BAB
24
“MANA awak pergi selama seminggu?” Ariel Iskandar bertanya sebaik saja
dapat bertemu dengan gadis yang telah mengganggu tidurnya.
“Balik kampung, kenapa?”
“Kenapa lama sangat? Dan kenapa saya called asyik tak dapat?”
“Ya ke lama? Rasanya tujuh hari saja.” Amira ketawa, tapi dalam
hati rasa pelik.
“Tujuh hari tu rasanya macam tujuh tahun tahu tak?”
“Kenapa pula boleh rasa macam tu?” Amira makin pening dengan
gelagat Ariel hari ini, dah lain macam saja. Makan dadah ke mamat ni?
“Amira, awak tahu tak?” Ariel berhenti dari meneruskan kata- kata.
“Tak tahu.” Amira terus menjawab. Memang pun tak tahu, ada ke
tiba-tiba tanya benda main sekerat-sekerat. Ayat tanya yang tak sempurna, kalau
dalam subjek bahasa Melayu dah sah ayatnya salah. Potong markah.
“Saya cintakan awak,” dengan berani Ariel melafazkan kata hatinya
yang tersumbat selama ini, membuatkan Amira terkejut gajah, sebab kalau terkejut
beruk tak adalah sebesar mana. Tapi kali ini terkejut sampai rasa nak luruh
jantungnya. Amira mempamerkan wajah blur
dan tidak percaya dengan apa yang didengar. Rasa macam dalam mimpi. Kemudian
Amira ketawa terbahak-bahak. Geli pula rasa tali perut ni.
“Kenapa ketawa?” Ariel menjadi hairan.
“Rasa lawaklah pula, kalau nak main teater, bukan kat sini. Sini
tempat baiki kereta.” Amira buat-buat ketawa, padahal dalam dadanya berdentam-dentum
jantungnya berdegup, dah jadi macam gendang Cina yang kena palu oleh pendatang
Tongsan.
“Betul Mira, saya tak main-main. Saya jatuh cinta pada kali pertama
melihat awak, tapi waktu itu saya ingat awak lelaki. So, saya abaikan saja perasaan itu.” Muka Amira mula bertukar
menjadi merah serta-merta, malu bila kata-kata Ariel yang ikhlas itu mula
mengetuk pintu hatinya. Ariel cintakan aku? Wau bestnya!!!
Amira
terdiam seketika.
“Sebelum itu saya nak tanya, kenapa
awak suka saya?”
“Cinta itu milik ALLAH yang bersifat
subjektif, tak ada sebab yang boleh menjadi kayu pengukurnya. Cinta itu indah
dan aneh, boleh terjatuh kepada sesiapa saja yang ia mahu, dan cinta yang terindah
ialah cinta kerana ALLAH.”
“Adakah cinta awak pada saya adalah
kerana ALLAH?” sengaja Amira bertanya.
“Ya kerana ALLAH, dan bila ALLAH telah
mencampakkan rasa cinta itu, saya terima dengan hati yang bersyukur. Mungkin
ada hikmahnya.” Amira ternganga tak faham dengan apa yang Ariel sampaikan.
Terasa tinggi bahasa yang diguna.
“Wei... bro, tak fahamlah.” Amira
merungut.
“Tak mengapa, suatu hari nanti awak
akan faham, dan lagi satu saya suka awak kerana awak pelik.” Ariel ketawa
dengan perkataannya sendiri.
“Itu yang saya musykil, awak tak malu
ke nanti ada girlfriend macam saya
ni, dahlah pelik, macam lelaki pula tu?”
“Tak, sebab hidup ini ada pusingannya,
macam roda. Sekejap ke atas dan sekejap ke bawah. Manakala hati manusia juga
sentiasa berubah-ubah dan sesiapa pun boleh berubah bila sampai hidayat ALLAH.”
“Jadi, awak mengharapkan saya berubah
dan awak akan cuba mengubah kehidupan saya, begitu?”
“Saya tak akan cuba mengubah kebiasaan
hidup awak, tapi saya akan memberi awak ilmu dan pengetahuan tentang bagaimana
peranan wanita Islam yang sebenarnya, dan saya berharap saat itu kalau awak
berubah pun, bukan kerana saya, tetapi kerana cintanya awak kepada ALLAH, Rabb
awak.” Dah naik pening kepala Amira dengan falsafah cinta Ariel yang
berbelit-belit, rasanya macam sedang bercakap dengan Sasterawan Islamlah pulak.
Hiss... tak fahamlah! Ariel senyum bila melihat kerut di wajah Amira.
