BAB 22
AMIRA berlari laju turun ke bawah,
sebelum itu sempat dia mengambil kunci motosikal yang tergantung di tempat
penyangkut kunci. Kelam kabut Norhayati berlari mengejar Amira, dia tahu dalam
keadaan seperti ini Amira boleh bertindak gila dan dia perlu menenangkan
adiknya.
Belum pun sempat kaki Norhayati
mencecah tanah, Amira sudah mendecit laju bersama motosikal Mak Milah
mengalahkan orang sedang merempit, dengan sekelip mata saja bayangan Amira
hilang dari pandangan. Ya ALLAH... janganlah sesuatu yang buruk terjadi kepada
adikku! Hati Norhayati dipagut rasa resah dan risau. Ke manalah agaknya Amira
pergi? Pasti Amira sangat sedih dan terluka saat ini sebab telahannya selama
ini adalah benar.
“Argh!!!” Amira menjerit lantang membuangkan
rasa geram dan marahnya ke dalam sungai. Sebiji batu besar di sebelahnya
dipungut kemudian dicampakkan ke dalam sungai, air berkocak dan batunya
tenggelam, tapi resah, sedih dan marah tak juga hilang walau pun dia telah
menunggang motosikalnya sejauh mungkin.
Amira berdiri di tepi Sungai Muda.
Airnya yang mengalir tenang tidak mampu menyejukkan hatinya yang tengah baran.
Perasaannya masih tak tenang walaupun dah berbatu-batu dia tinggalkan rumah.
Amira seakan tidak percaya, bagaimana beraninya dia menunggang motosikal dengan
tidak tentu hala tuju tanpa membawa apa-apa termasuklah BlackBerrynya. Seandainya ada roadblock polis di hadapan,
maka kantoi giler dia kali ini. Mengeletarlah tangan nanti bila nak
mengeluarkan duit membayar saman. Saman tak bawa lesen motor dan tak bawa kad pengenalan.
Silap-silap nanti polis kata dia minah Indon. Lantaklah... apa nak jadi pun
jadilah. Tapi dalam hati dia tetap berdoa, agar tidak ada perkara buruk yang
berlaku.
Bukan niat dia untuk menyakiti hati
mak yang telah bersusah payah membela dan menjaganya. Bukan dia tak berterima
kasih pada mak yang telah banyak berjasa untuk mereka adik-beradik, sampai mati
pun dia tak akan dapat membalas jasa mak. Jauh sama sekali dari hati kecilnya
untuk membenci dan memarahi mak terhadap apa yang berlaku, tapi desakan hati
untuk tahu hakikat sebenar tentang ayah, membuatkan dia seperti anak yang
kurang ajar. Mak maafkan Mira! Air mata Amira masih belum mahu berhenti, masih
meleleh sampai ke pipi.
“Mira!” Amira menoleh bila namanya
dipanggil. Dengan muka yang sudah sedia ketat Amira menjeling tajam ke arah
Mail tanda menyampah sangat. Bila masa mamat ni sampai kat sini pun dia tak
sedar dan kenapa mamat ni menyibuk datang sini pun dia tak tahu.
“Mira, rata-rata tempat saya cari
awak, nasib baik jumpa. Kalau tak lagi susah hati saya.” Mail membuka kata,
manakala Amira hanya diam tanpa kata.
“Mira, sabarlah, bawa bertenang dan
banyakkan istighfar.” Mail memujuk lagi.
“Kau apa tahu? Bukan kau yang rasa!”
Amira menengking Mail, tanpa sedikit pun rasa hormat pada tunangnya. Mail undur
ke belakang, bukan takut tapi bagi ruang Amira bernafas dengan lega dan jelas.
Kemudian Mail menyambung bicaranya.
“Saya tahu Mira tak suka saya, tapi
tak kisahlah. Cuma saya mahu Mira anggaplah saya sebagai pengganti Hadi. Tempat
Mira meluahkan sedih dan duka Mira. Mira tahu tak? Keci-kecil dulu, waktu Mira
menangis kerana dibuli atau diejek kawan-kawan, Hadi tampil sebagai ‘comforter’. Saya mahu jadi seperti Hadi.
Saya mahu memujuk Mira supaya jangan menangis dan bersedih. Saya mahu buat Mira
tersenyum dan ceria semula, sebab itulah setiap kali Mira menangis saya selalu
ada dekat Mira.” Mail membuka lembaran kenangan indahnya sewaktu kecil, biar
Mira tahu sayangnya pada Mira telah lama terbit dan cintanya telah lama hadir
walaupun masa itu mereka masih kanak-kanak.
Amira mengangkat muka dan merenung
Mail dengan air mata yang masih mengalir di pipi. Betulkah Mail seikhlas itu?
Tapi kalau diingatkan kembali zaman kanak-kanaknya, memang Mail selalu bersama
dia dan Hadi serta dua tiga orang sahabat yang lain. Mail selalu membelikan dia
ais krim dan gula-gula untuk memujuknya bermain bersama. Pendek kata dalam
setiap keadaan Mail selalu bersamanya. Sesuatu yang dia tidak mudah lupa ialah
Mail selalu menjadi mangsa bulinya, dan dia selalu mengejek Mail dengan perkataan
bendul.
