NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Tuesday, November 20, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 21







                                                            BAB 21
         
SEBUAH kereta berhenti di hadapan bengkel, kemudian bunyi derap kaki menuju ke arah Amira. Walaupun Amira tak nampak tapi dia tahu ada seseorang yang sedang berdiri berhampiran dengan kereta yang sedang dia baiki.
          Amira terpaksa menarik dirinya keluar dari perut kereta apabila salam yang diberi oleh palanggan yang baru masuk tadi tidak dijawab oleh sesiapa.
          “Waalaikumussalam!” Amira menjawab salam sebaik saja kepalanya terjengul keluar, kemudian dia bangun dan melihat bengkel yang kosong tanpa pekerja.
          “Maaflah encik, lambat jawab salam, saya ingatkan ada pekerja lain lagi yang masih dalam bengkel, tak sedar pula saya dia orang dah pergi makan.” Amira menjawab jujur.
          “Tak sangka pula orang duduk bawah perut kereta boleh lupa dunia,”  lelaki separuh umur itu menyindir sambil tersenyum.
          “Biasalah pak cik, dunia saya ni hanya bawah perut kereta saja, kalau pak cik cari saya lain kali, intai saja bawah perut kereta, insya-ALLAH jumpa.” Amira ketawa dengan lawaknya sendiri.
          “Awak memang mekanik ke?” Lelaki tersebut masih rasa kurang percaya dengan apa yang dilihatnya.
          “Agak-agaklah pak cik, takkan saya main polis entri kat bawah kereta kut?” laju saja Amira menjawab, menyebabkan lelaki tadi ketawa kuat dan Amira terkerising menyengih. Amira terkesima seketika bila melihat cara lelaki itu tersenyum dan ketawa. Hatinya berdegup kencang dan ingatannya berlari ke arah seseorang yang jauh di mata.
    “Saya Amira, satu-satunya mekanik perempuan di sini.”  Amira memperkenalkan dirinya. Hai... mudahnya Amira memulakan perhubungan?
       “Saya Yusman, panggil saja Pak cik Man,” lelaki tersebut memperkenalkan dirinya.
          “Okey, apa yang boleh saya bantu?” tanya Amira ramah.
         “Pak cik nak Amira tengok kereta tu, bila bawa asyik tersengguk-sengguk macam nak mati saja.”
          “Okey saya check dulu, apa yang tak kenanya.” Amira berlalu meninggalkan Pak cik Yusman. Lima belas minit kemudian Amira datang semula menemui Pak cik Yusman yang sedang menggunakan masa menunggunya dengan membaca surat khabar.
          “Pak cik, masalah kereta tu taklah besar sangat, cuma saya rasa fuel filter dah lama tak tukar, sebab tu sengguk-sengguk. Saya tengok benda-benda lain seperti distributor, spark plug, ignition dan karburator semuanya dalam keadaan baik. Jadi, sekejap lagi saya akan tukarkan fuel filter, okey!” Tersenyum Pak cik Yusman mendengar penerangan mekanik perempuan ni, sungguh dia tak sangka, ada juga wanita yang minat dalam bidang yang tak glamor ini. Selalunya wanita suka kerja kat pejabat ataupun yang paling mudah, dan tak payah fikir banyak-banyak, kerja kat kilang saja. Ralit Amira seketika, tak sangka dia akan melihat wajah dan senyuman seperti itu lagi.
          “Pak cik, wajah dan cara pak cik senyum tu membuatkan saya rindu pada seseorang.” Amira membuka cerita, entah mengapa ringan saja mulutnya untuk bersembang.
          “Ya ke, siapa orang yang istimewa tu?” Yusman berminat untuk mendengar cerita gadis mekanik yang manis ini. Dari pandangan matanya ada sesuatu yang menarik tentang gadis ini. Hatinya rasa seronok dan bahagia  bila gadis ini berada di hadapannya,  walaupun baru pertama kali mereka bersua.
