BAB 19
SE AWAL pagi lagi Puan Hasni dan Ariel
Iskandar sudah terpacak di pejabat Ridzuan & Co. Tak sanggup dia menunggu
lebih lama mengetahui maklumat penting yang akan disampaikan oleh Encik Ridzuan
nanti. Kalau boleh lepas subuh saja dia terus ke mari, tapi rasa tak patutlah
pula. Nak tak nak sabar ajelah. Apalah isi cerita yang nak diberitahu oleh
peguam syarikatnya ni.
“Puan Hasni dan Ariel apa khabar?” Encik
Ridzuan bertanya.
“Baik, Alhamdulillah.” Ariel menjawab,
manakala Puan Hasni cuma mengangguk saja.
“Ada apa Encik Ridzuan panggil kami ni?”
Puan Hasni bertanya. Straight to the point, tak payah nak cakap
berbelit-belit. Tak sabar dia.
“Saya harap Puan dan Ariel tak terkejut
bila saya beritahu nanti. Maklumlah perkara ini di luar dugaan kita.” Encik
Ridzuan berucap tenang.
“Sebenarnya apa yang berlaku?” Puan
Hasni dah tak sabar.
“Cuba Ariel baca surat yang dikirimkan
oleh Encik Syaiful ni.” Ariel mengambil
surat yang dihulurkan oleh Encik Ridzuan, seketika kemudian wajahnya berubah,
sungguh tak disangka. Kemudian surat tersebut diserahkan kepada ibunya. Puan
Hasni merenung mata anaknya yang kelihatan amat terkejut, dan Ariel membalas
renungan ibunya dengan rasa sebak. Kenapa boleh jadi macam ni?
“Tak, saya tak percaya. Takkan suami
saya sanggup buat demikian,” puas Hasni menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa
kali, sungguh tak percaya. Sesak dadanya tiba-tiba. Baru saja semalam dia
dikejutkan dengan gambar-gambar suaminya bersama seorang perempuan muda dalam
keadaan yang memalukan. Kini dia dikejutkan pula dengan surat kebenaran dari
suaminya untuk menyerahkan 50 peratus saham syarikat milik keluarga kepada
perempuan yang bernama Julie. Heh… apa ni? Masalah apa yang sedang berlaku
dalam keluarganya? Kenapa suaminya mahu menyerahkan saham syarikat kepada
perempuan tu? Siapakah perempuan yang bernama Julie pada suaminya? Arghhh…
sakitnya kepala. Puan Hasni tidak mampu meneka dalam kesamaran. Akhirnya dia terjelupuk
di kerusi bersama seribu perasaan yang kian tercalar. Air matanya meleleh
perlahan.
“Ibu, sabar... ingat ALLAH.” Ariel
memujuk ibunya, runtun hatinya melihat air mata ibu yang jatuh ke pipi satu persatu.
Dia tahu pasti hati ibunya remuk-redam, hancur lumat, dan yang tinggal hanya
zarah-zarah hati yang berterbangan. Selama ini ibunya cukup setia dengan ayah, tapi
inikah balasan setia seorang isteri? Ya ALLAH, tabahkanlah hati ibu!
“Puan, sabar ya, ingat ALLAH
banyak-banyak. Saya panggil Puan Hasni dan Ariel ni adalah untuk berbincang
mengenai masalah ini. Mestikah saya sebagai peguam Syarikat Lembah Indah Sdn.
Bhd. mengikuti kehendak Encik Syaiful selaku CEO syarikat ini, sedangkan
penyerahan tersebut adalah tidak munasabah sama sekali?” Encik Ridzuan melihat
ke arah Puan Hasni dan Ariel.
“Tak boleh Encik Ridzuan abaikan saja
permintaan ayah saya tu?” tanya Ariel.
“Tak boleh, sebab saya selaku peguam syarikat
mesti mengikuti apa kehendak syarikat dan Encik Syaiful mahukan surat
penyerahan saham kepada Julia dibuat dengan segera. Tapi, buat masa ini saya
minta tangguh dengan alasan terlalu sibuk.”
