Ariel.
“Ibu ingat perbuatan zina tu terjadi begitu saja ke? Kalau ibu nak tahu, zina tu terjadi kerana ada mukadimahnya, goda-menggoda, pegang-pegang, kemudian peluk-peluk. Bila dah ghairah, semua jadi lupa. Lupa ALLAH, lupa mak bapak, dan lupa segala-galanya. Sebab itulah ALLAH menyatakan dalam al-Quran, la taqrabu zina -- jangan kamu hampiri zina, maksudnya bukan saja buat zina yang tak boleh, tapi hampirinya pun tak boleh. Faham!” Ariel menyudahkan tazkirah malamnya, semuanya terdiam. Dalam hati, Ariel berharap ahli keluarganya akan faham kenapa dia bertindak demikian.
“Sofia, pergi masuk bilik, lain kali jangan buat lagi.”  Itu saja yang mampu Puan Hasni ucapkan pada anak bongsu kesayangannya. Hati Ariel rasa terkilan dengan sikap ibu dan ayah. Seolah-olah perkara tadi adalah remeh dan tak perlu diperbesarkan, seumpama just look and zip your mouth. Apa yang terbaliknya, seolah-olah Ariel pula yang bersalah kerana bertindak kasar dalam mencegah maksiat. Ariel menggeleng-gelengkan kepalanya. Betul-betul dia tak faham.
Semua beredar ke bilik masing-masing melainkan Ariel yang bercadang untuk mengambil angin di halaman rumah bagi melepaskan rasa kesal dan terkilan terhadap keluarganya.
Di luar rumah angin malam dingin menderu seolah-olah sedang menyejukkan hatinya yang sedang panas dan bengkak. Di dada langit malam, tiada sebutir bintang pun yang berkelip seperti dipermulaan malam, menjadikan malam ini gelap dan suram seperi hatinya di kala ini.
Kenapa Sofia jadi macam itu? Perangainya juga sudah jauh berubah, tak macam Sofia seperti sewaktu kecil-kecil dulu. Dari dulu memang Sofia manja, maklumlah dia anak bongsu, tapi tak pernah kurang ajar dengan orang yang lebih tua darinya, walaupun dia manja tapi masih boleh ditegur.
Alangkah baiknya kalau Sofia masih seperti Nilna, masih sopan bila berpakaian, masih taat pada ALLAH dan kedua ibu bapa, dan masih tahu mana yang halal dan mana yang haram. Nampaknya sekarang ini keimanan seseorang mudah sangat ditelan dan diratah oleh hawa nafsu.
Ya ALLAH, lindungilah diriku dan keluargaku dari api neraka! Itulah doa yang selalu dia baca sebaik saja lepas solat. Semoga ALLAH yang Maha Pemurah dan lagi Maha Penyayang melindungi mereka semua dari azab api neraka. Amin…
Tiba-tiba Ariel teringatkan Amir. Bagi Ariel, sikap Amir yang brutal itu lebih baik kalau nak dibandingkan dengan perangai Sofia yang tak senonoh tu. Amir tak pernah pakai pakaian yang mendedahkan sana-sini. Amir tak bersalam pun dengan lelaki, apa lagi menawarkan diri untuk dipeluk sesuka hati. Baiknya Amir kerana pandai menjaga diri dan maruah walaupun lagaknya seperti lelaki. Kata Pian, Amir selalu menjaga solatnya walau dalam apa jua keadaan pun, berbanding dengan Sofia yang terpaksa dikerah untuk menyembah ALLAH.
Ah… dua wanita yang berbeza ceritanya sedang mengusik hati Ariel, cerita tentang Sofia yang perlu ditarbiah dan ditegur kelakuannya supaya pandai menjaga diri, dan hidup sebagai wanita muslimah. Manakala Amir yang selalu berada dalam hati dan ingatannya, akan diajak budak brutal itu, berubah supaya menjadi Amira Batrisya, seorang wanita Melayu terakhir. Ariel tersenyum sendiri. Ah… Amira Batrisya, indahnya nama… tunggulah bila ada masa dia akan mengunjungi Amira Batrisya.






No comments:

Post a Comment