“Tak faham tak apa, yang penting awak
boleh terima saya jadi boyfriend
awak,” manis sekali senyuman Ariel.
“Okeylah nanti saya pertimbangkan, tapi
sebelum itu saya nak tanya sesuatu. Awak pernah dengar tak kumpulan, yang
namanya jamaah Tabligh? Kumpulan apa mereka tu?” Senyuman Ariel yang manis tadi,
bertukar menjadi selebar daun pisang. Entah apa maknanya Amira tak tahu.
“Kenapa, awak berminat nak sertai kumpulan
jamaah Masturat ke?” Ariel bertanya ghairah.
“Kumpulan apa pula tu?” Amira
mengerutkan dahinya.
“Kalau lelaki dipanggil kumpulan
jamaah Tabligh, manakala perempuan pula, dipanggil kumpulan jamaah Masturat.
“Oh, begitu...” kata lembut yang dilontarkan oleh Amira. Selalunya para suami
akan membawa isteri masing-masing bila mereka keluar berdakwah. Kumpulan jamaah Masturat akan jalankan
aktiviti bagi kaum muslimat,” sambung Ariel. Amira cuba memberikan perhatian
tentang apa yang Ariel cakapkan, memang ia sesuatu pengetahuan yang baru buat
Amira.
“Mereka ni kumpulan ajaran sesat ke?”
“Kalau tak tahu jangan menuduh,
berdosa nanti.” Ariel menegur Amira.
“Bukan menuduh, saya cuma bertanya.
Apa sebenarnya aktiviti mereka?”
“Mereka adalah kumpulan dakwah yang
mengajak masyarakat ke arah melakukan kebaikan dan mentaati ALLAH. Niat mereka
sangat murni, sebab bukan semua orang sanggup melakukan kerja dakwah sepertimana
mereka. Kalau di Malaysia ni mereka menjalankan aktiviti dengan melakukan
dakwah dari satu qariah masjid ke satu qariah masjid yang lain. Dari satu
lorong ke satu lorong tempat kediaman, di setiap qariah.”
“Oh! Jamaah Tabligh tu... baru saya
ingat. Jamaah yang suka berpakaian selekeh tu! Dulu sewaktu kat kampung ada dia
orang datang kat masjid dua tiga hari, kemudian bila waktu petang dia orang
ziarah ke rumah penduduk dan mengajak kita orang pergi masjid dengar dia orang
ceramah,” rancak Amira bercerita, macamlah dia tahu sangat.
“Jangan salahkan jamaah, yang selekeh
itu hanya segelintir saja individu yang ada dalam jamaah tu, bukan semua. Itu biasalah...
dalam setiap tandan pisang ada juga yang tak elok. Sebenarnya niat dan konsep
mereka tu murni, cuma ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki, itu
pandangan saya.”
“Selalunya apa kelemahan mereka tu? Sebab
setahu saya, masyarakat selalu memandang rendah dan serong terhadap kumpulan
mereka.” Perbincangan semakin menarik.
“Pada amatan saya, mereka ni kurang
ilmu, terutamanya dalam Ilmu hadith, tauhid, fiqah, tasauf, tafsir dan
lain-lain. Bila seseorang yang kurang ilmu, berdakwah, pada asas apakah harus
dia sandarkan kata-katanya yang berbentuk dakwah itu. Di situ masyarakat
menilai dan melihat kelemahannya.”
“Betul tu, kalau dah tak ada ilmu,
janganlah pandai-pandai nak dakwah.” Huh...
macamlah buah fikirannya itu betul.
“Itu yang silapnya masyarakat kita. Sedangkan
Rasulullah ada berpesan; “Sampaikan olehmu dariku walaupun satu ayat.” Maksudnya,
kita umat Islam wajib bagi setiap mukallaf menyampaikan dakwah kepada sesiapa
sahaja.” Gaya Ariel dah jadi seperti seorang ustaz.
“Kalau dah tak pandai, apa nak
disampaikan?”
“Sebab itulah Islam meletakkan hukum
fardhu ain ke atas setiap orang Islam, tak kira lelaki atau perempuan belajar
ilmu agama, dan bagi sesiapa yang tak belajar, maka tertanggung dosa yang besar
terhadapnya.” Naik ngeri Amira mendengarnya, perlahan-lahan dia memendekkan
tengkuknya, kalau boleh biar jadi kura-kura. Rasanya ayat Ariel tadi seperti
menyindir dirinya saja.
“Awak menyindir saya ke?”