          “Cuba pak cik lihat!” Amira mengeluarkan sekeping gambar dari dompetnya lalu diserahkan kepada Yusman. Terpukau Yusman seketika bila melihatnya. Sungguh tak percaya, ada juga orang yang mirip sekali dengan wajahnya, cuma berbeza dari segi usia saja. Patutlah Amira tadi nampak seperti tercengang saja.
          “Siapa ni?” Yusman bertanya.
          “Abang kembar saya, kembar tak seiras.”
          “Mana dia?”  Yusman jadi berminat untuk mengetahuinya.
          “Dia tak ada kat sini, masih belajar kat luar negara.” Amira memberitahu.
          “Oh... macam tu, kalau ada kat sini boleh juga jumpa dengan orang yang mirip macam pak cik ni.”
          “Dia tak balik walaupun kadangkala ada cuti. Sejak pergi dulu belum pernah lagi dia balik, maklumlah mak mana ada duit untuk bayar tambang, bukannya sikit! Mak kata duduk saja kat sana sampai habis belajar, sabar aje lah.” Bukan main ramah lagi Amira bercerita, macam dah kenal lama.
          “Ayah ada lagi?”
          “Dah lama meninggal, kata mak sejak kami dalam kandungan.”
          “Oh... pak cik tumpang simpati.”
          “Alah, tak ada apalah pak cik, peristiwa dah lama berlalu.”
          “Tentu susah kecil-kecil hidup tanpa ayah?” Yusman bertanya.
          “Biasalah pak cik hidup sebagai anak yatim, mana senangnya.”  Amira bercerita tentang riwayat hidupnya pada orang yang baru dia kenali tanpa rasa kekok dan segan, padahal kawan-kawan bengkel pun dia tak pernah bercerita tentang kisah dan sejarah hidupnya. Rasa aneh yang ada dalam hatinya menyebabkan Amira merasa senang sangat untuk bercerita itu dan ini. Mungkin ini yang dinamakan chemistry.
          Bila Pak cik Yusman pergi Amira merasakan seperti ditinggalkan oleh seseorang yang dia sayangi, rasa seperti kekosongan jiwa sewaktu Hadi meninggalkannya dahulu. Sedih yang merantai hati. Kenapa dia merasakan demikian? Mungkin juga kerana wajah Pak cik Yusman tadi mirip sangat dengan Hadi, menyebabkan Amira merasakan dia ditinggalkan sekali lagi.
          Alangkah seronoknya kalau ada ayah seperti orang lain, dapatlah dia bermanja-manja dengan ayah, dapatlah ayah mengajaknya bermain atau bersukan. Sewaktu kecil dulu, dia selalu terkilan bila melihat rakan-rakan bersama ibu dan ayah mereka. Hatinya akan sedih sangat bila diejek oleh kawan-kawan dengan panggilan anak tak berbapa. Saat itu dia akan menangis sampai berjurai air mata dan Hadi akan memujuk sambil memeluknya dengan penuh kasih sayang. Sabarlah, kerana ALLAH lebih menyayangi ayah  dan kita patut bersyukur kerana masih ada mak yang menyayangi kita.
          Ah... Hadi, bilakah kau akan balik? Dah lama aku membilang hari menanti kepulangan kau. Pulanglah Hadi! Selama ini hidup aku terasa sepi dan kosong, seolah-olah kau telah membawa hati dan jiwa aku sekali. Aku masih seperti dulu dan mak juga masih tidak berubah, masih seperti dulu dengan jiwa kerasnya yang tidak mengenal erti lembut. Tiap kali aku bertanya tentang kisah ayah, mak akan mengamuk dan marah-marah. Kenapa perlu marah pada orang yang dah tak ada. Besar sangat ke dendam mak pada ayah? Sampai nama ayah pun tak boleh disebut-sebut. Kalau boleh biar terpadam dari senarai nama umat yang pernah menghuni planet dunia ini. Aku menjadi keliru sebenarnya.
