BAB
27
“JOM akak, dah selesai.” Amira
mengajak Kak Ifah pulang.
“Dah selesai? Cepatnya.” Kak Ifah tak
percaya.
“Saya dah biasa dengan Pak Ya, taukeh
bengkel tu. Kata Pak Ya dia boleh siapkan dalam tempoh dua tiga hari.”
“Berapa dia kenakan bayaran?”
“Asalnya dia minta RM1500… tapi saya
minta kurang sampai RM1000 ke bawah, kita tengoklah macam mana dia dapatkan
alat ganti tu, dapat yang murah atau yang mahal.”
“Boleh percaya ke?”
“Insya-ALLAH. Saya dah kenal lama
dengan Pak Ya, setakat ini dia jujur dengan customer.”
“Tak mahal ke bayaran yang dia nak
tu?” gusar Kak Ifah mendengar wang sebanyak itu yang perlu dia cari untuk
membayar upah baiki keretanya.
“Sebenarnya bayaran yang dia bagi tu
dah terlalu murah. Kalau nak dibandingkan dengan bayaran yang dikenakan oleh
bengkel-bengkel lain di sekitar kawasan ini.”
“Oh, ya ke, akak tak tahu, tak
biasa mengalami benda-benda macam ni. Macam
mana pula dengan tangki air yang pecah tu?”
“Oooo… Radiator… Insya-ALLAH bila dah
selesai buat body kereta tu, saya akan pasangkan Radiator yang baru. Kereta
akak tu hanya rosak tangki air aje, yang lain-lain tu.. tak ada pula nampak
rosak. Kipas okey, air-cond punya benda-benda tu pun, nampak okey! Bila dah
buat nanti, eloklah tu… kerja memasangnya pun tak adalah lama sangat.”
“Ya ke, akak ucapkan jutaan terima
kasih pada Mira, kalau tak jumpa dengan Mira, akak tak tahulah apa jadi dengan
akak.”
“Biasalah tu akak, mak saya selalu
berpesan, hidup ini kena selalu tolong-menolong. Sekali kita membantu orang
yang berada dalam kesusahan, sepuluh kali ALLAH akan membalas kebaikan untuk
kita,” senyum Amira sambil memandu kereta tunda dengan cermat.
“Kak Ifah, mesti suami akak terkejut
bila melihat raksaksa ini tiba depan rumah dan lebih terkejut lagi bila tengok
Kak Ifah ada di dalamnya.”
“Akak dah called suami dan beritahu
apa yang terjadi.”
“Ooo... suami Kak Ifah marah tak?” Amboi
minah ni, nak kepo pula dia.
“Tak, katanya semua itu adalah dalam
perancangan ALLAH, dalam takdir ALLAH, dan kita tak akan mampu mengelaknya bila
ALLAH mengatakan jadi, maka jadilah sesuatu perkara itu. Akak bersyukur sangat
bila suami akak tidak meletakkan semua kesalahan di atas bahu akak,” tenang saja Kak Ifah
bercerita. Wajahnya yang ketat semasa mula-mula bertemu Amira tadi sudah
bertukar menjadi cerah dan dia juga sudah mampu tersenyum bila berbicara.
Baguslah, kerana kesabaran itu boleh menjadikan kita tenang dalam menghadapi
ujian, dan berserahlah kerana semua urusan berada dalam genggaman dan ilmu
ALLAH. Setiap peristiwa yang terjadi itu pasti ada hikmahnya, dan hikmah yang
tersembunyi itu akan muncul dengan sendirinya bila sampai waktu. Sabarlah,
kerana sabar itu juga sebahagian daripada iman.
“Marilah masuk rumah akak.” Kak Ifah
mempelawa Amira masuk sebaik saja mereka sampai di hadapan rumah Kak Ifah yang
berbentuk rumah teres satu tingkat itu.
“Tak mengapalah akak, lain kali
sajalah, sebab raksaksa ni nak dipulangkan pada tuannya. Ini pun dah
berkali-kali dia called dok tanya mana raksaksanya. Okeylah akak, kereta akak
tu nanti, bila dah siap saya call.”
“Baiklah, terima kasih banyak-banyak
Mira kerana bantu akak.” Kak Ifah beremosi, rupa dan gayanya macam mahu nangis.
Mungkin sedikit sebanyak kesan dari suka sangat tengok movie Hindustan!
“Dahlah tu akak, perkara kecil saja?
Okeylah saya chau dulu, nanti kita jumpa lagi.” Amira bersalaman dengan Kak
Ifah kemudian Kak Ifah menariknya ke dalam pelukannya, terasa sangat sentuhan
kasih sayang dan kemesraannya walaupun baru beberapa jam bertemu. Pelik, tapi
benar. Tapi itulah hakikat berkasih sayang kerana ALLAH. Membantu kerana ALLAH
dan berkorban kerana ALLAH, kebahagiaan dan kesenangan itu datang sendiri bagai
angin yang berhembus lembut, tenang dan mendamaikan.
“Assalamualaikum!” Mak Milah membuka
kata.
“Waalaikumussalam, mak apa khabar?” riang
suara Amira bila maknya menelefon.
“Mak sihat, kau di sana sihat ke
tidak?”
“Mira sihat mak, kenapa mak telefon
Mira?” Amira buat-buat tak faham.
“Mak nak tanya, pukul berapa kau balik
esok?” kecut perut Amira bila Mak Milah mula bertanya. Dah agak dah, soalan
inilah yang malas dia nak jawab.
“Mungkin Mira tak balik kut!”
“Heh Mira, lusanya pak su kau nak
bertunang, takkan kau tak balik?” nada suara Mak Milah dah mula masuk gear
satu, kalau salah cakap lagi pasti masuk gear dua. Aduh… Pening betul!