“Tak terniat pun, cuma nak bercerita
dan berkongsi kebaikan, itu saja. Okey, apa yang hebatnya jamaah Tabligh ni,
mereka mengamalkan setiap ilmu yang mereka dapat, walaupun sedikit, kemudian
mereka mengajak orang lain sama-sama beramal dengannya. Sebenarnya para graduan
lulusan Mesir pun belum tentu sanggup berdakwah seperti cara mereka. Mereka ni
sungguh merendah diri, tawadhuk, walaupun mereka seorang yang berpangkat besar.
Hebat, kan? ”
“Macam mana awak tahu semua ni?”
“Sebab saya pernah berada dalam
golongan mereka. Saya mendapat hidayah ALLAH pun melalui usaha dakwah mereka. Alhamdulillah...
saya bersyukur sangat.” Ariel mula membuka rahsia diri. Amira membulatkan mata
tanda terkejut. Nasib baik tak mengata lebih-lebih, kalau tak malu sendiri.
“Sorrylah
nak tanya, macam mana awak boleh sertai jamaah tersebut?”
“Dulu, saya juga seperti remaja-remaja
lain nakal dan liar, jauh dari ALLAH, tapi dengan kuasa ALLAH pada tahun kedua
saya di London, saya jatuh sakit.
Bayangkan kawan-kawan yang selalu bersuka-ria dengan saya tak seorang pun yang
datang membantu, tapi orang-orang yang tak saya kenali pula datang menghulurkan
bantuan. Mereka menjaga saya tanpa jemu, sampai saya sembuh, tanpa mengharapkan
balasan. Masya-ALLAH! Tabarakallah! Mereka semuanya suka berkorban untuk orang
lain. Dari situlah saya mula tertarik dan berubah, dan hidup saya mula rasa
bererti.” Terpegun Amira mendengar cerita Ariel, patutlah lelaki ini selalu
kelihatan tenang dan rendah diri. Semua orang berubah dan semua orang di sekelilingnya
mengharapkan dia berubah, tapi hatinya tak pernah terdetik pun mahu berubah.
Kenapa demikian? Terlalu keraskah hati aku? Seperti kerasnya gunung batu
kerikil yang terpaksa diletupkan untuk memecahkannya.
“Kenapa termenung?” Ariel
mengejutkan lamunan Amira.
“Bukan termenung, cuma berfikir. Saya
tak faham tentang sebuah artikel yang
pernah saya baca, kenapa jamaah Tabligh mensyaratkan ahli-ahlinya keluar
berdakwah berbulan-bulan tinggalkan keluarga?” Ariel masih tersenyum melihat
Amira yang keliru.
“Suatu sifat yang tidak baik ialah cepat
mempercayai sesuatu maklumat yang dibaca atau dilihat mahupun didengar tanpa
menyelidik dahulu kesahihannya. Maksud saya apa yang awak baca itu tak
semestinya benar. Orang boleh menulis apa saja yang dia suka, tapi kita sebagai
pencari maklumat wajib mengenal pasti kebenarannya. Berbalik kepada soalan awak
tadi, sebenarnya keluar ke jalan ALLAH itu bukanlah satu kewajipan yang perlu
ditunaikan oleh setiap so-called
ahli, tapi ianya berbentuk motivasi dalam mempertingkatkan ilmu dan amal serta mujahadah
al-nafs.”
“Sungguh saya tak faham dengan istilah
awak.”
“Memanglah, itu istilah bahasa Arab
yang bermaksud berjuang atas mengekang nafsu.”
“Macam mana tu?”
“Bila kita keluar ke jalan ALLAH dan
buat usaha dakwah, hidup kita akan terasa sangat ketenangannya sebab kita
tinggalkan sekejap segala hiruk-pikuk dunia yang fana ini, yang ada di hadapan
hanyalah ALLAH. Keluar ke jalan ALLAH juga merupakan terapi istimewa untuk
membuang segala stress kerja yang
kita pikul, dalam tempoh keluar itu kita akan rasa lapang selapangnya. Cuba
awak fikir, ALLAH bagi kita 30 hari dalam sebulan, kita cuma perlukan 3 hari
saja untuk buat usaha atas ilmu dan amal ini, seolah-olah 3 hari sebulan itu
tempoh percutian awak setelah penat bekerja sebulan, itu saja.”
“Oh... macam tu ke, tapi bagaimana
pula dengan keluar selama berbulan-bulan tu?” Amira terkenang kepada Yusman, ke
manalah Yusman keluar selama berbulan-bulan itu.