          Hadi, baliklah! Aku perlukan sokongan kau untuk menentang perkahwinan gila yang mak aturkan untuk aku. Ada ke patut, mak nak kahwinkan aku dengan Mail bendul, kawan kita dulu? Dan bukannya mak tak tahu yang aku bencikan Mail sejak peristiwa hitam dulu. Kadangkala aku rasakan mak saja nak kenakan aku, sebab  aku dulu kuat melawan dan melanggar perintahnya. Entahlah... aku tahu, tak baik berprasangka dengan mak sendiri, tapi sikap mak yang begitu membuatkan aku sering berfikir yang bukan-bukan.
          Hadi, baliklah! Aku betul-betul merindui kau. Menitis air mata Amira bila lamunannya berakhir dan rindu ini benar-benar membuat Amira keresahan. Seketika itu juga ingatannya berlari pula pada mak di kampung. Apa khabar mak? Sihatkah dia? Mungkin juga mak sihat sebab masa dia bercakap kat telefon tadi mak tak mengadu apa-apa pun. Syukurlah aku masih ada mak tempat mengadu dan berkasih sayang. Mak, aku rindu mak!

          Amira tak dapat menunggu hari minggu untuk dia lepaskan rindunya pada Mak Milah, seolah-olah Mak Milah sedang menyeru-menyeru nama dan semangatnya. Maka keesokan harinya, awal-awal pagi dia sudah berada di dalam coach bus untuk menuju ke utara. Nasib baik kerja dengan bapa saudara sendiri, bolehlah sesuka hati ambil cuti. Kalau kerja dengan orang lain, jangan haraplah senang-senang nak lolos.
          “Kenapa balik?”  tanya Mak Milah hairan.
          “Mak ni tak bagi Mira balik ke?”
          “Tak adalah ke situ maksud mak, selalunya kau tu bukan main liat kalau nak balik kampung, maklumlah dah tinggal kat Kuala Lumpur.”
          “Isy... mak ni, bukannya hebat mana dok KL tu, kalau gaji beribu-ribu sebulan bolehlah.”
          “Habis kau nak balik teruslah ni?” ceria bicara dan wajah Mak Milah.
          “Taklah, Mira balik cuti saja.”
          “Mak lebih suka kalau kau balik terus, lagipun tunang kau kerja kat sini. Esok bila dah kahwin taklah kau susah-susah nak pindah- randah lagi.” Adoi! Inilah part yang aku tak mahu dengar ni.
          “Tengoklah nanti,” malas Amira melayan cerita mengenai tunangnya, dan sebelum ini dia tak ingat pun yang dia dah bertunang.
          “Mail tu baik budaknya, selalu saja datang jenguk mak dan bertanya khabar. Beruntung mak dapat menantu macam dia tu. Ada dia telefon kau?”
          “Ada.” Mira menjawab sepatah. Hi… berbulu telinga aku  dengar cerita Mail. Mak ni tak ada benda lain ke nak cakap? Asyik Mail, Mail, Mail saja, macam mak pula yang bercinta dengan Mail. Hiss... jahat betul mulut ya? Dengar dek Mak Milah boleh bengkak mulut tu kena tenyeh dengan cili api.
          Amira ke hulu ke hilir tanpa haluan, macam kucing hilang anak dan macam orang hilang duit, tak duduk diam sampai pening kepala Norhayati melihatnya.
          “Kau ni kenapa, tak boleh duduk diam ke?” Norhayati menegur.
          “Kak, aku ada benda ni nak tanya mak, tapi takut mak marah.”
          “Pasal apa?” Norhayati mengerutkan dahi, pelik pula mendengarnya.
          “Pasal ayah!”
          “Kau ni, kan dari dulu sampai sekarang, tak habis-habis dok korek pasal ayah. Heh... orang dah tak ada, kau nak buat apa lagi?”
          “Itu yang aku malas nak cerita dengan kau, tak habis cakap lagi dah bantah. Macam ahli Parlimen yang emo, tak tahu hujung pangkal  dah bantah,” marah Amira.
          “Aku pun tak nak jadi ahli Parlimen sebab aku dah ada kerja tetap, bukan macam kau. Tak habis-habis main minyak hitam, tak ada masa depan langsung.”
