BAB 23
SEPANJANG perjalanan dari utara ke
Kuala Lumpur ingatan Amira hanya berpusat kepada Yusman, wajahnya putih bersih
penuh cahaya ‘nur’ dengan senyumannya yang menawan dan ketawanya yang lunak.
Semuanya persis Hadi. Kalau Hadi sendiri yang melihat, pasti dia sendiri akan
tercengang kekaguman dengan ciptaan ALLAH yang sempurna.
Firasat Amira berat mengatakan Yusman
adalah ayahnya, dan sebaik saja tiba di bengkel nanti dia akan terus menghubungi
Yusman melalui kad bisnes yang diberikannya tempoh hari, dan kad tersebut ada
di pejabat pak su. Hati kecilnya melonjak-lonjak dan berbunga riang kerana tak
sabar lagi menunggu pertemuan dengan ayah.
Tak sabar, memang tak sabar lagi
rasanya. Bas yang berdesup dengan kelajuan 110 km sejam pun masih terasa
lambat. Kalau boleh nak saja dia pandu bas ini sendiri, biar cepat sampai ke
destinasinya. Sabar yong! Sabar itu perlu sangat bagi orang Islam. Orang yang
paling kuat dan hebat dalam dunia ini ialah orang yang banyak bersabar dengan
ujian ALLAH dan mehnah dunia. Itulah
kata-kata Mail sewaktu dia menghantar Amira naik bas pagi tadi. Amira hanya
diam, tidak mengia dan tidak pula mengangguk, tapi sikit sebanyak kata-kata
tadi lekat juga di kepalanya.
“Jaga diri baik-baik ya, jangan lupa
solat, jaga pergaulan dengan kawan-kawan lelaki jangan sampai terlebih-lebih
pula. Kalau boleh tutuplah kepala, kerana rambut itu aurat bagi seorang wanita.”
Mail memberi pesanan ikhlas pada
tunangnya, sedangkan Amira seperti biasa mendengarnya dengan muka bosan dan
menyampah. Lubang telinganya seperti ditutup dengan kayu gabus yang boleh
menghalang pendengaran dan dia tak bercadang pun untuk mendengar serta mengikuti
segala nasihat Mail. Siapa Mail? Mail tak ada hak menegur dia, Mail belum lagi
jadi suaminya. Kalau sekadar tunang, jangan
pandai-pandai nak nasihat orang. Eh... orang yang dah kahwin pun boleh
bercerai, inikan pula baru bertunang. Tolong sikit, ‘pelease’... Amira
meluahkan rasa jengkilnya dalam hati.
“Saya tahu, awak tak suka saya. Tapi
saya percaya kepada qada dan qadar ALLAH. Kalau memang awak ni jodoh saya, maka
dia tak akan ke mana. Jadi, saya akan tunggu awak dengan dada yang lapang dan
penuh kesabaran.”
“Mail, aku tak tahu nak cakap apa lagi
dengan kau. Jenuh dah, hampir semua trick
aku dah guna. Kau sengaja tak nak faham yang aku tak mencintai kau, macam mana
aku nak kahwin dengan kau?” Amira bertegas, bukan dia tak kasihan Mail, bukannya
dia benci sangat dengan Mail, dan Mail pula memang seorang yang cukup sempurna,
tapi nak buat macam mana, cinta itu masih belum hadir.
“Tak mengapa, cinta saya tak
mengharapkan balasan, saya tak kisah, kerana dari kecil lagi saya mencintai
awak dan awak tak pernah pun membalasnya.” Mail tetap dengan pegangannya.
Sungguh mantop akidah cintanya. Degil betullah mamat poyo ni, sumpah Amira
dalam hati.
“Suka hati kaulah, memandangkan tempoh
dua tahun pertunangan kita ni masih panjang, aku beri peluang pada kau, kalau
tiba-tiba saja kau suka pada orang lain, maka teruskanlah, dan kau batalkanlah
pertunangan kita ini.” Amira berkata jujur, tak perlu berselindung.
“Itu ke yang awak nak?” sedih saja
suara Mail.
