NOW SHOWING

OBES, tapi manis. Itulah Siti Ajira. Ada yang panggil Siti, ada yang panggil Ajira. Berjaya di desa dan cemerlang di kota. Namun ujian yang melanda di usia remaja, berterusan hingga ke alam rumah tangga. Kaya, handsome, stylo itulah Farhan. Usahawan aksesoris dan servis kenderaan mewah di suburb KL metropolis. Kedua-duanya anti cinta. Ajira benci lelaki kerana baginya lelaki banyak yang jahat dari yang baik. Farhan fobia perempuan kerana apa yang diperlakukan oleh tunangnya terhadap beliau sangat tidak boleh diterima. Takdir ALLAH mengatasi segala, mereka diisytihar husband & wife dengan klausa perjanjian yang dirangka ikut suka. Maka apabila diterjemah ke realiti alam rumah tangga, ternyata ia mengharu-birukan keduanya.

Wednesday, November 7, 2012

AMIR MINAH MACHO BAB 16




BAB 16

          “JOM balik!” Amira mengajak pulang setelah perutnya buntat kekenyangan. Kenyang sampai terasa nak meletup perutnya. Sumpah selama ini dia tak pernah buat kerja gila macam tadi, tapi demi sebuah lakonan dia sanggup buat apa saja asalkan dapat mengubah pendirian Mail.
          “Tak naklah balik dulu, lagipun malam masih awal. Kita pergi shopping dulu atau lepak-lepak kat mana-mana.” Amira merenung Mail. Banyak cantik muka kau ajak aku lepak. Apa, kau ingat aku ni kaki lepak ? Kutu rayau? Sorrylah bro! Lepak-lepak tak mainlah.
          “Aku nak balik, aku mengantuklah. Badan pun dah letih sangat ni.”
          “Alah sekali ini saja. Awak tahu, kan esok saya dah nak balik kampung. Apa salahnya awak temankan saya sekejap, lagipun saya nak belikan hadiah harijadi untuk mama saya. Boleh, kan?” Mail memujuk lembut. Termenung Amira seketika sambil berfikir. Susah betullah mamat ni, karang bila jumpa mak aku dia report yang aku tak nak temankan dia shopping, maka tak pasal-pasal pula Puan Jamilah bt Seman tu buat onar lagi. Kalau tak pun naik tuli telinga aku nanti sebab kena bedil oleh mak. Eeii… mak dengan Mail sama saja perangainya tahu, suka menyusahkan aku! Amira menjerit dalam hati.
          “Yalah, aku temankan kau, tapi sekejap saja tau, aku dah  mengantuk sangat ni.”
          “Awak ni, kan macam ayam, tidur awal… jam baru 9.30 malam awak dah nak cari bantal,” perli Mail pada tunangnya.
          “Mana kau tahu ayam tidur awal? Kau pernah jadi ayam ke?”
          “Cubalah bagi soalan yang membakar minda sikit. Awak ni kalau bercakap ikut sedap mulut saja. Kita tak perlulah jadi ayam, kalau nak tahu tabiat ayam.” Mail ketawa sendiri, entah apalah yang dia ketawakan pun aku tak tahu, macamlah lucu sangat cerita ayam tu. Kalau cerita ayam Jalil Hamid tu, tak apalah jugak! Amira menjeling ke arah Mail.

