NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Friday, November 16, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 20







                                                         BAB 20

        ARIEL Iskandar memasukkan kesemua barang-barang miliknya ke dalam kotak yang dibawa khas. Satu pun tak akan tertinggal di dalam bilik ini. Biarlah dia angkut sekali bersama kenangan suka dan duka semasa berkerja di sini. Walaupun tempoh kerja hanyalah dua tahun saja, tapi pengalaman itu cukup berharga dan berguna. Terutamanya dalam memilih sahabat dan kawan.
        Sewaktu dia menyerahkan surat perletakan jawatan dengan notis 24 jam tadi, bukan main terkejut lagi Encik Mazlan, malah bosnya pula yang meminta maaf di atas kekasarannya tempoh hari. Kata Encik Mazlan lagi setelah disiasat memang Kamal yang mengkhianati Ariel. Dengan segala macam mehnah dan tribulasi yang telah terlerai itu, Encik Mazlan tidak mahu menerima perletakan jawatan Ariel, tapi Ariel tetap berkeras untuk resigned juga kerana tempoh dia berada di Syarikat Sejahtera Raya sudah pun tamat.
        Sebelum Ariel Iskandar melangkah keluar, sempat dia bersalam-salaman dan bermaaf-mafaan dengan rakan sekerjanya. Semua rakan sekerjanya terkejut sampai ada ternganga, maklumlah ribut tidak, angin pun tidak, tiba-tiba saja berhenti. Kamal juga ternganga tidak percaya, sebab impiannya boleh terlaksana dalam sekelip mata dan bulan hampir jatuh ke ribaannya.
        “Tahniah Kamal, tak lama lagi hajat kau untuk ambil tempat aku akan tercapai. Tapi aku percaya pada qada dan qadar, kalau itu rezeki kau, kau akan dapat, tapi kalau ianya bukan rezeki kau ia tak akan berlaku.” Terkedu Kamal sampai tak tercakap. Kasihan Kamal, jangan jadi seperti kata pepatah Melayu; yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran.
        Dalam persahabatan ni perlu ada keikhlasan, kasih sayang dan bersahabat kerana ALLAH. Sahabat yang baik, kadang-kadang kasih sayangnya melebihi dari adik-beradik sendiri. Mungkin dengan adik-beradik atau saudara-mara kita tak mampu meluahkan apa yang terbuku dan tersangkut di hati, tapi dengan sahabat kita boleh mengadu apa saja tanpa rasa segan dan rendah diri. Hebatnya peranan seorang sahabat, sebab itulah Rasulullah SAW menggelarkan para sahabatnya seumpama bintang-bintang. Sentiasa hampir dengannya dan sentiasa memberi sinaran dalam perjuangannya. Barangsiapa mengikut jejak langkah mereka, berarti dia telah mendapat petunjuk.
        Ariel Iskandar tidak terus balik ke rumah. Keluar dari ofis Syarikat Sejahtera Raya, bekas pejabatnya dia melencong ke Bukit Kiara. Ke mana lagi kalau bukan ke Bengkel Halim. Ada ingatan yang sering mengetuk-ngetuk pintu hati, dan ada rindu yang menyucuk-nyucuk halus perasaan. Pada siapa rindu itu tertuju? Siapa lagi kalau bukan Bunga Tulip si Minyak Hitam. Hi...hi... hi... Ariel ketawa sendiri dengan gelaran yang dia cipta.