“Entahlah, aku pun tak tahu, tapi
itulah yang terbaiknya. Okeylah aku chau dulu.” Amira terus masuk ke dalam
perut bas, seketika kemudian bas pun bergerak. Dari dalam bas Amira melihat
Mail melambai-lambaikan tangannya, sayu pula hati Amira melihatnya. Entahlah...
Tiba-tiba kepala Amira tersadung ke hadapan
dan semua penumpang pun begitu bila pemandu bas membrekkan bas dalam keadaan
mengejut, lamunan terhadap Mail juga terputus dengan mengejut. Rupa-rupanya bas
ini hampir-hampir kemalangan dengan lori treler. Kus semangat... itulah yang selalu
merisaukan aku bila naik bas ni. Pemandu bas selalu membawa bas macam ribut. Macamlah
dia tak sedar yang kenderaan yang dipandunya ini adalah dikategorikan sebagai kenderaan berat. Tak
faham betul dengan sikap pemandu bas ni dan tak serik-serik, walaupun dah
berkali kena saman. Apa yang dia orang kejar sebenarnya? Kejar masa atau kejar
maut? Seandainya berlaku kemalangan maut, siapakah yang akan bertanggungjawab?
Kamu, takdir atau kecuaian? Jawablah wahai para drebar bas. Satu nyawa yang hilang
tak akan terbayar dengan berjuta penyesalan. Jangan sampai anda digelar
pembunuh di jalan raya. Kalau kamu setuju dengan Qisas, okey jugak! Ini tidak, kalau ‘dan’ cabut, dengan bas dan
seisinya kamu tinggalkan, tak gitu.
Ya ALLAH, apa yang berlaku ni? Selamatkan aku
dalam perjalanan ini. “Maha Suci TUHAN yang telah memudahkan kenderaan ini
untuk kami, sedangkan kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya, dan
sesungguhnya kepada TUHAN kamilah kami akan kembali. Amin!” Amira meraut
tangannya ke muka sebaik saja selesai berdoa. Ya TUHANku, permudahkanlah segala
urusanku hari ini.
Sebaik saja sampai di
Bengkel Halim, Amira terus saja meluru masuk ke pejabat tanpa menegur
rakan-rakannya yang sedang ralit menyiapkan kerja masing-masing. Harapannya
hanya satu saja, biarlah Pak cik Yusman dapat dihubungi.
“Assalamualaikum,
boleh saya bercakap dengan Encik Yusman.” Amira terpaksa menggunakan telefon
pejabat Pak su Halim apabila panggilannya melalui telefon bimbit tidak dapat
dihubungi.
“Ini siapa?”
telefonisnya bertanya.
“Saya Amira, boleh
saya bercakap dengan Encik Yusman?”
“Maaf, Encik Yusman
keluar?”
“Pukul berapa dia
balik?”
“Empat bulan lagi baru
dia balik.” Aii... peliknya bunyi.
“Hah... dia pergi mana
sebenarnya?” Amira terkejut dengan jawapan yang dia sendiri tak faham.
“Sebenarnya Encik
Yusman pergi keluar tabligh ke luar negara selama empat bulan. Adik tahu tak
kumpulan Tabligh?” telefonisnya bertanya bila mana dia tahu Amira sedang blur.
“Tak tahu, tapi dia
tetap balik, kan?”
“Insya-ALLAH, dia akan
balik.”
“Kalau dia balik
nanti, akak tolong sampaikan salam saya padanya. Katakan; anak perempuannya
yang dia tinggalkan dahulu sedang mencarinya.”
“Siapa nama adik?” sekali
lagi telefonis itu bertanya. Mungkin kerana terkejut, dia terlupa nama
pemanggil.
“Amira Batrisya.”
Amira menjawab sedih.
“Nombor telefon adik
untuk dihubungi?”
“Tak perlu, akak sebut
saja budak bengkel kereta, saya pasti dia akan ingat. Okey kak, terima kasih
kerana membantu,” sebak dada Amira, lain yang diharap lain pula yang jadinya.