“Itu namanya keluar ke jalan ALLAH
sekali seumur hidup. Macam saya katakan tadi, katakanlah ALLAH bagi kita umur
60 tahun, masa yang diperuntukkan dalam tempoh itu hanyalah 4 bulan saja dalam
seumur hidup. Apa yang menariknya ialah jamaah Tabligh ini tak pernah memaksa so-called ahlinya keluar ke jalan ALLAH
ni. Apa yang berlaku adalah keikhlasan diri ahli itu sendiri untuk keluar ke
jalan ALLAH demi untuk menyambung usaha murni Rasulullah SAW dan merasai
kepayahan yang dialami oleh Rasulullah SAW semasa baginda menjalankan dakwah di
samping berusaha atas iman dan amal untuk membaiki diri sendiri.” Kagum Amira
di atas penerangan Ariel yang panjang lebar itu. Kalau selama ini dia tak pernah
tahu pun tentang kewujudan kumpulan jamaah Tabligh, apalagi tentang peranannya
dalam dakwah. Apa yang dia tahu hanya kerja sehariannya sahaja, memanglah dia
solat, tapi hanya untuk mencukupkan waktu saja, terasa sangat lompongnya iman
dan taqwa yang dia miliki.
“Terima kasihlah atas info tadi.”
“Ada apa-apa yang awak nak tahu lagi?”
Ariel masih bersedia untuk menjawab sebarang kemusykilan.
“Tak apalah, mungkin lain kali,
sekarang ni masa rehat pun dah habis. Nanti dikata curi tulang pula. Awak pula
tak nak balik ofis ke?”
“Tak apa lambat sikit sebab ofis
sendiri.” Ariel cuba berkata jujur. Setiap kali bertemu dengan Amira nak saja
dia berterus terang, siapakah dirinya yang sebenar, tapi mulut selalu saja
kelu.
“Emm... yalah tu, banyak awak punya
ofis sendiri, sekali kena pecat baru awak tahu.” Ariel Iskandar hanya mampu menyengih bila
kena tegur dek Amira yang dah bersedia untuk beredar.
“Amira, bagaimana dengan cinta saya?
Awak menolak atau menerima?”
“Awak ni pun satu, tak romantik langsung.
Ada ke patut seorang teruna melafazkan kata cintanya pada seorang gadis dalam
restoran mamak? Tak pernah dibuat orang tahu tak?” Amira ketawa dan Ariel juga
ketawa.
“Tak mengapalah, biarlah Restoran
Basyir ni jadi saksi bukti cinta saya pada awak.” Amira ketawa lagi melihat
mamat Tabligh ni yang nak jadi romantik, tak masuk langsung. Amira melihat
Ariel dari atas sampai ke bawah, lelaki ini sungguh sempurna. Kulitnya yang
putih bersih, badannya tegap dan bergaya, wajahnya nampak tenang, senyumannya yang
sentiasa menawan, sampai susah Amira nak lupakan, dan yang paling mahal ialah
sejemput janggut yang terhias di
dagunya. Wah... ganteng bangat.
Kemudian Amira berdiri merenung ke
dalam dirinya, seorang gadis biasa. Rupa? Alhamdulillah, bolehlah tahan! Tapi
taklah secantik Rozita Cek Wan, yang da
bomb tu. Kerja, asyik bergelumang dengan minyak hitam saja. Nak berlawa,
berhias macam perempuan lain? Tak ada masa dan tak minat. Inilah aku seadanya. Truly Asia!
“Saya bukan tak nak bawa awak ke
tempat-tempat ekslusif untuk mencurahkan cinta saya pada awak. Tapi tak boleh
sebab kita belum kahwin, saya tak suka kita berdua-duaan begitu. Fitnah
berdua-duaan ni cukup banyak, jadi kita seboleh-bolehnya cuba hindar dari
perkara-perkara yang boleh mendatangkan maksiat ni. Jangan risau, bila kita dah
kahwin nanti saya akan bawa ke mana saja tempat yang awak mahu pergi,”
bersungguh-sungguh Ariel meluahkan rasanya.
“Okeylah saya terima awak sebab saya
juga sukakan awak walaupun saya tahu diri ini tak sempurna,” dengan senyum lebar Amira membalasnya, tapi
terlupakah dia? Atau sengaja dia sememangnya sedar sewaktu melafazkan kata ‘suka’
tadi. Oh... kasihannya Mail, tunangnya sudah ada kekasih hati.
owh, byk pengetahuan yg farra dpt nie...farra pon tak pernah tahu apa tu jamaah Tabligh, dan lain2 tu...owhhhh....
ReplyDelete