“Dahlah, jangan menangis lagi, nanti
bengkak mata tu. Lagipun ramai orang yang lalu-lalang kat sini melihat awak
menangis,” lembut saja suara Mail memujuk.
“Kau tak rasa apa yang aku rasa.”
“Walaupun saya tak alaminya tapi saya
dapat rasakan kesedihan itu. Saya faham perasaan awak. Mak Milah pun dah cerita
semuanya, dia risau sangat pasal awak, sebab tulah saya cari awak. Sabarlah, sebab
sabar adalah terapi yang paling baik,” lembut suara Mail menusuk masuk ke dalam
hati Mira yang keras. Perlahan-lahan Mira mula memanggung kepala dan melihat
Mail yang tersenyum tenang.
“Tapi mak tak patut buat kami macam
ni, mak tipu kami hidup-hidup,” serak suara yang keluar dari kerongkong Amira.
“Tak baik berburuk sangka dengan mak
sendiri. Cuba kita letak diri kita di tempat mak. Apa yang kita rasa bila
ditinggalkan sendirian dengan kesempitan hidup dan sebagainya? Mungkin kita
akan bertindak lebih hebat lagi dari mak. Kadangkala manusia ini bila disakiti,
tindakan mereka sangat tak terduga. Malah boleh melebihi harimau yang
tercedera. Jadi sabarlah, lapangkan dada, mungkin ada hikmah di sebaliknya,” kata-kata
Mail yang lembut dapat meredakan marah Amira. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu
pada siapa harus dia benci dan marah?
Tak mungkin aku benci pada mak, kerana mak adalah ratu hatiku, atau pada ayah, kerana
selama ini ayah tak pernah wujud di antara kami dan ayah tinggalkan kami begitu
saja? Tak, aku tak akan benci ayah. Bagaimana aku ingin membenci ayah,
sedangkan selama ini aku ingin sangat memiliki seorang ayah.
Amira merenung Sungai Muda yang
mengalir tenang, sedikit sebanyak kata-kata Mail terlekat di kepalanya. Memang
benar kata Mail, dia tak patut menuduh mak sebagai penipu kerana dia tak tahu
apa yang berlaku dan apa yang mak alami.
“Jom balik, tak macholah menangis kat tepi jalan ni, orang yang lalu-lalang asyik
tengok aje. Agaknya mereka ingat saya tengah buli awak.” Amira menjeling ke
arah Mail yang sedang tersengih. Tak macholah
konon, saja nak menyindirlah tu.
“Jom saya hantar awak balik naik
kereta.” Mail memujuk.
“Habis motor ni macam mana, balik
sendiri?” Amira masih menggunakan nada yang tinggi, tapi Mail hanya tersenyum
dengan lawak Amira.
“Nanti saya suruh pekerja saya datang
ambil, lagipun bahaya kalau bawa motor dengan perasaan yang tak tenteram, macam-macam
boleh terjadi.” Mail tak pernah jemu untuk berbuat baik dengan Amira.
“Yalah, saya ikut awak, tapi jangan
ingat saya suka awak!” Amboi... minah ni siap bersyarat lagi. Tak sedar diri, tak
tahu bersyukur. Mail mengangguk sambil senyum panjang, tak kisahlah apa pun,
yang penting dia telah berjaya membawa kepala batu ni balik ke rumah. Kasihan
Mak Milah, terisak-isak menangis tadi sewaktu meminta pertolongannya untuk
mencari Amira.
“Ya, saya tahu dan saya pun nak awak
anggap saya ni kawan sewaktu kecil awak, bukannya tunangan awak, supaya awak
selesa menerima bantuan saya.” Ya ALLAH... baiknya manusia bernama Mail ni. Tak
pernah nak ambil hati walaupun kena kutuk dengan macam-macam perkataan. Mana
lagi nak cari lelaki macam ni? Kalau jantan yang timbang kilo tu melambaklah, tapi
yang baik budi seperti Mail ni sukar sangat nak jumpa. Satu dalam seribu pun
entah! Dalam diam Amira memuji Mail di dalam hati.
Bila sampai di halaman rumah, Mak
Milah berlari turun dan berdiri tegak bagi menyambut anak kesayangannya. Puas
hatinya bila melihat Amira melangkah turun dari kereta Mail. Syukur ya ALLAH,
mungkin inilah hikmahnya atas peristiwa ini. Kalau bukan kerana kejadian tadi, rasanya
tak mungkin si kepala batu tu, nak naik kereta Mail, apalagi bersembang dengan
Mail.
Meluru Mak Milah mendapatkan Amira.
“Mira, maafkan mak nak?” Mak Milah
memeluk Amira.
“Mak, ampunkan Mira, Mira banyak dosa
dengan mak, Mira selalu sakiti hati mak.” Amira menangis lagi dalam pelukan Mak
Milah.
“Ya, mak maafkan, jom naik ke atas
rumah, tak baik dan tak elok bersandiwara kat bawah, nanti nampak dek jiran
lain pula ceritanya.” Mak Milah menarik tangan Amira naik ke rumah.
“Mail, silalah naik, Kak Yati kamu ada
buatkan minuman petang.”
“Baiklah mak cik.” Mail menjawab
sambil mengatur cermat langkah kakinya naik ke rumah.
sambung lagi :D
ReplyDelete