          “Wei... lu tengok orang jangan dengan kepala lutut, pandanglah dengan mata, kalau boleh dengan mata hati. Sikalang lu ingat butut-butut gua cakap aa! Suatu hari aku akan buka bengkel dan jadi bos, waktu tu siapa yang hebat? Aku atau kau yang hanya kerja sebagai kerani di Jabatan Kerajaan?”
          “Huh... hiduplah kau dengan angan-angan tu, tak ke mana pun, aleh-aleh jadi bini Mail juga nanti.” Norhayati mengejek dengan nama yang teramat sensitif bagi Amira.
          “Apa yang kau orang gaduhkan sampai terdengar ke luar rumah, tak tahu malu ke?”  marah Mak Milah kepada dua puterinya.
          “Mira ni mak dia nak tanya pasal ayah,” sengaja Norhayati kenakan Amira. Seronok tengok Amira berak kapur. Bulat mata Amira merenungnya dalam geram.
          “Kenapa pula, apalagi yang kau nak tahu?” Mak Milah masih lagi cool dan buat-buat tenang, tapi hakikatnya bila anak-anak bertanya pasal ayah mereka Mak Milah akan rasa libang-libu, antara marah dan rasa bersalah.
          “Mak, baru-baru ni Mira ada jumpa seorang lelaki dalam lingkungan 50-an yang mirip sekali dengan Hadi, serupa sangat, saling tak tumpah. Nama dia Yusman dan dia baik sangat, mak kenal ke?” Rasa nak pengsan Mak Milah bila Amira mengajukan pertanyaan itu. Pandangan matanya berbalam-balam dan dia terduduk di kerusi. Tak sangka dia akan mendengar nama itu lagi, lebih-lebih lagi dari mulut anaknya sendiri.
          “Mak, kenapa dengan mak ni?” terkejut Norhayati.
          “Tak ada apa-apa, mak pening sikit.” Mak Milah menafikan sambil mengurut dadanya. Amira hanya memerhati, cuak hatinya melihat keadaan mak, berlakon ke betul? Kalau berlakon, buat apa mak nak berlakon? Mesti ada sebabnya. Kalau betul mak terkejut, kenapa mak terkejut boleh sampai macam tu? Mesti ada sebabnya juga. Takkan dengar nama saja dah nak pengsan?
          “Ini semua kau punya pasallah, selalu saja buat mak sakit,” marah Norhayati.
          “Ya, sebab Mira nak tahu siapa Yusman tu pada mak? Pada kami?” 
          “Manalah mak tahu Mira, mak tak kenal dia pun.”
          “Habis, takkan sebut nama saja mak dah mengelepek macam ni, belum lagi mak tengok orangnya.” Amira geram, mak masih nak berahsia. Firasat Amira kuat mengatakan mak kenal Yusman, tapi mak masih menafikannya.
          “Mak tak sihat, itu saja.” Mak Milah masih berdalih.
          “Dulu mak kata wajah Hadi sama macam arwah ayah dan lelaki tersebut sebijik macam Hadi.”
          “Alah, pelanduk dua serupalah tu. Kita, kan ada tujuh orang yang sama dengan wajah dengan kita.” Mak Milah masih beralasan.
          “Mira tak percaya, kalau ayah dah meninggal, mana kuburnya. Mak tak pernah pun bawa kami ziarah kubur ayah. Gambar ayah mak tak pernah tunjukkan  pada kami, cerita tentang ayah pun mak tak pernah luahkan. Malah mak simpan segala sejarah dan sembunyikan kebenaran.” Amira melepaskan geramnya bagaikan melepas peluru sesat.
          “Mira berhenti, jangan cakap lagi!!!” melengking suara Mak Milah memarahi Amira. Norhayati ternganga mulutnya, antara percaya dan tidak dengan teori Amira. Bila melihat maknya yang tertekan sangat saat ini, kemungkinan besar cakap Amira betul.
          “Mira tak nak diam, kalau mak nak marah Mira pun, mak marahlah. Yang penting Mira nak tahu kebenaran. Selama ini Mira pendam saja segala syak wasangka terhadap kisah ayah, sebab setiap kali Mira tanya, mak pasti marah. Ayah Mira masih hidup, kan?”
          “Amira jangan buat mak macam ni!!!” suara Mak Milah masih meninggi.