“Encik Ridzuan kenal ke perempuan yang
bernama Julia tu?” Puan Hasni bertanya, air matanya yang mengalir di pipi sudah
dilap.
“Saya tak kenal, tapi mengikut risikan
yang dibuat oleh orang-orang saya, si Julia ni adalah perempuan pisau cukur.
Dah ramai mangsanya yang terdiri dari bisnesman yang tersungkur. Mungkin dia
menggunakan taktik yang sama ke atas Encik Syaiful.”
“Maksud Encik Ridzuan?” Ariel bertanya.
“Dengan memperdagangkan tubuhnya dan
cinta yang dilumuri kejahatan.” Encik Ridzuan mula membuka episod cerita cinta
yang menarik, tetapi meminarkan kepala Puan Hasni.
“Bermakna Julia ni main sihir, kemudian
main cinta palsu dan kikis duit?”
“Begitulah gayanya.” Encik Ridzuan
mengiakannya, manakala Ariel termenung seketika.
“Jahatnya perempuan tu...” Puan Hasni
memberi komen dengan rasa marah yang berkobar.
“Ya, memang jahat, tapi walau macam mana
sekalipun saya kena juga buat surat penyerahan 50 peratus saham tu, sebab Encik
Syaiful memang menghendakinya. Ini pun saya minta tangguh. Seperti apa yang
saya katakan tadi lah!”
“Habis, buat apa awak panggil kami kalau
awak tak boleh membantu?” Puan Hasni mula emosi.
“Ibu, sabar... kita, kan masih
berbincang.”
“Saya bercadang untuk membuat juga surat
tersebut, tetapi bila dihadapkan di mahkamah nanti, surat tersebut menjadi
tidak sah kerana ada elemen-elemen penting yang tidak disertakan dalam surat yang
saya buat nanti. Apa pendapat Ariel?”
“Boleh juga. Tapi tak ke ayah tahu nanti
mengenai surat yang tak sempurna itu?”
“Saya rasa Encik Saiful tak akan perasan
sebab orang tengah mabuk cinta, takkanlah dia nampak kesilapan-kesilapan kecil
ni. Macam mana Puan Hasni, setuju tak dengan rancangan saya ini?”
“Encik Ridzuan buatlah mana yang
terbaik. Asalkan kami anak- beranak tidak hilang hak dalam syarikat, sudah! Itu
yang penting.” Puan Hasni bersetuju, dan dalam hati Encik Ridzuan berjanji akan
membantu mereka sebaik mungkin.
Kereta Toyota Grand Harrier yang dipandu
oleh Ariel Iskandar mula bergerak meninggalkan pejabat Ridzuan & Co. Puas
Hasni tersandar di dalam kereta dengan perasaan sedih, sebak dan sakit
hati yang tak mungkin hilang. Sesekali
Ariel menoleh ke arah ibunya yang masih menyapu sisa-sisa air mata. Dia tahu,
ibunya cukup terluka.
“Ariel, boleh bantu ibu tak?” Puan Hasni
membuka mulut setelah lama berdiam diri.
“Ada apa?”
“Ariel kerjalah dengan syarikat kita,
apa-apa yang berlaku, Ariel dapat mengesannya. Kalau dah jadi macam ni, ibu dah
tak boleh percayakan ayah lagi. Ayah dah tak sayang kita lagi,” dada Puan Hasni
tepu lagi dan dia tak mampu meneruskan kata-katanya, semuanya terkumpul di halkum,
dan air mata seakan tidak mahu kering.
“Ibu, sabar ya! Ingat pada ALLAH.
Mengenai kerja dengan papa tu, nanti Ariel fikirkan. Ibu jangan risau.” Ariel
memujuk ibunya yang berhati walang.
