BAB 17
DARI malam tadi hari Ariel Iskandar terasa
berbuku dan teka- teki yang bermain di fikirannya masih belum terjawab. Kalau
ikut rasa hati, ingin saja dia bertanya terus pada Amira. Siapakah lelaki yang
keluar bersamanya semalam? Kenapa, cemburukah? Entahlah hati rasa tak tenang…
Malam tadi dia tak sengaja berada di Bukit
Bintang Plaza, itu pun kerana memenuhi permintaan seorang kawan yang mengajak
dia ke sana. Tanpa disangka dia terlihat Amira yang duduk di bangku panjang
keseorangan. Walaupun Amira sedang duduk tapi dia tahu, Amira sudah berada di
dunianya sendiri.
Belum sempat dia sampai dekat Amira,
seorang lelaki keluar dari butik dan mengejutkan Amira. Mereka berbual, nampak
mesra sekali walaupun Amira marah-marah. Siapakah lelaki itu?
Saat lelaki tersebut menarik tangan Amira, Ariel
merasakan hatinya sedang dikoyak dan dicarik. Kenapa dia merasakan demikian?
Adakah itu tandanya cinta? Pening Ariel memikirkan hatinya yang tak tenteram
kala ini. Seumur hidupnya dia tidak pernah merasai perasaan celaru yang sedemikian,
dan dia juga tak pernah ada hati pada perempuan walaupun teman sepejabatnya
yang bernama Zizi Suhana sering menggoda
dan cuba menarik perhatiannya. Bukan tak cantik, kalau nak dibandingkan dengan
Amira jauh Zizi lebih cantik dan elegan. Namun hatinya tak pernah terbuka untuk
cinta. Tapi dengan Amira, lain pula jadinya, seolah-olah hatinya telah dicuri.
Alangkah peliknya hati ini sebab si pencuri hatinya seorang tomboy. Biar betul?
Lamun Ariel terputus dek deringan telefon
yang menjerit.
“Ariel nanti petang Ariel balik awal ya?”
suara ibunya berat dan kendur umpama awan yang sarat mengandung hujan.
“Ibu ni kenapa, lain macam saja bunyi?”
“Nantilah, bila Ariel balik, ibu cerita.” Perempuan
itu sudah menangis, tak mampu dia berselindung lagi.
“Ibu, cakaplah. Ibu sakit ke?” cemas Ariel
bertanya.
“Ibu sihat, tapi hati ibu yang sakit.”
“Besar sangat ke masalahnya ibu?” Ariel
masih tak puas hati selagi tak tahu hujung pangkal yang menyebabkan ibunya
bersedih.
“Tak apalah Ariel, petang nanti ibu cakap, sekarang
Ariel kerjalah dulu.”
“Baiklah ibu,” akhirnya Ariel mengalah.
Masalah apa pula yang sedang melanda keluarganya. Masalah Sofia lagi ke? Hai…
budak ni tak habis-habis dengan masalah, dari kecil sampai ke besar. Selalu
saja cipta masalah.
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk dan Kak
Tipah setiausaha kepada Encik Mazlan iaitu bos mereka menjengukkan kepala.
“Encik Ariel, bos panggil encik.”
“Kenapa Kak Tipah?”
“Entahlah encik, tapi bos cari encik dari
tadi,” laju saja Kak Tipah bercerita.
“Okeylah kak, saya pergi sekarang.” Ariel
bangun dan terus beredar menuju ke bilik bos.
Sebaik saja mengetuk bilik bos Pelana Jaya
Holding Ariel masuk, dan mengadap.
“Duduk!” tegas saja bunyi arahannya.
“Ada apa bos panggil saya.”
“Hari ini awak perlu berjumpa dengan CEO
dari Syarikat Sejahtera Raya untuk membincangkan plan tindakan kerjasama dan
menyerahkan proposal dari syarikat kita, kan?”
“Ya bos, perjumpaan itu akan berlangsung
pukul 3.00 nanti.”
“Pukul 3.00 awak kata?” Encik Mazlan
menjerit kuat. Terkejut Ariel, kenapa ni? Ini mesti masalah besar.