“Mak aii… apa nama tempat ni Mail?” Amira menjerit sendiri dengan rasa kagum dan takjub bila melihat kemeriahan tempat yang dibawa oleh Mail, dengan sinaran lampu neon yang berwarna-warni dan bergemerlapan. Meriah sungguh, tak pernah Amira tengok selama ini.
“Tempat ini namanya Bintang Walk. Awak tak pernah sampai ke  sini?” Hairan pula Mail melihat Amira.
“Kalau aku tahu, tak adalah aku tanya kau.”   Kerek betul minah ni, tak nak mengaku kalah.
“Berapa lama dah awak kat KL ni Mira?”
“Adalah dalam tiga tahun lebih, kenapa?”
“Kasihan awak ya, duk KL dah lebih tiga tahun, tapi Bintang Walk pun tak pernah sampai, macam katak bawah tempurung!”
“Woi… Mail, sesedap rasa saja kau mengata aku ya, tadi kau kata aku macam ayam, sekarang macam katak, ha… kejap lagi macam apa, pula? Macam ular?” Ketawa Mail bila melihat Amira naik angin. Mail suka tengok Amira marah, dari dulu sampailah sekarang. Kalau Amira marah, mulut munggilnya yang cantik dan merah itu akan bergerak-gerak. Agaknya sedang mengumpul amarah dan kata-kata, untuk dihamburkan pada orang yang menyakiti hatinya.
Mail meletak kereta Honda Citynya di tempat letak kereta. Bulat mata Amira melihat tanda bayaran parkir. RM7 sejam. Mak oii… mahalnya, cekik darah betul. Elok dan biasa saja Mail membayarnya tanpa ada rasa ralat. Kalau akulah, takkan aku bayar… buat rugi duit saja. Selit le kat mana-mana! Kena saman, nasib.
Inilah pertama kali Amira menjejak kakinya ke Bukit Bintang Plaza yang selalu disebut-sebut orang. Tak adalah secanggih mana. Biasa saja, kalau menjadi tempat remaja bersidai dan lepak adalah. Alahai kasihannya aku tengok. Bangsa aku lebih ramai dari bangsa lain dalam bab lepak-melepak dan sidai-menyidai ni. Ke mana perginya maruah dan jati diri? Paling aku kasihan tengok, anak-anak gadis yang baru belasan tahun, mungkin umur dalam sekitar 14, 15, 16, macam tu. Semuanya berani berpeleseran dengan pakaian yang menjolok mata. Ya ALLAH, selamatkanlah bangsaku! Kembalikanlah mereka ke jalan-Mu, berikanlah mereka taufik dan hidayat-Mu agar mereka tidak tersasar jauh. Jauh di sudut hati Amira berdoa.
Dalam kelompok kecil yang terdiri dari empat atau lima orang gadis berkumpul di penjuru tangga, lagak mereka agak menakutkan bagi sesiapa saja yang melihatnya. Gadis-gadis ini dengan beraninya membuat aksi ghairah dan menggoda. Paling mengejutkan ialah keberanian mereka menjual ayat-ayat cinta dan membuat penawaran dalam urus niaga. Mereka nak niaga apa ni? Ya ALLAH, tolonglah selamatkan mereka. Janganlah kau biarkan mereka dagangkan diri mereka hanya kerana duit yang sedikit. Ke manakah perginya ibu bapa mereka? Kenapa biarkan anak-anak gadis ini berpeleseran, bukankah mereka masih bersekolah? Sarat kepala Amira yang tiba-tiba menjadi tepu dan hati menjadi sayu. Bangsaku dan kaum sejenisku kembalilah ke pangkal jalan!
Mail ketawa melihat Amira yang ketakutan bila diusha oleh gadis-gadis tersebut. Mungkin mereka menganggap Amira juga seorang lelaki seperti Mail. Menyampah Amira melihat Mail yang tak habis-habis  ketawa, bukan itu saja, siap perli-perli lagi. Kalau ikut rasa hati, nak saja dia sekeh-sekeh kepala Mail tu, macam yang dia pernah buat sewaktu zaman persekolahan dahulu. Tapi sekarang dah tak boleh. Mail dah besar panjang, tubuhnya juga sasa dan keras berketul-ketul, tangan dia pun dah besar. Segalanya pun dah tak macam dulu, malah Mail sekarang segak, kacak dan menawan.