Sebaik saja Ariel Iskandar
memberhentikan kereta di hadapan pagar rumah mereka, Puan Hasni turun dan Ariel
terus bergerak laju. Sebaik saja dia menolak pintu pagar, hatinya berdegup
kencang bila melihat kereta suaminya ada di rumah. Kalau kereta ada, pasti
tuannya ada. Hah... baru rasa nak balik? Dah tiga hari menghilangkan diri, baru
jumpa jalan balik. Rasa marah Puan Hasni makin membuak-buak, bak bisul yang
sedang memburuk dan mengumpul nanah, sakitnya berdenyut-denyut, terasa hingga
ke seluruh badan.
“Awak pergi mana hah? Agaknya macam
nilah kerja awak selama ini. Bila saya pergi kerja, awak pun menghilang,” tanpa
salam Puan Hasni disambut dengan bicara pemedih hati. Hatinya yang sudah sakit
berdenyut dari tadi, sudah tak mampu lagi menahan sabar oleh tambahan kata dari
suaminya.
Heh... Encik Syaiful, kalau bercakap
boleh tak pakai otak? Awak tanya tak, saya keluar dengan siapa? Untuk
pengetahuan awak, saya keluar dengan Ariel pergi tengok keretanya.” Puan Hasni
menipu dalam marah. Kalaulah suaminya tahu dia baru balik jumpa Encik Ridzuan,
dah tentu lelaki separuh abad ini akan lebih mengamuk lagi.
“Huh... alasan, kebetulan hari ini saja dengan Ariel, sebelum ini tak
tahulah pula dengan siapa yang awak keluar.” Panas berasap lubang telinga Puan
Hasni dengan tuduhan yang tak berasas itu. Ini sudah lebih, menuduh orang
sesuka hatinya saja.
“Dengar sini Encik Syaiful, awak jangan
ingat bila awak berlaku curang di belakang saya, maka orang lain pun akan
berlaku curang pada awak, dan awak sengaja menuduh saya buat perkara yang tak
baik, supaya awak tak ada rasa bersalah bila awak berlaku curang. Bullshit!!!”
Puan Hasni menjerit. Rasanya inilah kali pertama dalam hidupnya dia bergaduh
dengan suami secara besar-besaran.
“Apa
maksud kau?” radang Encik Syaiful.
“Tak payahlah awak nak jadi kura-kura
dalam perahu. Ni hah... tengok sendiri gambar-gambar awak yang tak senonoh tu.
Tak tahu malu. Anak-anak dah besar dan dah bercucu pun masih buat maksiat.” Puan
Hasni melemparkan beberapa keping gambar yang berada dalam beg tangannya. Bukan main terkejut lagi Encik
Syaiful bila melihat aksi-aksi beraninya yang dia sendiri tidak sedar macam
mana gambar ini boleh terlepas.
“Ooo... jadi selama ini tugas kau
mengintip akulah ya?” Tajam pandangan mata Encik Syaiful ke arah isterinya
dengan wajah yang menyinga.
“Tak ada masa saya nak intip awak, tapi
ini semua pertolongan dari ALLAH. ALLAH yang bukakan rahsia kecurangan awak tu,
gambar-gambar ini semua ada orang masukkan dalam letter box. Biar anak-anak dan isteri awak tahu macam mana perangai
awak sebenarnya,” lancang saja Puan Hasni berhujah. Sudah hilang rasa kasih dan
hormatnya pada suami, dan hari ini dia mahu membuat perhitungan. Apa nak jadi
pun jadilah!
“Ini semua kamu punya kerja. Kau upah
orang intip aku. Kenapa, tak puas hati?” sergah Encik Syaiful, bila Puan Hasni
menjawab dengan lancar dan berani, rasa tercabar dan egonya makin melompat tinggi
sampai ke pucuk kelapa. Hasni senyum
sumbing mengejek suaminya yang dah kekeringan idea. Kemarahannya makin memuncak, kesakitan semakin menikam hati,
namun tiada air mata yang keluar saat ini.