“Mira sibuklah mak.”
“Sibuk kepala hotak kau, si Halim tu
bos, kau pula kuli. Bila Halim tutup bengkelnya, kau nak sibuk apa ke bendanya
lagi?” Ini bukan lagi gear dua, tapi terus gear empat. Amira menggaru kepalanya
yang tak gatal.
“Alah mak, pak su yang nak bertunang,
kenapa pula Mira yang kena balik?” Amira membuat muka tak suka, walaupun dalam
telefon dia tahu emaknya pasti dapat membayangkan wajahnya tika ini.
“Hah, jangan nak buat muka tak sudah
kamu tu. Mak nak kamu balik ikut pak su sebab kita semua akan pergi ke Perlis
untuk sempurnakan acara pertunangan pak su kamu pada hari Ahad,” tegas saja
arahan Tuan General Bersara Pinang Sebatang.
“Mira tak sukalah mak.”
“Kamu ingat mak tak tahu, kenapa kau
tak suka pergi? Yang sebenarnya kau tu tak suka bila kena pakai baju kurung, tunjuk
yang kamu tu perempuan. Eh Mira, kau ni bila nak berubah? Buangkan pakaian yang
serupa jantan tu? Mak tak peduli, kau kena balik juga. Mak pun dah beritahu
Mail suruh dia ikut sekali dalam rombongan peminangan itu nanti.” Adoi, mati aku!
“Mak... dah mak, berhenti bercakap.
Telinga Mira ni dah meleleh keluar lilinnya bila dengar mak berleter.” Amira
ketawa sendiri.
“Kurang asam punya budak,” marah Mak
Milah, tapi Amira masih ketawa sambil memegang telinganya. Dia tahu kalau Mak Milah
ada di hadapannya saat ini, sudah pasti telinganya yang cantik ini menjadi
mangsa. Adoi, macam mana ni? Dalam banyak-banyak benda yang aku tak suka ialah
pakai baju kurung yang menampakkan ciri-ciri keperempuanan aku. Hiss... tak masuk
akal langsung, ditambah pula dengan kehadiran Mail bendul tu. Eeeee...
bosannya, mana nak lari ni? Benda-benda macam ni buat aku naik fade up ni. Tak cool
langsung bila kena tukar pakaian pergi majlis orang bertunang dan ada pula
tunang yang bendul mengikut sekali. Adoi, pasti boring giler. Amira ke hulu ke
hilir berjalan sambil berfikir mencari idea yang boleh diguna pakai untuk mengelakkan
diri dari terjebak dalam majlis pertunangan itu nanti. Tiba-tiba BlackBerrynya
berbunyi lagi.
“Assalamualaikum Mira, Mira sihat?” Aduh!
nyamannya hati, bergetar jiwa bila mendengar suara orang yang dirindui.
“Waalaikumussalam! sihat, Ariel pula
macam mana?” Tahu pula Amira bersuara lembut bila bercakap dengan Ariel,
plastik betul minah ni, selalunya suara kasar dan kuat macam guruh. Alih-alih
sekarang ni pandai pula dia berlatih bercakap dalam keadaan lembut dan sopan.
Memang kadang-kadang dia berlatih, sampai letih, untuk berubah.
“Mira free hari Ahad nanti?”
“Kenapa?”
“Kalau Mira free, Ariel nak
bawa Mira jumpa keluarga Ariel. Nak kenalkan buah hati Ariel pada mak,” riang
hati Ariel bila menyatakan hasratnya, tapi Amira yang mendengarnya bagaikan nak
pengsan. Dadanya bagaikan nak pecah. Ariel memang betul-betul serius dalam
perhubungannya. Takkanlah cepat benar nak kenalkan dia pada keluarganya. Ah, haru...haru...
“Ariel, sebenarnya esok Mira balik
kampung, sebab pak su nak bertunang. Tak dapatlah Mira ikut Ariel.”
“Oh ya ke, kalau macam tu tak
mengapalah, mungkin lain kali saja Ariel kenalkan Mira pada ibu.”
“Eloklah tu, buat apa tergesa-gesa, masa
masih panjang lagi.” Amira beralasan, sesak nafasnya bila memikirkan hasrat
Ariel.
“Bila dengar pak su Mira bertunang,
Ariel pun rasa nak bertunang juga. Buat apa kita tunggu lama-lama. Sayugia yang
baik itu disegerakan. Apa kata lepas ni kita pula bertunang?” Ariel menjadi
semakin bersemangat, tapi Amira merasakan nafasnya sudah nak tercabut dari
badan dan dia terbatuk-batuk tanpa henti. Sungguh haru-biru jadinya.
“Kenapa Mira batuk?”
“Entahlah tiba-tiba saja, mungkin ada
tertelan benda halus kut.” Amira batuk lagi.
“Benda apa?”
“Mungkin nyamuk yang terbang terus masuk
mulut Mira tanpa sedar.” Taram sajalah alasannya, logik ke tak logik lain
cerita, yang penting terlepas dari soalan maut.
“Awak ni ada-ada saja, okeylah kita
bincang lain kali.” Ariel Iskandar ketawa dengan gelagat Amira walaupun dia tak
nampak saat ini, tapi selalunya telatah Amira dapat membuatkan hatinya bahagia.
Amira yang telah membuka hati kecilnya untuk mencintai dan dicintai. Amira yang
selalu memberi kesegaran dan semangat untuknya berasa ceria. Amira yang telah
memberi kekuatan dalam merubah dirinya ke arah menjadi lelaki yang terbaik, kerana
lelaki yang baik dapat membimbing wanita yang disayangi ke arah yang hidup yang
lebih baik, bererti dan bermakna di sisi ALLAH.