Bila Mail masuk ke butik pakaian lelaki, Amira mengundur ke belakang, malas rasanya nak masuk sekali. Nak buat apa? Aku bukannya nak beli pakaian. Amira memberitahu Mail yang dia  menunggu kat luar saja.
Sebuah kerusi panjang yang terletak dekat tiang dan tak berpenghuni itu menjadi sasaran Amira untuk melepaskan penatnya. Mana tak penat, berjalan dengan perutnya yang penuh dan sendat. Apa lagi bila kaki dah lenguh dan mata pula mengantuk dari tadi. Emm…Untuk seketika Amira terlupa di mana dia berada. Ah…  mata ini perlu diberi laluan,  untuk ia rehat dan merasai nikmat tidur.
Tidurlah wahai permaisuri!
Mail tersenyum sambil menggelengkan kepala apabila melihat tunangnya yang dah tertidur di kerusi panjang di hadapan kedai tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang. “Perangai tu tak pernah berubah langsung, dari dulu sampai sekarang asyik mengantuk saja.” Mail mengomel sendiri.
“Mira, bangun!” Mail mencuit tunangnya, dan Amira terkejut dan terus bangun berdiri tegak. Terpacak macam soldadu atau guard  Ratu Britain yang mengawal Istana Buckingham. Ketawa Mail melihat telatah Amira yang sedang mamai.
“Kenapa tidur? Awak tak malu ke, orang lalu tengok awak tidur?” lembut saja Mail menegur, tapi Amira menjawab bukan main cengih lagi.
“Suka hati akulah, mata aku… bukan aku pinjam mata kau pun. Lagi satu, buat apa aku nak malu sebab waktu tidur mata aku pejam, bukannya aku nampak orang tengok aku,” menonong saja dia berjalan. Mamailah tu…
“Arah sinilah!” Mail menarik tangan Amira yang masih mamai dan Amira terpaksa mengikutinya kerana pegangan tangan Mail terlalu kemas. Nasib baik Mail hanya memegang lengan jaketnya, kalaulah Mail menyentuh tapak tangannya sudah pasti dia akan menyepak kaki Mail. Jangan pandai-pandai nak ambil peluang.
“Nah… ini barang awak, saya belikan untuk awak.” Mail menghulurkan beg kertas butik yang cantik kepada tunangnya. Amira mengambil dan menarik keluar isinya. Sepasang baju kurung yang cantik.
“Kau ingat aku pakai ke benda-benda macam ni?” menyinga Amira bila dia terasa seolah-olah Mail menyindirnya. Mail hanya senyum, dia tahu demi cintanya pada Amira Batrisya dia perlu lebih bersabar. Biarlah Amira kata apa pun dia tetap akan bersabar, kerana dia tahu kasih ALLAH pada orang yang sabar tetap tinggi nilainya.
“Kalau awak tak nak pakai sekarang tak mengapalah, mungkin suatu hari bila awak dah terbuka hati untuk memakainya, awak pakailah.” Lembut suara Mail menyentuh hati Amira yang keras. Amira menoleh ke arah lain, dia tak suka Mail melayannya macam seorang puteri. Kalau macam ni bilalah pula Mail nak membencinya? Bilalah pula Mail akan memutuskan pertunangan ini. Eeeii… geramnya mamat ni, kenapalah dia bodoh dan sabar sangat? Dah macam-macam aku buat kat dia, tapi masih lagi dia sabar. Perasaan Amira menggelegak dengan seribu rasa.
Dari jauh sepasang mata sedang memerhati gelagat pasangan tunang yang belum serasi itu. Dalam hati si pemerhati dan yang empunya mata timbul perasaan cemburu dan tanda tanya yang tiada jawapannya.








3 comments:

  1. lambat nye novel ni kluar! dpt tgk sikit pon jadi la

    ReplyDelete
  2. Sabar, hari yang ditunggu akan tiba juga. Kan sabar itu separuh daripada iman. Salam sayang dari Ummu Wafa untuk pembaca blog ini.

    ReplyDelete