“Heh... kau dengar sini Syaiful. Kalau
kau sayangkan keluarga yang kau ada sekarang, lebih baik kau lupakan perempuan
jalang tu. Kalau tidak kau akan hilang segala-galanya sebab perempuan yang kau
usung ke hulu ke hilir tu adalah perempuan pisau cukur, tau tak?” Puan Hasni
menjerit kuat.
“Heh... perempuan tua, lebih baik kau
jaga mulut kau sebelum aku pukul kau!!!” Mata Encik Syaiful merah macam biji
saga.
“Oh... sebab aku dah tualah yang kau
pergi cari betina jalang tu?” makin berapi marah Puan Hasni.
“Baguslah kalau kau dah sedar diri!”
kata-kata yang cukup menghiris hati Puan Hasni. Nampak sangat suaminya sudah
tidak memerlukannya lagi.
“Kalau kau rasa kau dah habis fikir,
sekarang kita buat perhitungan. Kau pilih perempuan sundal tu, atau aku. The whore or me? Kalau kau pilih betina sundal tu, kau ceraikan aku! Right now!” Perkataan yang paling
dibenci oleh ALLAH pun terkeluar dari mulut seorang isteri yang selama ini
menjaga keluarga dengan penuh setia. Maka bergegarlah tiang Arasy saat
permintaan itu dilafazkan. Encik Syaiful ternganga tapi egonya kian meninggi,
rasa marah dan bencinya pada isteri kian bertambah.
Tiba-tiba kedua anak gadisnya berlari
memeluk Puan Hasni bersama tangisan. Entah bila mereka balik dari kolej pun dia
tidak sedar.
“Ibu, ayah, kenapa ni sampai sebut
cerai-cerai?” Air mata Nilna laju saja keluar, tak sanggup dia menghadapi
suasana hangat seperti ini. Patutlah dari tadi hatinya tak tenang. Cemas
semacam saja. Rupa-rupanya perkara buruk sedang berlaku dalam keluarganya.
“Kalau nak tahu, tanyalah ayah kau ni,
rumah kata pergi, kubur kata mari, tapi masih ada hati lagi nak buat curang,
buat dosa dan maksiat.” Hati kalau dah sakit, perkataan yang keluar dari dua
bibir yang lembut pun menjadi keras. Mata yang selalu membeningkan kasih juga
sudah bertukar fungsinya.
“Kut ya pun ibu marah, janganlah sebut
perkataan cerai tu. Nil takut mendengarnya. Ibu dah tak sayang kami lagi ke?”
Nilna menangis sambil memeluk ibunya.
“Kalau kau orang berdua nak tahu, ayah
kau ni dah tak sayang kat kita lagi, malah dia telah memilih betina sundal tu!!!
Eh… Syaiful, kau ingat aku tak boleh hidup tanpa kau? Kau silap, aku kalau dah
tak suka dan sakit hati, aku boleh buang gitu saja, macam mana aku telah buang
Arifah dalam hidup aku!” Nampaknya marah Puan Hasni masih lagi berapi-rapi.
“Ibu, ayah. Sudahlah, bawalah bersabar!”
Sofia juga menangis, panik, tak tahu nak buat apa. Seumur hidupnya dia tak
pernah melihat ibu dan ayahnya bergaduh besar macam ni. Apalagi siap minta
cerai.
“Ayah, sabarlah, bawa bertenang...” Nilna
merayu sambil memegang tangan ayahnya pula. Air mata tetap bercucuran.
Janganlah perkara buruk berlaku dalam keluarganya.
“Arrhg... bosan aku, panas. Benci aku
tengok kamu semua.” Encik Saiful merentap tangannya dari genggaman Nilna lalu
berjalan menuju ke pintu, sebentar kemudian kedengaran bunyi kenderaan
bergerak. Terkejut Nila bukan kepalang. Rasa bukan macam ayah yang bercakap
tadi. Kenapa ayah berubah? Sebelum ini ayah tak pernah bersikap sedemikian. Apa
yang telah terjadi sebenarnya?
mesti ada org yg kena macam ni kan...hanya allah yg tahu! :(
ReplyDelete