“Kenapa bos? Ada perubahan lagi ke?” panik Ariel seketika.
“Boleh awak tanya saya? Sedangkan itu tugas
dan tanggungjawab awak.”
“Kalau mengikut jadual asal mereka inginkan
pertemuan pada pukul 11.00 pagi ini, tapi Kamal memberitahu saya mereka telah
mengubah masa. Ianya akan diadakan pada pukul 3.00 petang nanti.”
“Awak tahu tak pertemuan itu diadakan
sekarang. Tak adanya ubah-ubah masa. Itu pun nasib baik Kamal yang sedia untuk
ke sana, dahlah proposal tu dia yang
sediakan. Sepatutnya awak kena ambil berat tentang tugas dan tanggungjawab yang
telah diamanahkan pada awak,” menyinga marah Encik Mazlan.
“Tapi bos, proposal tu saya yang buat
dan saya dah bersedia untuk buat pembentangan dengan Syarikat Sejahtera Raya tu.
Masalahnya Kamal telah memberi perubahan masa yang salah.” Ariel cuba mempertahankan
diri, dia tak tahu apakah yang sedang terjadi kini.
“Awak jangan cuba mencari kesalahan orang
lain untuk menutup kelemahan awak, berterima kasihlah pada Kamal kerana dengan
sukarela menggantikan tempat awak. Ini kali yang kedua awak buat kesilapan yang
sama. Saya rasa saya telah tersalah pilih dalam memberi jawatan Eksekutif Perancangan
dalam syarikat ini kepada awak. Lain kali elok awak berhati-hati sebelum awak
kehilangan jawatan tersebut.”
“Bos, demi ALLAH saya yang buat proposal
tersebut, bukannya Kamal, dan saya rasa saya telah disabotaj.”
“Okey, kalau awak rasa awak disabotaj, sila
bawa bukti yang awak ada. Saya ni sebenarnya tidak suka bertindak tanpa bukti.”
“Terima kasih bos, nanti saya ambil.” Ariel meminta izin untuk keluar dan terus ke
biliknya. Ariel perlu mengemukakan bukti yang ada dalam komputernya, memang
selama ini dia yang menyiapkan proposal itu, dan tak ada kena-mengena
dengan Kamal sikit pun walaupun dia dilantik sebagai pembantu dalam
melaksanakan sesebuah projek dan pelaburan. Tapi apakah yang sedang cuba diexploit dan dimainkan oleh Kamal sekarang ini?
Debaran di dada Ariel menjadi bertambah
kuat dan kencang bila setiap folder yang dibuka tidak adapun fail
proposal. Seingat Ariel fail tersebut dia letak atas desktop, dan
sekarang ni pada user document dan my computer pun tak ada, malah
di recycle bin juga tak ada. Kat mana ni? Buka thumb drive juga
tak ada fail tersebut, sedangkan malam tadi dia benar-benar ingat, memang dia savekan
pada thumb drive sebagai back-up failnya. Ya ALLAH… apa dah jadi
ni?
Ariel baru teringat, yang dia telah printkan
fail tersebut semalam dan menyimpannya di dalam almari dokumen. Bergegas Ariel
pergi mendapatkannya, tetapi sebaik saja dia membuka laci almari, mukanya
kembali keruh, mengalahkan air sungai di musim banjir. Kepalanya sendat, ke manakah
perginya fail tersebut, dan apa yang sedang terjadi ni? Muka yang keruh tadi
bertukar menjadi kelabu. Apa yang harus dia jawab pada bos? Macam mana dia nak buktikan yang dia dah buat
seperti apa yang diarahkan? Sekarang ni pun bos bukan saja mengatakan dia tidak
bertanggungjawab, malah seorang penipu pula. Ya ALLAH peliharalah aku, kerana
Kaulah saja sebaik-baik Pemelihara.
Dengan langkah yang gontai Ariel Iskandar
berjalan keluar dari bilik bos setelah dia memberitahu tentang kehilangan fail
yang dimaksudkan, dan seperti yang disangka dia dimarahi dan dikutuk hebat.