        Kenapa dia jatuh hati pada Tulip si Minyak Hitam? Entahlah, cinta itu indah, tapi kadangkala ianya agak pelik. Banyak-banyak perempuan yang dia temui, belum ada seorang pun yang boleh  membuka pintu hatinya yang sering tertutup rapat untuk perempuan. Tapi kenapa dengan Tulip si Minyak Hitam ni, hatinya tergedik-gedik dan ternganga dengan sendirinya, malah Tulip si Minyak Hitam yang brutal itu tak pernah pun expose dirinya untuk disukai. Ah... peliklah dunia ni dan ajaibnya cinta ini.
        “Hai… bro, lama tak nampak, ke mana menghilang?” Tersengih Ariel bila disapa oleh Amira yang sedang membaiki kereta.
        “Tak ke mana-mana pun, cuma sibuk sikit, Mira sihat?” Mata Ariel liar meratah wajah Tulip si Minyak Hitam. Wajah yang cantik, tapi sering disembunyikan.
        “Weh bro, kenapa tenung gua macam nak makan?” Amira resah bila dia diperhatikan sedemikian rupa.
        “Saja nak lepaskan rindu,” kata-kata Ariel membuatkan Amira merona merah mukanya.
        “Ya sangatlah tu, sekarang terpacak kat sini kenapa? Sedang curi tulang atau sedang curi daging?” soalan Amira membuatkan Ariel Iskandar ketawa. Ada-ada saja cipta simpulan bahasa baru.
        “Hiss, daripada saya curi tulang, lebih baik saya curi hati awak. Ada juga maknanya.” Ariel berjenaka dan Amira tersipu, tapi masih lagi ketawa halus. Denyut dadanya mula berubah rentak, tak macam biasa. Kenapa ya? Kau ni Amira, pantang kena ayat sikit, dah tak tentu arah, dah nak cair! Eh, bukan macam tulah. Selama ini Mail dah berguni-guni melonggokkan kata cinta pada aku. Mulut Mail tu dah naik berbuih macam buih sabun meluahkan ayat-ayat cinta pada aku, tapi aku tak rasa apa-apa pun? Sekarang, lain beno rasanya, hanya beberapa patah saja, aku dah rasa nak tumbang. Apakah itu sebenarnya cinta yang ku rasa?
        “Mira!”
        “Mira!” Ariel memetik jari di hadapan muka Amira. Amira terkejut dan lamunannya putus.
        “Heh, tengah sembang pun sempat lagi berangan?” Mak aii... malunya Amira bila tertangkap dalam keadaan demikian. Memang jiwang karat betullah.
        “Saya bukan berangan, tapi sedang berfikir dan berkira-kira untuk mempelawa awak makan sempena harijadi mak saya ini. Tapi saya segan nak ajak awak takut awak tak sudi.” Taram sajalah, yang penting ada alasan, tak adalah rasa malu yang teramat sangat.
        “Siapa kata saya tak sudi? Sekali awak ajak, seribu kali saya sudi.” Aduh! Tersalah bagi alasanlah pulak, ingatkan dah lepas tadi. Tapi sekarang dah jadi kes lain pula. Ayooo... amma, appa!
        “Bila nak belanja?” Ariel menuntut.
        “Sekarang pun boleh,” tapi dalam hati Amira berdoa agar Ariel tak sudi keluar makan dengannya, maklumlah Amira hanya memakai overall yang penuh minyak hitam.
        “Jomlah, kat mana?” Ariel bertanya dan Amira ternganga. Sekali lagi kantoi. Mamat ni macam tau-tau aje apa yang ada dalam kepala otak aku.
        “Restoran Basyir kat belakang, boleh?” Sekali lagi Amira berdoa dalam hati agar Ariel tak suka makan kat sana.
        “Okey, tak ada masalah.” Ariel senyum penuh erti bila melihat kerutan di dahi Amira. Cik Tulip Minyak Hitam, awak tak akan dapat lari lagi.