Untuk hari ini mungkin tiada lagi keceriaan yang akan mengundang, yang ada
hanya kesedihan kerana apa yang terjadi tak seindah impian.
“Hoi! Mak cik, bila
sampai?” Pian menjerkah Amira yang sedang tekun di hadapan komputer.
“Dah lama sampai.”
Amira menjawab selamba, sikit pun tak terkejut.
“Kenapa ni? Bad mood
saja.” Pian menegur lagi.
“Mana kau tahu aku bad
mood? Sepanjang aku tiada dulu, kau dah belajar ilmu tilik nasib ke?”
“Tak ada pula macam
tu, tapi aku kenal kau dah lama. Dengar cara kau menjawab pun aku dah tahu, kau
ni tengah bad mood.”
“Pandailah kau, dah
tahu aku tengah bad mood lebih baik
kau cabut cepat, karang tak pasal-pasal bakul sampah ni naik atas kepala kau.”
Pian ketawa senang bila dapat dengar Amira marah-marah.
“Kenapa kau ketawa?” Pelik
Amira melihat Pian, dah kena marah pun ketawa.
“Aku ketawa sebab kau
masih Amira yang dulu, masih member aku.
Aku takut sangat bila kau balik kampung.” Pian berjeda sambil memerhati wajah
Amira yang ketat.
“Kenapa takut pula?” Pening
Amira dengan Pian ni.
“Aku takut kau berubah
jadi wanita muslimah sejati,” lancar saja mulut Pian menuturkannya.
“Habis kau tak suka
kalau aku berubah jadi muslimah sejati?”
“Bukan tak suka, tapi
aku takut kau akan lupakan aku. Kita tak boleh lagi bergaul mesra macam dulu.”
Ketawa Amira mendengar kata-kata Pian yang tak berasas.
“Jangan ganggu akulah,
aku banyak kerja ni.” Amira menghalau Pian yang masih tersengih di muka pintu.
“Aku jenguk kau sebab
nak sampaikan salam orang yang rindukan kau.”
“Siapa pula yang
rindukan aku, kau ke?” Amira ketawa lagi. Pian ni ada-ada sajalah.
“Bukan aku, tapi abang
handsome tulah, selalu saja datang
sini cari kau. Kenapa kau offkan hanfon
kau? Nasib baik abang handsome tu tak
mati kerinduan.” Amira berhenti ketawa.
“Siapa abang handsome?”
“Berapa banyak abang handsome
yang kau ada?” Gila betul Pian ni, aku tanya dia, dia tanya aku balik.
“Ariel?”
“Yalah, siapa lagi
kalau bukan Abang Ariel yang dah gila bayang kat kau.” Pian ketawa.
“Kau cakap baik-baik
sikit, jangan nak main-main dengan aku, karang tak pasal-pasal selipar Jepun ni,
masuk mulut kau,” marah Amira.
“Itulah sesuatu yang
pelik sedang bermain-main dalam kepala otak aku yang tak berapa cerdik ni.
Macam manalah Ariel boleh jatuh hati
dengan perempuan yang tak sempurna macam kau ni? Nak kata jantan, tak pula
jantan, tapi perangai kasar mengalahkan orang jantan. Pada hal dengan kekacakan dia tu... seratus
orang perempuan yang sempurna pun dia boleh dapat.” Pian melemparkan bom api ke
arah Amira. Belum pun sempat Amira bangun dari kerusi, Pian sudah cabut.
“Eh... mamat, kalau
kau belum beli insuran mulut, lebih baik kau beli cepat-cepat. Karang kalau
koyak-rabak mulut, tak ada siapa nak bertanggungjawab.” Amira menjerit dari dalam
pejabat. Pian dah lesap entah ke mana-mana. Berani dia mengata aku depan-depan.
Memang nak cari cari nahas gamaknya.
Betul ke cakap Pian,
yang Ariel datang cari aku kerana rindu? Kalaulah betul alangkah bestnya... Malu I!
hahaha xD , lawak la si Pian!
ReplyDelete