Biarlah… bukan salah bos kalau dia tak tahu dalam syarikat ini ada musuh dalam
selimut dan ada gunting dalam lipatan, kerana pada anggapan bos, siapa yang
makan nangka dialah yang kena getahnya. Siapakah pula yang sanggup mengkhianatinya?
Selama ini dia tak pernah pun menyakiti hati sesiapa. Perhubungan dia dengan colleague dan staf syarikat semuanya baik dan ramah,
tapi siapakah yang buat dajjal dengannya? Takkan fail tu boleh dengan sendiri
hilang begitu saja, mesti ada tangan-tangan jahat yang deletekan fail
tersebut. Kalau nak diikutkan, fail tersebut masih boleh dicari dengan
menggunakan software pencari fail yang telah didelete, tapi dah
tak guna dan tak ada maknanya. Sekali namanya tercalar dia akan tetap meninggalkan
kesan.
“Dania, masa saya tak ada pagi tadi, awak
ada nampak sesiapa tak yang masuk bilik saya?” Ariel bertanya kepada Dania, kerana
meja Dania betul-betul menghadap pintu biliknya. Mungkin dia tahu siapa yang
keluar masuk sewaktu dia tak ada.
“Tadi saya nampak Encik Kamal.”
“Awak nampak dia pegang apa-apa tak?”
“Ada, dia bawa satu fail putih.” Binggo… dah tahu siapa parasitnya.
“Terima kasih Dania.” Ariel meraup muka
yang tak basah. Kesal dan terkilan menerjah hati. Kesal kerana terlalu mudah
mempercayai seseorang dan menganggap orang lain juga jujur sepertinya.
Terkilan, memang dia terkilan sangat dengan Kamal yang dianggap sahabat
baiknya, rupanya selama ini Kamal tidak ikhlas berkawan dengannya. Patutlah
pagi tadi Kamal mengatakan ada client
yang ingin menemuinya di Sinar Cafe yang terletak di tingkat bawah bangunan
sebelah, tapi bila tiba di sana, tiada siapa pun yang sedang menunggunya. Masya-ALLAH…
sampai ke situ sekali Kamal sanggup memperbodohkannya, dan besar kemungkinan
masa terluang itulah Kamal menyelongkar biliknya. Maka terjadilah seperti apa
yang terjadi.
Rasa marahnya pada Kamal saat ini TUHAN
saja yang tahu, meruap-ruap bak pucuk api yang menjulang tinggi. Membakar seluruh
hati dan perasaannya. Kalaulah Kamal ada di hadapannya tika ini, mungkin
sesuatu yang buruk pasti terjadi.
Ariel bergerak ke surau. Dia perlu berwuduk
dan solat sunat dua rakaat untuk memberi ketenangan dan ruang berfikir dengan
jernih. Marah itu salah satu daripada sifat mazmumah yang dibenci oleh ALLAH
dan Rasul, kerana sifat marah itu boleh menimbulkan sifat keji yang lain seperti
dendam, dengki, sombong, angkuh, tidak puas hati dan lain-lain lagi, malah
boleh membawa kepada pertumpahan darah kalau tidak dibendung. Bak kata Jaafar
bin Muhammad r.a; “Marah itu merupakan kunci segala kejahatan.”
Justeru, Rasulullah SAW menyeru umatnya
supaya jangan marah-marah. Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah SAW dan
meminta Rasulullah SAW berpesan dan memberi nasihat padanya. Baginda berkata;
“Janganlah engkau marah.” Lelaki itu meminta lagi beberapa kali supaya dipesan.
Namun Ralulullah SAW masih tetap berkata; “Janganlah engkau marah.” Hadith ini
diriwayatkan oleh al-Bukhari.
Kemarahan itu dari syaitan dan sesungguhnya
syaitan itu dijadikan dari api. Manakala api hanya dapat dipadamkan dengan air.
Maka berwuduklah untuk menghilangkan rasa marah. Ini juga mafhum daripada hadith
Rasulullah SAW. Selepas solat Ariel berasa lebih tenang dan bersedia menerima
cerita sebenar tentang Kamal yang tidak setia pada sebuah persahabatan. Biarlah
mungkin Kamal ada alasannya tersendiri…Ariel tetap berbaik sangka.
No comments:
Post a Comment