        Tiba di Restoran Basyir suasana agak lengang, tak ramai pelanggan yang ada. Amira memesan dua pasembur rojak dan dua milo ais untuk mereka berdua.
        “Rahmat, awak kalau sedang serve makanan jangan bercakap-cakap, nanti masuk air liur.” Amira berpesan pada pekerja Bangla yang bernama Rahmat.
        “Ya, saya tau, sudah berapa kali juga adik manis ada cakap.” Rahmat menjawab.
        “Hah... kalau tahu tak apalah, tapi kalau saya nampak awak bercakap depan makanan, nanti saya tak mahu bayar, awak bayar sendiri,”  bukan main lagi Amira berpesan pada Rahmat.
        “Yalah, yalah, saya tau.” 
        “Garangnya.” Ariel menegur.
        “Bukan garang tapi demi menjaga kebersihan, dia orang ni suka bersembang semasa menyediakan makanan dan saya pantang betul kalau tengok situasi macam tu. Kalau saya pergi ke pasar malam, tengok peniaga yang suka bersembang dengan customer, confirmed  saya tak akan beli makanan yang dia jual.”
        “Bukan main lagi bercakap ya, dia bercakap sampai tempias orang tak sedar.” Ariel menegur.
        “Betul ke?” Amira ketawa sambil menutup mulutnya.
        “Taklah, saja nak buat lawak.”
        “Hiss, awak ni buat orang suspen saja.”
        “Mira, saya nak beritahu awak sesuatu.” Ariel berjeda seketika manakala dada Amira berdegup kencang dengan tiba-tiba.
        “Apa dia, cakap sajalah.” Amira berlagak tenang sambil menyuap pasembur ke mulut, tapi hati di dalam bagai nak roboh kerana diterjah dengan berbagai soalan yang dia sendiri cipta.
        “Saya, saya...” Ariel berjeda lagi.
        “Eh... berapa banyak sayalah, cakap saja apa bendanya.”
        “Sebenarnya saya dah berhenti kerja,” tersedak Amira bila dengan cerita Ariel. Huh... cenangau punya mamat, ingatkan nak utarakan ayat-ayat cinta buat aku, lain yang aku harap, lain pula yang keluar. Kan dah termalu sendiri, nasib baiklah mamat ni tak pakai CT Scan untuk teropong hati aku.
        “Kenapa berhenti? Sekarang ni susah dapat kerja.”
        “Saja nak cari pengalaman baru di tempat lain pula.” Ariel merenung wajah Cik Tulip Minyak Hitam. Perlukah dia berterus terang tentang cerita yang sebenarnya? Ah... biarkanlah dahulu, mungkin ini masa yang tak sesuai.
        “Orang macam awak senanglah dapat kerja. Ada degree, ada rupa, ada gaya dan ada macam-macam, tak seperti saya ni, ke mana pun tak laku, melainkan kat bengkel ni saja.”
        “Awak nak cari kerja lain ke? Boleh saya tolong,” pantas Ariel mempelawa bantuan. Amira menyengih.
        “Tak, saya masih suka dengan kerjaya yang ada sekarang.”
        “Habis, sampai bila awak nak bergelumang dengan minyak hitam?” Macam sedih aje wajah Ariel.
        “Entahlah, saya pun tak pasti, yang pentingnya saya bahagia bekerja sebagai mekanik.”
        “Kenapa sebagai mekanik? Sedangkan tak ada perempuan yang buat kerja seperti awak?” Ariel mula mencungkil rahsia Cik Tulip.
        “Saya tahu saya seorang yang pelik, saya akan suka benda yang orang tak suka, dan tak suka pada benda yang orang suka, hi...hi..hi.. pelik tak?” Ariel hanya menyengih sambil mengangguk.
        “Pada saya ianya lebih kepada fardhu kifayah. Takkan bab baiki kereta ni kita nak serah pada bangsa asing saja, lepas tu sedap-sedap mereka cekik darah kita, sebab bangsa kita tak tahu satu benda pun pasal kereta. Selalunya ‘kapiaq’ ni bukan ada ihsan, ada peluang aje, mereka cekik habis-habisan, sampai mentol signal yang berharga 50sen pun boleh bertukar jadi RM10. Siapa yang berdosa kalau bangsa sendiri kena tipu?” Ariel merenung Cik Tulip yang sedang menyedut minumannya, tak sangka minah ni punya wawasan yang jauh, malah berbuat sesuatu demi bangsa dan agama.
        “Tahniah pada awak kerana berwawasan sedemikian. Saya berharap awak akan terus maju jaya.”
        “Terima kasih. Eh, makanlah, buat apa awak tengok saya? Bukannya jadi kenyang pun.”  Amira membalas.
        “Awak tahu tak?” soalan Ariel tergantung.
        “Tahu apa? Cakap pun tak, tiba-tiba saja tanya tahu. Awak ni lagi pelik dari saya lah!” Amira ketawa.
        “Saya selalu jadi kenyang bila lihat wajah awak.” Ariel berkata dengan jujur, tapi dibalas dengan ketawa oleh Amira macam nak keluar anak tekak.
        “Kenapa awak ketawa?” Hairan Ariel dibuatnya.
        “Sebab ada lagi orang yang lebih pelik dari saya, tak sangka pula saya ni boleh mengenyangkan awak,” ketawa Amira masih bersisa dan Ariel menyengih. Tiba-tiba smartphonenya berbunyi dan Ariel menekan butangnya. Suara Nilna yang tersekat-sekat disebabkan tangisan membuatkan Ariel cemas.
        “Okey tunggu abang balik, kejap lagi abang sampai.” Ariel menenangkan Nilna kemudian dia bangun dan bersedia untuk beredar.
        “Mira, sorry ya, saya terpaksa balik sekarang, lain kali kita sembang lagi okey, saya pergi dulu.”
        “Okey, no hal!” Amira menjawab bersama rasa cuak yang bertenggek di birai hati. Siapa yang called tadi? Entah-entah bini dia. Orang lelaki ni bukannya boleh percaya sangat, depan perempuan bukan main lembut gigi dari lidah, tapi bila balik rumah anak dah berderet. Pernah tengok itik… hah, rupa itulah! Kenapa sibuk? Cemburu ke? Ah... lantak dialah. Amira pun berlalu dari restoran untuk meneruskan kerjanya yang sedang menunggu.

         

        

No comments:

Post a Comment