          “Tolonglah mak, jangan siksa Mira lagi. Dari kecil sampai besar itulah pertanyaan Mira, sebab Mira tak rasa yang ayah dah meninggal.” Sebak dada Amira bila mengenangkan kembali nasibnya sebagai anak yatim.
          “Ayah mira dah meninggal.” Mak Milah masih berkeras, rasa benci dan sakit hatinya pada suami dulu terasa sampai kini.
          “Kalau betul ayah Mira dah meninggal, mana kuburnya dan mana surat matinya? Biar Mira tengok, biar puas hati Mira.” Amira merayu dalam tangisan kesedihan. Air matanya lebat menuruni pipi. Sampai hati mak.
          “Amira kau jangan melampau!” tempik Mak Milah yang sudah seperti terkena histeria. Marah sungguh dia dengan kebiadaban Amira yang tidak tahu menghormati perasaannya. Amira menjadi semakin keliru. Siapa mak yang sebenarnya? Apa yang mak sembunyikan dari mereka adik-beradik?
          “Mak, kalau mak tak nak juga beritahu kebenarannya, Mira tak kan teragak-agak akan memutuskan pertunangan dengan Mail. Apa nak jadi pun, jadilah!” Norhayati melihat keberanian adiknya berjual beli dengan mak, dan dia juga merasakan maknya sedang menyembunyikan sesuatu. Tapi Amira tak sepatutnya menyiksa mak dengan pertanyaan seperti itu. Amira tak boleh meninggikan suara pada mak, itu dosa namanya dik, keluh Norhayati dalam hati. Walau bagaimanapun kami berhak untuk mengetahui siapa ayah kami.
          “Kau jangan siksa mak lagi Amira. Tiap kali kau bertanya tentang ayah kamu, mak akan tersiksa dan terluka sangat. Mak rasa ayah kamu masih hidup, dia berada di mana? Itu mak tak tahu, sebab sewaktu dia tinggalkan mak, kamu berada dalam kandungan mak baru satu bulan, dan ayah kamu tidak sempat tahu tentang kewujudan kamu dan Hadi. Yati masa tu baru berusia dua tahun,”  akhirnya Mak Milah membuka juga kisah sedih miliknya. Dia tak mampu lagi menahan rahsia diri. Hari ini dia akan lepaskan segala duka yang diperamnya selama 25 tahun yang lalu. Biarlah anak-anak tahu, kemungkinan ayah mereka masih hidup.
          “Habis, kenapa mak tipu kami?” Amira bertanya, air matanya berjurai lagi.
          “Sebab mak tak nak kamu semua cari dia. Pada nak dia telah lama mati.” Mak Milah menangis dan Norhayati juga tersedu-sedu. Tak patut mak buat begini pada kami, kenapa mak sanggup mendengar panggilan anak yatim terhadap kami hanya kerana marah mak pada ayah. Tapi bila difikirkan semula mungkin mak masih ada alasan yang lebih kukuh lagi untuk dia berbuat demikian. Siapa tahu?
          “Siapa pula Yusman yang mirip Hadi?” Amira mengorek lagi.
          “Kemungkinan besar itulah ayah kamu. Yusman adalah nama panggilannya dan Amran adalah nama dalam Kad Pengenalan.” Kaku Mak Milah di kerusi dalam mengekang rasa sedih dan sesalnya membadai hati. Dia tahu perkara seperti ini lambat-laun akan terjadi juga dan itu yang dia tak sanggup, saat anak-anak menggelarnya sebagai penipu. Bukan dia tak berusaha membetulkan semula kesalahannya dulu, tapi setiap kali kata-kata mahu diluahkan semuanya menjadi kaku dan kelu, lantas hasratnya tertangguh dari masa ke semasa. Kalaulah waktu dapat diputar kembali, dia tak akan berbohong pada anak-anak tentang kematian ayah mereka. Biarlah mereka tahu yang ayah mereka pergi tanpa sepatah kata. Mira maafkan mak nak! keluh Mak Milah dalam hati bersama air mata yang kian laju.









1 comment: